Home Novel Fantasi Neo : Mimpi Semalam
Neo : Mimpi Semalam
Kid Haider
26/2/2015 13:36:56
135,427
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 8

Maria 


Maria keluar daripada sebuah teksi berwarna kuning yang dinaikinya dari rumah sebentar tadi. Selepas membayar wang tambang kepada pemandu teksi berkenaan, dia bergegas ke perkarangan Fakulti Sains Sosial Universiti Nakhoda Ilusi (UNI) yang Nampak tenang tetapi riuh dengan para pelajar yang hampir sebaya dengannya. Maria melontarkan senyuman ke arah sekumpulan pelajar yang sedang duduk di sebuah kanopi yang terletak di perkarangan fakulti itu. Kehadiran Maria menarik perhatian mereka. Mereka membalas kembali senyuman Maria sambil mengangkat tangan. Sebetulnya Maria tidak kenal dengan mereka. Cuma pernah beberapa kali mereka bertembung. Dari situ, Maria dapat mengecam wajah mereka. Mereka semestinya sekumpulan pelajar tahun pertama yang masih menikmati dunia remaja akhir yang menyeronokkan.

Maria memasuki dewan kuliah. Matanya melilau mencari rakannya Suria. Selalunya, pada waktu begini, dia awal-awal lagi sudah sampai. Tetapi sampai sekarang, masih tidak kelihatan. 'Di manalah agaknya Suria ini?' kata Maria di dalam hati. Kuliah akan bermula lebih kurang lima belas minit sahaja lagi, pelajar-pelajar lain semuanya sudah mengambil tempat duduk masing-masing dan memenuhi ruangan bilik kuliah itu. Maria pantas menghantar mesej ringkas kepada Suria.

Di mana? Tak datang kuliah hari ini?

-Maria-

Beberapa minit kemudian, Suria menjawab.

Maaf. Kurang sihat. Tak dapat datang.

-Suria-

Suara para pelajar yang berbual-bual sejak dari tadi bertukar senyap seketika apabila seorang lelaki segak masuk ke dewan kuliah itu. Dia bergaya kemas namun wajahnya sedikit berkedut kerana usianya yang agak lanjut. Dia merupakan seorang pensyarah yang telah lama berkhidmat di Universiti Nakhoda Ilusi. Dia tersenyum ke arah semua pelajar.

"Selamat pagi semua" ucap Profesor Alex kepada semua. Suaranya kedengaran berlainan sedikit hari ini.

"Selamat pagi Prof Alex" jawab semua yang berada di dalam bilik kuliah. Cuba mengajuk cara pelajar sekolah menjawab salam dari guru mereka. Profesor Alex tersenyum sekali lagi. Keletah semua yang berada di dalam kuliahnya itu mencuit hatinya. Profesor Alex memandang ke arah jam tangannya.

"Hari ini saya tidak bercadang untuk bercakap panjang kerana saya hmmm…hmmm…." dia berdehem beberapa kali. Suara kedengaran parau. Tekaknya terasa sedikit perit. "Faham-faham sahajalah ya…. Dan saya pasti awak pun tidak suka nak mendengar syarahan saya awal-awal pagi dengan suara begini. Hari ini, kelas kita akan ditamatkan awal sedikit awal daripada biasa" kata Profesor Alex. Beberapa orang pelajar tersenyum apabila mendengar kata-kata Profesor Alex itu.

Profesor Alex membuka fail yang dibawanya. Lampu bilik kuliah itu ditutup dan skrin LCD dihidupkan. Beberapa gambar terpancar di skrin besar.

"Mungkin, awak semua sudah banyak kali mendengar mengenai sejarah negara kita Ilusi sejak awak berada di bangku sekolah lagi. Dan saya pasti, ada yang sukakan subjek ini dan tidak kurang juga yang lansung tidak meminatinya. Jika awak tanya saya, tentulah saya kata saya suka. Jika tidak, mengapa saya ada di sini." Profesor Alex memulakan syarahannya dengan jenaka yang spontan. "Tetapi… terus terang saya katakan yang saya tidak berapa suka subjek ini bila peperiksaan tiba" beberapa orang pelajar tergelak kecil mendengar kata-kata Profesor Alex.

"Walau apa pun, sejarah amat penting kerana kita belajar daripada masa silam. Segala apa yang terjadi pada hari ini mempunyai talian dengan apa yang terjadi pada masa lalu. Kita juga adalah produk masa silam kita. Jadi sejarah amat penting kerana ia adalah guru yang paling dekat dengan kita" Profesor Alex meneruskan syarahannya. Kata-kata pensyarahnya itu membuatkan Maria teringat kembali zaman persekolahannya. Subjek sejarah adalah antara subjek yang paling diminatinya kerana ada banyak cerita yang boleh didengar daripada gurunya. Tetapi, seperti Profesor Alex, dia tidak suka menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran itu.

Dia masih teringat lagi mengenai fakta-fakta sejarah negaranya yang dipelajarinya dahulu. Mengenai petempatan awal di Pulau Ilusi, kedatangan Harek, seorang tokoh yang telah mengubah Zuria menjadi antara tempat tumpuan dunia, penggabungan Pulau Ilusi dengan Zuria, kemerdekaan Ilusi, pemimpin-pemimpin yang membangunkan Ilusi dan juga beberapa tragedi suka-duka masyarakat dunia. Semuanya masih tersemat di dalam ingatannya.

Topik yang paling digemarinya ialah Harek dan Pengasasan Zuria. Guru yang mengajarnya ketika itu ialah Cikgu Shahril.

"Hari ini kita akan mempelajari satu lagi topik penting dalam sejarah Ilusi. Seperti mana yang kita ketahui, Ilusi dahulunya merupakan sebahagian daripada Zuria. Oleh yang demikian, adalah penting untuk kita mengetahui sejarah kerajaan Zuria. Topik kita hari ini adalah 'Kedatangan Harek ke Zuria'" Cikgu Shahril memulakan pembelajarannya.

"Pada mulanya Zuria hanyalah sebuah kawasan perkampungan yang diduduki oleh para petani yang menjalankan sistem ekonomi… apa?"

"Sara diri!" Jawab semua pelajar yang berada di dalam kelas itu.

"Bagus! Kemunculan Zuria sebagai empayar bermula dengan penubuhannya oleh Harek iaitu seorang putera raja dari negara Kasturi. Harek mempunyai kaitan kekeluargaan dengan Kerajaan Pasadianka iaitu sebuah kerajaan yang amat besar untuk beberapa abad. Harek dan pengikutnya terpaksa meninggalkan Kasturi yang berada di bawah kekuasaan Pasadianka. Pada tahun 1200, rombongan beliau telah tiba ke Batang Hati yang mana ketika itu berada di bawah kuasa kerajaan Sara-sara." Cikgu Shahril menunjuk ke arah peta minda yang dilekatkan di atas papan hitam.

Harek berhasrat untuk menguasai Batang Hati. Namun, pada tahun 1202, Harek terpaksa keluar dari Batang Hati kerana ancaman dari pihak Pasadianka yang mempunyai hubungan baik dengan Batang Hati. Sekitar tahun yang sama, Harek bergerak ke barat dan akhirnya mereka sampai ke satu kawasan yang indah dan aman. Penduduk di kawasan tersebut merupakan petani dan Harek bercadang untuk membina petempatan di situ kerana menurut firasatnya, kawasan itu mempunyai potensi untuk maju. Harek menamakan negeri itu Zuria dan bersungguh-sungguh membangunkannya." terang Cikgu Shahril panjang lebar.

"Baiklah. Kuliah kita tamat hari ini" Profesor Alex menamatkan kuliahnya. Selepas mengucapkan terima kasih kepada para pelajarnya, Profesor Alex segera berkemas. Lampu bilik kuliah dihidupkan. Maria pergi mendapatkan Profesor Alex yang masih lagi berada di podium.

"Ya Maria" kata Profesor Alex sejurus sahaja Maria mendekatinya.

"Prof bawa buku yang saya minta tempohari?" tanya Maria. Wajahnya tersenyum.

"Ada…" Profesor Alex mengambil beberapa buah buku dan fail dari beg gagangnya yang berwarna hitam dan menyerahkannya kepada Maria. "Ini dia buku dan sedikit nota untuk kamu baca"

"Terima kasih Prof" ucap Maria. Dia tersenyum lagi.

"Kamu hendak ke mana selepas ini?"

"Ke kafe. Sebab saya belum sarapan lagi"

"Eh. Kamu belum sarapan lagi?" tanya Profesor Alex. Maria hanya menggelengkan kepala. "Lain kali sarapanlah dulu sebelum datang ke kuliah."

"Okey Prof..."

"Mmm… saya kena pergi dahulu ya, ada perkara yang perlu saya uruskan"

"Baiklah prof. Jumpa lagi"

Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.