Home Novel Fantasi Eclipse
Eclipse
Ann Hann
9/12/2021 23:01:17
12,368
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 2

Keesokan paginya, 8:08 AM

 Saturday

Audia, tiga bulan dah habis, aku dan Herin tunggu kau di kafe tempat biasa kita.

Happy birthday!!!

Audia membaca mesej sambil memberus gigi di depan cermin bilik air. 

‘Kau ada tengok gerhana bulan semalam?’ mesej dari Herin. Keningnya berkerut. Dia tak ingat langsung pasal gerhana malam tadi.

Dia baru selesai mandi. Sesekali membetulkan tuala mandi yang menutupi tubuhnya dan kemudian membersihkan muka dengan losyen penyegar sebelum memakai krim muka. Langkah seterusnya, memakai bedak, maskara dan akhir sekali mengenakan gincu pada bibir mungilnya yang cantik. Lagu Rosie bergema kuat di dalam bilik yang buat Audia ikut menari di depan cermin. Dia gembira kerana berjaya. Janjinya dengan diri sendiri mahu berkurung selama tiga bulan telah berjaya di tepati. Tiba masanya menghirup udara luar dengan nekad untuk kekal kuat.

Dia memakai baju panjang tangan berwarna biru laut, berseluar jean ringkas dan mengenakan skaf pada lehernya sebelum keluar rumah. 

Cuaca di luar agak mendung ketika dia memandu keluar dari perkarangan apartmen Damansara, jalan Brick 2. Kereta-kereta yang meluncur di atas jalan raya semuanya lancar tanpa kesesakan. Tambah mencantikkan pemandangan di jalan raya adalah kemunculan pohon-pohon sakura berwarna merah jambu yang melebat di sepanjang jalan raya lurus.

Audia menoleh kiri dan kanan ke depan dan ke belakang dan ke depan kembali. Kehairanan sendirian di dalam kereta. Entah apa yang dihairankan gadis itu. Semuanya cantik dan mendung, pemandangan terbaik di Kuala Lumpur.

“Sejak bila KL ada bunga sakura?” bisiknya masih kehairanan. Seingatnya dia tidak pernah melihat jalanan secantik itu di KL. Audia berfikir mungkin sebab dia sudah tiga bulan tidak keluar rumah dia pun tidak sedar macam mana bunga-bunga sakura ditanam di ibu negerinya.

“Sakura jenis apa tu? Berbunga lebat pula tu,” soalnya lagi kepada dirinya sendiri. “Dan … kenapa pula sakura boleh hidup di KL yang panas ni? Tapi cuaca hari ni mendung?” keningnya terangkat tetapi cuba tidak ambil peduli. Barangkali dia ada masalah ingatan yang terganggu sejak pengalaman buruk itu.

Tetapi berkali-kali dia meyakinkan dirinya, tidak ada apa-apa yang berlaku sebaliknya perasaan lain menyelubungi ketika dia memandu semakin jauh ke tengah kota. Audia terpana dan terkejut melihat pemandangan lebih menakjubkan menyambutnya di situ ketika menyusuri jalan raya di tepi laut.  Dia menyaksikan dengan matanya sendiri bangunan-bangunan tinggi menjulang seperti di Dubai cuma bentuknya saja yang sedikit lain pantas mengubah persepsinya berfikir.

Sebuah menara berbentuk obor terpacak mengagumkan. Ada lagi sebuah bangunan berbentuk bujur seperti kapal alien yang mungkin tingginya dalam 100 meter. Adakah dia benar-benar berada di Jepun sekarang? Tercengang di dalam kereta, Audia sempat meletakkan keretanya di tepi jalan dan menganga sahaja di situ. Kepalanya masih memerhatikan sekeliling. Terdapat berbaris-baris pangsapuri setinggi 60 meter berwarna kelabu keperakan di sepanjang jalan menuju ke sebuah masjid yang cantik dan di sebelah kawasan pangsapuri itu pula terdapat sebuah taman riadah yang besar yang dipenuhi lebih banyak pohon-pohon sakura dan bunga-bunga tulip berwarna merah dan putih.

Cepat-cepat Audia memeriksa beg tangannya mencari passport untuk memastikan yang dia memang berada di Jepun. Dia memang ada masalah ingatan jangka pendek agaknya sampai dia terlupa yang dia tinggal di Jepun. Tetapi biarpun dia membongkar habis beg tangan itu dia masih tidak menemui passport kecuali kad pengenalan diri di dalam dompet.

“Handphone! Handphone!” Dia menggagau lagi mencari telefon pintarnya di bangku sebelah sebelum menyedari yang telefonnya ada di dalam poket seluar jean.

Dengan gerakan gugup, dia terkial-kial menekan butang pemanggil. Audia mahu menghubungi Azima yang sedang menunggunya di kafe. Dia mahu memberitahu sesuatu yang tidak kena. Sambil menekan nama Azima yang tertera sambil kepalanya menjenguk jalanan mahu memastikan jalan ke kafe itu tidak jauh dari tempatnya parkir saat itu.

“Audia, kau di mana, dah setengah jam kami tunggu,” sahut Azima.

Audia tersentak tetapi sempat menjawab. “Aku di Jepun ke ni.”

“Apa? Di Jepun? Kenapa kau tak cakap, bila kau ke sana?” tanya Azima lagi.

“Aku – aku err … lupa. Eh, tak, tak, aku nak sampai dah, tunggu … “ tut tut tut tut tut tut panggilan itu terputus. “Azima, Azi…” kemudian berkali-kali Audia cuba menelefon nombor Azima kembali, panggilan itu tidak dapat disambungkan lagi.

“Talian digo tak guna,” Audia mengeluh dan kembali memandu ke jalan lurus. Rasanya jalan yang dilaluinya itu sedang menuju ke kafe yang dijanjikan ketika memusingkan stereng menghala ke susur jalan terus ke pusat membeli belah City Zenn. 

Namun beberapa bangunan insuran ternama masih terpacak di sebelah kanan tetapi dengan nama insuran yang baru. Ada sesuatu lagi yang tidak ada di situ sebuah bangunan bersejarah yang telah digantikan dengan sebuah Muzium Mazara yang besar dengan berbagai lukisan mural yang cantik.

“Eh, mana City Zenn? Dah tukar nama ke?” Audia sampai mengecilkan matanya  membaca sebuah nama lain yang diyakininya telah diubah sepanjang dia memutuskan untuk berkurung di rumah.

“Sakura Mall. Wow,” katanya dengan perasaan teringin hendak masuk ke dalam. Dan yang lebih menarik perhatian, sebuah kawasan tersembunyi yang terdapat warung-warung kecil di belakang sebuah bangunan kedai kelihatan sudah tidak ada lagi dan telah digantikan dengan taman riadah. Dan sebuah Café House yang cantik terletak bersendirian di tepi taman tersebut. 

Nampaknya bangunan-bangunan lama semua sudah tidak ada lagi. Digantikan dengan butik-butik barangan dengan susunan bangunan yang lebih teratur. Betul-betul berbeza. Bandar itu kelihatan lebih cantik dari yang lain hingga Audia mengesyaki dia telah mengambil jalan yang salah dan sekarang berada di sebuah bandar baru diubah suai. 

Audia kemudian meletakkan keretanya di tepi jalan yang disediakan. Orang-orang yang lalu-lalang bebas berjalan tanpa memikirkan  wabak berbahaya. Kenapa dia boleh terlepas berita ada tempat yang sudah bebas dari Covid 19? Itulah, tengok drama Korea saja siang, malam. Belum pernah sekalipun dia membaca berita ataupun menekan channel tv berkenaan negaranya Malaysia kerana tidak mahu mendengar cerita pasal dirinya di laman sosial. Itulah sebab dia tidak menerima apa-apa informasi tentang dunia luar lagi.



Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.