Home Novel Fantasi Eclipse
Eclipse
Ann Hann
9/12/2021 23:01:17
12,374
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Senarai Bab
Bab 3

“Hiro. Perempuan tu dikesan berada di sebuah kafe di Jalan Pheonix 3.”

“Awasi kafe tu!”

“Baik tuan.”

Hiro yang hendak keluar rumah terus bergegas menuju ke kereta. Dia yang memakai kemeja putih, berjaket coklat, berseluar jean dengan segaknya menaiki sebuah Range Hawk keluaran terbaru dilengkapi dengan kelajuan lebih tinggi, sistem yang lebih canggih dalam aspek keselamatan selain berfungsi dengan baik untuk disesuaikan mana-mana cuaca dan jalan raya. Hiro yang berperwatakan seorang lelaki berani dan berketrampilan hebat kelihatan melontarkan karismanya ke segenap jalan raya saat kereta yang dipandunya membelah jalan raya menuju ke suatu lokasi.

Cuaca sangat baik pagi itu. Langit biru terbentang seperti laut yang diterbalikkan ke udara. Semuanya tenang. Bandaraya juga tenang. Tidak ada kekecohan seperti minggu lalu. Hanya masalah yang baru tiba, muncul pagi-pagi ini harus diberi perhatian, perempuan itu memang menyusahkan! Mereka patut lebih bertegas. Jalan raya yang juga lancar memudahkan pemanduan Hiro sepantas 8 minit di lokasi yang disyaki. 

Dia meletakkan kereta di tepi jalan. Kelihatan anak buahnya Ilyasa dan Zulfi sudah bersedia menunggu dengan senjata di tangan masing-masing.

Dia akan paksa perempuan itu menjelaskan semuanya nanti. Hiro melangkah berani sewaktu masuk melalui lorong depan. Beberapa orang pelanggan sudah mula perasan akan kehadiran mereka, ada yang mula termereng dan terjengul keluar mahu melihat kenapa Hiro boleh berada di situ. Malahan ada yang mula mengambil gambar.

“Dia berada berdekatan pintu masuk,” lapor Ilyasa sebelum dia dan Zulfi mengikuti Hiro dari belakang.

Dengan langkah seorang lelaki penegas Hiro menolak pintu kaca. Tangan sebelah menyeluk poket manakala sebelah lagi mengaup rambut dia tersenyum melihat orang yang dicari-carinya. Suara-suara terkejut bergema di dalam kafe seolah-olah kehadiran mereka bertiga sesuatu yang menimbulkan suasana suspen. Pelanggan-pelanggan di dalam mula kecut dan ada yang mula berbisik-bisik sesama mereka. Orang yang menjadi suspek mereka kelihatan ikut terpinga-pinga.

“Semua orang jangan bergerak!” Ilyasa bersuara kuat. Suara dua orang gadis mendecit ketakutan pantas dipandang tajam.

 Ilyasa dan Zulfi yang memegang senjata menghala ke bawah setia menunggu arahan Hiro yang sedang menumpukan pandangan pada seorang perempuan yang masih tidak perasan ataupun berkeadaan seperti seorang pesalah. 

Dia mengangkat jari telunjuk ke atas siling dan bersuara tegas. “Semua orang kekal di tempat duduk kecuali perempuan yang memakai baju sulam biru, jean biru, berskaf dileher ikut saya keluar sekarang,” perintah Hiro lancar dan tenang sewaktu memandang tepat ke arah Audia yang tercengang kehairanan.

Audia memandang ke kiri dan kanan mencari siapa yang dimaksudkan sebelum dia melihat warna dan jenis pakaian yang disebutkan Hiro tadi sama dengan apa yang dikenakan pada tubuhnya sendiri. Semua pelanggan duduk di tempat masing-masing kecuali Audia yang masih berkelakuan dungu.

“Sa … saya?” Audia menunjuk jari telunjuk ke arah tubuhnya sendiri.

“Ya, kamu,” Hiro berdiri di hadapan Audia yang masih terpinga-pinga. 

“Kenapa? Encik ni siapa?” tanya Audia pelik.

Hiro mengintai wajah Audia dari kaca mata hitam yang diturunkan sedikit ke hidung kemudian bercakap. “Ikut saya sekarang!” Perintah Hiro tegas melangkah menghampiri Audia yang ketakutan, merentap lengannya dan membawa perempuan yang seperti hilang ingatan itu keluar dari kafe diiringi suara-suara seperti dengungan sekumpulan lebah yang tertanya-tanya apa yang telah berlaku. Ilyasa dan Zulfi mengekori dari belakang.

“Kenapa awak tangkap sa, saya, awak polis?” tanya Audia cemas.

“Kita bincang dalam kereta,” jawab Hiro.

“Kereta? Tapi kenapa? Sa, saya menceroboh ke? Apa salah saya, awak tak boleh …” tetapi soalannya hanya dibiarkan berlalu seperti angin. Dia terus ditolak masuk ke dalam kereta Range Hawk berwarna perak kekelabuan melalui tempat pemandu dengan Hiro tetap memegang lengannya kuat. Audia yang tidak berani berbuat apa-apa mengikut sahaja tindakan Hiro dan duduk diam-diam di sebelah lelaki asing yang mengancamnya dengan senjata di tangan.

“Kamu Jessie Gray? Berasal dari Paramor,” sebut Hiro dengan pandangan tajam.

“Tak. Saya dari KL,” Audia mencelah laju.

“Ke mana kau melarikan diri, kau nak sama-sama mati dengan kekasih kau si Tuan Jakel itu.”

“Tuan Jakel?” Perempuan itu kelihatan seperti lupa-lupa ingat. 

Siapakah yang dimaksudkan Tuan Jakel? Audia jelas membuat wajah tidak faham, adakah dia pernah berurusan dengan pengurus bernama Jakel. “Maaflah, saya dah berhenti kerja. Saya dah tak ada kaitan lagi dengan Banmi Company. Saya bukan menghilangkan diri. Saya duduk di rumah saja, dah tiga bulan saya tak keluar rumah,” jelas Audia cuba memberitahu keadaan sebenar dan mahu menyelesaikan kekeliruan mereka.

 Hiro tidak mempedulikan kedunguan Audia itu.

“Plan hendak menipu jadi orang biasa?”

“Apa yang awak cakap ni?” perempuan itu masih cuba berdalih. “Saya tinggal di Damansara dan saya tak pernah tipu orang. Kalau tak percaya pergi saja ke rumah saya dan saya ada bukti, jiran-jiran saya semua tahu saya duduk di rumah saja tiga bulan lalu dan baru hari ini saya keluar dari rumah. Saya bukan dari Paramor. Mesti encik salah faham.”

 “Di mana kau tinggal sekarang?” tanya Hiro lagi.

Audia masih ragu-ragu dengan wajah tertanya-tanya hingga dia ternganga tidak tahu apa yang hendak dikatakan. “Ini mimpi? Saya sedang bermimpi?”

“Tolong jangan main-main. Aku ada kerja lain,” ujar Hiro tegas.

Pandangan tajam Hiro buat Audia takut. “Maaf, maaf... saya keliru sikit.” 

Perkataan jangan main-main itu nampak berkesan untuk menakutkan Audia.

“Alamat...”

Audia berpaling memandang Hiro yang dingin dan berlagak seperti samseng. Lelaki itu kelihatan seperti ketua penyangak yang suka bertemberang dan menakut-nakutkan orang.

“Damansara Apartment. Jalan Brick 2.” Audia cuba bertenang.


Previous: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.