Home Novel Fantasi Takluk Jagat
Takluk Jagat
5/2/2015 00:01:35
48,923
Kategori: Novel
Genre: Fantasi
Bab 2

MUSANG Darat kembali bangkit dan menyerang Gelora. Kali ini serangannya lebih pantas membuatkan si tua berhempas pulas mempertahankan diri. Walaupun begitu, medan pencak lebih berpihak kepadanya. Berbekalkan pengalaman seumur hidupnya, Musang Darat masih belum dapat menandinginya.

Setiap serangan Musang Darat dapat dipatahkan. Dua orang penceroboh yang mengikutnya hanya memerhati, menunggu peluang yang mungkin muncul. Gelora Singara Jata mengambil kesempatan menjeling mereka apabila Musang Darat berhenti seketika menyusun langkah. Tetapi, yang tinggal cuma si kurus manakala seorang lagi berbadan gempal tidak lagi kelihatan.

Si gemuk sudah turut serta tetapi di mana?” Dia tertanya-tanya.

Peraduan pencak diteruskan lagi. Dalam menyusun langkah, Gelora berhati-hati takut diserang dari belakang.

Tumpukan perhatianmu, orang tua! Lawanmu sekarang, hamba!” Musang Darat menyedari Gelora mula curiga.

Kamu yang sepatutnya menumpukan perhatian, wahai orang muda. Seronokkah asyik dipukul?” Gelora masih sempat mengejek.

Musang Darat mengetap geraham, geram! Tidak sangka orang tua itu masih lagi handal dalam pertempuran walaupun kudratnya sudah terbatas. “Tuan hamba asyik risaukan belakang tuan hamba. Tuan hamba yakin akan diserang dari belakang?”

Umpanan Musang Darat ditelan mentah orang tua itu. Segera Gelora menoleh ke sisi. Tiada apa-apa. Tiba-tiba dia merasakan kakinya dipegang dengan kuat. Dia menunduk dan tersentak melihat sepasang tangan terhulur dari dalam tanah mencengkam pergelangan kakinya. Lantas, tangan itu menariknya ke bawah dan menyebabkannya terbenam hingga ke paras pinggang. Gelora meronta-ronta cuba untuk keluar tetapi bahagian bawah tubuhnya bagaikan dibelenggu.

Tentu tuan hamba tidak menyangka akan diserang daripada bawah, bukan? Usahlah meronta. Tiada siapa dapat melepaskan diri daripada jurus Pasung Tanah Tikus Bumi ini!” Dan berdekah-dekah Musang Darat ketawa. Puas hati kerana rancangannya berjaya. Tanah di hadapannya tiba-tiba berlubang dan terhambur ke atas. Susuk si lelaki gempal yang digelar Tikus Bumi oleh Musang Darat melompat keluar dari dalam tanah.

Keji!” Gelora membentak.

Bukankah dalam perebutan nyawa ini tidak diambil kira?” Musang Darat tersenyum. Senang hatinya dapat menjinakkan harimau tua itu.

Gelora Singara Jata hanya mampu menghela nafas lemah. Baru tengah hari tadi dia mengajar cucunya tentang main kotor dalam pertempuran. Kini kata-kata yang dilontar untuk mendidik cucunya, menempelaknya kembali.

Orang tua! Hamba masih ada lagi buah tangan untuk tuan hamba!” Musang Darat masih lagi tersenyum. Dia yakin orang tua di hadapannya ini sudah kehausan tenaga. Lantas dirapatkan kedua-dua telapak tangannya, umpama mengangkat sembah lagaknya. Dengan mata dipejam, Musang Darat membaca mantera,


Dari dalam menjalar sulur,

memaut batu pecah berderai,

dari dalam geraknya menggembur,

memaut tubuh julang menggapai!”


Gelora sedar dia mesti mempertahankan dirinya. Jurus Musang Darat tentu bukan sembarangan. Dipejamkan matanya, tangan kanannya menggenggam penumbuk dan ditumbuk pada tapak tangan kirinya. Mulutnya juga kumat-kamit melafaz mantera. Suasana menjadi hening. Cuma gema mantera selembut bisikan kedua-dua pendekar bercampur-baur.

Panas ditempa pahatan waja,

sejuk membeku sedingin embun,

tidak tunduk menghadap raja,

teguh berdiri tidak diampun!”


Seluruh tubuh Gelora menjadi kemerah-merahan apabila selesai melafazkan ayat-ayatnya. Dia kini hanya boleh bertawakal. Ilmu Dirah Waja yang dilaksanakan mampu menahan segala jenis serangan jasmani. Malah senjata tajam pun tidak dapat melukai tubuhnya. Tetapi, dengan kudrat dan tenaga dalamannya yang terbatas, kesan hikmatnya pasti banyak berkurangan.

Bersama-sama perkataan terakhir menteranya, Musang Darat membuka mata dan lantas menepuk tanah dengan kedua-dua telapak tangannya. “Julangan Panglima!”

Bumi bergegar tatkala ia menyentuh bumi. Tanah di sekeliling Gelora Singara Jata mula merekah. Lantas meletus dan terhambur ke atas bersama-sama tubuhnya. Dia terhumban tinggi ke udara, bagaikan batuan lahar yang dimuntahkan gunung berapi.

Gelora merasa sakit di seluruh badan dan tidak dapat bergerak. Hanya ilmu Dirah Waja menjadi benteng perlindungannya terakhir. Dalam keadaan terawang-awangan, badannya dipeluk dengan kuat dari belakang. Dia menoleh dan mendapati si lelaki kurus itu ada di belakangnya. Pelukannya menyesakkan bagaikan belitan sang sawa biarpun tubuhnya cuma ada tulang dan kulit. Si tua cuba meronta tetapi tubuhnya tidak mahu bergerak. Anggotanya seakan lumpuh.

Biar hamba lihat, dapatkah ilmu Dirah Waja melindungi dirimu daripada serangan penamat Helang Langit!” Musang Darat menempik dari bawah.

Mereka berdua bagaikan terapung-apung di udara. Kelebihan yang ada pada ilmu si lelaki kurus digelar Helang Langit, dapat berlengah-lengah di udara untuk beberapa ketika, sesuai dengan gelarannya.

Tanah di bawah sedang memanggil.” Helang Langit membisik ke telinga Gelora. Dia membalikkan badan mereka sehingga kepala masing-masing menghala ke bawah, bagaikan tergantung kaki pada awan. Perlahan-lahan mereka berputar. Semakin lama semakin ligat dan tubuh mereka jatuh ke bawah disebabkan tarikan bumi. Halaman pondok buruk itu dilanda angin kencang yang berpusar-pusar. Daun-daun kering berserakan lantas berterbangan ke atas disedut putaran ligat ilmu tempur Helang Langit.

Gelora menjadi pening dan tidak dapat berbuat apa-apa. Dia memejamkan matanya dan kenangan-kenangan hidupnya terlintas di fikiran. Wajah cucunya, Bayu memenuhi ruang ingatan. Saat-saat gembira mereka bersama, daripada kali pertama tangannya menimang bayi lelaki bernama Bayu Adi Jata. Dibelai dan dijaganya. Diajarnya mengaji dan segala ilmu yang dirinya ada. Sehinggalah sudah belia, menjadi pendekar yang diibaratkan keris yang tersarung. Inilah detik terakhir hidupnya. Permukaan tanah semakin hampir. Penamatnya semakin hampir...

***

BAYU terperanjat apabila mendapati halaman pondoknya berlubang-lubang dan ada kesan pergelutan. Jantungnya kencang berdebar-debar. Matanya meliar mencari datuknya, tetapi tidak kelihatan. Pengat pisang masih dia atas di atas serambi. Tiba-tiba batukan kecil terlontar dari balik tiang serambi. Suara yang dikenalinya.

Atuk, apa terjadi? Siapa yang jadikan atuk sampai begini?” Bayu bagaikan tidak percaya melihat keadaan orang tua itu yang tersandar di tiang. Darah mengalir dari mulut, hidung, telinga dan matanya. Hatinya begitu sebak, air mata mengalir membasah pipi. Tidak disangka ada orang tergamak melakukan seorang tua begini kejam. Dia memangku atuknya. Tambah pilu hatinya apabila mendapati semua tulang empat kerat orang tua itu patah-patah bak ranting kering dimakan anai-anai.

Bayu, perjalanan atuk sudah tamat. Mereka mengambil Takluk Jagat.” Gelora memberitahu dengan nafas yang tersekat-sekat.

Siapa punya angkara, atuk?” Bayu bertanya dengan sedu-sedan. Turun naik dadanya bergemulung nafas.

Bawah pondok… tiang tengah....” Datuknya cuba menyampaikan sesuatu, tetapi tidak lagi mampu menghabiskan katanya. Bayu mengerti, dia terpaksa merelakan. Bibirnya yang terketar-ketar mendekati telinga Gelora Singara Jata lalu membisikkan kalimah syahadah.

***

MALAM itu, bulan penuh tepat di atas kepala. Cahayanya seterang-terang pelita alam tatkala tidak dilindungi tompokan-tompokan awan berarak. Dan cahaya itu menerusi celah-celah rumpunan buluh menimpa seorang pemuda yang kemurungan. Cahaya putih lembut itu seakan memujuk Bayu Adi Jata yang sedang bersila di sisi pusara datuknya.

Suaranya yang beralun melafazkan ayat-ayat surah Yasin mengisi hening malam. Walau hatinya berkecamuk pilu, namun ayat-ayat suci yang dilafaznya dan malam yang ditakdirkan ALLAH dingin menjadi penenangnya. Dan di sebelah persemadian itulah Bayu melelapkan matanya malam itu.

***

PAGI itu, sesudah menyempurnakan solat subuh, Bayu duduk di atas tangga serambi memikirkan kejadian yang menimpa. Siapakah pembunuh itu? Mengapa Takluk Jagat dirampas? Apakah kerana keris itu atuk dibunuh? Apakah keistimewaannya sehingga menyebabkan pertumpahan darah? Mungkinkah atuk hilang nyawa kerana mempertahankannya? Tetapi mustahil! Selama ini atuk hanya menjadikan keris itu sebagai penyendal pintu pondok buruk ini sahaja. Mengapa perlu bersabung nyawa mempertahankan penyendal pintu itu?

Bayu akui Takluk Jagat sebilah keris panjang yang cantik. Ukiran hulu dan sarungnya sangat halus dihiasi saduran perak berukir tumbuhan-tumbuhan yang menjalar. Dia pernah cuba menghunuskan keris itu ketika masih kecil, tetapi sekuat mana pun usahanya, keris itu tidak berjaya dicabut. Datuknya hanya ketawa melihat gelagatnya. Lama-kelamaan Bayu hilang minat terhadap keris itu dan tidak pernah mengusiknya lagi. Dia tidak pernah menganggap keris itu barang berharga kerana atuknya tidak mempedulikannya sangat.

Buntu Bayu memikirkan tentang Takluk Jagat. Tiba-tiba dia teringatkan peristiwa semasa kecil. Dia pernah teruk dimarahi datuknya kerana bermain dengan keris itu di halaman. Datuk pernah mengingatkannya supaya tidak membawa keris itu keluar dari pondok. Mungkin datuknya cuba menyembunyikan keris itu dari dunia luar. Tetapi kenapa datuknya tidak menyembunyikannya di tempat yang sulit? Sebaliknya hanya membiarkan keris itu di atas lantai. Dan jika keris itu tiada apa-apa keistimewaan, mengapa ia dinamakan. Mungkinkah ada rahsia di sebalik namanya?

Bayu merenung pusara datuknya. Peristiwa petang semalam masih terbayang di fikiran. Dia menyalahkan dirinya sendiri. Sekiranya dia tidak terlupa pesan datuk, tentu kejadian ini tidak akan berlaku. Walaupun sedar segalanya takdir, dirinya masih diselubung kesal.

Bayu bangun dan melangkah masuk ke dalam pondok, mundar-mandir dalam pondok kecil itu. Jiwanya terasa kosong. Dirinya kini sebatang kara. Siapa yang melakukan perbuatan keji ini? Setahunya, datuk tiada musuh. Mereka pula tidak pernah menerima tetamu selama tinggal di dalam hutan ini. Darahnya mendidih memikirkan pembunuh kejam itu.

Dalam hatinya bertekad mencari pembunuh itu. Tetapi di mana? Dengan geram Bayu menumbuk tiang tengah pondok itu. Bergegar pondok usang itu dibuatnya. Bayu cepat-cepat memeluk tiang itu supaya pondoknya tidak bergegar lagi. Tiba-tiba Bayu teringatkan sesuatu. Sebelum datuknya menghembuskan nafas terakhir, dia ada menyebut tentang tiang itu. Bayu bergegas turun ke bawah dan merangkak ke bawah pondok.

Tentu ada sesuatu tertanam di sini,’ ujarnya di dalam hati. Dia segera mengorek tanah di sekeliling tiang tengah.

Tidak berapa lama mengorek, Bayu menjumpai sebuah peti kayu kecil tertanam menghala ke arah kiblat dari tiang itu. Segera dia membawa peti itu naik ke serambi. Digosok-gosok peti itu bagi menanggalkan tanah yang melekat. Terserlah warna peti itu yang kemerah-merahan. Bayu mengagak peti itu tentu sudah lama tertanam memandangkan warnanya yang agak pudar. Tetapi kayunya masih utuh dan tidak reput.

Bayu membuka peti itu. Terdapat sebuah bungkusan kain baldu merah yang kusam diikat dengan seutas rotan halus. Dia mengeluarkan bungkusan itu dan membuka ikatannya. Di dalamnya terdapat seikat akar kayu yang sudah kering dan sebuah pelindung lengan yang diperbuat daripada logam putih berkilau seakan-akan perak dan didasari belulang.

Bayu mengambil pelindung lengan itu dan ditelitinya. Buatannya memang halus dan cantik. Kilauan logam masih memancar biarpun lama tidak terjaga. Pada logam itu terdapat calar-calar bekas pernah dimakan senjata. Bayu hairan melihat ukiran pada pelindung lengan itu adalah serupa dengan ukiran sarung dan hulu Takluk Jagat.

Apakah kedua-dua barang ini saling berkait?” dia tertanya-tanya. Setelah dibelek-belek, dia mendapati terdapat sehelai kain kuning terselit pada pengikat pelindung lengan itu. Diambilnya kain kuning itu dan didapati terdapat tulisan tangan Gelora di atasnya:

Ini Indera Bumi, pasangan kepada Takluk Jagat. Lengkapkanlah ia di lenganmu. Cari Takluk Jagat. Jangan biar ia disalah guna. Indera Bumi akan membawa kamu kepadanya. Berhati-hatilah cucundaku Bayu Adi Jata.”

Rupa-rupanya, atuk telah mengagak keadaan ini akan berlaku. Tapi kenapa atuk tidak pernah menceritakan hal Takluk Jagat kepadaku? Apakah dia tidak sempat?” Bayu sedar jawapannya tidak mungkin akan diperolehnya ketika ini ataupun mungkin sampai bila-bila.

Bayu Adi Jata mengenakan Indera Bumi pada lengan kanannya. Terasa begitu selesa sekali dan dapat dirasakan darah dan tenaga dalamannya mengalir dengan lebih lancar. Nyata ia bukan kelengkapan sembarangan. Disimpannya kain kuning itu tadi di dalam uncang yang terikat di pinggangnya dan akar kayu yang terdapat bersama-sama Indera Bumi di dalam peti dibungkusnya kembali.

Walaupun Bayu tidak tahu akan gunanya akar kayu itu tapi dia sedar ia tentu penting. Dia perlu segera meninggalkan tempat itu. Sekiranya perampas itu sedar Takluk Jagat ada pasangannya, tentu mereka akan kembali. Daripada kesan pertarungan yang ditinggalkan, Bayu sedar mereka bertiga. Malah dia tidak mampu menewaskan mereka dengan keupayaan yang dirinya ada sekarang.

Setelah membasahkan tubuh dan menyiapkan diri, Bayu menutup semua jendela dan pintu pondok buruk itu. Pakaiannya yang cuma beberapa pasang itu dibungkuskan bersama di dalam sehelai kain sarung. Dia mengambil peti merah tadi semula dan mengeluarkan akar kayu kering yang ditinggalkan datuknya. Lalu, akar kayu kering yang diikat bersama itu disumbat ke dalam bungkusan pakaiannya. Indera Bumi dikenakannya kembali setelah ditanggalkan sebelum mandi tadi.

Dia tidak tahu berapa lama akan pergi. Mungkin juga tidak akan kembali. Perasaan sayu mendakap hatinya tatkala berdiri di samping pusara datuknya yang disayangi. Seumur hidupnya tidak pernah berpisah dengan orang tua itu dan meninggalkan pondok buruknya. Kini dia perlu mengembara tanpa arah yang pasti. Terasa begitu berat kaki ingin melangkah. Namun, amanat perlu dilaksanakan.

Atuk, saya bersumpah akan mencari Takluk Jagat. Saya tidak akan membalas dendam kerana atuk pernah mengajar, dendam akan membawa lebih banyak dendam, bertali arus dan tiada pengakhiran. Tetapi, saya akan pastikan mereka tidak lagi menganiayai orang lain.” Bayu duduk melutut di sisi pusara. Seruling usang atuknya dicacakkan di atas pusara. Dia mengambil nafas dalam-dalam lalu berdiri kembali.

Matanya berkaca dan hatinya sebak. Kakinya bagaikan terpaku ke bumi. Tetapi dia perlu melangkah. Bayu merenung ke langit memohon kepada ALLAH supaya ditunjukkan jalan. Dengan lafaz bismillah, dia memulakan langkah.

Setelah langkah kesepuluh, dia berhenti dan berpusing ke belakang merenung pondok dan pusara datuknya buat kali terakhir. Bayu menarik nafas panjang, berpusing kembali dan melaksanakan jurus Langkah Lipat Bumi. Semoga ada petunjuk di Kampung Peruwa.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.