MALAM
itu, Raja Madisar mempersilakan Bayu duduk bersama di atas
singgahsananya berserta ratu. Di sebelah kiri singgahsana terdapat
sekumpulan orang bersedia dengan alat-alat bunyian. Gong, serunai,
seruling, rebana, gendang kecil dan besar dan beberapa alat lain yang
Bayu tidak tahu namanya sudah tersedia di tangan pemainnya. Di ruang
hadapan pula dipenuhi oleh hadirin penduduk kampung itu. Anehnya,
pintu hadapan tertutup.
Ada
keraiankah malam ini? fikir Bayu. Raja Madisar tersenyum memandangnya
sambil menepuk-nepuk bahunya.
“Jangan
dibebankan fikiranmu dengan bermacam-macam persoalan. Berhiburlah
malam ini. Kesenian kaum Bunian khas untuk menyambut anakanda Bayu.
Fikiran yang lapang akan dapat bekerja dengan lebih bijak,” bisik
Raja Madisar ke telinganya.
“Tetapi
tuanku, hamba perlu mencari rahsia Indera Bumi. Hamba tiada masa
untuk berhibur.” Bayu berbisik kembali. Matanya meliar-liar mencari
Puteri Ariasha. Apakah puterinya tidak dibenarkan bersama dalam
keraian ini?
“Telah
hamba katakan tadi, lapangkan fikiranmu. Bergembiralah. Mungkin ia
akan membantu.” Lantas, Raja Madisar menepuk tangan dua kali.
Alatan
bunyian dimainkan. Paluan gong dan pukulan gendang saling bertingkah
mengikut rentak dengan alunan tiupan serunai dan seruling menjadi
halwa telinga. Irama yang indah merdu berkumandang mengisi ruang.
Seketika
kemudian, pintu di hadapan mereka terbuka. Tujuh orang gadis
berpakaian serba hijau berhias cantik bak puteri kayangan tujuh
bersaudara berbaris melangkah masuk perlahan mengikut irama lagu.
Kemunculan gadis yang berada di belakang sekali mengejutkan Bayu.
Puteri Ariasha! Jadi, inilah kejutan yang dikatakannya petang tadi.
Puteri
Ariasha melangkah terus ke hadapan enam gadis yang beratur
beriringan. Mereka menari penuh gemalai mengikut irama yang mendayu.
Kelancaran dan kelembutan gerak tari yang mengasyikkan. Bagaikan
langkah yang diatur terawang-awang di udara. Sesekali Puteri Ariasha
menjeling pada Bayu apabila ada kesempatan.
Bayu
merasakan dirinya di kayangan, dihiburkan bidadari-bidadari jelita.
Lama-kelamaan, lagu menjadi rancak. Begitu juga dengan gerak tari
yang dipersembahkan. Bayu sungguh terpesona. Ini kali pertama dirinya
menyaksikan persembahan tarian. Persoalan yang menghantui fikirannya
turut dilupakan. Tanpa disedari, kakinya terhentak-hentak
perlahan-lahan mengikut irama gendang.
Ratu
Falsiha pula menepuk-nepuk tangannya. Terhibur menyaksikan
persembahan puteri dan sahabat-sahabatnya. Raja Madisar menjeling
Bayu sambil tersenyum.
“Tarian
ini dinamakan Tari Rimbunan Hijau. Gerak tari yang diilhamkan
daripada pergerakan pohon-pohon yang ditiup angin. Sekarang
menggambarkan hutan semasa ribut,” bisik raja itu ke telinga Bayu.
“Patutlah
pergerakan tangan mereka bagaikan dahan-dahan yang ditiup angin,”
bisiknya kembali. Tiba-tiba, Bayu seakan-akan terkejut. Matanya bulat
terbuka luas. Perlahan-lahan dia menoleh memandang Raja Madisar.
“Jadi,
itulah jawapannya! Itulah rahsia yang tersirat!” Bayu separuh
menjerit.
Raja
Madisar mengangguk perlahan-lahan. Serentak itu, paluan gong penamat
berkumandang menandakan lagu sudah habis dimainkan. Persembahan telah
tamat. Gadis-gadis lain beratur keluar dari dewan penghadapan,
manakala Puteri Ariasha mendekatkan diri mendapatkan Bayu.
“Kenapa
perlu tuan hamba menjerit? Apa yang terjadi? Sumbangkah tarian
hamba?” tanya Puteri Ariasha kehairanan melihat sikap Bayu.
“Tidak!
Tarian tuan hamba memang sempurna! Mengasyikkan dan memberi ilham!
Tiada yang lebih sempurna daripada ini! Mari ikut hamba!” Lantas,
Bayu bangun menarik lengan baju Puteri Ariasha dan berlari turun ke
belakang istana.
“Kanda...”
Permaisuri Falsiha Rindu Gemawan tersenyum memandang suaminya.
Tetapi, senyumannya itu ada garis-garis resah yang merekah.
“Kita
sama-sama tahu, mereka sudah tidak dapat dipisahkan. Keadaan sudah
berubah. Kejadian yang lepas tidak akan berulang lagi, Insya-ALLAH!”
Raja Madisar cuba menenangkan ratunya. Mengulangi perkara yang
sentiasa disebutnya semenjak kedatangan Bayu Adi Jata ke Kampung
Kaswana.
“Tidak
kanda! Ancaman keris itu masih ada, sama seperti dahulu!” Senyum
Permaisuri Falsiha terus hilang bagai diragut.
“Tetapi,
keris itu sekarang sudah ada penunggunya. Ada pengawalnya, penghalang
kebangkitannya! Pasti ia bukan janji kosong!”
“Jika
begitu, kenapa mereka bertiga masih bernyawa? Malah, semakin jauh
keris itu dilarikan?”
“Kita
perlu menunggu dan bersabar. Kita perlu bersabar.” Raja Madisar
merenung jauh ke hadapan. Ingin dirinya memberi sinar harapan kepada
permaisurinya dan juga kaumnya. Tetapi, dirasakan hatinya begitu
kelam. Mungkin ada sinar baru yang akan menerangi hatinya dan
memayungi kaum Bunian dengan izin Azzawajalla. Mungkin pada dia,
waris baru Takluk Jagat dan Indera Bumi.
***
“TERNYATA
kejutan yang tuan hamba berikan tidak sia-sia!” jerit Bayu
kegirangan.
“Tuan
hamba sudah memahaminya.” Puteri Ariasha senyum membalas.
Jari-jemari runcingnya memintal-mintal hujung selendang.
“Benar!
Pucuk-pucuk yang menghala ke atas melambangkan pergerakan tangan,
manakala sebaliknya adalah pergerakan kaki! Pucuk yang berbunga
diibaratkan tangan yang mempertahan, manakala pucuk yang dua lapisan
adalah tangan yang menyerang. Pasti lapisan itu bermaksud serangan
yang dikuatkan Indera Bumi.”
Lalu,
Bayu mula berlatih berpandukan ukiran pada Indera Bumi. Walaupun
sumbang pada mulanya, tetapi lama-kelamaan dia dapat bersatu rentak
Seni Permainan Indera Bumi. Dengan bersemangat, Bayu Adi Jata
berlatih sehingga dinihari. Dan di sisinya, Puteri Ariasha setia
menunggu tanpa berganjak walaupun seinci. Biarpun disuruh naik ke
istana untuk berehat, namun dia tetap di situ. Setianya tidak akan
membiarkan Bayu basah ditimpa embunan pagi sendirian.
***
“BAGUS,
anakanda sudah dapat menjiwai Seni Permainan Indera Bumi,”
puji Raja Madisar selepas melihat Bayu mempersembahkannya. Mereka
bersama-sama turun ke taman istana setelah pulang daripada masjid.
“Tetapi
jauh dari sempurna. Cuba tuan uji keupayaannya pada batang kayu itu.”
Raja bunian itu menunjukkan setongkol kayu sebesar setengah pemeluk
yang telah disediakannya sebelum ini.
Tanpa
berlengah, Bayu terus mengatur nafas demi mengalirkan tenaga
dalamannya dan terus menyerang kayu itu dengan Seni Permainan
Indera Bumi yang baru dipelajarinya. Dia dapat merasakan Indera
Bumi seakan-akan bergetar dan tangan kanannya menetak-netak bagaikan
pedang, tetapi tiada sebarang kesakitan yang dirasai. Darah dalam
tubuhnya membuak-buak. Semangatnya menjulang. Tetapi, kawalan bukan
lagi dalam tangannya. Seakan-akan ada desakan halus dalam jiwanya.
‘Hancurkan
segala halangan!’
‘Jangan
ada belas. Hapuskan segala yang merentangimu!’
Bayu
Adi Jata sudah tidak dapat mengawal dirinya lagi dan serangannya
menjadi semakin pantas dan buas. Tumbukannya bagai guntur
menggegarkan bumi. Tetakan tangan kosongnya tajam bagaikan golok baru
diasah. Keadaannya seperti orang yang mengamuk; menggila pada
halangan di hadapannya. Tetapi langkahnya masih teratur, ada
penyusunan dalam geraknya walaupun kelihatan menggila. Bagaikan
taufan yang tanpa belas kasihan menghancurkan apa sahaja dalam
laluannya. Sehinggalah akhirnya, tongkol kayu itu hancur menjadi
serpihan-serpihan kecil barulah ‘keganasan’ dapat dihentikan.
Bayu
tercungap-cungap. Urat-urat merah bagaikan akar menjalar pada mata
putihnya. Peluh mencurah-curah membasahi tubuh. Sukar untuk percaya
apa yang baru dialaminya. Indera Bumi bagaikan telah ‘mengambil
alih’ tubuhnya. Itu adalah Seni Permainan Indera Bumi yang
sebenar. Pengalaman itu amat menakutkannya.
Beberapa
orang yang yang menyaksikannya membisu. Keluarga diraja bunian turut
diam terpaku. Raja Madisar sudah menemui sinar yang dicarinya. Sinar
yang sepatutnya menggembirakannya. Tetapi sebaliknya, dia berasa
sedih dan takut. Pendekar muda yang begitu lembut ini mungkin akan
berubah kerananya! Lebih menyedihkan apabila melihat wajah puterinya,
terkaku diam, pucat ketakutan. Apakah tindakannya ini benar? Apakah
dia terlalu mementingkan diri mendedahkan rahsia Indera Bumi kepada
pendekar muda ini?
“Hamba
bagaikan dirasuk. Hamba dapat rasakan hati hamba menjadi zalim.
Kezaliman yang akan menentang kekejaman! Api melawan api! Syaitan
akan menentang syaitan!” Bayu bertempik bagai orang yang hilang
akal, tanpa menghiraukan orang di sekelilingnya. “Indera Bumi ini
ibarat Penzalim yang Sunyi!”
“Bayu,
campaklah saja Indera Bumi itu! Ia akan membawa tuan hamba ke jalan
sesat nanti!” rayu Puteri Ariasha. Air matanya mula mengalir bak
mutiara terurai ke bumi.
Melihatnya,
hati Bayu tersentuh. Membawanya kembali semula ke ‘dunia’
sebenar. Dunia ‘khayalan’ Bunian. Dia sedar ada tanggungjawab
yang harus dipikul sebagai waris Indera Bumi. “Demi kesejahteraan
semua, bunian dan manusia di luar, hamba rela tenggelam dalam
kegelapan!”
Mendengar
kata-kata itu, sang puteri bunian menjadi hiba dan segera berlari
kepadanya. Lengan baju pendekar muda itu ditarik. Sang puteri lantas
merebahkan kepalanya ke lengan yang masih menggeletar itu.
“...kerana
hamba percaya, puteri pasti akan datang mencari jika hamba tersesat
jalan, meraba-raba dalam kegelapan.” Perlahan-lahan Bayu berbisik
ke telinga sang puteri.
Puteri
Ariasha mengangkat wajahnya memandang pendekar muda itu. Dia memaksa
dirinya untuk senyum, tetapi terasa begitu berat dan payah sekali.
Dirinya dirasakan tersepit di antara perasaannya dan keamanan kaumnya
serta manusia di luar. Dia tidak sanggup kehilangan pendekar muda itu
dan dia juga tidak sanggup melihat kemusnahan yang bakal berlaku.
Jawapan
ada pada Bayu. Jika Bayu mengabaikan Indera Bumi, kasihnya pasti
tidak akan terputus, tetapi kaumnya dan manusia pasti akan berdepan
dengan malapetaka yang dibawa Takluk Jagat. Jika Bayu memilih terus
berjuang bersama Indera Bumi, harapan semua orang pasti ada tetapi
pengakhirannya, Bayu mungkin bukan lagi insan seperti yang
dikenalinya.
“Kerana
cinta... segala rasa,
Tiada
kurnia sehebat ia,
Biar
lemas dilambung gelora,
Biar
hangus dibakar pawaka,
Terus
kekal ke hujung dunia,
Selagi
adanya cinta...”
Puteri
Ariasha merenung ke dalam mata Bayu. Begitu jernih dan
bersinar-sinar. Urat merah yang mengakari mata putihnya sudah hilang.
Pendekar muda itu sudah membuat keputusannya, jadi biarlah dia
menemaninya. Biar ke jurang yang paling dalam sekalipun. Seperti kata
bisikan yang dihembus ke telinganya, dia pasti mencarinya jika
tersesat, akan dibawanya pulang dari jurang kegelapan dengan sinar
cahaya kasihnya yang menerangi jiwa lelaki ini, Pendekar Bayu Adi
Jata!
***
MENTARI
sudah menampakkan dirinya, umpama tersenyum mengintai dari belakang
bukit bukau kehijauan. Burung-burung berterbangan berkicauan
bernyanyi-nyanyi memuji kebesaran sang Pencipta. Manusia-manusia kaum
bunian mula bertebaran ke segenap pelosok kampung, meraih rezeki yang
dijanjikan ALLAH.
Namun,
kemeriahan permulaan hari bagaikan tidak mengusik hati Bayu Adi Jata.
Semenjak selepas subuh, dia menyendiri, termenung di kaki tangga
istana Raja Madisar. Indera Bumi terletak elok di celah kakinya. Dan
matanya terus-terusan merenung pelindung lengan itu.
“Anakanda
Pendekar Bayu Adi Jata...” Raja Madisar perlahan-lahan menghampiri
Bayu setelah lama memerhatikannya. “...pilihan masih di tanganmu.
Maafkan kami kerana tanpa disedari, telah meletakkan beban yang
sebegini berat di pundakmu.”
“Tuanku.”
Bayu berpaling kepadanya. “Hamba tidak pernah bermaksud untuk
meninggalkan amanat datuk hamba. Juga tidak boleh membiarkan kaum
yang aman damai ini diancam bahaya. Cuma yang hamba bimbangkan,
keupayaan hamba,” jelasnya.
Raja
Madisar tersenyum sedikit. Dia menepuk bahu Bayu, tanda mengerti apa
yang bersarang dalam hati pendekar muda itu. “Sejak semalam, hamba
juga ligat berfikir. Dan akhirnya hamba sedar...”
Bulat
mata Bayu merenung ke anak mata raja bunian itu. Seakan-akan tidak
sabar mendengar patah bicaranya.
“... segalanya
atas niat. Anakanda memperjuangkan jalan yang baik. Indera Bumi ini
bukanlah hasil daripada ilmu syaitan mahupun sihir. Ia ada
kelebihannya. Mungkin layak dipanggil sakti. Walaupun anakanda
menggelarnya Penzalim yang Sunyi, namun ia bergantung kepada cara ia
digunakan.” Raja Madisar menunduk mengambil Indera Bumi dan
diletakkan di atas riba Bayu.
“Anakanda
adalah tuannya. Jangan biarkan ia mengawal anakanda. Perjalanan
mendatang adalah ujian bagi anakanda. Lepasinya dan tiada apa lagi
yang perlu anakanda takutkan. Tawakkal dan serahlah seluruh hati
nurani kepada Yang Maha Berkuasa. Ada bicara sang Pencipta dalam
kitab-NYA yang mengatakan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada
TUHAN semasa berusaha membuat kebaikan. Maka, dia akan beroleh pahala
dan dijauhi kebimbangan daripada berlaku kejadian yang tidak baik.
Mereka pula tidak akan berduka cita,” sambung raja itu lagi dengan
panjang lebar.
Bayu
tersenyum dan wajahnya beransur cerah. Bicara Raja Madisar bagaikan
hembusan angin yang membawa kegusaran hatinya berlalu pergi. Dalam
hatinya bertekad, dirinya perlu diteguhkan, beban yang dipikul perlu
dijunjung, setiap janji perlu dikota dan Ariasha, dia tidak akan
membiarkan ada lagi air matanya mengalir.
***
“HAMBA
tidak tahu apa yang bakal melintang di hadapan, setinggi mana gunung
terpaksa didaki, sederas mana jeram yang terpaksa diseberangi.”
Raja Madisar berhenti berbicara dan merenung mata Bayu Adi Jata
dalam-dalam sebelum menyambung, “Tetapi hamba tahu, setinggi-tinggi
gunung, tinggi lagi semangat anakanda, sekeras-keras waja, keras lagi
tekad anakanda. Kami sekalian mendoakan kejayaanmu.” Raja Madisar
menepuk-nepuk bahu Bayu dan bersalam dengannya.
Bayu
mencium tangan Raja Madisar dan seterusnya bersalaman dengan semua
penduduk Kampung Kaswana yang mengerumuninya di pintu gerbang.
“Pergilah
anakandaku, Bayu. Hari sudah semakin tinggi, nanti terlewat sampai,”
ucap Ratu Falsiha Rindu Gemawan ketika Bayu mencium tangannya.
Walaupun ratu bunian itu kurang berbicara dengannya, namun dirinya
dapat merasai kehangatan kasih sayang daripadanya. Dari sinar matanya
yang merenungnya lembut, mengalir panas turun ke hati, perasaan cinta
dan kasih selesa bagaikan renungan seorang ibu kepada anaknya.
Bayu
menjeling kepada Puteri Ariasha. Sang puteri tenang menunggu. “Apakah
boleh kita berangkat sekarang?” soalnya kepada sang puteri. Puteri
Ariasha menunduk perlahan sebagai membalas pertanyaan.
Si
pungguk tiba-tiba muncul dan terbang mendahului mereka dan hilang di
celah-celah pohon. Bayu tersenyum melihat kelibat burung itu.
Dirasakan burung itu bagaikan pengiringnya; sentiasa bersama ketika
dirinya menempuhi perjalanan. Sekarang dia sedar, si burung pungguk
adalah teman kepada sang puteri bunian. Menjadi mata dan telinga sang
puteri di rimba. Lambang kesaktian Puteri Ariasha Cinta Castra yang
dikurniakan ILAHI.
“Adinda
bersedia! Caranya adalah sama seperti pertemuan pertama kita di
pinggir hutan,” kata si puteri lantas menghulurkan hujung
selendangnya untuk dipegang Bayu dan membimbingnya. Angin mula
menderu, dirinya terasa bagaikan diangkat ke awanan.