SUNGGUH
syahdu. Sungguh pilu. Sungguh terguris.
Jika ini semua adalah satu mimpi, pastinya inilah mimpi paling buruk. Jika ini
adalah kenyataan, pastinya inilah kenyataan yang paling perit. Hampir pecah
pembuluh darah Zafia demi mendengar pengakuan dari Shahril.
“Memang abang sayangkan Fia. I’m really love you. Abang fikir abang
tak mungkin sukakan Sofiah. Abang rancang nak ceraikan dia lepas segala masalah
dah reda. Tapi lain pulak yang jadi. Bila dah jadi suami isteri ni, perasaan
abang jadi lain pada dia. Abang jatuh hati kat dia. Sekarang dalam hati abang
ada dua wanita. Ada Fia dan Sofiah.”
Kepala
Zafia tergeleng-geleng.
“Mana boleh abang sukakan perempuan
keji tu. Abang tau tak perempuan tu berhati busuk. Sejak dari sekolah lagi dia
jahat dan asyik timbulkan masalah dengan Fia. Jangan terpedaya dengan dia
bang.”
Entah-entah Shahril dan Sofiah telah
melakukan hubungan intim? Tak mungkin! Tak mungkin! Shahril tak mungkin sentuh
perempuan tu.
“Sebenarnya abang dah sennn....”
Bagaikan dapat mengagak apa yang
bakal disebutkan oleh Shahril, Zafia terus menutup telinganya.
“Fia tak nak dengar semua tu! Fia
tak nak dengar!” Jerit Zafia.
Tiba-tiba bahu Zafia digoncang
dengan lembut.
“Abang tak payah goncang bahu Fia.
Fia tetap tak nak dengar.” Herdik Zafia.
“Dik! Bangun dik!” Suara Shahril
berubah menjadi suara perempuan.
Mata Zafia terbuka perlahan-lahan.
Hampir putus jantungnya melihat ada kelibat perempuan berselubung putih sedang
duduk bersimpuh di sisinya.
“Dik, masjid ni dah nak dikunci
dalam 15 minit lagi. Tu sebabnya akak kejutkan adik.”
Oh, rupa-rupa perempuan berselubung
di hadapannya adalah salah seorang pengunjung yang menumpang rumah ALLAH untuk
mendirikan solat. Ingatkan siapa tadi.
“Terima kasih kak kejutkan saya.”
Zafia bangun dari pembaringan dengan rambut yang berserabai. Terlepas solat
maghrib. Keluh hati Zafia. Segera Zafia bangun untuk mengambil wuduk. Mahu
mengerjakan solat Isyak.
Selesai mendirikan solat. Zafia
segera mengemas barang-barangnya. Masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin.
Radio dipasang sebaik sahaja kereta keluar dari perkarangan masjid itu.
“Aduh, kat mana aku nak menginap
malam ni? Rasa macam malas pulak nak sewa hotel. Bukannya aku tahu sangat jalan
kat Kuala Lumpur ni.” Zafia menggaru-garu belakang kepalanya sambil sesekali
mengerling cermin pandang belakang. Kalau
boleh Zafia tidak mahu bergerak terlalu jauh dari agensi mencari jodoh itu.
Bimbang pergi jauh-jauh nanti tak jumpa pulak agensi tu bila perlu pergi ke
sana nanti.
Tiba-tiba mata Zafia terbuntang. Apa
kata aku call Azizah. Mintak tumpang
rumah dia.
Terus Zafia menekan nombor telefon
Azizah iaitu teman sepermainannya zaman kanak-kanak rebena dahulu.
“Helo, Assalamualaikum Azizah.”
Lembut sekali suara yang dilontarkan. Maklumlah nak menumpang rumah orang
kenalah bersopan santun.
“Hah, apa mimpi kau telefon aku
malam-malam ni? Waalaikumussalam.” Azizah seperti menyergah.
Zafia mengertap bibir. Orang
berlembut, dia main kasar pulak.
“Jijah, aku nak tumpang rumah kau
dua malam boleh? Aku ada kat Kuala Lumpur ni.” Tentang mendaftar di agensi cari
jodoh tu baik aku jangan cakap. Buat malu je. Cukup aku seorang je yang tahu.
Azizah seperti berfikir. Ini kerana
Azizah agak mengambil masa sebelum memberikan jawapan.
“Boleh tu boleh. Kebetulan suami aku
tak balik rumah dua hari ni. Cuma aku takut kau tak selesa. Anak aku ni ramai.
Kecik-kecik pulak tu. Takut kau rimas. Satu lagi rumah flat aku ni ada dua
bilik je. Satu bilik tu penuh dengan barang-barang. Yang satu lagi tu pulak
bilik aku. Kau kena tidur kat luarlah nanti. Sanggup?” Kening kiri Azizah
terjungkit bagaikan Zafia kini ada di hadapannya.
“Sanggup!” Dengan yakin Zafia
berkata.
ZAFIA
membuntuti kereta Proton Wira milik Azizah dengan berhati-hati. Nasib baiklah
Azizah masih baik seperti zaman kanak-kanak mereka dahulu, kalau tidak di mana
lagi Zafia ingin meminta pertolongan.
Zafia
menarik nafas panjang apabila kereta Azizah memasuki kawasan parking
yang sememangnya disediakan untuk penghuni rumah flat itu. Namun tarikan nafas
Zafia terhenti separuh jalan demi melihat keusangan bangunan yang berada di
hadapannya. Buruknya! Tak pernah tengok bangunan yang mengerikan macam ni.
Macam tempat memelihara hantu sahaja.
Kereta kancil miliknya memasuki
kawasan parking bersebelahan dengan kereta Azizah. Setelah itu Zafia
keluar dan melemparkan senyuman pada Azizah yang sedia menantinya. Senyuman
yang bermaksud, kenapa buruk sangat bangunan yang kau tinggal ni JiJah.
Harap-harap Azizah tidak mengerti maksud senyuman penuh keikhlasan miliknya
itu.
“Jom kita naik,” gamit Azizah. “Anak
aku tu bukan boleh ditinggalkan lama-lama. Bergaduh je memanjang.”
Setelah mengeluarkan beg sederhana
besar dari bonet keretanya, terus Zafia mengejar Azizah. Beg-beg pakaian yang
selebihnya dibiarkan sahaja di dalam kereta. Bukan nak bermalam lama pun rumah
Azizah ni. Dua malam je pun. Buat apa angkut segala bagai, buat penat je.
“Taaraa!!!” Dengan terujanya Azizah
berdiri di hadapan pintu rumahnya dan menjemput Zafia masuk. Kononnya nak bagi
kejutan macamlah rumahnya itu cantik sangat.
Zafia mengukirkan senyumannya ke
arah Azizah dan melangkah masuk. Baru sahaja selangkah menapak, terus kaku
kakinya. Beg di tangan terlepas.
Ya ALLAH, ini rumah ke atau Zoo
Negara Malaysia? Itulah perkara pertama yang terlintas di fikiran Zafia sebaik
sahaja melihat keadaan rumah Azizah dan kekotoran yang menyelaputi empat orang
anak Azizah. Anak yang kelima pula sedang merengek-rengek di atas katil bayi di
bucu dinding.
“Ya ALLAH, budak-budak ni kenapa
suka bikin ibu sakit kepala. Apasal main tepung ni. Ibu baru je kemaskan rumah
tiga hari yang lepas, sekarang kamu semua dah kotorkan balik rumah kita.”
Azizah terpekik bagaikan serigala jadian.
Tiga hari yang lepas? Bukankah rumah
ni kita kena kemas tiap-tiap hari. Fikir Zafia tanpa menilik dirinya sendiri
yang nyata lebih pengotor dari itu.
“Maafkan aku Fia. Macam nilah
perangai anak-anak aku. Kesian kau, sudahlah tengah penat. Tentu nak rehat.
Nati aku kemaskan ruang tamu ni. Lepas tu kau tidur ya.” Azizah mempamerkan
reaksi wajah bersalah.
Zafia tidak mampu berkata apa-apa. Namun tetap mengekori langkah Azizah masuk ke
dalam rumah flat itu.
Punggungnya dilabuhkan ke atas sofa
usang yang berselerak dengan baju yang tidak berlipat. Kiranya bukan anak-anak
sahaja yang suka menyepahkan rumah, emaknya pun sama sahaja.
“Akim, Alif, Asyikin, dan... errr.”
Azizah menggaru-garu kepalanya. “Apa dah nama anak aku yang sorang lagi ni.
Lupa pulak. Hah, Arman... kamu semua pergi salam dengan Mak Cik Zafia.”
Teruknya Azizah ni. Sampai nama anak
sendiri pun ada yang terlupa. Herdik Zafia di dalam hati tanpa sedar bahawa dia
hanya penumpang di sini sahaja.
“Mak cik, kita nak salam dengan mak
cik,” anak sulung Azizah yang berusia dalam lingkungan 7 tahun menghulurkan
tangan kepada Zafia.
Terus mata Zafia terbuka luas
apabila mendengar kanak-kanak itu memanggilnya mak cik macamlah Zafia ni sudah
tua sangat. Ehem! Zafia menggosok lehernya membetulkan kerongkong yang terasa
sempit sehingga sukar untuk bersuara. Zafia mengukirkan secakir senyuman untuk
menutup rasa terkejutnya. Pantas tangannya menyambut huluran dari Akim. Akim
mencium tangannya. Setelah itu adik-adik akan turut meniru perlakuan abangnya
itu.
“Bagusnya anak-anak kau Jijah.” Puji
Zafia namun tidak ikhlas.
“Eh biar betul kau ni.” Azizah
terkejut. Inilah kali pertama seorang kawan memuji anaknya bagus. Kawan-kawan
yang lain selalu cakap anak-anaknya nakal macam hantu. Azizah tidak kecil hati.
Anak-anaknya bukan macam hantu tetapi memang hantu.
“Malam ni kau akan tidur dengan
mereka kat ruang tamu,” ujar Azizah sambil menguap tanda mengantuk.
Zafia mengukirkan senyuman senang
sedangkan di dalam hatinya sudah bergelodak bagaikan dilanda tsunami. Zafia
memandang wajah anak-anak Azizah satu persatu. Semuanya lelaki. Seorang sahaja
perempuan. Lantas keluhan dilepaskan secara perlahan-lahan. Zafia mula berasa
menyesal kerana menumpang di rumah Azizah.
KELOPAK
mata Zafia bergerak-gerak apabila tidurnya terganggu. Perut Zafia terasa senak
dan kebas. Untuk mencelikkan matanya Zafia berasa sangat mengantuk. Perutnya
semakin senak bagaikan ada benda berat berada di atas perutnya. Dicelikkan juga
matanya. Kepalanya yang berada di atas bantal di angkat perlahan-lahan melihat
ke arah perut.
“Uh!!!” Bukan main terperanjat lagi
Zafia apabila melihat kepala Asyikin terlentok di atas perutnya.
Ternyata
Asyikin anak ketiga Azizah menjadikan perut Zafia sebagai bantal. Akim pula
sedang memeluknya, kaki Alif betul-betul berada disebelah pipinya dan Arman
pula berada dihujung kepala Zafia.
Dek kerana terlalu mengantuk, mata
Zafia kembali terpejam.
“ARGH!!!”
Kedengaran
jeritan yang membingitkan dari Zafia. Dia terus terbangun apabila seluruh
tubuhnya disimbah dengan sebaldi air.
“Ye!Ye!Ye! Mak cik dah bangun.”
Sorak anak-anak Azizah.
Terbeliak mata Zafia melihat
kenakalan anak-anak teman sepermainannya ini.
Kalau ikutkan hati Zafia yang panas
dan membara, mahu dicubit-cubit lengan anak-anak Azizah. Namun disabarkan hati.
“Mak cik, kain tuala kat sana.”
Tunjuk Akim ke arah meja.
Dengan wajah yang bengang Zafia
melangkah ke arah meja itu dalam keadaan basah kuyup. Setapak sahaja lagi
langkah Zafia ingin mendekati meja, kaki Zafia terpijak minyak masak yang sengaja
dicurahkan oleh mereka. Zafia jatuh terlentang. Kepalanya terhantuk pada
lantai.
“Aduh!” Zafia mengerang kesakitan.
Tangannya menekup bahagian terhantuk. Terasa ada cecair pekat yang melekit di
situ. “Ya ALLAH, darah.”
“FIA!
Tunggu
Fia!”Terkocoh-kocoh Azizah mengejar
Zafia yang bergerak laju menuju ke kawasan parking. “Fia! Nantilah
kejap. Aku dah penat kejar kau ni. Kasihan anak bongsu aku ni, kecik-kecik lagi
dah kena bawak berlari.”
Terus Zafia mematikan langkah.
Azizah sudah termengah-mengah
setibanya di hadapan Zafia. Fuh! Nasib baik baby
aku tak menangis.
Azizah menengok air liur sebaik
sahaja terpandang wajah Zafia yang garang seperti singa.
“Fia, aku minta maaf. Jomlah kita
sarapan sama-sama.”
“Sudahlah Jijah. Aku nak ucapkan
terima kasih banyak-banyak sebab tumpangkan aku.Tapi untuk patah balik ke rumah
kau, aku minta maaf. Mungkin ni last time
aku datang umah kau.” Tanpa memikirkan perasaan Azizah dia terus melepaskan
amarah.
“Kau basah kuyup ni Fia. Kepala kau
luka.” Azizah melahirkan kebimbangan. Sedikit pun tidak berkecil hati dengan
reaksi yang ditunjukkan oleh Zafia.
Zafia melihat ketubuhnya sendiri.
Basah kuyup. Mengenang peristiwa yang berlaku, sebaik sahaja Zafia terjatuh
akibat memijak minyak masak, dia terus mengemas barang-barangnya dan bergerak
pergi. Tudung yang dikenakan olehnya ini pun senget benget sahaja. Sakit
sungguh hatinya dengan kerenah anak-anak rakannya itu.
“Biarpun aku basah macam ni. Luka
kat kepala belum berbalut. Pun begitu aku takkan patah balik ke rumah kau. Bye.”
Terus Zafia menapak ke arah kereta kancilnya. Setelah mencampakkan beg ke
tempat duduk belakang Zafia bergerak ke pintu hadapan. Dibuka dan bersedia
untuk masuk.
“Nanti dulu.” Ada ketegasan dalam
suara Azizah.
Zafia tidak jadi untuk masuk.
Azizah sudah mendekati. Anak Azizah
mula merengek-rengek kecil mungkin sudah lapar.
“Bak dua puluh ringgit kat aku.
Harga sewa untuk semalaman.” Azizah menghulurkan tangannya. Ingat kau saja tahu
menyakitkan hati orang. Aku pun tahu jugak tau.
“K... kau... berani kau mintak
duit.” Zafia terbeliak. Terkejut sebenarnya. Lantas Zafia membuka tas tangannya
dan menghulurkan not dua puluh ringgit.
Sejurus selepas itu Zafia terus
memecut laju pergi dari situ.
PEMANDUAN
Zafia diganggu sakit pada bahagian kepala yang sangat mencengkam. Ya Allah, apakah ajal aku sudah tiba.
Janganlah kau ambil nyawaku. Sudahlah pagi tadi tak bangun sembahyang Subuh.
Zafia tidak sengaja. Malam tadi Zafia sukar untuk melelapkan mata. Pukul 3.30
pagi baru Zafia tertidur dengan sendirinya. Itu dalam keadaan tidak selesa
kerana anak-anak Azizah turut tidur berdekatan dengannya.
Tiba-tiba pandangan mata Zafia
berpinar-pinar. Kawalan sterengnya sudah tidak menentu. Keretanya bergerak ke
arah jalan bertentangan. Kebetulan pada masa yang sama terdapat sebuah kereta
menuju ke arahnya dengan laju. Zafia sedaya upaya menekan brek. Berdecit bunyi
tayar bergeser dengan jalan tar.
Pandangan Zafia terus gelap gelita
bagaikan sebuah gua tanpa cahaya.