Home Novel Cinta KATA TAK RINDU
KATA TAK RINDU
SITI NUR DHUHA
23/1/2013 00:47:40
50,410
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
KATA TAK RINDU (BAB 1)

AIR mata jatuh lagi. Tidak putus-putus. Mengalir penuh sengsara. Lahir dari luka di hati yang sangat dalam. Inilah kali pertama Siti Zafia menyayangi seorang lelaki melebihi nyawanya sendiri, namun akhirnya lelaki itu juga yang mengecewakannya.

Benarlah seperti kata sahabat karibnya Hasila, dia tidak ubah bagaikan perempuan gila talak kini. Hampir setiap masa Siti Zafia merintih dan menangis setelah mengetahui Shahril bakal berkahwin dengan pilihan keluarganya. Tindakan Shahril yang memutuskan hubungan mereka semudah itu kerana akur dengan desakan ibunya membuatkan Siti Zafia merana.

“Sudah-sudahlah tu. Kau menangis sampai bumi terbelah empat belas pun dah tak boleh nak ubah apa-apa. Aril tu pukul 2.00 petang kejap lagi akan diijab kabulkan di masjid. Kau doakanlah kebahagiaan dia dengan bakal isteri dia tu.” Nasihat Hasila sambil melirik ke arah sahabatnya yang sedang mengongoi menangis macam orang kurang siuman.

“Aril tu... isk... isk... isk... pakwe aku Sila. Satu-satunya lelaki yang nak kat aku atas dunia ni. Satu-satunya lelaki yang mengambil berat pasal aku, sayang aku, cinta aku, dan aku bahagia hidup dengan dia. Sampainya hati mak Aril tu cari calon lain untuk anak dia. Isk... isk... isk...” sedunya berpanjangan.

Hasila tergeleng-geleng melihat hingus yang keluar dengan banyaknya. Langsung tidak dikesat oleh Zafia.

“Aku akan mati Sila. Aku akan mati jika Aril berkahwin dengan orang lain. Aku akan... isk... isk... isk... akan mati.”

Cuba bayangkan apakah rasa hati anda, apabila kehilangan seseorang yang terlalu penting dalam hidup anda dalam sekelip mata. Seseorang yang telah berjanji untuk hidup bersama-sama dengan anda dunia dan akhirat. Mengayam bahagia untuk hidup berumah tangga dengan aman dan bahagia. Mendapatkan zuriat. Malah anda telah merancang nama-nama setiap anak anda yang bakal lahir ke dunia sebelum diijad kabulkan lagi. Cuba bayangkan apabila impian dan angan-angan anda itu musnah dalam sekelip mata. Betapa sakitnya perasaan itu. Betapa sakitnya bila impian yang anda kongsikan dengannya selama bertahun-tahun kini bakal dikongsikan dengan wanita lain.

Hasila yang pada awalnya bereaksi tenang kini menyapu sebutir air mata yang mengalir. Kasihan Zafia. Selama lima tahun Hasila menjadi pendengar setia kisah cinta Zafia dan Shahril. Seorang lelaki yang sangat memuja Zafia suatu ketika dahulu. Sanggup berkorban apa sahaja. Sehinggakan kadangkala Hasila sendiri berasa sangat cemburu dengan layanan baik Shahril kepada Zafia. Beruntung Zafia kerana dipertemukan dengan lelaki seperti itu. Tetapi kini Shahril jualah yang menjadi racun yang sangat berbisa buat sahabatnya.

“Ini takdir ALLAH Fia! Ini takdir yang telah tertulis di Loh Mahfuz lagi. Shahril bukan dilahirkan ke dunia untuk menjadi peneman hidup kau. Aril bukan jodoh kau. Kau kena redha.” Kedua tangan naik ke bahu Zafia. “Tolonglah bersabar Fia. Ingat ALLAH, ingat Rasul.” Ceramah Hasila yang berambut colourperang dan mengenakan skirt separas lutut itu.

Katalah apa sahaja. Ucapkanlah apa pun. Tiada apa yang mampu mengubat hatinya kini. Tidak sanggup rasanya membayangkan sebentar sahaja lagi Shahril akan melafazkan akad nikah untuk berkahwin dengan Sofiah.

Sofiah adalah teman satu sekolahnya dahulu. Mereka berdua bermusuhan sejak kali pertama mengenali antara satu sama lain lagi. Kini musuhnya itulah yang akan menyandang gelaran isteri kepada Shahril.

“Abang...” Zafia menekup tangannya ke muka dan mengongoi lagi.

Hasila menghembuskan nafas sedikit kuat sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. Apa hendak jadi dengan Zafia pun dia tidak tahu.

“Aku nak halang perkahwinan tu!” Tangan dijatuhkan dari muka. Zafia bersuara tegas dengan mata membulat.

“Apa?” Hasila bagaikan tidak percaya. “Kau jangan nak merepek. Jangan nak buat kecoh Zafia. Fikir sikit, kalau Aril tu betul-betul setia dengan kau, dia tak akan terima perempuan lain. Jangan bertindak ikut perasaan.” Hasila kenal dengan perangai Zafia. Jika dia cakap, dia akan buat. Zafia bukan jenis yang cakap kosong.

“Aril dipaksa. Kau faham tak.” Semacam mahu dicekiknya Hasila kerana memburukkan Shahril. “Kau teman aku ke Masjid Puteh sekarang.” Tangan Hasila dipegang dan diheret keluar dari biliknya.

Masjid Puteh adalah sebuah masjid yang terletak di Kuala Terengganu. Siti Zafia adalah anak jati Kelantan yang bekerja sebagai peyambut tetamu di sebuah hotel. Manakala Hasila pula bekerja sebagai pegawai bank. Shahril pula berasal dari Kuala Terengganu dan bekerja sebagai kontraktor.

Mahu atau tidak Hasila terpaksa menurut memandangkan tubuhnya diheret semacam mengheret guni sampah sahaja. Keluar daripada rumah sewa Hasila ditolak masuk ke dalam kereta kancil berwarna hijau milik Zafia. Zafia duduk di tempat pemandu. Menghidupkan enjin. Dengan lagak ganas mengundurkan keretanya keluar dari pagar rumah. Kereta terus dipecut laju. 10 minit lagi waktu akan berganjak ke pukul 2.00 petang.

“Dah terlambat Fia. Dah ter....”

“Kau diam!”

Hasila menaikkan tangannya ke mulut dan mengepitkan muncung mulutnya dengan jari. Isyarat mahu berdiam diri seperti yang diperintahkan oleh Zafia.

“Aku rasa baik kita patah bal...” Dalam keadaan mengepit mulutnya pun Hasila masih mahu berkata-kata.

“Aku kata kau diam, kau diamlah!”

Pantas Hasila menjatuhkan tangannya dari mulut dengan lagak merajuk.

“Okey! Okey! Aku diam.”

“Hu... hu... hu...” Zafia menyambung tangisannya yang terhenti sewaktu mengheret Hasila keluar dari rumah. “Abang... abang sabar ya. Sayang pergi selamatkan abang dari berkahwin dengan perempuan yang abang tak sayang. Abang tunggu ya.” Zafia berbicara bagaikan Shahril ada di hadapan matanya.

Uwek! Hasila menahan muntah melihat telatah Zafia itu. Hasila sudah mula membenci lelaki bernama Shahril itu. Lelaki yang tak ada pendirian hidup. Mudah mengalah dengan desakan keluarga sedangkan diri sudah mempunyai kekasih hati. I hate you Aril. I hate you! Bentak Hasila. Rasa marah kerana teman baiknya kini merana kerana lelaki seperti itu.

Setibanya di Masjid Puteh itu, terus kereta kancilnya di parking. Pada masa yang sama juga Shahril yang lengkap berbaju melayu sedang berjalan beriringan dengan Sofiah yang turut mengenakan pakaian yang senada dengan Shahril. Berpegangan tangan. Shahril dilihat tersenyum bahagia. Begitu juga Sofiah. Hancur luluh hati Zafia. Hancur sehancur hancurnya.

“Dia... dia senyum.” Hasila tergagap-gagap. “Kenapa dia senyum? Bukan ke dia sepatutnya bermuka sedih?” Hasila sudah berkerut dahi. Memandang pengantin yang baru sahaja dinikahkan itu nampaknya sungguh bahagia. Zafia kata Shahril kena paksa kahwin. Kalau kena paksa kenapa tersenyum lebar mengalahkan kucing jantan yang sedang miang.

Hasila menoleh ke sebelah. Nampak Zafia bagaikan terpegun di tempat duduknya. Hasila melihat jam pada tangannya, sudah pukul 2.20 petang. Zafia telah terlambat untuk menghalang perkahwinan teman lelakinya. Zafia telah kehilangan cinta hatinya buat selama-lamanya. Yang paling perit, teman lelakinya kini kelihatan sangat bahagia dengan perkahwinan itu.

LAMA Zafia berteleku di hadapan laptop. Melihat laman facebook yang memamparkan gambar-gambar perkahwinan Sharil dan Sofiah. Shahril telah remove Zafia daripada menjadi rakan facebooknya, kini Zafia menatap gambar perkahwinan itu melalui facebook Sofiah yang sengaja publish kan setiap gambar yang dimuat turun olehnya.

Sedihnya...

Zafia sudah berasa ingin menangis kembali. Namun tidak jadi menangis apabila laju sahaja fikirannya teringatkan perbualannya dengan Lisda.

“Aku kenal laki aku melalui Agensi Jodoh & Kahwin atau lebih mudah lagi agensi mencari jodoh.”

Itulah ucapan Lisda. Satu ucapan yang membuatkan mata Zafia terbeliak seperti terkena sawan. Eii, jijiknya mencari pasangan melalui cara itu. Macam perempuan yang tak laku je. Nasib baiklah aku ada abang Shahril yang sangat menyayangi aku. Tak naklah jadi macam Lisda. Itulah yang terlintas di fikiran Zafia saat Lisda memberitahu bagaimana dia berkenalan dengan suaminya.

Demi menjaga hati Lisda, Zafia hanya menayangkan wajah tenang. Wajah yang sama sekali tidak sama dengan apa yang terdetik di hatinya.

“Dalam masa satu bulan kami terus berkahwin.”

Terus Zafia terlongo.

“Satu... satu bulan terus kahwin. Bi... biar betul. Hebatnya agensi tu.” Zafia kagum. Perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main. Perkahwinan adalah perkongsian hidup. Bagaimana Lisda boleh berkongsi segalanya dengan lelaki yang baru dikenali.

Dengan senyuman Lisda mengangguk.

“Kau bahagia?” tanya Zafia dengan penuh syak wasangka pula. Pasti tak bahagia. Yalah, kahwin pun bukan main cepat lagi. Lainlah aku dengan Shahril kelak, tentu bahagia. Sedangkan dalam proses percintaan pun Shahril bukan main romantik dan ambil berat lagi. Inikan pula lepas dah bernikah.

Lisda mengangguk dengan yakin. Macam ada spring dalam kepalanya.

“Aku bahagia. Siap ada tiga orang anak lagi sekarang ni. Aku memang tak menyesal cari pasangan ideal aku melalui agensi ni.”

“Orang lain yang daftar dengan agensi ni semuanya hidup bahagia ke lepas kahwin?” Was-was sungguh aku. Macam mana boleh bahagia semudah itu?

“Entah, aku pun tak tahu. Tapi setakat ni bila aku bukan facebook agensi tu. Kebanyakkan komen positif. Kau cubalah daftar sama Zafia, mana tahu kau jumpa jodoh kau melalui cara ni.” Cadang Lisda.

“Eii, apa kelas cari jodoh macam ni. Macam terdesak je. Tak naklah, lagipun aku dah ada teman lelaki.” Tanpa sedar Zafia meluahkan kata-kata itu.

Lisda menarik muka masam. Terasa hati.

Perbualan panjang lebar di antaranya dan Lisda berlalu pergi. Ya, kini aku memang sangat terdesak. Terdesak untuk mengubat kesedihan aku. Terdesak untuk membalas dendam terhadap Shahril. Aku mahu berkahwin. Aku mahu bahagia. Aku mahu buktikan pada Shahril bahawa aku boleh hidup lebih bahagia berbanding kehidupannya dengan Sofiah.

Laju sahaja jari-jemarinya menaip nama Agensi Jodoh & Kahwin di laman facebook. Hah, jumpa pun. Wow! Banyaknya yang like. Sampai seratus ribu. Nampak gayanya ramai rakyat malaysia yang tidak laku sehingga terpaksa menggunakan cara ini untuk mencari pasangan hidup. Dan kini aku bakal termasuk dalam golongan itu. Pantas Zafia klik like. Kini Zafia salah seorang warga costumeragensi mencari jodoh itu.

Buku nota kecilnya dibuka. Dicatat alamat yang diambil pada laman facebook itu. Agensi itu berada di Kuala Lumpur. Jauhnya. Zafia berasa kecewa. Mungkin mendaftar dengan agensi mencari jodoh ni bukan satu tindakan yang bijak kot. Batalkan jelah. Satu keluhan dilepaskan.

Malam ini adalah malam pertama bagi Shahril dan Sofiah. Oh Tuhan. Ya ALLAH. Sedihnya. Air mata bercucuran gugur lagi. Kejamnya mereka berdua memperlakukan aku begitu. Semoga rumah tangga mereka porak peranda. Tak dapat zuriat. Bercerai berai. Zafia sudah mendoakan yang buruk-buruk untuk mereka berdua.

Tak boleh jadi ni. Aku mesti pergi ke Kuala Lumpur. Aku mesti memulakan hidup baru. Aku mesti mendaftar di agensi tu.

Microsoft Word dibuka. Laju sahaja tangannya menaip surat perletakan jawatan. Zafia akan berhenti kerja. Nekad tidak akan menjejakkan kakinya ke Kuala Terengganu sampai bila-bila.

Semalaman itu Zafia tidak dapat tidur. Tidak sanggup memejamkan matanya walaupun sepicing. Apa yang sedang Shahril dan Sofiah buat sekarang. Minda Zafia sudah membayangkan perkara yang bukan-bukan. Tidak! Tidak! Tidak!

Tangkas tangannya mendail nombor telefon Shahril yang telah di delate namun masih diingati nombornya. Peduli apa jika itu adalah malam pertama mereka. Persetankan semua itu. Beberapa ketika talian bersambut.

“Abang...” Zafia terus menghamburkan esakannya sebaik sahaja suara Shahril kedengaran. “Kenapa buat Fia macam ni? Fia sedih abang. Fia rasa nak mati.”

“Sayang...” Kedengaran suara Shahril lembut menyeru namanya. “Maafkan abang Fia. Abang rindu Fia. Fia tak apa-apa ke sayang?”

Kelembutan Shahril melayannya sebegitulah yang membuatkan Zafia sukar melepaskan Shahril. Zafia semakin tidak sanggup untuk kehilangan Shahril apatah lagi mengharungi kehidupan ini tanpa Shahril.

“Fia derita abang. Fia sedih sangat. Tadi Fia buka facebook, abang dah remove Fia. Abang permainkan Fia dengan berkahwin dengan perempuan tu. Sampai hati abang. Tergamaknya abang buat Fia macam ni lepas abang dah janji macam-macam dengan Fia dulu.”

“Abang terpaksa kahwin Fia. Abang pun derita macam Fia. Bukan abang remove Fia dari facebook abang, tapi Sofiah yang buat. Dia yang remove Fia sayang.” Shahril sedaya upaya cuba menyakinkan Zafia.

“Sayanggg... siapa tu?” kedengaran suara seorang perempuan merengek manja. “Ayang dah siap mandi ni.”

Zafia kenal suara itu. Suara Sofiah. Terkejung tubuh Zafia. Tidak sanggup memikirkan Shahril kini berdua-duaan dengan Sofiah. Kalaulah masa boleh diundur kembali. Tentu sahaja Zafia akan bunuh Sofiah sebelum wanita itu sah menjadi isteri Shahril.

“Fia, abang terpaksa pergi. Rasanya abang ada dengar suara kakak abang panggil. Abang kena pergi sekarang. Fia jaga diri ya. I love you Fia.”

Talian terus dimatikan oleh Shahril.

“Abang! Tunggu dulu. Abang!” Namun hampa. Kini tiada lagi suara Shahril di hujung talian. Shahril menipunya hidup-hidup. Suara Sofiah dikatakan sebagai suara kakaknya.

Zafia mendail nombor Shahril kembali. Namun malangnya talian tidak dapat disambungkan. Menandakan Shahril telah menutup telefon. Ah, mungkin juga Sofiah yang telah menutup telefon milik Shahril.

Zafia menekan dadanya yang sakit. Malam itu dia langsung tidak dapat tidur. Hanya mampu menangisi kehilangan Shahril tanpa mampu memejamkan mata walau sepicing. Aku lebih rela insan yang aku sayangi mati daripada aku dikhianati begini. Jika dia mati, aku pasti akan sedih, tetapi aku lebih sedih lagi jika dia bersama perempuan lain. Kenapa Shahril masih ucapkan dia cinta pada aku? Kenapa Shahril tidak menasihati aku agar melupakannya? Kenapa Shahril memerangkap aku dalam cintanya yang tak mampu aku miliki? Kenapa?

PUKUL 7.00 pagi Hasila terjaga daripada tidurnya yang nyenyak. Hari ini dia masih dalam cuti. Bantal peluk didakap erat. Selalunya hari cuti begitu Hasila akan bangun pukul 12.00 tengah hari. Entah kenapa hari ini awal pula dia terjaga. Mungkin resah memikirkan keadaan Zafia yang kronik setelah Shahril berkahwin dengan Sofiah. Semalam Zafia pengsan di dalam kereta setelah beberapa ketika menyaksikan senyuman kebahagiaan yang terpancar di wajah Shahril dan Sofiah. Bersusah payah Hasila mengalihkan Zafia ke tempat duduk sebelah dan memandu pulang ke rumah.

Sampai sahaja di rumah, Zafia terjaga dari pengsannya. Terus melayan rasa sedihnya yang tidak bertepi. Hasila tidak mampu mengucapkan kata-kata nasihat seperti selalu. Hasila bagaikan menjadi bisu melihat kedukaan yang tergambar pada wajah Zafia. Di dalam biliknya Zafia menangis meraung-raung.

Sabahatku, aku mengerti deritamu...

Hasila turun dari katil dengan baju tidur berwarna pink kegemarannya itu. Menapak ke bilik Zafia. Lantas telinganya dilekapkan pada pintu. Tidak kedengaran apa-apa bunyi. Masih tidur ke? Ah, apa yang nak dihairankan jika Zafia tidur. Zafia lagi dasyat darinya. Kalau membuta, dari malam sampai ke petang pun Zafia tak kisah.

Tuk! Tuk! Tuk!

Pintu bilik Zafia diketuk bertalu-talu. Hasila perlu pastikan keadaan Zafia. Masih hidup atau tak. Bukan apa, orang yang terkena tekanan perasaan tahap kritikal seperti itu mungkin sahaja melakukan perkara-perkara yang tidak normal.

“Fia... Fia... Kau bangun belum?”

Senyap. Tiada jawapan.

“Fia, jawablah. Selepas kau jawab, aku promise tak kacau kau tidur. Kau okey ke ni?” Hasila sudah bereaksi bimbang.

Tuk! Tuk!! Tuk!!!

Makin kuat pintu bilik Zafia dibalunnya.

“Fia, kau jangan bunuh diri Fia. Berdosa Fia. Tak bau syurga nanti. Baik kau buka pintu ni. Kau dengar tak aku cakap ni. Karang aku pecahkan pintu bilik kau ni.” Hasila sudah mencapai sebatang penyapu dan mengetuk-ngetuk pintu bilik Zafia lagaknya seperti orang mahu bergaduh.

Tetap senyap.

“Ya Allah Fia, tolonglah jangan takutkan aku.” Hasila sudah cemas. Tombol pintu dipulas. Tidak berkunci. Selamat, tak perlulah aku pecahkan pintu ni macam yang aku cakapkan.

Terus Hasila melangkah masuk ke dalam bilik Zafia yang macam tongkang pecah. Ditarik selimut tebal yang selalu digunakan oleh Zafia. Gadis itu tiada. Yang ada hanyalah bantal peluk. Hasila sudah cemas.

“Fia, mana kau pergi ni? Ya ALLAH, apa aku kena buat ni.” Hasila memegang kepalanya. Kini yang terbayang difikirannya Zafia memanjat tangga kecemasan hotel sehingga ke bumbung. Berdiri dipinggirnya dan terjun.

“Tidak!!!” Pekik Hasila persis orang kurang siuman.

Dalam kekalutan perasaan itu Hasila ternampak sepucuk surat di atas meja kecil disebelah katil. Dengan rakus surat itu diambil dan dikoyak sampulnya.

Assalamualaikum Sila,

Aku mohon maaf tidak membincangkan perkara ini dengan kau terlebih dahulu. Tepat pada pukul 4.00 pagi, aku dah buat satu keputusan untuk hidup aku. Aku akan berhijrah ke Kuala Lumpur. Aku mahu cari kebahagiaan di sana. Aku mahu cari pasangan yang lebih baik dari Shahril. Aku mahu ubati kelukaan aku. Tolong serahkan surat perletakkan jawatan aku. Ada dalam pendrive atas meja solek tu. Kau tolong print kan boleh?

Salam sayang dari Zafia, take care Hasila.

Hasila memandang bait-bait tulisan itu dengan mata yang terbeliak. Lima kali diulang baca.

“Bi... biar betul. Di.. dia ke Kuala Lumpur. Dia pergi pukul 4.00 pagi. 4.00 pagi! Ya ALLAH, dia bertolak pukul 4.00 pagi. Memang Zafia ni betul-betul dah tak waras.” Hasila tergagap-gagap. Tidak percaya. Zafia sanggup bertindak senekad itu. Dalam sekelip mata dia boleh buat keputusan yang macam ni.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SITI NUR DHUHA