AGENSI
Jodoh & Kahwin beroperasi tujuh hari seminggu. Dari pukul 10.00 pagi
sehingga pukul 10.00 malam. Berdasarkan alamat yang diberikan melalui laman facebook,
tidak sukar untuk mencarinya. Tambahan pula dibantu oleh penduduk Kuala Lumpur
yang tidak lokek memberikan maklumat apabila bantuan diminta memudahkan lagi
urusan Zafia.
Kini Zafia sedang duduk di atas
kerusi empuk di dalam sebuah pejabat. Wajahnya pucat. Tudungnya senget benget.
Lesu, letih. Sepatutnya Zafia berehat dulu di mana-mana setelah tiba di Kuala
Lumpur. Perjalanan yang mengambil masa selama 7 jam itu sangat memenatkan.
Namun Zafia tidak ada masa untuk itu, dia terus ke Agensi Jodoh & Kahwin
untuk segera menyelesaikan masalahnya.
Safuan memandang lama wanita yang
tertunduk lesu di hadapannya. Was-was pun ada melihat keadaan wanita itu. Tentu
sahaja setiap yang sampai ke mejanya adalah terdiri daripada orang yang mahukan
teman hidup. Tetapi yuran yang perlu dibayar agak mahal. Mampukah wanita yang
berada di hadapannya itu membayar wang seperti yang diperuntukkan oleh
syarikatnya.
Interkom ditekan.
“Zilawati, bawa cik ni keluar. Saya
tak fikir dia orang yang sesuai untuk mendaftar di sini.”
Segera Zafia mengangkat wajahnya.
Tersentak.
“Kenapa encik nak halau saya?”
Terpacul pertanyaan itu tanpa dapat ditahan-tahan.
Safuan melepaskan keluhan.
“Macam nilah. Sebelum setiausaha
saya bawa cik keluar, saya akan terangkan serba sedikit berkenaan beberapa
perkara. Terutama sekali tentang harga yuran pendaftaran.” Sejurus selepas itu
Safuan terus memberitahu nilai yang sangat mengejutkan Zafia.
“Hah?” Zafia terpekik. “Ke... kenapa
dalam facebook tak ada tulis pun kena bayar sebanyak tu? Encik mesti
sedang berguraukan? Hahaha... tak kelakar pun encik... hahaha.” Dihujung
bicaranya Zafia cuba ketawa olok-olok.
“Tak, saya tak bergurau. Ini
serius.” Safuan memandang tepat mata Zafia.
“Apa?” Mahalnya. Macam nak mati aku
dengar jumlah tu.
“Sebab tulah saya panggil setiausaha
saya supaya bawa cik keluar. Saya tahu cik tak mampu.” Safuan memandang
setiausahanya yang tercegat di muka pintu. “Zilawati, tolong iringi cik ni
keluar ya.”
“Eh, siapa cakap saya tak mampu.
Saya mampulah.” Meluncur laju kata-kata itu. Rasa tercabar dan terhina apabila
Safuan dapat menganggak keadaan kewangannya dengan hanya memandang wajahnya
sahaja. Sungguh kejam lelaki ini. Huh!
“Okeylah Zila, awak keluar dulu.
Kalau saya perlukan awak. Saya panggil awak lagi.”
Zilawati mengangguk dan melangkah
keluar.
Dengan mulut muncung Zafia memandang
lelaki muda dihadapannya itu. Geram masih belum hilang lagi.
“Nak pinjam calculator tu
boleh?” tanya Zafia sambil menunjuk ke arah calculatorjenama casio
yang berada di atas meja Safuan.
Safuan menghulurkan calculator
itu kepada Zafia.
“Kejap ya, saya nak kira duit dalam
akaun saya kejap.” Handbagnya diselongkar. Dikeluarkan tiga buah buku
akaun. Alhamdulillah, nampak gayanya aku masih mampu bayar duit pendaftaran.
Tak sia-sia aku menabung selama ini.
Duit
itu adalah simpanan Zafia sejak dari alam sekolah menengah lagi sehinggalah
kini usianya 26 tahun.
“Saya nak daftar di agensi ni. Saya
sedia membayar jumlah yang encik minta tu.” Dengan yakin Zafia berkata.
Safuan terus mengukirkan senyuman.
Betullah cakap orang, jangan nilai sesuatu melalui kulit luarnya. Gadis
dihadapannya itu nampak je macam tak ada duit, tetapi salah sangkaannya.
“Dah fikir masak-masak?”
Zafia menangguk penuh yakin.
“Saya dah fikir lebih dari perkataan
‘masak-masak’ tu sendiri.” Demi balas dendam pada Shahril. Demi mencari teman
hidup dengan cara yang paling mudah. Demi mengapai bahagia seperti Lisda. Zafia
sanggup menjilat ludahnya kembali. Dahulu Zafia memandang sinis pada Lisda
kerana mencari jodoh melalui cara itu. Sekarang Zafia terpaksa menelan pahitnya
kata-katanya dahulu.
“Kalau macam tu Cik Zafia boleh ikut
saya sekarang,” Safuan bangun berdiri. Bergerak ke arah pintu pejabatnya.
Terkocoh-kocoh Zafia mengikut dari
belakang.
Setibanya di sebuah bilik yang agak
terpencil, Zafia dijemput masuk ke dalam. Bilik yang sangat mewah dengan set
sofa buatan Jerman. Meja kerja dari kayu jati. Serta kerusi berkulit yang
sangat empuk apabila melabuhkan punggung.
“Hebatnya.” Zafia terlongo.
Safuan ketawa kecil melihat reaksi
Zafia yang begitu teruja.
“Jemput duduk Cik Zafia.”
Zafia terus mengukirkan senyuman.
Segan pula nak duduk atas kerusi mahal macam ni. Oleh kerana tidak sabar untuk
tahu perkara yang selanjutnya, Zafia cepat-cepat duduk.
“Sekarang ni saya nak Cik Zafia
ceritakan pada saya tentang diri Cik Zafia.”
Zafia melihat Safuan menekan tetikus
pada laptop. Mungkin bersedia untuk mengisi maklumat dirinya yang bakal
diberitahu sebentar sahaja lagi.
“Nama penuh saya Siti Zafia binti
Ahmad. Saya berusia 26 tahun. Lahir pada 31 Januari 1986. Saya berasal dari
Kampung Jeram Pasir Puteh Kelantan. Anak bongsu daripada 5 beradik...” serta
merta wajah kakak dan abangnya terbayang ditubir mata. Mampus aku kalau mereka
semua tahu yang aku mendaftar di Agensi Jodoh & Kahwin ni. “... err, apa
lagi ya. Saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram.”
Laju tangan Sufian menaip maklumat
itu.
“Pengalaman kerja?”
Aduh, inilah topik yang paling aku
benci sekali. Paling tak suka apabila terpaksa bercerita tentang pekerjaan.
Satu keluhan dilepaskan.
“Kalau tak cerita pasal kerja boleh
tak. Saya rasa tak penting kot.”
“Penting Cik Zafia. Sangat penting.
Setiap maklumat yang awak berikan sangat berguna untuk mencari pasangan yang
ideal untuk awak.”
“Saya hmm... saya...” Zafia serba
salah.
“Tak apa, awak jangan malu.” Safuan
cuba melegakan perasaan Zafia.
“Kerja pertama, saya jual burger.
Tapi bisnes ni untungnya kecil. Lepas tu saya kerja jadi tukang urut. Tapi awak
jangan fikir yang bukan-bukan tau. Saya urut orang perempuan je. Kerja kat
kampung. Lagipun mak saya tukang urut. Lepas tu kerja terakhir saya jadi
penyambut tetamu di Hotel Mildtown Kuala Terengganu. Lamalah juga, dalam 3
tahun kerja kat situ. Selain tu saya ada buat part time tulis cerpen dan
tulis buku kanak-kanak. Kalau Encik Sufuan ada anak, bolehlah cari buku yang
saya tulis tu. Tajuknya Si Comot Kucing Yang Nakal. Dapatlah royalti sikit.
Hehehe...” Dihujung bicaranya Zafia tersengih-sengih. Termalu dengan tajuk
cerita yang ditulisnya sendiri.
Safuan terangguk-angguk. Turut
tersengih. Tak sangka perempuan di hadapannya pernah menjadi penjual burger dan
tukang urut. Malah memiliki bakat menulis buku kanan-kanak.
“Apa yang membuatkan Cik Zafia
mendaftar di agensi kami, iaitu Agensi Jodoh & Kahwin ni. Mungkin ada satu
peristiwa yang telah berlaku yang menyebabkan Cik Zafia datang ke sini.”
Laa, kena cerita juga ke pasal semua
ni. Hish! Tak naklah aku cerita. Buat aku sedih je. Kalau aku tipu boleh?
Maksudnya aku reka cerita lain.
“Saya nak dengar kisah sebenar ya
Cik Zafia. Tak mau tipu-tipu.” Safuan bagaikan dapat membaca fikiran Zafia.
Kerutan yang hebat pada dahi Zafia bagaikan sedang mencari idea untuk mereka
cerita yang lain. Safuan sudah biasa berdepan dengan pelbagai ragam pelanggan.
Jadi tidak sukar untuk dia membaca fikiran Zafia.
Alamak, dia tahulah niat aku.
Zafia mengetap bibir. Buat seketika
Zafia bagaikan terlupa kepenatan dirinya yang masih belum melelapkan mata
sedari semalam.
“Sukar untuk saya ceritakan semua ni
Encik Safuan...” air mata mula bergenang di tubir mata. Senyuman Shahril dan
kebahagiaan di wajah Sofiah terbayang-bayang. Bagaimanakah keadaan malam
pertama mereka semalam. Indahkah? Burukkah? Ya ALLAH... tak sanggup aku
membayangkannya. Terus Zafia menekup kedua belah tangannya ke muka.
“Petang semalam adalah hari
perkahwinan teman lelaki saya dengan pilihan keluarganya.... hu... hu...hu...”
Zafia terus menangis dengan kuat. “Ha... hati saya hancur bila saya nak halang
perkahwinan tu, saya nampak bekas teman lelaki saya sedang tersenyum bahagia di
sisi perempuan yang paling saya benci. Teman lelaki saya tak sedih pun. Dan
semalam saya call dia, saya dengar
suara perempuan keji tu. Tapi teman lelaki saya tipu saya, dia cakap itu suara
kakak dia... hu... hu... hu... sedihnya. Sampai hati dia.”
Safuan meneguk air liur melihat
wajah Zafia yang merah akibat menangis. Namun begitu tangan Safuan tetap laju
menaip maklumat itu. Setiap orang yang datang mendaftar di Agensi Jodoh &
Kahwin biasanya mempunyai kisah percintaan yang tragis.
Safuan mengambil kotak tisu yang
sememangnya ada di dalam bilik itu lalu diserahkan kepada Zafia.
Tiga helai tisu ditarik. Zafia
menghembuskan hingusnya dengan kuat. Sikit lagi nak terbang tisu yang digunakan
olehnya.
“Maafkan saya Cik Zafia. Saya telah
buat Cik Zafia bersedih. Jangan risau ya. Kami akan carikan pasangan yang
sesuai untuk Cik Zafia. Menepati ciri-ciri yang Cik Zafia mahukan.”
“Hu... hu... hu... saya nak bakal
suami yang kaya. Glamour dan selalu masuk surat khabar, majalah, dan semua
media cetak termasuk juga media massa. Biar perkahwinan saya nanti masuk surat
khabar atau majalah dan Shahril tengok. Biar dia terbeliak biji mata. Biar dia
menyesal tak kahwin dengan saya. Saya nak Encik Safuan cari bakal suami yang
tinggi untuk saya. Saya nak nampak hebat
bila berdiri disebelahnya nanti”
Safuan terangguk-angguk. Dia
mencatatkan ciri-ciri lelaki idaman Zafia di dalam komputer ribanya. Safuan
dapat menganggak siapa Shahril, tentu teman lelaki Zafia yang kini telah
menjadi suami orang.
“Selain daripada ciri-ciri di atas,
ada lagi tak penambahan?” tanya Safuan.
“Tak ada. Itu je ciri-ciri lelaki
yang saya nak.” Begitu yakin Zafia berkata. Lupa betapa pentingnya ciri-ciri
lelaki soleh yang perlu diletakkan sebagai perkara utama. Bukan kaya, glamour
dan tinggi semata-mata. Suami perlulah seorang yang budiman, tidak meninggalkan
solat, memahami, penyayang dan dari keturunan yang baik-baik. Namun apakan
daya, dalam keadaan emosi yang terganggu begitu. Zafia lalai kerana dendamnya
pada Shahril.
Safuan mengangguk. Jika hanya itu
ciri-ciri yang dimahukan oleh Zafia, senanglah kerjanya.
“Baiklah. Semua isi-isi penting dari
Cik Zafia saya sudah dapat. Cuma saya nak ingatkan Cik Zafia, syarat-syarat
syarikat kami sangat ketat. Apabila Cik Zafia sudah menetapkan ciri-ciri lelaki
yang Cik Zafia mahukan, dan menandatangani kontrak, Cik Zafia terpaksa mengikut
setiap isi kontrak tersebut. Untuk memudahkan Cik Zafia, saya akan berikan
lampiran surat perjanjian. Cik Zafia boleh baca syarat-syaratnya.”
Terus Safuan menghulurkan kontrak
yang agak tebal itu kepada Zafia. Untuk Zafia baca dan semak. Itu hanyalah
contoh sebagai rujukan buat Zafia membaca syarat-syarat ketat syarikat Agensi
Jodoh & Kahwin.
Zafia menolak kontrak itu tanpa
berminat untuk membacanya.
“En.Safuan, saya setuju dengan semua
syarat-syarat kontrak ni.” Putus Zafia tanpa berfikir panjang.
Safuan terbeliak. Biar betul.
Semudah itu Zafia memperjudikan kehidupannya. Safuan mengetap bibir.
“Macam nilah Cik Zafia, saya akan
aturkan pertemuan pertama Cik Zafia dengan bakal suami Cik Zafia. Selepas itu
barulah Cik Zafia baca isi kontrak dan tandatangan ya.”
Zafia melepaskan keluhan.
“Saya nak Encik Safuan uruskan pasal
surat perjanjian hari ni juga. Siapa pun calonnya saya tak kisah asalkan
menepati ciri-ciri yang saya nak tu. Saya nak tandatangan hari ni juga. Saya
nak segerakan urusan saya. Cepat selesai, cepatlah saya dapat balas dendam.
Tentang duit bayaran tu, hari ini juga saya akan jelaskan. Masa saya nak masuk
ke pejabat Encik Safuan tadi, saya nampak ada bank kat situ. Jadi saya akan settle
kan hari ini juga.”
“Ok, kalau itu yang Cik Zafia mahukan,
senanglah sikit kerja saya.”
Zafia terus bangun setelah
mendapatkan nombor akaun syarikat daripada Safuan. Setelah itu dia bergegas
keluar untuk ke bank.
Sewaktu menuruni tangga Zafia
berwajah muram. Kini terasa liku-liku perjalanan hidupnya semakin rumit dan
penuh onak dan duri. Tidak pernah Zafia merana seperti ini dalam hidupnya.
Segala kebahagiaannya diragut pergi dalam sekelip mata. Hidup terasa sangat
sunyi dan sepi.
Dengan lemah Zafia menolak pintu
bank. Matanya hampir tertutup gara-gara terlalu penat dan mengantuk. Zafia
nekad, selesai sahaja urusannya dia akan mencari tempat untuk penginapan dan
membuta selama berhari-hari.
Dush! Tanpa disengajakan Zafia telah
terlanggar seorang lelaki. Pelanggaran yang agak kuat itu menyebabkan kaca mata
hitam berjenama Ray Ban milik lelaki itu terjatuh ke lantai. Zafia pula
elok sahaja memegang lengan milik lelaki itu untuk mengelakkan dirinya dari
terjatuh.
Besarnya lengan dia. Detik hati
Zafia sebelum tergesa-gesa melepaskan pegangannya. Tanpa disedari, kaki Zafia
terpijak kaca mata hitam lelaki tersebut. Prak! Kedengaran satu bunyi yang
terhasil dari kaca mata itu.
Zafia terperanjat. Mampuslah aku
kali ni. Kaca mata berjenama Ray Ban bukan murah harganya. Sudahlah duit
aku bakal melayan ke akaun agensi mencari jodoh yang bodoh tu. Sekarang tentu
aku terpaksa membayar wang atas kerosakan cermin mata lelaki berwajah garang
macam singa ni.
“Sor...sorry
awak. Saya tak sengaja.” Zafia mengangkat kakinya dari terus memijak kaca mata
hitam itu. Menunduk dan mengambilnya. Alamak, sampai pecah cerminnya. Zafia
berbisik gusar dalam hatinya.
Lelaki
itu memandang Zafia dengan wajah yang berang. Dia paling benci perempuan yang
cepat menggelabah dan cuai. Hari yang sangat buruk dan malang. Desis hatinya.
“Ala,
awak janganlah marah. Saya bayar ganti rugi cermin mata awak ni ya. Saya bayar
awak dua ratus okey.” Zafia cepat-cepat membuka handbag nya dan
mengeluarkan dompet. Empat keping not lima puluh ringgit dihulurkan kepada
lelaki itu.
Tiada sambutan. Pemberian Zafia
hanya dipandang dengan riak yang penuh sinis.
“Okey, saya faham ganti rugi saya ni
tak setimpal dengan harga cermin mata awak ni. Tapi awak kena kira jugak
beberapa perkara. Cermin mata awak tu bukan cermin mata baru. Satu lagi tentu
semasa awak beli, awak dapat diskaunkan. Jadi dua ratus ni dah kira okeylah.”
Jangan-jangan lelaki ni nak aku bayar lebih tak? Zafia sudah risau.
Zafia terus mengukirkan senyuman
apabila wang yang dihulurkan itu diambil. Nak jugak kau ya duit ni. Ingatkan
tak nak. Bajet kaya sangatlah tu bila dapat pakai cermin mata berjenama.
“Wang awak dah ambik. Maknanya
antara kita dah tak ada apa-apa urusan lagilah. Saya gerak dulu.” Zafia sudah
mahu melangkah. Namun tanpa disangka-sangka lengannya dipegang oleh lelaki itu.
“Eh, apa yang awak buat ni?” Zafia
cemas.
Tiba-tiba lelaki itu mencampakkan
duit tersebut tepat ke wajah gadis itu. Zafia bukan main tergamam lagi.
Terlopong mulutnya melihat lelaki itu yang tanpa rasa bersalah terus melangkah
pergi.
“Eh, kenapa dengan awak ni? Awak dah
gila ke?” Hampir-hampir sahaja Zafia menanggalkan sandalnya dan membaling ke
arah lelaki itu. “Tak guna punya orang.” Tunduk sambil mengutip wang yang
berselerak di atas lantai. Kalau tak fikir badan kau lagi besar dari badan aku,
memang aku dah tampar pipi kau tu.
“Aku punyalah baik hati nak bayar
ganti rugi, ini balasan kau.”
Istighfar
Zafia. Istighfar. Zafia memujuk hatinya sendiri dengan beristighfar
berulangkali.
Selesai urusannya di bank, Zafia
kembali ke agensi tersebut untuk menyerahkan bukti pembayaran.
“Kami dah ada calon yang memenuhi
ciri-ciri yang Cik Zafia mahukan.Cik tunggu panggilan dari kami dalam masa dua
hari. Kami akan aturkan satu waktu yang sesuai untuk Cik berkenalan dengan
bakal suami Cik Zafia. Selamat memulakan hidup baru Cik Zafia.” Senyum Safuan
sambil membukakan pintu pejabat untuk Zafia keluar.
Zafia membalas senyuman Safuan
seadaannya.
Laju kakinya menuruni tangga satu
persatu. Apa yang ada difikirannya hanya mahu mencari masjid secepat yang
mungkin. Zafia mahu solat, tidur dan berehat di situ buat sementara waktu.
Setelah keletihannya sudah berkurangan, barulah Zafia mencari tempat penginapan
pula.