Home Novel Cinta KATA TAK RINDU
KATA TAK RINDU
SITI NUR DHUHA
23/1/2013 00:47:40
50,425
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
KATA TAK RINDU (BAB 4)

RENIK-renik peluh mula terbit dari dahi Zafia. Meskipun air-cond di bilik itu terpasang pada suhu yang agak dingin, pun begitu tubuhnya tetap berasa hangat. Mindanya tidak putus-putus mencipta derita. Wajah Shahril dan Sofiah muncul bersilih ganti di fikiran.

“Ab... abang...” Rindu terhadap Shahril kian menusuk hati lantas menikam jantung. Terasa sakit di situ. Beginikah derita apabila tidak dapat hidup bersama orang yang dicintai? Ya ALLAH, aku cuma mahu bahagia. Kembalikan jantung hatiku itu.

“Abang... Fia rindu...” sebutir air mata keluar dari kelopak mata.

Aezwan terkedu. Dia panggil aku ke sebagai abang? Terdetik pertanyaan itu di hatinya. Kenal pun tidak, dah panggil abang. Hairan.

“Woi, bangunlah!” Sergah Aezwan sambil mencapai gelas berisi air kosang lalu disimbah ke muka Zafia.

“Aaa... sejuk!!!” Zafia terjaga. “Auw!” Memegang dahinya yang pedih dan sakit. Terdapat luka kecil pada dahinya.

Aezwan mengetap bibir dan bangun dari duduknya. Memeluk tubuh. Terbenih rasa malu di hatinya apabila mendapati wanita yang berada di atas katil itu merenungnya tidak berkelip. Aezwan sedaya upaya berwajah selamba.

“Ya ALLAH, aku kat mana ni?” Zafia memandang sekelilingnya. Dia kini berada di sebuah bilik yang lengkap dengan serba-serbi. Kenapa lelaki ni ada bersama dengan aku kat sini? Persoalan yang terbit dimindanya membuatkan Zafia ketakutan. Apakah maruah dan harga dirinya telah dinodai?

Puas melilaukan pandangannya. Zafia kembali merenung Aezwan dengan pandangan yang tajam.

“Kenapa saya ada kat sini?” tanya Zafia dengan garang macamlah jejaka di hadapannya itu akan menggigil ketakutan dengan kegarangannya itu.

Aezwan mencebikkan bibir. Macamlah aku takut.

Rentetan peristiwa beberapa jam yang lalu, Zafia hilang kawalan sewaktu memandu. Hampir merempuh kereta Aezwan yang bergerak dari arah bertentangan. Nasib baiklah Aezwan sempat mengelak. Manakala kereta Zafia tersadar di tepi jalan dalam keadaannya yang sudah tidak sedarkan diri. Mujur kaki gadis itu masih utuh menekan brek, jika tidak mungkin sahaja sudah melanggar pokok.

Kerana buntu dengan keadaan Zafia, Aezwan dipaksa oleh teman rapatnya agar membawa pulang Zafia ke rumahnya. Manakala kereta kancil milik gadis itu dipandu oleh Nick. Setibanya di rumah, Zafia dibiarkan berehat di dalam kamarnya sementara menanti gadis itu tersedar dari pengsannya.

Aezwan mengetap bibir. Menyesal kerana menolong Zafia. Sepatutnya Aezwan tidak perlu melibatkan diri dengan kaum perempuan.

“Kita bawak balik jelah perempuan ni ke rumah. Apa nak risau, Mak Cik Kiah kan ada. Aku tengok perempuan ni tak cedera kat mana-mana pun. Cuma pengsan je.” Itulah usul yang dicadangkan oleh Nick dan dia hanya mengikut sahaja.

“Awak rehatlah dulu,” hanya itu sahaja yang mampu dicakapkan. Riak wajahnya masam mengcuka. Bagaikan tidak ikhlas.

Aezwan mula menapak keluar dari bilik itu. Teringat saranan Nick yang tidak masuk akal namun terpaksa diterima.

“Biar dia berehat dalam bilik kau. Bilik kau ada air-cond. Bilik aku air-cond rosak. Bilik kau lebih selesa. Kemas dan teratur, tak macam bilik aku macam tongkang pecah.” Itulah saranan Nick. Jejaka itu tersengih tanpa rasa berdosa.

Mak Cik Kiah pula adalah pembantu rumah yang datang untuk memasak dan mengemas. Mak Cik Kiah tidak dibenarkan mengemas bilik mereka. Itu adalah ruang peribadi.

Lantas Aezwan hanya mengikut sahaja saranan Nick. Aezwan memang sedia maklum dengan keadaan bilik Nick yang macam sarang tikus itu.

“Saya tak nak berehat, saya nak tahu kenapa saya boleh ada kat sini. Saya diculik ke?” Dengan lantang Zafia bertanya. Berada di dalam bilik bersama seorang lelaki di tempat yang tidak diketahuinya adalah perkara yang tidak boleh diterima. Sekurang-kurangnya ada penjelasan untuk itu.

Tanpa menghiraukan gadis itu Aezwan menapak keluar.

Memang sah aku diculik. Zafia mula melilaukan matanya mencari senjata mempertahankan diri. Ternampak botol minyak wangi yang agak besar saiznya. Mungkin ini boleh membantu. Zafia lantas turun dari katil. Botol minyak wangi itu diambil dan dia berlari ke arah Aezwan. Lantas dihentam botol yang dipegang kejap itu ke arah kepala Aezwan.

“Auw!” Aezwan terjatuh sambil memegang kepalanya.

Zafia terus berlari keluar untuk menyelamatkan diri. Alamak! Kunci kereta aku kat mana ek? Zafia berpatah balik ke dalam bilik. Aezwan sudah pengsan. Zafia mencari kunci keretanya di atas meja solek. Ada. Diambil. Berlari laju keluar dan menuruni tangga rumah dua tingkat itu.

Tingkah Zafia yang menonong menuju ke arah pintu keluar membuatkan Nick yang sedang landing menonton televisyen terkejut. Aik! Dah sedar dari pengsan ke? Nick terus terbangun dari perbaringan. Menuju ke arah pintu rumah. Mak Cik Kiah yang sedang memasak di dapur begitu juga. Pada ketika Nick dan Mak Cik Kiah tiba di muka pintu, kereta kancil milik gadis itu telah menderum pergi dengan lajunya. Persis melarikan diri dari diburu oleh penjahat.

“Kenapa budak tu lari? Mak Cik Kiah baru je nak angkat bubur nasi ke tingkat atas.” Mak Cik Kiah berasa sungguh hairan. Cara gadis itu melarikan diri sangat mencurigakan. Macamlah mereka ni sendikit jual orang.

“Entahlah Mak Cik Kiah. Marilah kita naik atas tanya Ezz. Dia tentu tahu.”

Mereka berdua beriringan memanjat tangga dan alangkah tergamamnya apabila mendapati Aezwan terlentang di atas lantai tidak sedarkan diri.

“Ya ALLAH! Ezz!” Jerit Nick.

Melulu Nick mendapatkan Aezwan. Mak Cik Kiah pula masih terkebil-kebil tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Takkanlah gadis sekecil itu mampu membuatkan Aezwan yang berbadan seperti ahli gusti ini pengsan. Macam tak masuk akal je.

“Mak Kiah, apa tengok-tengok tu. Marilah tolong saya angkat Ezz ni.” Gesa Nick.

“Cobaan!” Ujar Mak Kiah meniru dialog dalam drama pendekar bujang lapuk.

“Apa pulak cobaan, ini betul-betullah.”

Sedaya upaya mereka berdua mengangkat Aezwan untuk dibawa ke klinik berdekatan.

“ITULAH kau! Percaya sangat pada orang. Baik sangat nak tolong. Tengok apa dah jadi. Tak pasal-pasal benjol kepala aku.” Aezwan menuding ke arah benjolan yang berbalut di kepalanya.

“Macam tolong anjing tersepit je. Lepas dah selamat, kita pulak yang digigitnya.” Kasar dan tajam sekali bicara yang diluahkan oleh Aezwan. Dadanya marak dengan api kemarahan yang menggunung tinggi. “Dulu banyak kali aku cakapkan pada kau, perempuan ni bukan boleh dibuat baik sangat. Penipu. Itu sebabnya aku benci pada perempuan.”

“Aii... menyalahkan aku pulak. Masa aku bagi cadangan kat kau nak bawa balik budak tu, tak ada pulak kau bantah. Elok je budak tu terbaring dalam bilik tunggu masa nak pulih dari pengsan, kau pergi masuk bilik tu kenapa. Ada aku dan Mak Cik Kiah suruh?” kening sebelah kiri terjungkit.

Mak Cik Kiah mengangguk-angguk.

“Betul tu, mana ada Mak Cik Kiah suruh.” Sokong wanita tua itu.

Mereka bertiga menapak laju ke arah parking. Nasib baiklah doktor cakap luka di kepalanya tidak serius. Alhamdulillah.

“Lain kali jangan benarkan mana-mana perempuan menjejakkan kaki ke dalam rumah kita.” Putus Aezwan dengan tegas. “Kalau tidak nasib malang akan menimpa. Contoh yang paling simple, nasib malang dapat benjol macam atas kepala Ezz ni.”

“Hai Ezz, Mak Cik Kiah ni bukan perempuan ke? Apa selama ni kau ada nampak tudung atas kepala Mak Cik Kiah ni berubah menjadi kopiah imam masjid ke?” Perli Mak Cik Kiah.

“Mak Cik Kiah je boleh masuk.” Aezwan membetulkan kembali kata-katanya.

Nick dan Mak Cik Kiah mencebikkan bibir. Hanya mereka berdua sahaja yang mengerti maksud cebikan itu.

“Ala, engkau pun baru dua minggu mula bencikan perempuan Ezz. Bukan lama sangat pun. Tapi aku tengok cara kau ni macam sebelum kau lahir ke dunia ni lagi kau dah benci dengan perempuan.”

Mohd Ezwan bin Abu Bakar punyai sejarah sendiri mengapa dia membenci perempuan bermula dua minggu yang lalu. Segalanya berpunca daripada teman wanitanya. Fasya gadis licik yang telah menyebabkan Aezwan bankrap dengan teruk. Wang Aezwan sebanyak tiga ratus ribu ditipu oleh Fasya. Gadis itu lantas melarikan diri tanpa dapat dikesan.

“Kau jangan nak ungkit pasal perempuan tak guna tu! Aku tak nak dengar!” Aezwan mematikan langkahnya dan merenung Nick atau nama sebenarnya Nordin dengan tajam. Garang dan seperti ingin menerkam sahaja lagaknya.

Nick menelan air liur. Bukan dia tidak tahu Aezwan seorang yang panas baran.

Lantas Nick mencuit siku Mak Cik Kiah sambil memberikan isyarat mata. Menyampaikan maksud bahawa dia berada di dalam bahaya. Bila-bila masa sahaja singa jantan itu agak mengamuk.

“Siapa suruh Nick sebut pasal perempuan tu? Kan dah kena. Mak Cik Kiah tak nak campur.” Lantas Mak Cik Kiah menonong pergi untuk menyelamatkan dirinya.

“Eh Mak Cik Kiah... tunggulah dulu.” Laju kaki Nick mengejar Mak Cik Kiah untuk menyelamatkan dirinya dari kemarahan Aezwan.

Aezwan mendengus. Tangannya dikepal. Fasya perempuan bermata duitan yang mendekatinya kerana harta semata-mata. Pada awal perkenalan Aezwan buta menilai perwatakan gadis bertudung itu. Siapa sangka, gadis yang berlagak ayu itu sebenarnya lebih syaitan dari syaitan itu sendiri.

ZAFIA menggeleng-gelengkan kepalanya sambil memandu. Tak sangka, belum beberapa hari berada di Kuala Lumpur. Dia telah terlibat sebagai mangsa penculikan. Mungkin jika dia lambat bertindak, dia akan dijual di negara jiran sebagai seorang pelacur. Eii, ngeri memikirkannya. Memang tak ada taste langsung . Aku punyalah tak cantik, dengan ada parut jerawat lagi. Sanggup dia nak jual aku. Teruk betul manusia seperti tu.

Lantas Zafia menjeling wajahnya pada cermin pandang belakang. Aku sendiri tengok muka aku pun rasa macam nak terkejut sampai pengsan. Dia tergamak fikir sejuah itu. Nak jual aku. Padan muka dia kena ketuk sampai pengsan tadi. Kalau mati pun lagi bagus.

Kini Zafia memecut keretanya dalam kelajuan sederhana. Zafia telah membaca satu memo di pondok telefon tentang bilik kosong. Dia akan menyewa di situ. RM150 sebulan. Okeylah tu daripada tidur di dalam kereta. Lagipun aku akan dapat bakal suami yang kaya nanti. Maklumlah, agensi jodoh dan kahwin akan carikan aku calon yang sangat glamour, kacak, dan kaya. Baru melopong mulut kau bila baca surat khabar nanti Remy Ishak.

PERLAHAN-LAHAN Aezwan merebahkan kepalanya yang sakit di atas bantal. Dia mahu berehat. Tidur. Hebat sungguh penangan gadis itu. Tidak padan dengan tubuh kecil. Dan tak sangka juga perempuan sependek itu mampu memukul dengan kuat. Aezwan yang gagah ini pun tumbang menerima habuan yang tidak di jangka itu.

Tiba-tiba handset Aezwan berdering menandakan ada panggilan. Handset yang berada di sebelah bantalnya dicapai. Terpampang nama Datin Nurbaiyah di skrin telefon.

“Hisy, apa yang datin ni nak.” Rengus Aezwan tanpa rasa hormat.

Di biarkan handsetnya berdering beberapa kali tanpa dijawab.

Tidak lama selepas itu kedengaran pesanan ringkas masuk. Aezwan membaca pesanan itu.

Please sayang angkat fon... kalau dapat bercakap walau lima minit pun dah memadai.

Satu dengusan keras dilepaskan. Apabila handset berdering kembali, Aezwan mengangkatnya dengan rasa terpaksa.

“Assalamualaikum sayang,” lembut kedengaran suara di hujung talian.

Aezwan memejamkan mata. Sedikit pun tidak terkesan dengan kelembutan itu. Cukuplah dengan segala-galanya.

“Waalaikumussalam, ada apa datin? Kalau tak ada perkara penting, baik jangan buang masa saya.” Dingin sekali suara Aezwan. Sedingin ais di kutuk utara.

Datin Nurbaiyah tersentak. Bercucuran air matanya. Tidak menyangka ini yang akan diterimanya di atas kerinduan yang tidak bertepi selama ini. Esakan kecil mula kedengaran. Sebak sungguh hatinya. Siapakah yang lebih mengerti apa yang dirasainya melainkan dirinya sendiri.

“Jika datin hubungi saya untuk membuatkan kepala saya yang serabut ni bertambah serabut, baik lain kali datin jangan hubungi saya. Saya tak ada masa nak dengar suara tangisan datin.”

Talian terus diputuskan. Aezwan menaikkan lengan ke atas dahinya. Maafkan saya datin kerana melukai hati datin. Saya terpaksa. Aezwan memejamkan matanya. Sebutir air jernih mengalir keluar. Tidak dinafikan, hatinya turut berasa sedih kerana membuatkan Datin Nurbaiyah menangis.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh SITI NUR DHUHA