Home Novel Cinta Mr. Debater Miss Motivater
Mr. Debater Miss Motivater
Gorjes
20/11/2019 09:55:38
69,892
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

Empat ekor katak tersisa dalam baling kaca yang dibaluti kain putih. Katak itu adalah untuk tujuan eksperimen, ujikaji untuk subjek Biologi. Puan Zuraida yang memesan supaya setiap pelajar membekalkan seekor katak untuk menjalankan prosedur ini.

Zaki mengeluarkan seekor katak daripada balang yang dipegangnya. Meon mengeluarkan sehelai sapu tangan dari kocek seluarnya. Lalu katak tersebut dibungkus menggunakan sapu tangan itu.

"Okay, sekarang Kashaf." Zaki menghulurkan bungkusan berisi katak itu kepada Kashaf.

"Eee...Katak kan! Tak mahu...tak mahu...Aku gelilah dengan katak." Kata Kashaf menolak-nolak bungkusan yang di tangan Zaki.

"Apalah kau ni. Kata anak jantan. Hero kampung konon. Dengan katak pun kau takut ke?" Meon bersuara sambil mengejek Kashaf.

"Ini kalau orang lain tahu, malu la geng kita." Tambah Meon dengan gaya tidak puas hati.

"Kashaf...ambil la. Bukan kau pegang katak tu tak berlapik. Aku dah balut pun dengan kain ni. In shaa Allah...tak ada apa-apa punya." Zaki berusaha memujuk Kashaf untuk menerima bungkusan itu.

Kashaf menerima dengan perasaan tidak rela. Mukanya sudah menunjukkan riak kurang selesa. Biarpun katak itu tidak kelihatan dari pandangan kasar, namun jari-jemari Kashaf dapat merasa struktur badan katak yang lembik, menggerutu dan pejal. Jika bukan kerana Zaki, rakan, sahabat, dan merupakan sedarah sedaging dengannya yakni sebagai sepupunya, pasti dia tidak akan memegangnya.

"Okay, good dude." Kata Zaki sambil menepuk bahu Kashaf sebagai tanda semangat.

" Kasih tu selalu sangat cari pasal dengan kau. Tengok tadi bukan main action lagi dia bila kita tegur. Sekarang..." Zaki tidak menghabiskan ayat cuma isyarat keningnya sahaja yang berbicara. Kashaf tersenyum tanda memahami maksud Zaki.

Kashaf memerhatikan Kasih Amani yang leka menyiapkan kerja sekolah. Derapan kaki Kashaf mengganggu Kasih Amani. Gadis itu mendongak dengan wajah yang kelat.

"Aku ada benda nak kasi." Kashaf menghulurkan bungkusan yang berbalut itu kepada Amani.

Amani bangun untuk berdiri. Apabila bertentangan mata dengan Kashaf, sedikit pun Kasih Amani tidak menguntumkan senyuman. Mukanya masam mencuka.

Ish, kenapa baik sangat budak bandar ni...pelik la. Apa-apa pun aku kena hati-hati. Ini mesti ada muslihat, hati Kasih bermonolog.

Tangan Kasih semakin menghampiri bungkusan itu. Zaki dan Meon dari suatu sudut masing-masing tersenyum mengharap kali ini Kasih Amani akan terkena dengan helahnya. Kasih Amani, baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah, Zaki melahirkan rasa geramnya dalam hati.

"Sikit lagi...sikit lagi...arghhhh," Meon menggetus hampa. Dia dapat melihat reaksi guru bermisai lebat itu mula menghampiri pintu masuk kelas.

"Kasih Amani!" Cikgu Kassim bersuara tegas.

Kasih Amani menarik tangannya sepantas kilat kembali ke sisinya. Wajah Cikgu Kassim kembali menyinga. Lelaki separuh abad itu memandang Kasih Amani dan Armel Kashaf bersilih ganti. Anak mata berhenti lama merenung Armel Kashaf.

Mata Cikgu Kassim tertumpu pada bungkusan putih yang dipegang Kashaf.

"Apa benda dalam bungkusan tu?" Soal Cikgu Kasim.

"Ini untuk Kasih! Arrr...Meon yang beria-ria nak bagi tapi dia segan. Jadi saya cuma jadi posmen tak berbayar je, Cikgu Kassim."

Peluh sudah mula membasah di dahi Kashaf. Dia sudah mati akal bila berhadapan dengan Cikgu Kassim yang sangat digeruni pelajar itu. Ayat yang terpacul keluar daripada mulutnya ialah babak yang tak pernah langsung dirancangnya.

Maaflah Meon, kiranya halal la ye... Kashaf berbicara halus.

Meon terkejut, hampir sahaja dia tersedak biarpun dia tidak makan dan minum ketika ini.

"Kasih, ambil."Arah Cikgu Kassim. Tangan Kasih mengambil bungkusan itu.

"Buka. Saya nak tengok juga apa isinya." Sambung Cikgu Kassim. Kedua-dua tangannya kelihatan menyilang ke dada dan riak wajahnya seperti biasa, tenang bersulamkan bengis seekor harimau.

Gadis itu hanya mengikut sahaja arahan yang diberikan oleh Cikgu Kassim. Situasi ini betul-betul mengganggu dia daripada menyiapkan kerja sekolah Matematik Tambahannya. Helaian demi helaian bucu kain diselaknya. Sebelum sempat dia menyelakkan helaian ketiga. Tiba-tiba tubuh Kasih terkaku dan keras. Matanya membulat, mulutnya melopong.

"Kaaa...tttt..." Gagap bicara Kasih.

"Apa Kasih?" Cikgu Kassim mengeraskan nada suaranya.

Armel Kashaf sudah menutup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Zaki dan Meon sudah bersembunyi di balik pohon yang terletak tidak jauh dari kelas Kasih Amani.

"Kasih! Saya suruh kamu buka...apa la budak ni tiba-tiba jadi batu pulak...Bukaaa...!" Tegas Cikgu Kassim. Tangan Kasih sudah menggigil. Natijahnya, sapu tangan itu terbuka dengan sendiri dek kerana getaran yang terhasil akibat gigilan Kasih.

" Arrrr...Katakkkkk!" Tangan Kasih tidak terkawal lagi. Seekor katak gemuk. Kulitnya menggerutu dan mempunyai bendalir lendir di badan. Ion-ion positif diambil alih oleh ion-ion negatif merasuk pergelangan tangan Kasih. Kasih sudah hilang kawalan. Dia tidak berdaya memegang katak yang berwarna hitam kehijau-hijauan itu. Tekanan kuat datang dari arah bawah seperti menolak tangan kanan gadis ini ke atas.

Cikgu Kassim yang berwajah singa tadi terus berubah wajah tatkala melihat seekor katak gemuk yang berisi dalam bungkusan kain putih itu. Muka guru yang terkenal dengan misai yang tebal lagi bengis ini berubah dengan mulut melopong.

Wataknya seakan berubah menjadi lembut,

" Kataaakkkkk....eeeee.....," Kata Cikgu Kassim apabila katak yang terlambung oleh Kasih terangkut pada bahagian belakang kolar bajunya. Cikgu Kassim melompat-lompat sebelum berlari anak ke dalam kelas seperti meminta pertolongan supaya ada insan-insan mulia yang datang membuangkan katak itu daripada kolar bajunya.

Kasih dan Kashaf saling berpandangan lalu kedua-duanya menekup mulut menahan ketawa kerana terlalu geli hati melihat keadaan Cikgu Kassim yang rupa-rupanya seorang yang takut katak. Sama seperti mereka berdua. Zaki dan Meon, bergelak habis di balik pohon yang rendang tanpa menduga kelakuan mereka diperhatikan oleh Kasih.

Kasih memandang Zaki dengan pandangan yang tajam. Aku tahu ini mesti kerja kau Zaki. Tak habis-habis nak kenakan aku, getus hati Kasih.

Cikgu Kassim sudah terloncat-loncat seperti kera. Katak gemuk itu masih melekat di bajunya. Bangun Ah Seng mendekati guru separuh abad itu. Ah Seng mengambil katak besar itu lalu keluar daripada kelas. Ah Seng berjalan ke arah Kashaf lalu dia memberikan katak itu kepada Kashaf. Bulu roma Kashaf menegak. Kashaf seperti ingin pitam. Isi perutnya berkocak memberi tekanan pada sisi udara di dalam usus yang sempit agar disalurkan keluar daripada kotak usus perut yang kecil. Kashaf menekup mulutnya sambil terbongkok-bongkok lalu dia berlari menjauhi katak yang masih berada dalam genggaman Ah Seng.

Zaki dan Meon terkejut melihat reaksi Kashaf yang terlampau fobia dengan katak. Mereka mengejar Kashaf yang sudah mula hilang daripada pandangan.

Ah Seng tersenyum sinis, "Khatak pun manyak takut, apa punya olang." Katanya sambil menggelengkan kepalanya. Kasih memerhati Ah Seng yang mendekati kolam ikan yang terletak tidak jauh dari kelasnya. Ah Seng melepaskan katak itu ke dalam kolam ikan. 

Sejurus kemudian dia kembali masuk ke dalam kelas dan mendapati Cikgu Kassim tiada di situ. Cikgu Kassim tidak dapat meneruskan sesi pengajaran dan pembelajarannya. Akibat terkejut yang amat, Cikgu Kassim perlu mendapatkan sedikit ruang masa untuk merehatkan minda daripada trauma katak itu. Dia menangguhkan kelasnya, dan Kasih di suruh masuk kembali ke dalam kelas.

Kasih mengambil semula tempat duduknya. Matanya tertumpu pada kerja rumah yang masih tersisa. Dia menongkat daku, kemudian matanya dipejam rapat seperti mahu meredakan kekusutan yang menjengah tadi. Kelam. Perbualan rakan-rakannya semakin hilang daripada alat pendengarannya. Tiba-tiba tongkat dagunya kian longlai, dan longlai. Tidak kukuh lagi dan akhirnya Kasih dibuai kelam yang pekat. Tiada lagi bunyi bising manusia kedengaran.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Gorjes