Home Novel Cinta Mr. Debater Miss Motivater
Mr. Debater Miss Motivater
Gorjes
20/11/2019 09:55:38
69,927
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 21

Puan Sri Mariam tidak ke mana-mana hari ini. Usai subuh dia menjengah ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi.

Masakan kampung menjadi pilihannya. Walaupun ada orang gaji di rumah, dia sudah terbiasa untuk masak sendiri.

Kuasa air tangan ini sungguh luar biasa. Betullah kata orang, isteri yang memasak makanan sepenuh perasaan ikhlas, aura masakannya lain macam sehingga si suami menjadi bertambah sayang.

Itu resepi keluarga bahagia.

Bik Esah dan Bik Mun, pembantu rumahnya hanya menyediakan bahan-bahan masakan. Selebihnya dia yang akan uruskan.

Menu nasi lemak dimakan bersama sambal ikan bilis dan telur rebus. Tambahan rasa bagi melengkapkan juadah, nasi lemak harus diserikan dengan kacang goreng dan hirisan timun.

 

Wah, terangkat!

 

Nak-nak lagi beras yang digunakan ialah beras cap Strawberi. Eksperimen tak eksperimen. Hipotesisnya yang menentukan sama ada beras ini sedap atau tidak untuk dimasak menu nasi lemak.

 

Faliq tak habis-habis menyarankan mamanya untuk mencuba beras itu. Lama dia merenung bungkusan beras yang dibawa pulang oleh Faliq. Dia juga membaca kandungan nutrien yang ada pada bahagian belakang bungkusan.

 

Ternyata kandungan beras Strawberi ini cukup lengkap dengan mineral, vitamin dan kaya dengan antioksidan yang bermanfaat untuk kulit. Salah satu keistimewaan beras cap Strawberi ini, beras ini boleh dimakan oleh individu yang mengalami masalah keradangan dan alergi seperti psiorasis dan ekzema. Terdapat lambang animasi kartun gemuk yang digelapkan tanpa identiti di bahagian atas bersama-sama dengan simbol hati. Pada bahagian bawah ditulis perkataan ‘iCARE’.

 

Tanggapan pertamanya apabila melihat lambang-lambang tersebut, beras ini sesuai untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan.

 

Menurut Puan Sri Mariam, kesungguhan Faliq untuk membantu golongan obes memiliki berat ideal harus dipuji. Golongan obes juga manusia yang mempunyai hati dan mereka perlu bangkit daripada mengah dan penat bersulam nafas dalam keadaan tubuh gempal, ‘kepala’ sebuah ‘kisah’ baru justeru itu, usaha Faliq baginya harus disokong.

 

Faliq.

 

Jia.

 

Noah.

 

Tiba-tiba dia teringatkan ketiga-tiga anaknya.

 

Faliq selalu ingin menonjolkan diri. Sama seperti Noah. Cuma beza antara Faliq dan Noah, hati Faliq lebih lembut. Tambahnya, si abang lebih cekal menghadapi ujian dan cabaran hidup berbanding adiknya Noah yang terlalu ego dan kadang kala agak manja.

 

Jia pula, adik kepada Faliq dan kakak kepada Noah. Sangat lasak orangnya. Tegas seperti Tan Sri Ruslee. Tak sangka pejam celik, pejam celik anak gadisnya itu dah nak ke jinjang pelamin. Sekejap rasa masa berlalu. Jia kini melanjutkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Anaknya yang seorang ini sungguh mencintai linguistik seperti papanya dan berjiwa alam seperti mamanya. Baginya meskipun dia hanyalah ibu tiri namun itu bukan halangan untuk mereka berkongsi minat yang sama.

 Ya, Puan Sri Mariam berstatus ibu tiri.

 

Menerima lamaran perkahwinan daripada Tan Sri Ruslee bukanlah bermakna dia ingin menggantikan posisi ibu kandung tiga beradik ini. Tetapi cukuplah sekadar dia dapat berkongsi kebahagiaan yang selama ini direntap daripada hidupnya. Usah dikenang cerita lama, cerita tentang kebahagiaan yang tak mungkin dia kecapi dalam kehidupan masa lalu. Kisah itu dibenamkan dalam hatinya dalam-dalam.

 

Ketika dia menikahi Tan Sri Ruslee, usianya 34 tahun manakala Faliq baru 24 tahun. Beza usianya dan Faliq hanyalah sepuluh tahun. Faliq dilihat dapat menerima dirinya sebagai ibu baharu. Memandangkan adik-adiknya masih bersekolah dan memerlukan kasih sayang seorang ibu, Faliq menerima perkahwinan papanya.

 

Dia kuat untuk anak-anaknya dan akan melakukan apa sahaja demi kebahagiaan mereka.

 

Selesai meletakkan beras dalam periuk nasi bersama-sama campuran bahan seperti santan, hirisan bawang merah dan halis, daun pandan yang diikat bersilang beserta serai yang dititip. Sedikit garam ditambah sebelum menutup periuk nasi. Suis ditekan. Lampu merah menyala. Nasi akan selesai masak dalam tempoh 30 minit dan kemudiaan dia segera memanaskan kuali. Bahan-bahan untuk menumis sambal bilis sudah tersedia di atas meja.

Dituang minyak kelapa dalam kuantiti yang sepatutnya. Dimasukkan bahan untuk ditumis. Tidak seberapa lama, naik aroma tumisan bawang putih dan bawang merah menusuk ke rongga hidung. Kelihatan Noah menuruni anak tangga.

“Mama masak apa?” Sapanya.

“Nasi lemak. Kejap lagi dah siap boleh la mama minta Bik Esah hidangkan.”

Bawang kelihatan kekuning-kuningan, diceduk dua senduk cili kisar ke dalam kuali. Kali ini bukan main lagi Noah bersin. Bau cili menusuk ke dalam hidungnya. Cepat-cepat dia menutup hidung. Takut kalau hidungnya bersin lagi.

“Noah tolong mama sayang.” Pinta Puan Sri Mariam.

“Nak tolong apa ma?” Kata Noah terpinga-pinga. Tangan kanan masih menutup hidungnya.

“Tolong hulurkan ikan bilis dalam pinggan tu.”

Noah menghulurkan ikan bilis.

“Ni dah kenapa tutup-tutup hidung ni? Apa tak sedap ke mama masak?” Jegil Puan Sri Mariam.

“Bukan macam tu ma. Noah asyik bersin. Itu yang tutup hidung tu.”

Cili di dalam kuali dibiarkan seketika sehingga pecah minyak.

Puan Sri Mariam merenung anak terunanya. Renungan seorang ibu.

“Noah, mama cuma nak Noah tahu bersin tu nikmat.”

“Nikmat apanya ma? Kalau kerap sangat bersin. Kadang-kadang itu hidung Noah ni gatal sangat. Daripada bersin lebih baik Noah tutup je hidung ni.”

Bahasa orang muda.

“Noah alergik ni? Kena sangat. Mama dah masak beras merah yang abang bawa balik hari tu. Beras tu elok untuk orang yang alergik macam Noah.”

Noah menjengah ke periuk nasi. Dia membuka penutup periuk.

“Nasi lemak red velvet?”

“Beras merah Faliq. Jadi mama cuba masak nasi lemak. Sukatan santan itu mama kurangkan sikit. Beras untuk kesihatan jadi cara masak pun kenalah sihat juga.”

Noah ralit memerhati kandungan beras Strawberi pada belakang bungkusan beras merah itu. Tanpa disedari dia sekali lagi bersin. Cepat-cepat hidungnya ditutup dengan tangan.

I hate sneezing!” bisik bibirnya.

“Jangan membenci kalau itu adalah suatu kebaikan. Jangan mengeji kalau itu suatu keburukan. Noah tak akan tahu nikmat bersin sehingga Noah tak lagi dapat merasai nikmat itu. Setiap sesuatu itu ada hikmah besar. Bila bersin, badan kita selamat daripada penyakit. Noah sedar tak yang Allah nak bantu Noah untuk buang zarah-zarah kotor daripada terampai dalam saluran pernafasan Noah tu?!”

 

Soalan itu sebenarnya kurang difahaminya.

 

Puan Sri Mariam memasukkan ikan bilis yang sudah direndam dalam air seketika tadi. Airnya dibuang, hanya tinggal ikan bilis sahaja. Lembut sikit. Dia lebih gemar cara masak sebegitu berbanding menggoreng ranggup ikan bilis sebelum dimasukkan ke dalam sambal. Puan Sri Mariam menggaul-gaul ikan bilis tersebut. Api dikecilkan. Tumpuannya beralih ke arah Noah yang menanti jawapan.

 

“Apa perasaan Noah bila memandu kereta kesayangan Noah?”

I’m happy.” Seraya senyuman terukir di bibirnya.

“Apa pula perasaan Noah bila tak dapat jumpa ‘bff’ Noah tu? Mama dengar, masih di bengkel kereta itu.”

Setiba-tiba wajahnya yang berseri-seri berubah muram.

“Sedih la mama! Noah sayang sangat kereta itu. Noah rasa sunyi dia ‘bff’  Noah. I really, really use the car. Setiap kali nak keluar mesti Noah akan guna kereta itu. Bila tak dapat pandu, sunyilah jawabnya. Sebab tak dapat keluar.”

Kasihan anaknya yang seorang ini, sunyi daripada benda bukan hidup lebih dimonopoli dalam kehidupan berbanding sunyi dan sedih jika berjauhan dengan Maha Pencipta.

“Itulah maksud mama. Merasai nikmat sehingga nikmat itu tidak dirasai lagi. Mama nak Noah tahu, kelebihan bersin yang Allah dah beri kepada Noah sebenarnya suatu nikmat yang mungkin Allah tak beri kepada orang lain. Asbab alergik, Noah bersin berkali-kali. Ada orang seminggu pun belum tentu mereka bersin tahu. Setiap kali bersin, kelajuannya mencapai 100 batu sejam dan menghamburkan sekitar 100000 jenis kuman ke udara. Tidakkah itu suatu nikmat, sayang?”

 

Tell me more.” Noah sudah mula menunjukkan minat.

“Noah ni, mama tengah masak. Kalau nak tahu cuba la tanya Mr. Google. Banyak info yang Noah boleh baca.” Saranan Puan Sri Mariam.

 

“Noah nak mama yang cerita baru Noah ada feel. Please mama!” Rayunya lagi.

Puan Sri Mariam sudah bercekak pinggang. Sudip menggaul sambal bilis diangkat. Itu petanda buruk. Noah mula berundur dari meja di kawasan dapur.

 

“Dah, sila keluar dari dapur Puan Sri Mariam. Pergi, pergi…. Pergi solat dhuha dua rakaat pun elok.” Tegur Puan Sri Mariam separuh menjerit.

 

Kelibat Noah sudah hilang daripada pandangan. ‘Baru minta untuk tunai solat dhuha, dah cabut lari. Noah, Noah…anak bertuah betul!’ Bisik bibir mungilnya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

 

Anak bongsunya ini memerlukan sedikit suntikan tarbiah untuk mengenal Allah SWT. Dia bukan tiada asas agama. Sudah diberikan secukupnya. Khilaf sebagai manusia. Antara cinta akhirat dan dunia, masih lagi rabun untuk memilih. Darah muda. Terlalu asyik dengan dunia dan kebendaan. 

Taasubkan kebendaan, mendabik dada, bahasa riak dengan segala kecukupan. Puan Sri Mariam juga dulu jauh daripada tuhan. Sejak mengahwini Tan Sri Ruslee, dia mula membina diri menjadi muslimah sejati. Tetapi benar kata orang, iman tidak boleh diwarisi. Namun belum terlewat untuk dia menundukkkan ego Noah untuk mencintai Rabbul I’zzati. Doanya, Noah akan diberikan suntikan kesedaran, diterangkan mata hati untuk melepaskan kebendaan dan mengagungkan Dia yang satu.

 

Sambal tumis ikan bilis diberikan sentuhan terakhir. Asam keping dimasukkan bersama-sama hirisan bawang besar sebagai hiasan dalam lauk itu. Setelah lama dia membalik-balikkan lauk sambal tumis bilisnya, akhirnya beberapa cubit garam ditabur ke dalam kuali. Juadah dirasa sebelum api dimatikan.

 

Puan Sri Mariam memanggil kedua-dua orang bibiknya untuk merebus telur. Dia sangat cerewat tentang etika merebus telur ayam.

 

Telur ayam perlu dicuci terlebih dahulu sebelum direbus. Setelah itu, air paip diisi ke dalam periuk yang berisi telur. Kemudian, periuk tersebut akan diletakkan di atas dapur yang mana apinya perlahan. Telur perlu dimasak secara ‘hard-boiled’ dengan tempoh masa 9 sehingga 12 minit. Setelah masa tamat, telur akan direndam di dalam air ais untuk menghentikan proses memasak yang berlaku di dalam telur itu. Barulah senang untuk mengupas kulitnya.

 

Puan Sri Mariam hanya makan telur yang mana telur kuningnya berwarna kuning matahari dan bukan kuning kekelabuan. Telur yang elok selepas direbus akan bertukar kepada warna kuning matahari.

 

Bik Mun akan melakukan tugasan merebus telur ayam manakala Bik Esah pula akan memotong timun dan menggoreng kacang tanah. Puan Sri Mariam mengarahkan supaya makanan dihidangkan setelah semuanya selesai dimasak.

Dia meninggalkan dapur untuk menunaikan solat sunat dhuha. Itu kewajipannya sebagai tanda bersyukur dengan nikmat-Nya.

 

Daun pintu dibuka.

 

Puan Sri Mariam menarik pintu almari. Tangannya menyelak lipatan kain yang bertindih dengan kain telekung. Fokus beralih pada kotak kayu yang tersorok di antara timbunan kain-kain yang sedia terlipat. Lamunannya mematikan hajat untuk berdhuha. Kotak kayu sebesar tapak tangan dikeluarkan dari almari. Pintu almari ditutup rapat.

 

Sambil duduk di hujung katil. Kotak tersebut dibuka. Sekeping gambar ditatap penuh kerinduan.

 

Gambar susuk tubuh seorang lelaki bersama-sama seorang remaja lelaki memakai baju jaket putih yang terbuat daripada bahan yang tahan lasak sambil masing-masing memegang sebilah pedang dan masker. “Pertandingan Lawan Pedang”.

 

Ya, mereka betul-betul bergambar di banner itu. Remaja lelaki itu sungguh gembira kerana telah berjaya merangkul johan bagi pertandingan tersebut. Berdiri di samping remaja lelaki itu seorang wanita berbaju blouse berbunga-bunga lavender dengan gaya dandanan rambut diikat tinggi.

 

Remaja lelaki itu berkulit cerah, hidungnya mancung bak seludang, bermata bundar dan anak matanya berwarna hitam pekat. Rambutnya lebat hitam dan sedikit keperang-perangan. Dia tinggi dan sungguh tampan. Jika dilihat arwah suaminya saling tak tumpah seperti remaja lelaki tersebut. Walaupun remaja lelaki itu bukan anak kandungnya, namun dia dan arwah suami menyayangi remaja lelaki itu dengan penuh kasih sayang.

 

Mereka terpisah gara-gara fitnah yang dilemparkan kepada suaminya.

 

Fitnah yang mengusirnya dari tempat asalnya sehingga dia menjadi ‘Mariam’. Jika dulu, semua yang mengenalinya memanggil dia dengan panggilan ‘Leane’.

 

Leane dan Mariam ialah orang yang sama. Cuma jasad mereka terpisah oleh waktu.

Tetapi kini ‘Leane’ sudah mati dihambat dengan ketamakan dan keterujaan golongan penindas yang gila kuasa dan harta melebihi daripada ikrar mereka untuk menjaga kebajikan golongan marhean sepertinya.

Pengaruh, kuasa dan harta.

 

Ketiga-tiganya ialah ujian berat yang perlu ditanggung oleh sesiapa sahaja yang Allah pilih. Pengaruh, kuasa dan harta saling melengkapi. Bagi yang zalim, tatkala memilikinya, mereka rasa diri mereka raja. Boleh menidakkan sesuatu yang betul dan mengiyakan sesuatu yang salah. Kesemua kepentingan itu terdorong dengan amukan nafsu yang bermaharajalela untuk menakluk dunia yang sementara. Mereka menang di sini.

 

Walaupun begitu, diri orang-orang yang ditindas pasti akan berbicara benar ‘di sana’ untuk mendapatkan keadilan yang belum pernah dimenangi mereka. Leane selalu berdoa, supaya Allah memberikan kemenangan itu pada masa yang tepat. Tidak berganjak walau sesaat. Jika kemenangan itu tidak diberikan di dunia, dia mohon kepada Rabb yang satu agar orang yang menindas itu mendapat balasan yang setimpal di sana kelak kerana segala tipu daya tidak lagi berguna sebagai muslihat untuk lari daripada digari.

 

Lebih menyayat hati, suaminya terkorban dalam satu tragedi. Di depan matanya sendiri. Kemudian, dia diusir tanpa sempat mengucap selamat tinggal kepada anaknya. Identiti dihapus, diri yang lama terkubur dan kini dipertemukan dengan insan yang luhur menyayangi dirinya yang baharu.

 

Menjadi ‘Mariam’ bukanlah angan-angannya. Tetapi dia reda dengan ketentuannya sebagai ‘Mariam’ ini kerana dengan ‘Mariam’ dia mengenal Maha Pencipta. Dia terdorong dan terlorong untuk meneruskan kehidupan dengan ajaran Al-quran dan As-sunnah. Dia mengutamakan Allah dalam semua perkara. Dia yang memilih ‘Leane’ untuk menjadi ‘Mariam’. Pilihan Dia selalu tepat kerana Dia tidak akan menzalimi hamba-hamba-Nya. Sedangkan hamba-hamba-Nya yang banyak menzalimi diri mereka sendiri. Buktinya dalam surah Al-anbiya ayat 87.

Tiada Tuhan selain Engkau,

Maha Suci Engkau sesungguhnya aku orang yang zalim.

Allah merakamkan kata-kata Nabi Yunus yang telah berputus asa lalu meninggalkan kaumnya yang pada mulanya tidak menyembah Allah. Lalu kaumnya telah kembali mentauhidkan Allah namun ketika itu apa yang mereka sedar Nabi Yunus sudah pun meninggalkan mereka. Akibat daripada sikap nabi Yunus itu, Allah telah mendatangkan ujian. Kapal yang dinaikinya terumbang-ambing dipukul ombak yang mengganas.

Nakhoda kapal mengarahkan supaya semua penumpang membuang barang-barang yang mereka bawa ke laut. Sayangnya, setelah dibuang kesemua barang, ombak masih membadai kapal sehingga kapal terumbang-ambing lagi. Saat itu, undian dibuat untuk mengurangkan manusia yang menjadi muatan dalam pelayaran itu. Tiga kali undian dibuat dan takdir Allah memilih Nabi Yunus sebagai orang yang perlu dibuang di tengah-tengah samudera. Nabi Yunus reda. Sebaik sahaja Nabi Yunus terjun ke dalam laut, seekor ikan yang besar telah menelan Nabi Yunus. Ikan itu ialah ikan Nun. Kata-kata taubat dalam surah Al-Anbiya ayat 87 itulah yang diucapkan olehnya kata-kata taubat selama berada di dalam perut ikan itu.

Itu kisah Nabi Allah yang mulia di sisi-Nya.

Apatah lagi manusia biasa yang selalu berlumuran dosa. Perlu sedar mereka menzalimi diri masing-masing. Allah tak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Manusia lah yang selalu menzalimi diri mereka.

 

Dan sungguh besar kezaliman Si Penindas itu terhadap keluarganya.

 

Puan Sri Mariam mengalirkan air mata tanpa henti. Begitu dia amat merindui arwah suami dan anaknya yang jauh. Dipanjat doa setiap kali solat kepada Maha Esa, agar dia dipertemukan dengan anaknya itu.

 

Apabila diterbalikkan gambar itu ke belakang, tertera sepotong ayat yang berkali-kali menyebabkan dadanya sebak, “Sayang bonda dan ayah dunia akhirat- leo Arden.”

Sungguh berat ujian ini.

 

Aduhai, perit sungguh jiwa ini mengenangkan anak yang sudah lama tidak ditatap, dan dipeluk! Titisan air mata menitis tepat pada wajah remaja lelaki yang amat dirinduinya. Bibirnya mencium bertubi-tubi gambar kenangan itu.

 

Loket dalam kotak kayu itu diambil lalu dibuka. Pesanan arwah suaminya masih segar dimindanya.

 

“Leane, satu-satunya cara untuk tamatkan permainan ini ada pada loket ni. Simpan loket ini baik-baik. Jangan biarkan loket ini jatuh ke tangan orang yang salah. Abang yakin yang permainan ini mampu dimusnahkan. Kalau bukan dengan tangan kita, mungkin suatu hari nanti di tangan orang lain. Permainan ini dicipta oleh tangan-tangan orang yang cintakan medan perdebatan yang mencambah minda bukan perdebatan yang mencetuskan sengketa apatah lagi untuk menzalimi orang. Tolong jagakan Leo untuk abang. Dan…abang nak Leane tahu, yang abang sayangkan Leane sepenuh hati abang. Teruskan hidup walaupun tanpa abang di sisi. Janji!”

Itulah kata-kata terakhir arwah suaminya sebelum menjadi korban atas ketaasuban dan ketamakan golongan yang zalim.

 

Dan kini, dia menggenggam erat loket ini. Hanya satu yang dia mahukan… kembalikan anaknya ke dalam pelukannya setenang helaan nafas dan sekilas kerlipan mata. 

 

“Leo….mana kamu nak?”

Ketukan pintu mematikan lamunannya. Tangisan diseka. Segala isi kenangan silam dikembalikan ke dalam perut kotak kayu dan kotak itu kembali ke dalam perut almari pakaian.

“Siapa?” Soalnya tegas.

“Bik Mun. Semua sudah selesai Puan Sri. Tuan Noah minta Bik Mun panggilkan Puan Sri.” jelas Bik Mun.

“Bik Mun, saya turun sekejap lagi. Suruh Tuan Noah dan Cik Elle makan dulu.” Pesan Puan Sri Mariam.

“Baik, Puan Sri.” Jawab Bik Mun lalu berlalu menyampaikan pesanan kepada Tuan Noah.

Puan Sri Mariam lantas terus melangkah ke dalam kamar mandi untuk mengambil wuduk bagi menunaikan solat dhuha. Dhuha ialah waktu yang diberkati lagi dirahmati. Dia tidak mahu tertinggal detik-detik ini untuk dia mengucapkan kesyukuran kepada Maha Pencipta atas segala nikmat yang diberikan kepada dia sehingga saat ini.

Previous: Bab 20
Next: Bab 22

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Gorjes