Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
110,264
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 2

APABILA terdengar loceng pintu berbunyi, Airel berpaling. Ditekan butang untuk membuka pintu dari tempat dia duduk. Setelah pintu itu terbuka, dilihat seorang perempuan bertudung datang bersama anak perempuannya berusia lebih kurang lima atau enam tahun. Lantas dia melemparkan senyuman.

“Boleh saya bantu?”

Perempuan itu memimpin anak perempuannya mendekati kaunter. “Pendaftaran untuk kelas taekwondo masih dibuka ke?”

“Ya, puan. Silakan duduk.” Lalu, Airel meninggalkan sebentar kerjanya menyemak fail-fail di rak.

Wanita itu mendudukkan anaknya terlebih dahulu ke kerusi yang agak tinggi itu. Kemudian barulah dia pula yang duduk.

Tersenyum Airel memandang anak wanita itu. “Comel,” pujinya ikhlas.

“Cakap apa?” soal wanita itu kepada anaknya, mengajar untuk berbahasa.

“Terima kasih.” Malu-malu dan perlahan suara kanak-kanak itu.

Meleret panjang senyuman Airel. “Sebelum tu, saya kenalkan diri dulu. Saya Airel, jurulatih taekwondo kat sini.”

Wanita itu mengangguk. “Akak tahu. Banyak gambar awak menang pertandingan,” ujarnya merujuk pada bingkai-bingkai gambar yang melata di dinding. Malah, ada juga sijil-sijil pertauliahan kejurulatihan. Di satu sudut pula ada beberapa naskhah buku tentang ilmu mempertahankan diri taekwondo.

Airel tergelak. Memang tujuan gambar dan sijil yang digantung di situ untuk memudahkan dasar kepercayaan orang pada kelas taekwondonya. Juga terdapat gambar dan sijil dua lagi jurulatih di situ.

Tak mahu membuang masa, dia mencapai risalah kelas taekwondo yang ada di atas meja. Disuakan kepada wanita di hadapannya itu.

“Kelas taekwondo ni dibuka untuk kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun saja. Kita ikut silibus basic taekwondo yang sesuai dengan usia kanak-kanak. Contohnya traditional stances, handstactics, striking and blocking, basic kicking...” Airel menjelaskan serba ringkas.

Wanita itu begitu tekun meneliti risalah yang dipegangnya. Di risalah itu ada dicatatkan juga tentang bayaran yuran, bayaran uniform dan jadual latihan.

“Oh... kelas cuma hari Sabtu je?” Wanita itu berkerut pelik.

Airel mengangguk. “Sebab kita banyak mengajar di sekolah-sekolah tadika area KL waktu pagi weekdays. Setakat ini ada 12 sekolah. Sebab tu kita buka kelas kat sini hari Sabtu je. Ahad tutup. Melainkan kalau ada event atau pertandingan kat mana-mana, kita akan pergi bawa budak-budak tu.”

“Hmm... bagus.” Wanita itu mengangguk-angguk. “Tapi kenapa sekolah tadika anak akak tak ada pulak kelas taekwondo? Tadika anak akak kat Dang Wangi.”

“Oh...” Airel tahu sekolah tadika itu. “Ada sekolah yang tak terima kelas taekwondo lagi, puan. Tapi setakat 12 sekolah ni pun tak terkejar rasanya. Kalau ada lagi sekolah yang nak buat kelas taekwondo, kita akan tambah jurulatih lagi. Lagipun, puan... kelas taekwondo ni baru enam bulan dibuka.”

Wanita itu mengangguk faham. “Tak payahlah panggil puan. Rasa macam formal sangat. Panggil akak je. Kak Mimi.”

Airel tahu yang dia sejak tadi bercakap dengan ayat formal. Dah terbiasa apabila berurusan tentang kelas taekwondo itu.

“Akak memang duduk kat Dang Wangi ke?” Airel sekadar bertanya meramahkan diri.

“Akak duduk kat Ampang. Tapi akak ada kedai kat JalanTAR. So, senang nak hantar nak ambil dia balik sekolah.”

“Kedai apa?”

“Jual toys untuk budak-budak. Kedai kecil je, Airel. Pekerja pun sorang je. Tak mampu nak gajikan pekerja ramai-ramai. Sendiri jadi tauke, sendiri jadi kuli. Kalau Airel nak beli untuk hadiahkan kat adik ke, anak saudara ke... datanglah kedai akak.”

“Insya-ALLAH...” Airel tersenyum. Dia sudah membayangkan suasana kedai-kedai di Jalan Tunku Abdul Rahman itu. Memang meriah.

“Siapa nama awak?” soal Airel pada anak Mimi pula.

“Dina.” Perlahan saja suaranya.

“Hai, Dina. Nice to meet you.” Airel bersapa mesra.

“Lepas ni, Dina belajar taekwondo kat sini. Uncle ni yang ajar Dina,” beritahu Mimi.

“Okey!” sahut Airel dengan girang. “Kalau macam tu Dina kena panggil uncle, Sir Airel.” Dicapai tangan Dina, lalu mereka bersalaman.

Mimi ketawa melihat anaknya tersenyum malu-malu. “Kat rumah bila tengok kartun Powerpuff Girls ke, Ninja Turtles ke... berlawanlah dia dengan abang-abang dia. Sebab tu akak nak hantar dia belajar taekwondo. Dia minat seni mempertahankan diri ni.”

“Kalau dia minat, mesti cepat dia naik gred tukar tali pinggang. Okay, Dina? Are you ready?” Airel buat aksi mahu berlawan.

Dina membalas dengan aksi mahu menyerang. Membuatkan Airel dan Mimi sama-sama tergelak. Nampaknya, Dina sudah mula boleh sesuaikan diri dengan Airel. 

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.