Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
110,268
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 24

"OKEY semua. Kita buat regangan ya?” ujar Airel kepada semua murid tadika di hadapannya setelah melihat jam sudah pukul 10.25 pagi. Regangan perlu dibuat sebelum latihan taekwondo ini berakhir.

Masing-masing sudah tahu apa yang perlu dibuat sebelum Airel melakukan demonstrasi. Tersenyum dia melihat kanak-kanak yang beruniform taekwondo di hadapannya ini. Semua comel-comel belaka. Mereka membuat aktiviti regangan bersama-sama sehingga selesai.

“Kita bersurai,” ucap Airel kemudian.

Thank you, Sir Airel!” ucap murid-murid itu serentak.

Airel mengangguk bersama senyuman. Renik peluh yang membasahi dahi diseka dengan belakang telapak tangan.

Setelah meminta diri dengan guru bertugas di tadika itu, Airel tak berlengah melolos masuk ke dalam kereta. Sejak awal pagi lagi dia menahan sabar. Dan inilah masanya!


------------------------

 

AIREL memandu ke destinasi yang mahu dituju. Kereta diparkir ke lot parkir yang kosong. Dengan masih berbaju uniform taekwondo, dia keluar dari kereta. Satu demi satu kedai runcit dia terjah di sepanjang Jalan Dewan Sultan Sulaiman. Masih belum jumpa di mana Intan bekerja.

“Haiya! Kau banyak bikin susahlah! Ini kerja tak buat. Sana kerja pun belum buat. Pening kepalalah aku ini macam. Haiya!”

Terdengar nyaring suara lelaki berbangsa Cina dari arah sebuah kedai. Bagaikan suara orang mengamuk. Terkaku Airel kerana terkejut.

“Kasi cepatlah buat kerja! Apa macam lambat-lambat serupa tak ada tulang. Aku kasi kau kerja, kau buatlah. Jangan kasi darah aku panas ini macam!” Makin kuat suara itu.

Bersegera Airel menghampiri kedai yang berselang sebuah dua buah kedai dari tempat dia berdiri. Dia terkaku apabila nampak kelibat Intan sedang duduk bersila atas lantai sambil memegang mesin penanda harga. Di sisi gadis itu pula bertimbun pelbagai barangan. Mungkin untuk ditandakan dengan label harga.

Tauke kedai yang memakai baju singlet putih dan berseluar kelabu paras lutut itu bercekak pinggang di hadapan Intan.

“Kau bodoh ke?” Tauke kedai itu menunjal-nunjal kepala Intan. “Semua kerja ni kena cepat! Kau buat kerja lembap. Ini macam rugilah kasi kau gaji tapi kerja pemalas! Bodoh punya orang!”

Intan tunduk merenung lantai. Air mata sudah bergenang nak tumpah. Tapi dia tahan. Dia dah cuba buat kerja secepat yang boleh. Kelam-kabut dia mahu siapkan kerja yang berlambak itu. Sedangkan hanya dia seorang yang perlu buat semuanya.

Airel dah menggigil tangannya yang digenggam. Sakit hati melihat Intan diherdik-herdik begitu.

“Pergi angkat beras tu! Kasi letak stor belakang sana. Bodoh punya orang! Cepat!” Tauke itu menolak badan Intan sehingga tubuh gadis itu terdorong ke depan hampir menyembam ke lantai.

Mujur Intan sempat menahan diri dengan lengannya.

Mendadak Airel melangkah masuk ke dalam kedai itu dan berdepan dengan tauke yang sangat kurang ajar.

“Kau tu yang bodoh!” Melengking suara Airel sambil menuding ke wajah tauke yang terkejut melihat tiba-tiba dia muncul di situ dengan muka marah.

Intan memandang ke arah Airel. Terkejut melihat lelaki itu berada di situ dengan uniform taekwondo. Terdiam dia memerhati.

“Kau apa hal?” Tauke itu masih nak tunjuk berlagak.

“Kau suruh dia angkat kampit-kampit beras tu macam tu je?” tunjuk Airel ke arah longgokan kampit beras di sudut kedai. Banyak tu!

“Kau tak ada otak ke nak fikir, tauke? Dia perempuan. Kurus kering. Mana dia kuat nak angkat tu semua!” tambahnya lagi dengan muka berkerut sakit hati.

“Hei, kau siapa? Aku tauke ini kedai. Suka hatilah aku nak suruh aku punya pekerja buat apa. Kau siapa?” Tauke itu membuat muka mengejek.

“Aku pakwe dia!” kata Airel dengan lantang.

Intan berubah cuak. Airel tak habis-habis mengaku dia pakwenya. Tak suka betullah! Dipandang taukenya yang tersenyum sinis, menambahkan kerisauannya.

“Kerja yang kau suruh dia buat tu kerja susah. Angkat barang berat-berat. Dia tu perempuan. Kurus. Kau tak ada rasa kesian ke suruh dia buat kerja berat tu semua? Bila dia buat kerja lambat, kau memekak. Tapi kau suruh dia buat macam-macam. Dah macam kuli batak!” Airel betul-betul menyinga. Dah tak peduli usia tauke itu lebih tua daripadanya.

“Aku bagi gajilah sama dia!” Tauke itu tetap tak nak kalah.

“Gaji sehari RM10. Tapi kena buat kerja macam lembu? Sebab tu aku kata kau tu yang bodoh!” Mata Airel mencerlang memandang tauke itu yang mula sedikit cuak. Lebih-lebih lagi melihat tali pinggang hitam yang dipakai Airel.

Bersegera Intan bangun. Dia tak boleh biarkan pertengkaran itu berlarutan. Ini tempat dia mencari rezeki. Periuk nasinya!

“Dah, dah, dah... jangan gaduh-gaduh.” Intan terus menarik lengan taukenya itu agar jauh daripada Airel. “Tak apa, tauke. Saya boleh buat ini kerja. Saya angkat beras tu semua sekarang. Saya janji saya siapkan kerja cepat-cepat,” pujuknya supaya tauke itu berlembut hati.

Dengan tangkas Airel mencapai lengan Intan agar menjauhi tauke lelaki itu.

Kerana genggaman tangan Airel sangat kuat, Intan terpaksa mengekori lelaki itu.

“Jangan memperbodohkan diri dengan orang macam ni, Intan. Dia ambil kesempatan nak mempergunakan awak. Mentang-mentang awak perempuan, dari kampung pulak tu... dia kerah tenaga awak habis-habisan!”

Intan mengetap bibir geram. Ditarik lengan Airel pula dan dibawa keluar dari kedai itu. Setiba di luar kedai, dilepaskan lengan Airel dengan kasar.

“Awak jangan buat kacau kat sini boleh tak?” rungut Intan sambil sesekali mengerling bosnya yang sedang bercekak pinggang memandang mereka berdua.

“Dia marah-marah herdik awak, suruh awak buat kerja macam kuli batak... takkan saya nak diam je?”

“Tapi ni tempat saya kerja. Tempat saya cari rezeki!” tekan Intan sungguh-sungguh.

“Banyak lagilah kerja kat KL ni, Intan. Bukan kedai runcit ni je. Baru ada kedai runcit buruk macam ni dah nak berlagak kerah orang buat kerja serupa lembu. Tengoklah... mana ada orang datang kedai ni.” Sempat lagi Airel memerli tauke itu dengan nada yang sengaja dikuatkan.

“Airel!” Intan menggeram menahan rasa dalam hati.

Mata Intan dan Airel bertentang.

“Memang banyak kerja kat KL ni. Tapi hanya kedai ni yang terima saya bekerja. Awak ada kerja yang bagus, gaji yang tinggi... bolehlah cakap macam tu. Bagi saya RM10 sehari tu dah cukup besar nilainya. Ni sumber rezeki saya!” Suara Intan bergetar menahan sebak. Mata mula terasa panas.

Airel terdiam kaku memandang Intan. Sedangkan hatinya berkocak dengan perasaan pilu. Dia kesiankan Intan.

“Tak kisahlah berat macam mana sekalipun kerja tu, saya sanggup buat asalkan saya dapat gaji. Asalkan saya dapat kumpul duit nak bayar hutang ayah saya, saya boleh buat apa saja kerja. Kalau saya diberhentikan kerja, saya nak kerja apa? Mana saya nak dapat gaji?” Mata Intan yang bergenangan terus menumpahkan air jernih. Cepat-cepat disekanya. Dalam hati berdoa supaya dia tak diberhentikan kerja.

Hati Airel bertambah kesian melihat Intan. Kendur sedikit amarah hatinya yang tadi panas menggelegak.

“Pergilah balik. Jangan kacau saya buat kerja,” ujar Intan lagi penuh mengharap agar Airel faham.

“Lepas balik kerja, awak pergi mana? Dah dua malam saya tunggu kat dataran. Awak langsung tak ada. Awak kerja ke? Kerja kat mana?” Airel tak boleh nak kawal sikap mengambil beratnya.

“Tak payahlah sibuk-sibuk nak tahu apa saya buat, mana saya pergi. Awak baliklah. Saya nak buat kerja ni. Saya tak nak kena pecat. Tolonglah...” Hampir merayu suara Intan.

Airel melepaskan keluhan panjang. Dalam keadaan sekarang, dia kesal kerana terpaksa membiarkan Intan bekerja di kedai runcit itu.

Dia melangkah masuk ke kedai semula kerana mahu berdepan dengan tauke yang sombong itu.

“Kalau jadi apa-apa kat dia...” Airel menuding ke arah Intan. “Siap kau!” Lalu dipatah-patahkan jari-jemarinya sebelum beredar dari situ.

Intan memandang Airel yang langsung tak menoleh ke arahnya. Seketika baru dia teringatkan kerja yang perlu dia buat. Ditoleh ke arah taukenya.

“Tauke jangan pedulikan dia. Dia bukan pakwe saya. Saya boleh buat semua kerja. Err... saya pergi angkat semua beras sekarang jugak.” Tergesa-gesa dia ke longgokan kampit beras 10 kilogram itu. Satu demi satu kampit beras diangkat dan dibawa masuk ke stor di belakang kedai.

Tauke kedai runcit itu tersenyum. Dia tahu, Intan takkan berani melawannya.
Previous: BAB 23
Next: BAB 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.