Home Novel Cinta OH MY PROTECTIVE PAKWE
OH MY PROTECTIVE PAKWE
muRni aQiLa
16/1/2019 15:09:57
110,275
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
BAB 18

"MARI sarapan dulu, Airel.” Midah mempelawa sebaik sahaja kelibat anak muda itu kelihatan di ruang itu. “Kak Midah masak lontong hari ni. Marilah...”

Airel memandang Midah dan Wanifah yang sedang berada di meja makan. Dia berkira-kira.

“Makanlah dulu sebelum keluar. Sedap lontong Kak Midah buat ni.” Wanifah pula mengajak. Sudah separuh lontong habis dalam mangkuknya.

Mendengar perkataan ‘lontong’ sudah buat Airel terliur. Dilihat jam tangan. Sempat lagi rasanya. Lalu, dia menghampiri meja makan dan terus duduk. Beg sandang tepi yang dibawa diletakkan di kerusi sebelah.

Midah bersegera menghidangkan semangkuk lontong sambal sotong untuk Airel.

Melihat Airel memakai uniform taekwondo, tahulah Wanifah yang anaknya itu ada kelas. “Airel mengajar berapa kelas hari ni?”

“Dua kelas je, ma. Nasib baik dua kelas lagi si Qhai dengan Yana mengajar kat dua sekolah lain. Kalau tak, kalut jugak Airel.” Airel mula menyuap sarapannya.

“Mujur jugak budak berdua tu boleh part time mengajar.”

“Dia berdua study lagi. Bolehlah tolong-tolong. Itu pun kalau dia orang tiba-tiba ada kelas, Airel yang kena pergi mengajar sorang-sorang. Tak pun cari member yang free yang boleh turun mengajar.” Sambil bercakap, sambil Airel menyuap. Laju suapannya.

“Kalau macam ni, payahlah Airel nak sambung Master macam budak berdua tu.” Seketika Wanifah terkejut melihat telatah Airel yang menyuap dengan laju. “Perlahan-lahanlah makan tu, Airel.”

“Kelas pukul 9.00, ma...”

Wanifah melihat jam di dinding. “Baru pukul 8.05 sekarang ni. Sekolah tempat Airel mengajar bukan jauh pun.”

“Ni airnya, Airel. Jangan sampai tercekik.” Midah sudah kerisauan. Air teh panas diletakkan di tepi Airel. Dia kembali menyambung makan. Melihat Airel seakan mahu mencucuk pinggangnya, terus dia mengangkat jari telunjuk tinggi-tinggi.

“Jangan nak menyakat Kak Midah ya?” amarannya. “Tengah kelam-kabut nak cepat pun masih sempat lagi nak mengusik orang.”

Tersengih Airel. Tak jadi nak buat Midah melatah.

Tergeleng-geleng Wanifah melihat telatah anak sulungnya itu. “Mama pun ada meeting persatuan jugak ni pukul 9.00 kejap lagi. Tak kalut pun.”

Airel memandang mamanya yang cantik bertudung bawal satin bercorak warna dusty pink berlilit di leher dan memakai pakaian suit warna kelabu gelap.

“Apa sangatlah meeting mama tu. Bukan penting sangat pun.”

“Tak penting Airel kata? Eh, mama ni setiausaha Persatuan Wanita Kuala Lumpur tau. Tak ada mama, meeting tak jalan.”

Tersenyum bangga Airel. Mamanya watak penting dalam persatuan yang antara paling aktif di Malaysia. Saja je tadi dia mengusik mamanya.

“Kalau saya jadi ahli, saya lantik puan jadi presiden persatuan. Lagi sesuai.” Midah mencelah, disambut gelak malu Wanifah.

Airel mengangkat tangan kiri. “Airel sokong!”

“Sudahlah, jangan merepek. Nanti kalau Airel sempat, singgah tengokkan Roza. Dia dialisis hari ni.” Wanifah teringatkan anak saudaranya itu.

“Roza tu sebaya Airel kan, puan? Tapi dah rosak buah pinggang dia. Kesiannya...” ujar Midah dengan raut wajah kelihatan sayu.

“Dia muda setahun dari Airel.” Wanifah melepaskan nafas panjang. “Itulah, kesian... dah nasib dia.” Dipandang Airel pula. “Dengar tak mama cakap ni?”

Airel sudah selesai makan. Dia mengangguk-angguk. “Insya-ALLAH. Papa dah pergi kerja ke, ma?”

“Papa awal-awal lagi dah keluar pergi ofis.”

“Nanti mama tolong tanyakan papa kalau-kalau ada tempat untuk disewa kat area KL ni.”

Wanifah memandang Airel dengan dahi berkerut. “Kenapa pulak?”

“Yalah... papa kan dalam bidang Properties and Development kat KL ni.”

“Memanglah. Tapi untuk apa?”

Airel terdiam seketika. “Err... untuk kawan nak menyewa bilik.”

“Menyewa bilik?” Wanifah masih berkerut. “Kalau nak menyewa bilik, cari jelah iklan untuk sewa bilik.”

Cepat-cepat Airel meneguk air teh yang sudah suam itu sehingga habis. “Okeylah, ma... pergi dulu.” Tangan Wanifah dicapai sendiri dan bersalaman sebelum beredar ke ruang hadapan.

Wanifah tercengang-cengang. “Apa hal budak tu? Tiba-tiba minta papa dia cari bilik sewa. Kalau rumah ke, tanah ke, bangunan ke...bolehlah. Ini bilik?” Dipandang Midah yang hanya memerhati.

Midah menjongketkan bahu.


----------------------

 

PINTU kaca itu ditarik. Sebaik sahaja melangkah masuk, Airel sudah terpandang wajah Roza yang sedang duduk di ruangan menunggu.

Sorry, abang lambat. Dah sampai turn ke belum?” Airel menyapa sambil duduk di sebelah Roza.

“Dah siap dah, bang.” Roza berpeluk tubuh.

Airel melihat jam tangannya. Sudah pukul 4.30 petang. Memang dah lambat pun. “Abang ada kerja tadi kena buat. Mana mak uda?”

“Tunggu mamalah ni. Biasalah dia, jumpa klien. Kata sekejap. Ni dah dekat pukul 4.30 tak muncul-muncul.” Roza seakan merajuk nada suaranya.

Airel berfikir seketika. “Tak apalah, abang hantar Roza balik.”

“Betul ni?” sambut Roza dengan wajah ceria.

“Abang call mak uda kejap, nak beritahu dia yang abang hantar Roza balik.” Airel mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar jeans.

Roza bangun perlahan-lahan. Selepas rawatan dialisis, dia berasa penat dan pening kepala. Risau andai dia rebah jika tak terkawal keadaan peningnya itu. 

Airel mencapai beg tangan Roza. “Abang bawakan.”

Roza dengan senang hati menyerahkannya kepada Airel.

“Aihh... berat jugak beg Roza ni. Roza bawa batu-bata ke?” Beg itu Airel sarungkan ke celah lengan.

“Roza bawa novel. Yalah... lama kot buat dialisis. Boleh baca bila bosan.”

Lalu, mereka keluar dari pusat dialisis itu. Roza yang sudah mula tak rasa begitu pening, melangkah perlahan-lahan. Sementara Airel pula sambil berjalan ke kereta, dia menghubungi Mariam.

“Helo, mak uda... Airel dengan Roza ni. Airel hantar dia balik rumah.” Tak bertangguh, terus Airel memberitahu mak udanya itu.

“Ohh... mak uda baru habis meeting dengan klien kat Cheras ni. Kalau macam tu kita jumpa kat rumah. Airel makan kat rumah mak uda sekali.” Mariam menyuruh. Tanda berterima kasih pada anak saudaranya itu.

“Hmm... okeylah. Bye.” Airel bersetuju saja sebelum memutuskan talian.

Roza yang memerhati Airel bertanya. “Mama cakap apa?”

“Mak uda kat Cheras.”

“Kat Cheras? Hmm... kalau nak tunggu mama datang, memang berjanggutlah Roza menunggu,” rungut Roza. Muncung bibirnya.

“Untunglah berjanggut. Ada orang tunggu sampai tumbuh ekor.” Airel berlawak.

Terkekeh-kekeh Roza ketawa.

Senang hati Airel melihat senyuman Roza. “Kan elok ketawa. Ni dahlah sakit. Muka monyok pulak. Dah macam rupa penyodok.” usiknya pula.

“Abang ni!”

Pap!

Menyeringai muka Airel menahan sakit ditampar Roza di belakang badannya. “Alah... gurau pun marah.”

Roza mengulum senyum.

Mereka melolos masuk ke dalam kereta Airel. Mujur tak jauh kereta yang diparkir Airel. Enjin kereta dihidupkan.

“Petang-petang macam ni nak balik ke Ampang tu... entah pukul berapa sampai. Mak uda ajak makan sekali pulak.” Airel mula berkira-kira.

“Abang pun dah lama tak makan kat rumah. Sombong sekarang ni.”

“Sombong apa bendanya? Bulan lepas abang makan kat rumah mak uda tu tak ingat?” Kereta mula bergerak keluar dari kawasan itu.

“Bulan lepas eh?” Roza pura-pura hilang ingatan.

“Bulan lepaslah. Abang datang dengan mama, dengan budak kembar dua orang tu.” Airel mengingatkan.

Roza ketawa. “Rasa macam dah lama dah. Padahal baru bulan lepas ya?”

“Ni kesan sampingan ubat dialisis ke? Saraf otak cepat mengecut,” sakat Airel lagi.

“Abang! Abang ejeklah, ejek. Nanti abang sakit macam Roza, baru abang tahu.” Muncung bibir Roza.

Berdekah Airel ketawa. “Orang gurau pun tak boleh.”

Roza hanya menjeling Airel.

“Tengok. Baru gerak sampai sini dah jammed.” Kereta yang Airel pandu mula bergerak perlahan. Banyak kenderaan di hadapannya. “Pukul berapa nak sampai rumah ni?”

“Kalutlah Abang Airel ni. Tak lari rumah Roza tu. Mesti sampai punya.”

“Sampai memanglah sampai. Kalau dah lambat sampai, abang malas nak makan. Nak terus balik. Kalau makan, lambat pulak abang balik.” Airel sudah merangka rancangan. Mariam takkan marah kalau dia tak makan.

“Sesekali datang rumah Roza pun banyak merungutlah abang ni.”

“Bukan merungut. Ni namanya abang punya time management.”

Roza mencemik. “Kalau dah lambat, tidur jelah kat rumah tu. Apa susah?” cadangnya.

Airel pula yang mencemik. Ada saja jawapan Roza ni.

Roza sudah tersenyum-senyum kemenangan. 

Previous: BAB 17
Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.