Home Novel Cinta AWEKKU KEMBAR
Bab 48

48

TENGKU REZA pulang ke rumah agak awal malam itu, lebih kurang dalam pukul 11.30. Sewaktu dia melangkah masuk, abang iparnya, Tengku Mohit, berada di ruang tamu bersama-sama dengan Tengku Sarah. Kelibat anak saudaranya pula tidak kelihatan. Mungkin Jib berada di bilik, hatinya berbisik.

Dia sedar abang iparnya langsung tidak menoleh ke arahnya sewaktu dia melangkah masuk tadi. Lelaki itu seolah-olah terlalu membencinya sehingga memandang wajahnya juga dia enggan. Mungkin kalau muka aku ni sehandsome muka pelakon Aaron Aziz atau Remy Ishak barulah Tengku Mohit terteleng-teleng nak menengok aku, kut? Ah, lantaklah! Tak mati pun kalau dia tak sudi nak tengok muka aku ni.

“Reza, kau dah makan ke? Kalau lapar, kat dapur tu ada nasi dan lauk. Kau carilah sendiri ye.” Tengku Sarah menyapanya ramah.

“Dah pukul berapa ni, takkanlah dia tak makan lagi!” Kedengaran Tengku Mohit menyampuk kata-kata isterinya sebelum sempat Tengku Reza menjawab.

“Tak apalah, saya memang dah makan pun. Kawan belanja.” Sahut Tengku Reza sambil segera berlalu meninggalkan pasangan itu.

Dia melangkah ke bilik anak saudaranya. Tanpa mengetuk daun pintu, dia terus melangkah masuk. Dilihatnya Tengku Najib sedang tekun menaip sesuatu di laptopnya.

“Kau buat apa tu?” soalnya sebaik sahaja dia melabuhkan punggung ke birai katil. Terjengah-jengah kepalanya hendak mengintai apa yang sedang ditaip oleh Tengku Najib.

“Nak siapkan assignment bodoh nilah. Isnin ni nak kena hantar kat lecturer jam 8.00 on the dot! Tak boleh lambat barang seminit pun,” Tengku Najib menjawab tanpa memalingkan wajahnya dari dada laptop.

Perkataan ‘assignment bodoh’ yang terkeluar dari mulut Tengku Najib seketika tadi membuatkan dia ketawa.

“Kau ni Jib, siapkan kerja macam tak ikhlas aje? Banyak lagi ke assignmentkau tu?”

“Dua para lagi siaplah. Kenapa Uncle Reza, nak keluar balik ke? Yuk, saya ikut. Boringlah kat rumah aje.”

“Papa dan mama kau bagi ke kau keluar tengah-tengah malam ni, nak mengekor aku pulak tu? Papa kau tu bukannya sukakan aku pun. Nanti tak pasal-pasal aku dituduh cuba mempengaruhi kau pulak.”

Uncle, saya ni bukannya budak kecil lagi yang tak tau bezakan mana yang baik dengan yang buruk.” Tengku Najib menjawab, tegas.

“Kau cakap senanglah. Papa dan mama kau macam mana? Ah, esok ajelah kita keluar. Sementara tu malam ni kau layan dululah rasa boring kau tu.”

“Hmmmph!” Tengku Najib mendengus.

Tengku Reza berdekah.

“Boring-boring kau pun, kau ada awek. Call ajelah dia.”

“Malaslah, entah-entah Anne dah tidur.” Sahut Tengku Najib. Sebenarnya dia seriau hendak menghubungi gadis itu kerana beberapa panggilan Annessa telahpun diabaikannya. Mesej daripada Annessa juga terbiar, tidak dibalasnya.

Bukannya dia bencikan gadis itu, bukan! Malah, rindunya pada Annessa terasa membuak-buak. Sejak dia rapat dengan Annessa, tidak pernah sehari pun mereka tidak berhubung. Panggilan telefon dan SMS bagaikan jambatan yang menghubungkan mereka kalau ditakdirkan faktor jarak menjadi penghalang kepada sebuah pertemuan.

Cuma, beberapa kejadian yang menimpa dirinya sejak akhir-akhir ini memaksa dia menjarakkan sedikit hubungannya dengan Annessa. Bermula daripada pergaduhannya dengan Hisyam di padang ragbi, kebencian mamanya terhadap Annessa yang bagaikan tidak berpenghujung serta beberapa perkara lain yang meletakkan dirinya sebagai seorang pemikir – memikirkan sejauh manakah dia dapat mempertahankan hubungannya dengan gadis itu.

Tepukan yang hinggap di bahunya membuatkan dia tersedar daripada lamunan. Wajah Annessa yang tadi tersenyum manis ke arahnya, menghilang entah ke mana.

“Jangan fikir panjang-panjang, penatkan otak dan buang masa aje. Pagi-pagi esok kau dan aku keluar joging, amacam?”

“Alright!” Tengku Najib terus bersetuju.

“Hmm... macam tulah anak jantan. Anak jantan kena gagah, jangan cepat leweh semata-mata sebab perempuan.” Sekali lagi tepukan Tengku Reza hinggap ke bahu anak saudaranya, kali ini agak kuat daripada tadi.

DIA meninggalkan bilik anak saudaranya lalu menuju ke bilik sebelah. Dia menekan punat tv, sengaja membiarkan tv terpasang walaupun tumpuannya tidak kepada apa yang sedang dipaparkan di dada tv ketika itu.

Dia melabuhkan punggungnya ke birai katil.

Uncle, saya ada satu soalan nak tanya uncle ni...”

“Tanya ajelah.”

“Kenapa papa dan mama macam tak rapat aje dengan uncle? Layanan mereka pada uncle tak macam layanan mereka pada Uncle Amir?”

“Kan aku dah kata, aku ni tak sehandsomeAmir sebab tulah mereka tak pandang pun aku ni!” Dia menjawab. Kasar suaranya.

“Err... uncle marah ke?”

Dia melambakkan tawanya. “Nak buat apa aku marahkan kau, Jib? Dah orang tak suka kat aku, nak buat macam manakan? Takkan nak paksa orang sukakan kita pulak. Biarlah, aku tak kisah. Lagipun aku bukannya nak tinggal di sini selama-lamanya, dah bosan nanti aku tinggalkanlah tempat ni.”

Kata-katanya itu membuatkan Tengku Najib terdiam.

“Okeylah, assignment kau dah siapkan? Pergilah tidur. Pagi-pagi esok, aku kejutkan kau. Kita keluar joging.” Dia segera berlalu meninggalkan Tengku Najib.

Dan kini, setelah dia bersendirian di biliknya, peristiwa silam itu tertayang kembali di ruang ingatannya. Ketika itu dia berusia lebih kurang 10 tahun, sedang berada di ruang tamu mengadap tv yang sengaja dibiarkan terpasang. Pun begitu dia dapat mendengar dengan jelas pertengkaran yang tercetus di antara ayahanda dan bondanya.

“Kenapa abang ni suka ungkit kisah yang dah berlalu tu, hah? Kenapa? Dulu saya suruh abang ceraikan saya, tapi abang yang tak nak. Sekarang ni kenapa asyik ungkit aje peristiwa silam tu? Abang sengaja nak seksa saya kan?” Dia mendengar suara bondanya.

“Memang aku takkan ceraikan kau sampai bila-bila pun. Dalam keluarga aku, tak pernah ada yang bercerai tau.” Dia terdengar ayahandanya menjawab. Kasar.

“Kalau abang tak nak ceraikan saya, kenapa asyik ungkit-ungkit hal yang dah berlalu tu?”

“Sebab aku nak hidup kau diselubungi rasa bersalah. Siapa suruh kau curang dengan aku, hah, di rumah aku sendiri pulak tu? Sepatutnya kau sebagai isteri menjaga kehormatan diri kau semasa aku tiada di rumah, tapi kau sanggup bawa jantan lain masuk ke bilik tidur kita. Kau memang sundal! Sundal!!!”

Dia terdengar bunyi kerusi yang seolah-olah dilemparkan ke dinding. Kemudian dia terdengar suara bondanya meraung. Dia menutup kedua-dua belah telinganya dengan tangan, enggan mendengar raungan bondanya dan jerkahan ayahandanya.

“Tu di luar tu buktinya. Hasil perbuatan sundal kau dengan jantan lain!” Suara ayahandanya menggegar seluruh isi rumah. Seketika kemudian dia melihat ayahandanya lalu di depannya, melemparkan renungan penuh kebencian ke arahnya sebelum menonong meninggalkan rumah.

Dia mengangkat kedua-dua belah tangannya, lalu merenungnya lama. Benarkah seperti apa yang ayahanda pernah katakan bahawa aku ini terhasil disebabkan hubungan sulit bonda dengan lelaki lain? Kalau begitu, darah yang mengalir di setiap urat sarafku ini berbeza daripada darah yang mengalir dalam diri Tengku Sarah juga Tengku Amirul. Patutlah mereka juga tidak pernah menyukai aku. Patutlah mereka juga membenciku.

Semuanya salah bonda. Ya, bonda yang bersalah.

Seketika kemudian dia melihat bondanya melangkah ke arahnya.

“Reza...” Panggil bondanya, lembut.

Dia menggetap bibir, geram. Kaulah yang menyebabkan ayahanda membenci aku. Aku sebagai anak lelaki sepatutnya ada seorang ayah untuk dijadikan idola hidupku, tapi sebab kaulah ayahanda meminggirkan aku.

“Reza, nak ke mana tu? Reza!”

Dia tidak menghiraukan panggilan bondanya, sebaliknya berlari keluar menuju ke arah kegelapan malam.

Kini, baik ayahanda mahupun bonda... kedua-duanya sudah pun tiada. Yang ditinggalkan mereka hanyalah sisa-sisa memori yang menyakitkan itu. Dia menarik nafas dalam-dalam. Kalau benar tuduhan ayahanda bahawa bonda pernah berlaku curang sehingga tercambahnya benih haram ini di rahimnya, agaknya siapakah gerangannya lelaki itu – lelaki yang yang sanggup mencambah benih ke tanah yang bukan menjadi hak miliknya?

Dan, apakah aku berpeluang bertemu dengannya, kalau benar dia adalah ayah kandungku? Argh!!!


Previous: Bab 47
Next: Bab 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.