Home Novel Cinta Tangisan Bidadari Pertama
Tangisan Bidadari Pertama
Pena Putera
16/11/2021 20:04:53
7,213
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

HARI ini, Tasnim sengaja duduk di luar rumah menunggu suaminya pulang. Dia membawa kucingnya keluar bermain dan bermain telefon untuk menghilangkan kebosanan. Terkadang dia melayari halaman Facebook. Jika bosan, dia melihat video pendek di TikTok.

Namun begitu, fikirannya tidak di situ. Masih memikirkan hal kelmarin. Sejujurnya, entah mengapa sekadar log panggilan itu membuatkan dia menjadi cukup gelisah seharian ini. Cuba untuk diendahkan, tetapi hati seorang isteri ini memang tidak boleh membiarkan sahaja itu berlalu begitu mudah.

Dalam Tasnim hanyut dengan fikirannya, kedengaran bunyi enjin kereta menghampiri kawasan perumahannya. Mata Tasnim mencari asal bunyi itu. Kelihatan kereta suaminya diluar, sedang memarkirkan keretanya. Tidak lama itu, suamina turun daripada kereta usai mematikan enjin.

Tasnim aneh.

Awal suaminya pulang hari ini. Baru pukul lima.

Bukan itu sahaja, selalunya Aswad akan menghabiskan masa di dalam kereta usai tiba di rumah. Akan tetapi, hari ini suaminya tidak melakukan kebiasaannya itu.

Tanpa sebarang bicara, Aswad hanya melangkah masuk ke dalam rumah tanpa menyapa isterinya. Tasnim hanya memandang suaminya tanpa berkata apa-apa juga.

Sebelum sempat fikirannya jauh melayang, kedengaran bunyi hon daripada sebuah van. Tasnim hanya tersenyum. Dia tahu itu pasti barang pesanan anaknya.

"Muhammad Asyraf, ya?" tanya posmen tersebut.

Tasnim mengiyakan apabila nama anak sulungnya disebut. Rasanya sudah beribu kali nama itu disebut oleh berpuluh posmen yang datang ke rumahnya untuk menghantar barang.

"Okey, terima kasih."

Tasnim mengambil kotak di atas tembok pagar itu. Kotak yang bersaiz sedang itu diletakkan di atas bangkunya.

"Abang kau beli apa ini lagi, Belang? Hari-hari ada aje barang sampai," omel Tasnim kepada kucingnya. Tapi si Belang hanya memberi reaksi kosong.

"Dalam stor itu, penuh dah dengan barang. Boleh buka kedai runcit, dah!" Tasnim menyambung lagi omelannya. Walaupun dia tahu kucingnya itu tidak akan menjawab, tetapi Tasnim senang kerana ada juga teman untuk dia berbicara.

Seharian dia menyendiri di rumah, Tasnim berasa sunyi. Walaupun Tasnim mempunyai dua orang anak, tetapi si sulung sedang bekerja manakala si bongsu masih bersekolah membuatkan dia terasa sepi di rumah.

Oleh itu, untuk menghilangkan rasa sunyi... Dia mengambil insentif untuk berniaga. Alhamdulillah, walaupun tidak seberapa namun dia memperoleh pendapatan sendiri. Kerjanya hanya menjual barangan yang boleh dibeli secara tunai ataupun ansuran. Dengan sokongan kawan-kawannya dan orang luar, dia mampu menapak maju setapak.

Kadangkala Tasnim terfikirkan masa lalunya ketika anak-anaknya masih kecil. DI saat rumahnya masih dipenuhi bunyi anak-anak kecil sedang bermain dan kadang-kadang bunyi tangisan. Juga bunyi anak-anak kecil sedang bergaduh.

Dalam diam, dia tersenyum sendiri. Momen yang pernah memberi tekanan untuknya dalam membesarkan anak-anaknya pada suatu ketika dahulu, menjadi momen yang paling terindah untuk dia kenang dia usia 40-an sebegini ketika anak-anaknya sudah membesar.

Kini, rumahnya terasa lebih sunyi. Anak-anaknya lebih suka menyendiri dengan hal masing-masing. 

Entah mengapa, dia rindukan masa lalu itu.


"BELI apa lagi itu?" tanya Tasnim tatkala melihat anaknya sedang membuka kotak usai pulang daripada kerja. Asyraf cuba untuk membuka pita pelekat pada kotak tersebut dengan tangannya tanpa menggunakan sebarang peralatan. Usai kotak tersebut dapat dibuka, dia mengeluarkan sepaket Milo.

"Milo." Ringkas jawapan Asyraf.

"Hari itu ayah baru beli Milo," ujar Tasnim, mengingatkan dia dan suaminya baru sahaja membelinya ketika berbelanja barang dapur minggu lepas.

"Dah murah, beli ajelah."

Tasnim hanya menggeleng. Dia tahu anaknya yang seorang ini memang kaki shopping online. Tahu sahaja segala diskaun dan baucar menarik yang dia sendiri pun tidak tahu daripada mana anaknya ini boleh tahu dan cari.

"Murah pun bayarnya pakai duit juga," ingat Tasnim.

Asyraf tidak menjawab. Dia membuka kotak yang kedua. Di dalam kotak itu, ada pula dua botol kicap.

"Kicap dalam stor itu pun ada lagi, dah beli lagi."

"Benda free, ambil ajelah."

"Ya ke free?"

"Pos ajelah bayar."

Sukar untuk Tasnim percaya, tapi itulah kenyataannya. Ada juga dia fikir, anaknya ini memang genius benar kalau bab shopping online.

"Dah claim ke duit beli semua ini dengan ayah?" tanya Tasnim kepada anaknya.

"Belum."

"Jangan buat main-main. Nanti tak dapat sesen. Habis duit aje beli ini," pesan Tasnim.

Walaupun anaknya itu banyak membeli barang keperluan dapur di internet, tetapi Tasnim risau kerana kebanyakkannya menggunakan duit anaknya sendiri. Terkadang dia tidak mahu anaknya itu yang menghabiskan duitnya untuk membeli barang keperluan kerana itu adalah tanggungjawab suaminya, bukan anaknya.

"Hmmm." Asyraf seperti tidak mengambil endah.

"Asyraf jangan buat main duit ini. Ayah itu duit ibu pun liat nak bayar. Ini tengok Asyraf beli semua ini, lagilah dia suka tak payah keluarkan duit."

Tasnim cuba menasihati lagi, "Kalau beli apa-apa lagi, terus aje minta duit dengan dia. Jangan buat senyap. Beli semua ini tanggungjawab dia. Memanglah murah, tapi duit juga."

Asyraf tidak mengendahkan nasihat ibunya. Dia berlalu pergi membawa kotak-kotak dan sisa bungkusan untuk dibuang. Tasnim hanya mengeluh perlahan.

Dia kenal anaknya itu mempunyai habit memburu baucar murah dan membeli barang murah di internet. Tetapi, dia tidak mahu anaknya itu menghabiskan duitnya sendiri. Biarlah apa yang menjadi tanggungjawab orang tua itu, itulah yang ditanggung orang tua. Bukannya sang anak.

Tasnim bimbang, jika anaknya terus bertindak sedemikian, suaminya akan jadi semakin lalai dengan tanggungjawabnya.


TASNIM sedang sibuk membuat kira-kira hasil pendapatannya selama seminggu ini. Dia ingin merekodkan keluar masuk duit bisnes kecilnya. Tidak banyak, tapi Tasnim masih bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan kepadanya itu.

Tiba-tiba ada satu mesej masuk. Riak wajah Tasnim berubah.

"Tasnim pening betul dengan seorang ini."

"Hmmm?" Aswad yang sedang khusyuk bermain dengan telefonnya, cuba untuk menunjukkan dia mendengar isterinya.

"Tasnim dah cakap, kalau barang ada rosak... Tak boleh pulang balik duit."

"Asal nak pulang pula? Bawa ajelah pergi kedai baiki balik."

"Itu Tasnim cakap. Sebab barang itu ada warranty lagi. Ini dia tak nak, nak pulangkan barang itu dekat Tasnim. Minta refund duit."

"Pulak..."

Tasnim hanya mampu mengeluh. Itulah antara ragam pembeli yang dia hadapi. Ada sahaja yang aneh-aneh sehingga pening untuk dia menangani satu demi satu masalah. Dia tidak mampu berkata kasar kerana bimbang jika pembeli itu terasa hati. Tapi, bahasa apa yang mudah untuk dia gunakan bagi pembeli-pembeli ini mudah untuk faham.

"Kalau dia nak pulang, bagi ajelah duit. Nak sangat duit itu," kata Aswad tidak berpuas hati.

"Mana boleh, kalau dia pulang dekat Tasnim... Tasnim tak boleh pulangkan balik dekat supplier. Tasnim pun dah cakap dengan supplier, dia sendiri suruh bawa barang itu and nanti supplier tengok apa dia boleh buat. Ini main minta refund duit aje."

Aswad mendengus, "Itu namanya pembeli bangang. Ikut suka mak bapak dia aje."

Tasnim hanya mendiamkan diri. Tidak lagi berkata apa-apa. Dia kembali fokus dengan telefonnya.

Tidak lama itu, Aswad bangun dan keluar dari biliknya. Tasnim pada mulanya tidak mengendahkan itu. Namun, tiba-tiba matanya perasan akan telefon suaminya yang ditinggalkan di atas meja tepi katil.

Pada mulanya, Tasnim seperti tidak berfikir apa-apa. Namun, entah mengapa hatinya tergerak untuk mengambil telefon suaminya. Namun, belum sempat tangannya mencapai, suaminya muncul semula dan mengambil telefon.

Tasnim hanya memerhati dalam diam sebelum suaminya keluar semula dengan membawa telefon. Jauh di sudut hati, Tasnim merasakan ada yang tidak kena.

Naluri isterinya mula berkata sesuatu.


"KAK TASNIM tak jumpa apa-apa?"

"Tak."

Tasnim menjawab soalan adiknya di hujung talian. Jarinya menguis di atas meja.

"Memang tak ada apa-apa yang mencurigakan, ke?"

"Yang panggilan dia buat masa dia balik itulah Kak Tasnim tak jumpa. Yang lain macam tak ada apa-apa sangat."

"Hmmm... Jangan-jangan dah dipadam kut. Mungkin Abang Aswad dah padam semua mesej itu supaya Kak Tasnim tak dapat baca," teka Bella dengan kemungkinannya sendiri.

"Kak Tasnim tak tahulah. Cumanya Kak Tasnim nak tahu, siapa yang dia telefon masa dia dalam kereta itu. Kak Tasnim check telefon dia, memang tak ada. Ada satu panggilan masuk dalam pukul lima setengah. Lepas itu terus panggilan pukul sembilan lebih."

"Memang tak ada langsung?" Bella meminta kepastian.

"Memang tak ada Bella," jawab Tasnim penuh pasti. "Kak Tasnim dah check, memang tak ada. Maksudnya apa? Maksudnya dia padam yang dengan siapa dia call itu. Kak Tasnim rasa tak sedap hatilah Bella."

Tasnim meluahkan kerisauannya.

"Bella pun tak tahu nak cakap apa. Sebab kita tak ada bukti, kan? Kita main syak macam itu aje."

"Kak Tasnim bukan apa Bella... Kak Tasnim ini, dah dua puluh tahun lebih kenal Abang Aswad. Kak Tasnim kenal dia. Kak Tasnim tahu kalau dia ada buat apa-apa, memang dia mula jadi lain."

"Macam hari itu, Kak Tasnim nampak dia tengah call dalam kereta masa keluar buang sampah depan rumah, cepat-cepat dia tutup telefon. Dia masuk aje rumah, dia terus pergi makan. Kak Tasnim tak pernah nampak dia macam itu," sambung Tasnim lagi.

"Sekarang ini, apa firasat Kak Tasnim?"

"Kak Tasnim tak tahu. Tapi, mintalah Allah jauhkan semua itu. Dulu pun dia buat macam ini juga dekat Kak Tasnim. Tapi dululah, masa kami muda. Sekarang dah usia nak tua macam ini, kalau dia ulang balik... Kak Tasnim tak tahu nak cakap apalah."

Sesungguhnya, jauh di sudut hati... Tasnim cuba untuk menidakkan semua prasangkanya.

"Kita doa ajelah moga-moga tak ada apa-apa. Mungkin masa itu dia call dengan orang lain."

"Amin."

Tasnim hanya mampu berharap... tetapi dia tahu Allah yang menentukan takdir.


Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.