Home Novel Cinta Tangisan Bidadari Pertama
Tangisan Bidadari Pertama
Pena Putera
16/11/2021 20:04:53
7,179
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

"SIAPA yang telefon itu?"

Aswad yang baru sahaja turun dari kereta, tersentak dengan soalan isterinya.

"Aboi, budak pejabat." Aswad yang kelihatan cuak, menjawab lalu melangkah cepat masuk ke dalam rumahnya.

Tasnim hanya melihat suaminya masuk ke dalam rumah. Dia meletakkan sampah di dalam tong sampah di hadapan rumahnya. Sebelumnya, dia perasan suaminya itu masih di dalam kereta ketika dia mahu membuang sampah. Agak lama dia perhatikan suaminya sedang berhubung dengan seorang di dalam panggilan.

Tetapi, ketika dia keluar untuk membuang sampah, tiba-tiba suaminya terus mematikan panggilan, seolah-olah tidak mahu dia mengetahui sesuatu.

Dia perasan, sejak belakangan ini, setiap kali suaminya pulang, suaminya akan menghabiskan masa di dalam kereta dengan membuat panggilan kepada seseorang. Kadang-kala, ada juga ditanya pada siapa yang dihubungi suaminya.

Jawapannya selalu berkaitan dengan staf di pejabat. Maka, Tasnim tidak terlalu syak wasangka terhadap suaminya. Walaupun ada secebis rasa ragunya, tapi dia memilih untuk lebih memercayai suaminya. Lagipula, sejak belakangan ini memang suaminya sibuk.

Maka, dia tidak mahu terlalu curiga dengan suaminya. Terlalu stres juga tidak bagus untuk kesihatan jantungnya.

"Hari ini awak masak ini je?" tanya Aswad sebaik sahaja Tasnim muncul. Tasnim yang mahu ke dapur ingin menggantikan plastik sampah, terkejut dengan soalan itu.

"Ini aje. Tapi nasi ada sikit aje. Saya ingat baru nak masak yang baru."

"Ya ke?"

Aswad terus ke periuk nasi. Diambil pinggan dan dicedok semua saki-baki nasi ke dalam pinggan.

"Haih, awak nak makan ke?"

Aswad hanya mengangguk untuk soalan Tasnim.

"Cukup ke itu? Tunggulah saya masak yang baru dulu."

"Tak apalah." Aswad menolak dan diletakkan pinggan ke atas meja. Dia mencedok lauk di pinggan lauk ke dalam pinggannya.

Tasnim yang kehairanan dengan tindakan suaminya, bertanya, "Tak pernah lagi awak terus makan selepas habis kerja? Tiba-tiba hari ini balik terus makan."

Aswad tidak menjawab. Dia lebih fokus menjamu selera hidangan di depannya.

Tasnim segera melangkah ke ruang tamu. Dia melabuhkan punggungnya di sofa. Pandangan teralih kepada kereta di luar pagar rumah. Fikirannya melayang ke waktu sebentar tadi.

Entah mengapa, tiba-tiba dia merasakan hatinya berasa tidak enak. Seperti sesuatu sedang mengganggunya, tetapi entah apakah perkara tersebut.

Sejujurnya, dia tidak mahu itu berlaku lagi.

Dia sudah berusia 40-an. Perkahwinan ini juga sudah mencecah usia 21 tahun.


"LEPAS itu, Kak Tasnim tak syak apa-apa?"

Tasnim membisu seketika dengan soalan itu. DIa tidak tahu mahu memberi reaksi apa.

"Entahlah, Kak Tasnim pun tak tahu nak cakap apa. Mungkin memang betul dia telefon dengan kawan tempat kerja dia."

"Yalah, tapi tak akanlah setiap hari. Maksud Yuna, kenapa setiap kali dia balik kerja dia tak masuk rumah dulu? Logiklah kalau orang balik rumah dari tempat kerja, dia terus masuk rumah, mandi lepas itu... rehat ke atau makan ke. Ini duduk lepak dalam kereta? Bella pelik, Kak Tasnim." Bella, adik Tasnim meluahkan pendapatnya terhadap cerita yang diceritakan kakaknya.

"Kak Tasnim pun tak tahu nak cakap apa... Lagipun sebelum ini memang dia ada banyak dapat kerja kena handle. Jadi Kak Tasnim tak syak sangat. Dengan masalah staf buat hal, drivers selalu tak masuk kerja. Kak Tasnim cuba fahamkan keadaan dia. Macam Kak Tasnim cakap, setiap hari dia memang ada aje orang call."

Tasnim menyambung lagi, "Cuma yang ini aje, dia call dengan seseorang dalam kereta. Kak Tasnim sendiri tak tahu siapa."

"Kak Tasnim cubalah check siapa dia call itu. Bella bukan apa, orang lelaki ini kita tak boleh percaya sangat. Kak Tasnim jangan salah faham, cuma itulah... Bella risau aje," ujar Bella dengan harapan kakaknya tidak tersinggung dengan kata-katanya.

"Nantilah Kak Tasnim check telefon dia. Lagipun, telefon dia tak ada password. Senang sikit Kak Tasnim nak spotcheck. Tapi bukan ke, kalau suami yang tak letakkan kata laluan dekat telefon ini, maknanya dia tak ada apa-apa untuk disembunyikan?"

Bella kedengaran ketawa kecil di hujung talian. "Kak Tasnim ini... Sekarang ini, dah 2021. Lelaki mana yang bodoh sangat letakkan kata laluan dekat telefon dia? Nampak obvious sangat dia ada sembunyikan sesuatu. Lelaki sekarang pun dah pandailah, Kak Tasnim."

Terkedu dibuatnya Tasnim mendengar ayat itu. Hatinya terasa ditusuk sesuatu yang tajam.

"Tak apalah, kalau macam itu... Kak Tasnim cuba check telefon dia."

"Okay. Nanti kalau ada apa-apa nak cerita, cerita aje dekat Bella."

"Terima kasih sudi dengar luahan Kak Tasnim."

"Ya, inilah gunanya keluarga. Ada untuk satu sama lain."

Tasnim tersenyum. DIa menamatkan panggilan. Walaupun hatinya tiba-tiba dilanda kegusahan. tetapi ada rasa nyaman di hujung sudut hatinya.

Dia mungkin sudah tidak punya orang tua yang tercinta, tapi masih ada adik-beradik yang peduli dengannya. Tasnim cukup senang dengan perkara kecil itu.


TASNIM memerhatikan suaminya sedang khusyuk menonton bola di televisyen. Suaminya kelihatan tidak berganjak sejak siaran langsung perlawanan itu bermula. Lantas, Tasnim mencuri peluang untuk bertindak. Dia mengambil telefon suaminya dan melangkah ke biliknya di tingkat atas.

Hatinya berdebar-debar, tetapi dia benar-benar ingin tahu kebenarannya. Seperti diduga. telefon suaminya boleh diakses dengan mudah tanpa memerlukan kata laluan.

Kata-kata Bella terlintas di fikirannya.

Tidak mungkinkan suaminya itu melakukan sesuatu yang dia tidak tahu di belakangnya?

Jika tidak, pasti telefon suaminya disetkan kata laluan supaya dia tidak dapat mengakses telefon itu. Ini bermakna Aswad mahu dia percayakan suaminya.

Entah mengapa, hatinya masih tidak merasa sedap memikirkan itu. DIa kembali fokus dengan telefon suaminya semula.

Pertama sekali, dia ingin mencari tahu dengan siapa suaminya berhubung petang tadi ketika pulang ke rumah.

Eh?

Tasnim kebingungan.

Tiada log panggilan yang direkodkan sekitar pukul enam sehingga pukul sembilan. Seolah-olah di dalam tempoh itu suaminya langsung tidak membuat atau menerima sebarang panggilan. Dia memeriksa sekali lagi dan hasilnya masih sama. Memang matanya tidak salah melihat.

Panggilan terakhir yang direkodkan adalah bersama David. Tasnim kenal siapa David itu. Salah seorang klien Aswad. Tetapi, itu panggilan yang diterima sekitar pukul 9 suku. Dan dia ada terdengar suaminya menjawab panggilan itu sebelum suaminya mula menonton siaran langsung perlawanan bola sepak.

Namun, persoalannya di manakah log panggilan pada sekitar pukul enam? DIa yakin panggilan itu diterima sekitar pukul enam setengah. Tidak mungkin dia salah mengingat jam. Waktunya dia membuang sampah itu sudah menghampiri waktu senja.

Dia tidak mampu berfikiran positif.

Tasnim mencuba pula memeriksa WhatsApp suaminya. Dia memerhatikan nama-nama di dalam aplikasi tersebut. Dengan siapa suaminya berhubung.

Ikmal... Harris... Fiy... Fared... Izz... dan pelbagai lagi nama yang dikenalinya. Tiada yang aneh padanya. Semuanya nama-nama staf yang selalu diceritakan Aswad. Tiada pun yang tidak dia kenali di sini. Dia menutup telefon suaminya dan mula berputus asa.

Mungkin perasaanya sahaja. Dia terlalu bersangka buruk dengan suaminya.

Tetapi dia juga tidak mampu bersangka baik dengan suaminya setelah tidak mejumpai log panggilan itu.

Ya Allah, apakah maksud ini semua?


MATANYA terbuka dalam kegelapan. Namun, kegelapan itu masih kelihatan bercahaya. Tasnim yang terjaga daripada lena tidurnya, memaksa matanya untuk membuka. Dia mengiring ke arah suaminya. Kelihatan suaminya masih belum tidur, sedang bermain telefon.

"Tak tidur lagi ke?" tanyanya lalu menggosok matanya. Pandangannya masih kabur.

"Belum," jawab Aswad pendek.

Tasnim menggeliat kecil. Tiba-tiba matanya tertancap pada skrin telefon suaminya. Dia mula rasa resah.

Pandangannya mungkin masih kabur kerana baru terjaga, tapi Tasnim yakin dia melihat skrin telefon suaminya bertukar aplikasi. Aswad kini sedang melayari aplikasi Facebook, tetapi entah mengapa Tasnim seperti melihat skrin telefon Aswad sebentar tadi berada di aplikasi WhatsApp.

Hatinya gundah-gulana. Dia bangun dan duduk seketika. Aswad masih kelihatan tidak berganjak daripada baringnya.

Tasnim mengambil telefonnya di meja tepi katilnya untuk melihat waktu. Sudah pukul tiga pagi.

Tasnim mengambil keputusan untuk menunaikan solat tahajjud memandangkan dia sudah terjaga pada waktu sebegini. Dia melangkah dengan berat ke tandas untuk mengambil wuduk.

Usai menunaikan solat tahajjud, hatinya tergerak untuk melakukan solat hajat. Entah mengapa, dia menjadi rajin untuk menunaikannya. Walaupun di dalam keadaan yang masih mengantuk, Tasnim gagahkan juga diri untuk bangun dan menunaikan solat hajat pula.

Di dalam sujud terakhirnya, dia, seorang hamba biasa mula memohon hajatnya kepada Yang Esa.

"Ya Allah... Hamba memohon pada-MU, jika benar suami hamba mempunyai wanita lain selain hamba... Kau tunjukkanlah kebenarannya. Dan jika memang itu kebenarannya, Kau berikanlah kekuatan dan ketabahan pada hamba untuk menghadapinya. Hamba insan yang lemah, tidak mampu berdiri kuat tanpa pertolongan-Mu."

Dadanya terasa sebak di sujud terakhir itu.

"Dan jika kebenarannya bukan itu, maka Kau berkatilah keluarga kami. Limpahkan kami dengan rezeki dan umur yang panjang. Dan semoga perkahwinan ini... akan berkekalan sehingga ke penghujungnya dan keluarga kami bahagia ke Jannah."

Ketika Tasnim bangun untuk tahiyyat akhir dari sujudnya, matanya sudah kebasahan dengan air mata. Hatinya berasa sungguh sayu ketika itu. Berat dadanya menahan.

Usai solat hajat, matanya memandang ke arah suaminya di katil.

Aswad kelihatan telah pun tidur.

Tasnim memandangnya lemah. Dia tidak tahu mengapa, tetapi dirinya mula merasakan tekanan. Dan dia tahu dengan jelas, dia mula terseksa dengan itu.

Air matanya makin deras mengalir.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.