Home Novel Cinta Aku Bukan Perampas
Aku Bukan Perampas
Amylieyhaizani
25/12/2013 02:47:46
205,910
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Bab 1

Hidup ini tidak seindah mimpi

Bahagia tidak semudah melafazkannya

Alangkah pedih mengharap sebuah cinta

Andai mampu aku mengundur saat dan waktu

Biarlah cinta ini tidak pernah ada

Namun siapa aku untuk menolak suratan

Menjadi milikmu dalam tangisan

Yang berpanjangan.

Nur Jannah menutup diarinya. Dia bersandar ke dinding sambil terkebil-kebil sendiri. Terasa air hangat tergantung di tubir mata. Cuba dia menahan agar manik jernih itu tidak tumpah lagi mewarnai pipinya. Namun tanpa dipaksa, ianya tetap juga jatuh tanpa dapat ditahan lagi. Memang benar, imannya hanya setipis kulit bawang, kesabarannya hanya sebesar kuman, tidak mampu dia menghadapi dugaan yang sentiasa bertandang dengan senyuman. Nur Jannah memandang ke arah potret yang tergantung megah di kamarnya. Wajah suaminya yang segak dengan senyuman memeluknya dengan erat. Terasa baru semalam dahinya dikucup lembut oleh suami tersayang, tatkala dia sah bergelar isteri kepada lelaki itu. Sangkanya kebahagiaan akan mengulitnya sentiasa. Selagi Aiman Ezri bersamanya, tidak mungkin dia mengenal erti derita. Namun sayang, lelaki itu akhirnya berubah sebelum sempat mereka mengecapi manisnya kebahagiaan. Sedangkan pantai boleh berubah, inikan pula hati manusia. Dan Aiman Ezri juga telah berubah! Tiba-tiba telefon bimbit Nur Jannah berbunyi. Pantas dia mengambil telefonnya di atas meja solek dan menjawab panggilan dengan mata yang bersinar.

“ Emm..dah tidur ke?” suara Maria kedengaran ceria di hujung telefon. Gadis yang berpewatakan ceria itu tidak pernah melupakannya walaupun Nur Jannah telah berumahtangga. Nur Jannah menarik wajah hampa. Keceriaan di wajahnya kini hilang entah ke mana.

“ Belum lagi.. Apahal kau call aku Mar?” Nur Jannah sedikit terkilan. Sangkanya Ezri yang menghubunginya.

“ Jom keluar minum. Dah lama kita tak keluar sama-sama! Kau tu sibuk je memanjang! Ezri ada ke?” Maria rancak bersuara tanpa mengerti beban di hati Nur Jannah.

“ Belum balik lagi. Agaknya kejap lagi. Takpelah Mar. Aku penatlah, mungkin lain kali ek!” tutur Nur Jannah terpaksa memberi alasan.Sememangnya dia begitu penat menanti kehadiran Ezri.

“ Emm..kau okey ke?” suara Maria kedengaran curiga.Nur Jannah menarik nafas dan melepasnya perlahan. Serasa ingin dia mengadu masalah yang dihadapi, biar kurang sedikit bebanan yang ditanggung. Namun untuk memburukkan suami sendiri, sungguh..Nur Jannah tidak sanggup.

“ Aku okey! Cuma aku rasa tak sihat badan!Kau jangan kecil hati pulak ek!”

“ Ok..lain kali jangan kau bagi alasan lagi. Kirim salam aku kat suami kau yang macho tu ek!” Maria bersuara galak di hujung telefon. Belum sempat Nur Jannah bersuara, talian terputus secara tiba-tiba. Dia cuba menghubungi semula gadis lincah itu, namun hanya kedengaran suara operator di corong telefon. Emm...bateri tak adalah tu! Bisik Nur Jannah sendiri. Kemudian dia teringat kepada suaminya yang melontar dirinya jauh ke lembah duka. Semuanya seakan bersatu. Antara luka dan air mata itulah hadiah yang terpaksa diterima dalam perkahwinan mereka.

“ Abang pergi mana? Janji pulang awal..Nur dah masak untuk abang. Nak makan sama-sama. Tapi kenapa abang tak balik lagi!” Nur Jannah bersuara hiba. Air matanya seperti biasa mengalir lagi. Perutnya yang berbunyi meminta untuk diisi. Namun seleranya seakan mati. Dia membaringkan diri di atas tilam. Terasa kesepian benar-benar mencengkam dirinya. Pantas dia bangun dan bersandar ke dinding. Jiwanya sejak akhir-akhir ini semakin kacau dengan sikap suaminya. Belum sampai sebulan perkahwinan mereka, namun Ezri sentiasa pulang lewat. Kadang kala seminggu wajahnya tidak kelihatan. Apa salahnya? Nur Jannah benar-benar buntu. Pantas dia mencapai semula diarinya dan menulis sesuatu. Air matanya makin galak mengalir menahan kelukaan hati yang semakin bernanah.

Abang janji nak pulang awal..tapi sampai sekarang belum pulang. Kenapa abang berubah ? Apa salah Nur ? Hari-hari abang buat Nur terseksa. Macam semalam Nur tunggu, tapi abang tak pulang-pulang. Nur sunyi abang. Kenapa abang berubah? Nur terseksa dengan sikap abang macam ni. Jangan buat Nur macam ni lagi abang! Dulu abang janji akan sayang Nur sampai ke mati, namun belum sempat kita mengecapi bahagia abang tinggalkan Nur sendiri..Nur tak tahu apa salah Nur pada abang! Kalau Nur ada buat silap, Nur minta maaf!

Nur Jannah teresak-esak lagi. Kali ini semakin kuat. Terasa kekuatannya mulai hilang. Terasa ingin diakhiri perkahwinan sebegitu. Biar Ezri bahagia tanpa dirinya. Biar Ezri bebas ke sana ke mari tanpa halangan. Namun sungguh dia tidak berdaya. Cintanya pada Ezri setiap nafasnya. Mana mungkin dia mampu kehilangan Ezri. Tetapi mengapa Ezri tidak mengerti. Puas dia berteman air mata, dan akhirnya Nur Jannah terlena bersama air mata yang masih bersisa.

****

Aiman Ezri memandang lama ke arah Zurina yang berdiri mengadap tasik Titiwangsa. Wajah gadis itu yang bermandikan air mata disapu lembut. Senyuman manis yang biasa dilemparkan kini sukar untuk Ezri menikmatinya. Semuanya silap aku! getus Ezri sendiri.

“ Maafkan abang, abang yang salah sebab tinggalkan Ina.Abang janji, abang takkan tinggalkan Ina lagi..” Ezri bersuara lembut. Dia memegang erat jari-jemari gadis itu seakan tidak ingin melepaskannya pergi. Zurina merentap kasar dan duduk di bawah pondok yang berhampiran. Ezri yang terkejut dengan reaksi Zurina turut melabuh punggung di sebelahnya.

“ Abang bukan milik Ina lagi!” suara Zurina kedengaran perlahan. Ada sendu yang masih bersisa. Sampai hati Ezri meninggalkannya dan membina mahligai bahagia bersama insan lain. Hatinya hancur saat mendengar perkahwinan Ezri. Sampai hati Ezri berlaku curang di belakangnya.

“ Tidak sayang! abang hanya perlukan Ina. Tiada orang lain di hati abang!” Ezri seakan merayu.

“ Abang tipu..kalau betul abang sayangkan Ina, kenapa abang menikahi orang lain? Kenapaabang tak setia pada cinta kita bang?” tatapan mata Zurina yang bercahaya meresap jauh ke dalam dada Ezri. Perasaan sebak mula bermain di dadanya. Penyesalan yang datang bertimpa-timpa merobek hatinya.

“ Abang sendiri tak sangka sayang.. Tapi percayalah, abang hanya perlukan Ina. Berilah abang peluang!” tutur Ezri bersungguh-sungguh. Keegoannya tiada lagi untuk dipertahankan demi cintanya kepada Zurina.

“ Dia bagaimana?” Zurina memandang lama ke arah Ezri. Sungguh dia tidak sanggup bermadu dan untuk kehilangan Ezri tidak sekali-kali.

“ Abang akan ceraikan dia sayang. Abang dah kata, abang hanya perlukan Ina. Bersabarlah sayang demi kebahagiaan kita..”

“ Abang janji?” Zurina bersuara sedikit keras. Dia tidak mahu dipermainkan sewenang-wenangnya. Ezri pernah berjanji, namun semuanya dusta belaka.

“ Abang janji sayang..kalau sebelum ini abang mengkhianati cinta kita, abang takkan ulanginya lagi..percayalah pada abang..” Ezri bersuara dengan bersungguh-sungguh. Risau di hatinya andai Zurina pergi. Cintanya pada Zurina sepenuh hati. Namun perkenalannya dengan Nur Jannah membuatkan dia tidak bisa memilih. Perkahwinannya dengan Nur Jannah atas kehendaknya. Namun kini bencinya pada gadis itu bukan sedikit. Nur Jannah punca putusnya cintanya dengan Zurina. Nur Jannah yang menjadikannya insan curang dan Nur Jannah seharusnya menerima hukuman.

“ Dulu abang pernah berjanji! Tapi abang mungkiri. Apa kurangnya Ina bang?” Zurina masih tidak berpuas hati. Hebat sangatkah gadis yang menjadi pilihan Ezri? Cantik sangatkah? Mengenangkannya hati Zurina bagai dicarik-carik. Jiwanya merintih pedih. Apakah jiwa dan raga lelaki itu telah dimiliki oleh gadis itu dan dia hanya mampu menanti.

“ Abang tahu sayang..abang tak tinggal dengan dia. Abang tinggal di apartmen dekat Sentul. Jangan Ina ragui cinta abang lagi..” Ezri bersuara sedih. Simpati di hatinya melihat Zurina berkeadaan begitu. Kerana itu, dia tidak pulang ke rumah walau Nur Jannah memintanya pulang. Bagi Ezri, cintanya kepada Nur Jannah hanya cinta seketika.

“ Abang..” tutur Zurina sambil memandang jauh ke dalam mata Ezri. Cuba dia mencari makna cinta di mata lelaki itu.Benarkah kata-kata Ezri atau sekadar kata-kata bermadu!

“ Apa dia Ina?”

“ Ina cintakan abang terlalu banyak!”

“ Abang tahu dan abang juga cintakan Ina. Apa yang terjadi adalah kesilapan dan kebodohan abang. Abang pun tidak sangka begini jadinya. Ina jangan tinggalkan abang! Abang tak sanggup kehilangan Ina,” Ezri seakan merayu. Jari jemari Zurina digenggam erat. Ada kesal yang teramat menunjal-nunjal ke ulu hatinya. Ezri sedar, dia sendiri yang beria-ria mengahwini Nur Jannah. Gadis cantik yang lembut tutur katanya, manis senyumannya dan elok budi pekertinya. Sangka Ezri, Nur Jannah adalah pilihan hatinya, namun sayang setelah bergelar suami kepada gadis itu, hatinya kembali mencari Zurina yang dikecewakan walau pernikahan mereka masih di bulan madu.

“ Ina akan dianggap perampas!” bentak Zurina keras kembali. Air matanya semakin lebat mengalir. Ada duri yang tertusuk dihatinya. Ada luka yang tidak mampu dirawat. Dan kehadiran Ezri mampu memberi kegembiraan kepadanya walau duri yang tercipta kerana lelaki itu. Dia cukup mengerti, apa yang berlaku adalah kesilapan Ezri. Namun cinta di hatinya melenyapkan segala kebenaran.

“ Dia yang merampas, bukan Ina!” Ezri mula membentak. Benci dia pada Nur Jannah semakin menjadi-jadi. Kerana wanita itu, mereka bersengketa. Ah! Semuanya salah dia! Jika tidak kerana Nur Jannah berada di Tasik Titiwangsa setahun yang lepas, Ezri tidak akan mengenali gadis tersebut. Ezri tidak akan berlaku curang dan Zurina tidak akan terseksa seperti itu.

“ Dia yang berhak di atas jiwa dan raga abang. Ina tidak berhak!”

“ Hati abang hanya untuk Ina. Dan jiwa raga abang tidak akan abang serahkan kepadanya. Abang janji!” Ezri menyentuh lembut dagu Zurina. Air mata gadis itu disapu perlahan.

“ Bagi abang masa untuk membetulkan segala kesilapan abang,” perlahan suara Ezri menusuk ke telinga Zurina. Ada simpati melihat insan kesayangan merayu dan mengharap padanya. Memang benar cinta Ezri hanya untuknya dan Zurina tidak akan sesekali melepaskan Ezri.

“ Maafkan Ina! Ina takkan susahkan hati abang lagi. Ina akan terus menanti abang. Ina janji!” Zurina mengangkat tangan separas baru dan melemparkan senyuman. Ezri turut tersenyum dan mengucup lembut jari-jemari gadis itu.

“Jomlah kita pulang. Dah lewat ni..esok kita jumpa lagi ek!”Ezri mencuit hidung mancung Zurina. Tanpa dipaksa Zurina tersenyum manja dan mengucup jari-jemari Ezri lama.

“ Jom..Ina pun dah ngantuk ni.Tapi abang janji hanya Ina!” Zurina masih meminta kepastian. Matanya bersinar-sinar mengharapkan kepastian.

“ Iyalah sayang!” Ezri memeluk erat bahu Zurina dan tersenyum penuh makna. Mereka berlalu meninggalkan Tasik Titiwangsa yang menjadi saksi percintaan mereka selama ini. Juga percintaan bersama Nur Jannah! getus Ezri sendiri.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.