Home Novel Cinta BaYaNGaN GuRaUaN
Bab 32

 

FAIL yang terbentang di hadapan direnung kosong. Entah mengapa dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja yang dilakukan. Fikirannya menerawang jauh terkenangkan peristiwa semalam. Itu satu hal. Bertambah lagi satu masalah bila mengingatkan pesanan Tengku Harrys ketika dia bertembung dengan lelaki itu semasa di lif awal pagi tadi.

Hari ini Irish tiba di pejabat agak lewat. Semalaman dia tidak dapat lelap. Hanya selepas solat Subuh baru dia dapat lena walaupun sekejap. Akibatnya, hari ini dia datang ke pejabat dengan kepala yang berdenyut-denyut bagaikan ingin pecah bila-bila masa sahaja. Sebaik masuk ke dalam lif, Irish terus menekan punat untuk naik ke tingkat pejabatnya. Baru sahaja pintu lif ingin tertutup, tiba-tiba ada satu tangan yang menghalang, membuatkan pintu itu kembali terbuka. Dan apabila dia mendongak, wajah Tengku Harrys terpancul di hadapan sambil merenung ke arahnya. Beberapa ketika berdiri barulah lelaki itu melangkah masuk, menjadikan hanya mereka berdua yang berada di dalam lif kini. Sedaya upaya Irish cuba mengelak dari memandang lelaki tersebut. Lebih-lebih lagi bila mengingatkan hal semalam.

‘Dia tahu ke tidak pasal hal semalan, ya? Kalau tak tahu, baguslah. Tapi kalau tahu, masaklah nak menghadap dia macam ni. Yang lif ni pun satu. Kenapa lambat sangat? Gerak ke tak gerak ni?’

Are you busy today?”

“Hmm?” pantas Irish menoleh, sedikit terkejut dengan sapaan itu.

“Ikut saya tengah hari ni. Pukul 1.00 tunggu kat bawah. We need to discuss.”

Serentak itu pintu lif terbuka dan lelaki itu terus melangkah keluar tanpa menunggu apa-apa jawapan dari Irish. Dan Irish hanya mampu memandang sahaja hingga batang tubuh lelaki itu menghilang.

“Dia dah tahu ke? Alamak, macam mana ni?!” Irish kalut. Matanya dipejamkan untuk sesaat dengan harapan dia sedang bermimpi sekarang ini. Namun apabila matanya dibuka semula, pintu lif di hadapan sudah hampir tertutup.

“Eh, eh! Nantilah. Bagi aku keluar dulu kalau ya pun!”

Gadis itu mengomel sendiri sambil kaki pantas dihayun ke biliknya. Ikutkan hati mahu saja dia cabut pulang ke rumah sekarang. Itu lebih baik daripada terpaksa menghadap ‘unpredictable person’yang seorang itu.


DARI kejauhan dapat dilihat kereta BMW Tanzanite Blue itu sudah berada di hadapan pintu utama bangunan Haiyan Holdings. Langkahnya terhenti. Tiba-tiba terasa kecut pula dia untuk menghadap Tengku Harrys kali ini. Berkira-kira apa yang ingin dibincangkan oleh lelaki itu. Berkenaan kerjakah? Atau hal semalam?

“Kenapa tak masuk kereta lagi?”

Spontan Irish berpusing ke belakang dek terkejut dengan teguran itu. Malang sekali nasibnya apabila dia terlanggar tubuh Tengku Harrys yang ketika itu berada betul-betul di belakang, menyebabkannya gagal untuk mengimbangi badan. Mujur tangan lelaki itu lebih dulu menangkap kedua lengannya sebelum sempat dia jatuh menyembam lantai. Irish terkaku. Kejap pegangan Tengku Harrys hanya dia dapat rasakan sehinggakan dirinya tidak dapat bergerak lansung. Seketika matanya mencari anak mata lelaki itu sebelum pandangan mereka bertemu. Dan serta-merta perasaan itu kembali hadir ke ruang hatinya.

Minit berlalu, Irish tersedar. Cepat-cepat dia menarik lengannya semula. Lansung gadis itu mengatur langkah menghampiri BMW milik Tengku Harrys dan menunggu di sisi kereta itu. Serasa dadanya ingin meletup juga saat ini. Malunya dia hanya Tuhan sahaja yang tahu. Entah berapa pasang mata yang menyaksikan insiden sebentar tadi, dia juga tidak pasti. Apa yang pasti mukanya sudah tentu merah padam sekarang ini. Akhirnya gadis itu hanya mampu mengetap bibir sambil tertunduk menahan perasaan yang sudah bercampur-baur.

“Tak nak masuk ke?”

“Hmm?”

Come. Get in,” arah Tengku Harrys dengan suara yang tiba-tiba sahaja lembut di pendengaran Irish. Gadis itu hanya menurut tanpa banyak soal. Tidak berani bersuara lebih-lebih lagi terkenangkan insiden yang baru berlaku sebentar tadi.

Kereta meluncur laju membelah jalanraya yang masih terkawal. Tidak pasti ke mana arah tuju mereka tika ini, Irish hanya membuang pandang ke luar tingkap sambil melayani lagu-lagu di radio. Itu lebih baik daripada berbual dengan lelaki di sebelahnya.

Perjalanan yang dirasakan agak lama itu akhirnya tiba ke destinasi yang dituju. Tengku Harrys memberhentikan keretanya di hadapan sebuah tasik yang agak lengang ketika ini. Memang sengaja dia mencari tempat yang tidak ramai orang agar mudah untuk mereka berbincang. Keluar sahaja dari kereta, lelaki itu bergerak ke bahagian hadapan dan bersandar di situ sambil berpeluk tubuh. Dari ekor matanya dia dapat melihat Irish ikut sama turun dan kemudian berdiri tegak tidak jauh darinya.

I’m sure you know what was happened yesterday.”

Serentak itu jantung Irish berdegup laju. Mulutnya tidak bersuara membalas kata-kata tersebut. Hanya pandangan dihalakan ke arah Tengku Harrys.

“Dan apa yang saya diberitahu, keluarga awak minta tempoh untuk berbincang sebelum beri kata putus. Betul?” sambung lelaki itu lagi lalu menoleh pada Irish.

“Err...,”

Is it true, Irish?”

“Be... betul!” balas Irish. Wajahnya hanya ditundukkan. Tidak berani menentang pandangan Tengku Harrys walaupun ketika ini lelaki itu berkacamata hitam.

“Sampai bila?”

“Mungkin seminggu.”

Tengku Harrys mengeluh perlahan. Pandangan diarahkan ke hadapan semula. Ikutkan hati, sebolehnya sekarang ini juga dia inginkan jawapan dari Irish. Perlahan kacamata hitamnya ditanggalkan lalu dia merenung ke dasar tasik yang terbentang luas.

“Susah ke untuk awak buat keputusan?”

“Keputusan apa?”

“Terima atau tolak lamaran tu.”

“Saya tak tahu. Benda ni terlalu mengejut. Saya sendiri masih tak percaya dengan apa yang berlaku semalam.”

“Awak nak cakap yang awak akan tolak lamaran tu?”

Irish terdiam. Kepalanya ligat memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan. “Saya belum buat apa-apa keputusan lagi. Ini soal masa depan. Masa depan saya dan juga masa depan Tengku. Jadi saya kena fikir baik-baik. Saya rasa Tengku pun mungkin tak setuju dengan risikan tu. Jadi kalau kami tolak, mungkin takkan ada masalah.”

“Habis tu, kenapa tak tolak je lamaran keluarga saya tu dari semalam? Kan senang. Tak payah susah-susah nak minta tempoh untuk bagi kata putus lagi.”

Irish mengangkat wajah. Muka Tengku Harrys ditenung dari pandangan sisi. Agak dingin kedengaran kata-kata lelaki itu di telinganya, walaupun nadanya perlahan. Lelaki itu terus direnung. Namun Tengku Harrys tetap tegar memandang ke arah tasik di hadapan.

“Jadi, Tengku nak saya tolak lamaran tu? Kalau macam tu, sekarang pun saya boleh buat keputusan.”

Tengku Harrys semakin tidak tenteram. Dia tidak tahu bagaimana untuk dihuraikan perasaannya ketika ini. Marah? Gembira? Sedih? Atau kosong tanpa apa-apa rasa. Semalam sewaktu dia keluar meninggalkan rumah, perasaan marah menyelubungi diri. Sangkanya risikan itu dihantar untuk Tengku Melissa. Disebabkan itu dia mengambil keputusan untuk pergi membawa diri. Namun perasaan marah itu kemudiannya bertukar menjadi sesuatu yang mengembirakan tatkala abangnya membawa perkhabaran bahawa risikan tersebut sebenarnya adalah untuk Irish. Tuhan sahaja yang tahu bagaimana perasaannya. Dan hari ini dia tidak tahu perasaan apakah yang sepatutnya dia perlu ada. Sukar untuk digambarkan walaupun ketika ini dia bersama gadis yang selama ini menjadi bayangan dalam hidupnya.

“Awak dah ada pilihan sendiri?” spontan soalan itu terkeluar dari Tengku Harrys.

“Tak.”

So, kenapa tak terima lamaran tu?”

Sekali lagi Irish terkejut. ‘Dia ni okay ke tidak ni? Tadi suruh aku tolak. Sekarang suruh terima pulak.’

Are you listening what I’m sayingIrish Qiara?”

“Hmm? Ya, ya. Saya dengar.”

Then, why are you staring at me like that?

Serta-merta Irish melarikan matanya ke arah lain. Merah padam sekali lagi mukanya ditegur sebegitu. ‘Ishh! Nampak pulak dia!’

I’m still waiting the answer, Irish.”

Irish menarik nafas dalam-dalam. Cuba menyusun ayat sebaiknya agar tiada hati yang akan terguris. “Saya rasa Tengku dah tahu jawapannya. Lagipun kita tak pernah bercinta. Apatah lagi untuk bincang hal ni. Dan Tengku pun mungkin dah ada pilihan hati sendiri. Jadi tak perlulah kita teruskan hajat keluarga Tengku tu. Demi kebaikan bersama.”

Sekali lagi Tengku Harrys menoleh. Satu renungan tajam dihadiahkan buat Irish. Tidak menyangka kata-kata tersebut yang akan keluar dari mulut kecil itu. Giginya diketap. Nafasnya juga seakan tersekat. Entah berapa lama dirinya dapat menahan kemarahan ini, dia sendiri tidak tahu. Seketika, wajahnya dipalingkan ke tempat lain. Memaksa diri untuk terus bertahan sebelum mulutnya kembali bersuara.

“Sama ada awak nak terima lamaran tu atau tidak, terpulang. Kalau jawapannya ya, awak boleh bagitahu saya sekarang. Tapi kalau jawapannya tidak, you have to explain it directly to my family. Saya tak nak ambil tahu. But one thing, kalau sampai keputusan awak tu akan bagi bad effect pada keluarga saya, awak adalah orang yang bertanggungjawab untuk semua tu.” Tengku Harrys mengenakan kembali kacamatanya lalu bangun dan melangkah ke pintu kereta tanpa menoleh sedikit pun pada Irish. “Let’s go back.”

Irish terkaku di tempatnya. Tidak pasti sama ada mahu ikut masuk ataupun tidak. Sebelah kakinya ingin melangkah. Namun sebelah lagi bagaikan terpaku di situ. Hanya selepas Tengku Harrys menghidupkan enjin kereta, barulah dia tersedar. Pantas kakinya dihanyun memasuki kereta tersebut.

Sekali lagi keadaan sepi menemani perjalanan mereka sewaktu pulang. Dan sesekali, Irish sempat mencuri pandang ke arah Tengku Harrys di sebelah. Wajah lelaki itu kelihatan merah. Mungkin sedang menahan marah. ‘Marah kenapa? Bukan patutnya dia suka ke kalau aku tolak lamaran tu? Sekurang-kurangnya tak adalah aku jadi penghalang hubungan dia dengan Tengku Melissa. Tapi sekarang ni tengok macam orang tengah frust je!’ Irish berbicara sendiri. Sejenak, dia teringatkan kata-kata Tengku Harrys. Mungkin ini bukan pilihan dia. Namun kerana ianya hajat keluarga, lelaki itu sanggup mengenepikan perasaan sendiri semata-mata untuk memenuhi permintaan tersebut. Sekali lagi Irish menoleh ke sisi. Tengku Harrys masih tidak menghiraukannya. Jangankan bercakap, melihat wajahnya pun tidak betah lelaki itu barangkali. Sudahnya, dia hanya membuang pandang terus ke luar tingkap.

Tengku Harrys menoleh Irish sekilas. Bukan dia tidak perasan gadis di sebelah asyik memandangnya sejak mereka masuk ke dalam kereta tadi. Cuma hatinya masih terasa sakit. Lain yang diharapkan, lain pula yang jadi. Perbincangan yang disangka akan berakhir dengan sesuatu yang mengembirakan rupanya hanya angan semata-mata. Hati yang mula terasa tenang dengan perkhabaran Tengku Hafiy malam tadi juga kini sudah kembali resah. Semuanya gara-gara gadis di sebelahnya ini.

Tengku Harrys melepaskan keluhan, membuang sedikit rasa gelisah yang bertandang. Punat radio kemudian ditekan, membiarkan halwa telinganya menikmati alunan lagu bagi meredakan sedikit hati yang keresahan. Sebaik radio kereta itu terpasang, telinganya terus menangkap intro lagu yang sentiasa bermain di tabir mindanya selama ini.


Tak pernah ku alami

Tak mungkin ku hindari

Di himpit perasaan bayangan gurauan...


Tengku Harrys menoleh ke sisi. Irish masih setia memandang ke luar. ‘Salah engkau yang tidak memahami, atau salah aku yang tidak mahu berterus terang?’ luah hati kecilnya. Kereta dipecut dengan lebih laju. Dia ingin segera pulang ke pejabat. Tidak kuat lagi untuk terus-terusan bersama dengan gadis ini.


PINTU kondo tersebut dibuka menggunakan kunci pendua yang dimiliki. Masuk sahaja ke dalam, tubuhnya dihempaskan ke atas sofa ruang tamu. Kepala yang terasa berat disentuh perlahan. Matanya juga sudah semakin layu.

“Eh, Rys. Kau rupanya! Aku ingatkan siapa tadi.”

Suara yang tiba-tiba muncul itu mengejutkan Tengku Harrys yang baru saja ingin terlena. Matanya dicelikkan kembali untuk melihat empunya suara tersebut walaupun dia sudah tahu siapa pemiliknya. Sekilas dia memandang sekujur tubuh yang sedang berjalan ke arahnya sebelum mata kembali dipejamkan. “Kau tak kerja ke, Rul?”

“Tak. Aku cuti hari ni,” jawab Fezrul. Memang hari ini dia tidak bekerja kerana ingin menghabiskan cuti tahunan yang masih berbaki. “Yang kau ni kenapa kat sini time-time macam ni? Tak kerja ke hari ni?”

“Kau nampak aku pakai baju kerja ni, dah sah-sahlah kerja.”

“Dah tu, kenapa baring kat sini kalau kerja? Setahu aku kau mana reti nak ponteng-ponteng kerja ni!” tukas Fezrul lalu duduk berhampiran Tengku Harrys. Cawan yang berisi minuman diletakkan di meja sisi. Tangannya kemudian mencapai gitar yang tersandar di sofa sebelum tali dipetik memainkan sebuah lagu.

Tengku Harrys membuka mata semula. Serentak itu, satu keluhan terbit dari bibirnya. Dan perbuatannya itu sekaligus mencuri tumpuan Fezrul.

HeybroWhat’s wrong?”

Nothing.”

Fezrul tertawa mendengar jawapan itu. Gitar di tangan disandarkan ke sofa semula. “Harrys, bagitahu aku berapa lama dah aku kenal kau? Bukan baru setahun dua tahu tak? Semalam kau datang sini dengan muka serabut macam ni, kau cakap tak ada apa-apa. And today, again? Come onlah, Rys!”

Tengku Harrys mengeluh sekali lagi. Kemudian dia bangun dari pembaringan lalu duduk menghadap Fezrul. Seakan dia sudah tidak dapat berselindung. Semenjak dulu rakannya ini bagaikan dapat membaca isi hatinya setiap kali dia berdepan dengan masalah. Hanya melalui perubahan sikap dan air mukanya sahaja Fezrul sudah dapat meneka.

“Sekarang bagitahu aku, kenapa kau jadi macam ni? Apa masalahnya?”

Tengku Harrys terus-terusan diam. Mulutnya bagaikan terkunci untuk memulakan kata-kata. Lukisan yang tergantung pada dinding di hadapannya ditenung. Entah apa yang ditenungnya dia sendiri tidak tahu.

“Woi! Nak termenung, termenunglah jugak. Habis aku yang kat sini ni nak tunggu je sampai kau habis termenung?” tingkah Fezrul geram, membuatkan Tengku Harrys terus memandangnya. Dari riak wajah, dia yakin rakannya sedang berdepan dengan masalah. Dan dia cukup tidak suka melihat keadaan ini.

So, what’s wrong?” soal Fezrul sekali lagi. Minumannya diambil lalu dihirup perlahan.

“Mama aku dah carikan calon untuk aku.”

Tersedak Fezrul mendengar jawapan itu. Habis tersembur air diminumnya. “What??!”

Yes.”

“Eh, kau biar betul Rys!”

“Muka aku ada nampak macam main-main ke?”

Serta-merta ketawa Fezrul terhambur. Cawan dalam pegangan diletakkan semula. Melihatkan muka Tengku Harrys tidak berkelip memandangnya, membuatkan ketawa Fezrul semakin galak. Dan ketawanya itu berpanjangan hingga ke beberapa minit.

“Ketawalah puas-puas, Rul!” bentak Tengku Harrys dengan nada sedikit geram.

I just can’t believe it! Harrys yang selama ni anti-perempuan, mengelak sana mengelak sini, at the endmama dia carikan calon isteri untuk dia?? Hai! Harrys, Harrys!” Fezrul menyambung kembali tawanya. Memang berat masalah yang ditanggung rakannya ini. Kalau dia berada di tempat Tengku Harrys, mungkin reaksinya pun sama juga. “Sabarlah, Rys. Kalau aku jadi orang tua kau pun dah tentu-tentu aku risau tengok kau. Orang tua mana yang nak tengok anak diorang membujang sampai ke tua. Just relaxlah! Mama kau baru je cari. Belum hantar rombongan apa-apa pun, kan?”

“Dah hantar pun.”

Fezrul memandang Tengku Harrys. Duduknya yang bersandar tadi tegak semula. “Bila?”

“Semalam.”

Membulat mata Fezrul kali ini.“Sebab tulah semalam kau lari ke sini? Bawa diri?”

Harrys hanya mengangguk.

“Hmm… ni kes tak setujulah ni? Patutlah dua hari datang dengan muka macam ni. Hai! Apa susah, Rys? Kalau kau tak suka dengan pilihan mama kau tu, tolak jelah. Tak payah nak serabut-serabut kepala macam ni!”

I can’t. That’s her.”

Jawapan Tengku Harrys itu membuatkan mata Fezrul semakin tajam merenungnya.

Harrys, don’t tell me that you…,”

YesThat was her!”

“Siapa?!”

Untuk kesekian kalinya Tengku Harrys melepaskan keluhan. Nampaknya dia sudah tidak mampu menanggungnya seorang diri lagi. Dia perlukan teman untuk berkongsi rahsia yang sedang memberat di jiwanya sekarang. Dan satu-satunya orang yang dirasakan sesuai untuk berada di tempat itu adalah Fezrul. Dia tidak tahu mengapa dirinya begitu lemah bila melibatkan hal sebegini. Walhal dia dikenali sebagai seorang yang begitu pandai menyelesaikan masalah walau seberat mana sekalipun. Tapi sekarang, dia merasakan seolah-olah dirinya sudah bertukar menjadi orang lain. Menjadi seorang yang sangat lemah dan tidak mampu berfikir apa-apa. Semuanya hanya kerana gara-gara seorang gadis.

I’m still waitingRys.”

Suara Fezrul menyentakkan lamunan Tengku Harrys. Lelaki itu masih lagi merenung ke arahnya menagih penjelasan. Tengku Harrys membetulkan duduk. Wajahnya diraup perlahan. Dengan tenang satu-persatu rahsia hatinya dirungkaikan pada Fezrul. Dari pertemuan awal bersama Irish sehinggalah kepada perbincangannya dengan gadis itu lewat tengah hari tadi. Semuanya dijelaskan kepada Fezrul agar rakannya itu memahami masalah yang sedang bergelut dengan dirinya ketika ini.

Fezrul pula begitu tenang mendengar. Sesekali dia tersenyum. Adakalanya terangguk-angguk. Dan ada ketika mukanya kelihatan serius. Bukan dia tidak biasa mendengar dan berkongsi masalah begini dengan Tengku Harrys. Tetapi hari ini keadaan sedikit berbeza. Buat pertama kali lelaki di hadapannya meluahkan rahsia hati yang selama ini dipendam sendiri. Walapupun mereka berkawan rapat sejak sekolah dulu, namun untuk menebak soal hati dan perasaan rakannya yang satu ini memang payah. Kadang-kadang dia sendiri tidak faham mengapa hati Tengku Harrys begitu beku terhadap perempuan.

So… kau dah dengar semua cerita aku, kan?”

Tiada jawapan yang keluar dari mulut Fezrul. Hanya sebuah senyuman terukir di bibir tatkala Tengku Harrys menyudahkan ceritanya.

“Aku suruh kau dengar cerita aku, then bagi nasihat. Bukan suruh tersengih-sengih macam tu.”

“Hey, sabarlah bro! Aku tengah menghayati cerita kau ni. Tapi tak sangka aku, ya. Rupa-rupanya kawan aku ni ada jugak hati dan perasaan kat perempuan. Ingat beku dah!”

Spontan penumbuk Tengku Harrys singgah di dada Fezrul, membuatkan ketawa lelaki itu kembali berderai. “Kau kalau takat nak ketawakan aku, baik aku tak payah cerita tadi!” Tengku Harrys mendengus marah.

Okay, okay! Aku stop!” Fezrul memperlahankan tawanya sebelum kembali fokus dengan perbualan mereka. “Aku ni tak adalah expert sangat dalam bab-bab nak nasihatkan kau. Cuma yang aku boleh cakap, sabar. Kita tunggu keputusan pihak perempuan nanti macam mana. Harap-harap positiflah. Tak boleh nak terlalu paksa diorang sebab benda ni mengejut dan kau pun tak pernah bercinta dengan that girl. Tiba-tiba je keluarga kau hantar rombongan merisik, kan. Of courselah diorang ambil masa untuk buat keputusan.”

Okay. You’re right.” Tengku Harrys beralah akhirnya. Sedikit sebanyak betul juga apa yang dikatakan Fezrul. Dia dan Irish tidak pernah bercinta, walaupun mereka satu pejabat dan hampir setiap hari bertemu. Malah dia sedikit pun tidak menduga bahawa calon pilihan mamanya itu adalah Irish. Memang benarlah kata mamanya tempoh hari sama ada dia sanggup menolak calon pilihan wanita itu ataupun tidak. Dan ternyata kata-kata mamanya itu benar-benar memakan dirinya kini.

Tengku Harrys tersedar dari menungannya. Pantas dia melihat jam di tangan. Sudah menghampiri jam 6.00 petang. Menyedari hal itu, segera dia bangkit dari duduknya. Namun pergerakannya mati bila Fezrul tiba-tiba menahannya bersama satu senyuman nakal.

“Yang kau pandang-pandang aku macam tu kenapa?”

“Saja. Tak sangka aku jiwang jugak kau ni rupanya. Dulu bukan main sombong dengan perempuan. Nak sangat aku tengok that girl yang dah berjaya buat kawan aku yang selalu nampak cool,tapi sekarang, dah jadi serabut macam ni!”

Sekali lagi Tengku Harrys mendengus geram. Malas mahu melayan rakannya, dia kembali bangun dari sofa.

“Hey! Nak nak ke mana tu? Laju jalan!” Fezrul masih lagi ingin mengusik rakannya.

“Solat. Duduk melayan kau tak pasal-pasal terlepas asar aku nanti,” balas Tengku Harrys seraya memasuki salah satu bilik di dalam kondo tersebut. Dari dalam bilik, dia masih dapat mendengar suara Fezrul yang semakin galak ketawa.

‘Jiwang? Aku sendiri tak tahu apa kena dah dengan aku, Rul. Semuanya gara-gara Irish. Yes! Irish Qiara yang dah berjaya buat aku jadi serabut macam ni!’ jeritnya di dalam hati.


Previous: Bab 31
Next: Bab 33

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.