Home Novel Cinta Anggun Mikayla
Anggun Mikayla
liza nur
9/2/2020 20:43:06
10,610
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 1b

Betul juga jawapan gadis itu. Tidak logik untuk dia memakai pakaian jenama yang disebutnya tadi kalau pekerjaannya adalah menjadi pontianak di dalam rumah hantu. Tetapi, kenapa dia tidak mencuci mekapnya dulu? Mujurlah Idriz tidak mempunyai penyakit lemah jantung. Kalau tidak, dia bakal menjadi arwah di situ.

“Hish!” keluhnya.

Gadis itu menanggalkan rambut palsunya, menampakkan rambutnya yang berwarna auburn, hanya separas bahu. Dia mengepit rambut palsu itu dicelah ketiak untuk memudahkan dia mengeluarkan purse yang tergantung pada lehernya, disorokkan di dalam gaun putih yang dikenakan. Zip purse ditarik, mahu mengeluarkan duit untuk membayar makanan yang dipesan.

“Tak ada duit kecik?” soal Idriz sewaktu gadis itu menghulurkan not lima puluh ringgit yang tinggal sekeping di dalam purse kepadanya.

Gadis itu menggeleng.

“Aku pun tak ada duit kecik. Dah habis semua duit kecik. Orang KL ni kaya-kaya,” omel Idriz.

“Kejap,” pinta gadis tadi sebelum melangkah ke belakang khemah raksasa berbentuk petak yang tertampal dengan poster seram.

Idriz mengekorinya dari belakang. 

Alangkah terkejut dia apabila sampai di belakang khemah itu. Padanlah tak ada satu makhluk pun di bahagian hadapan. Kesemua pekerja sedang berkumpul di belakang, berehat sambil menikmati bekal dan pesanan makanan segera masing-masing. Pelbagai spesies hantu yang mekapnya tidak seperti gadis tadi turut berada di dalam kumpulan itu. Mereka tampak seperti pekerja rumah hantu kos rendah, tidak menakutkan langsung. Hanya mekap pontianak tadi yang tampak realistik sehingga menyeramkan bulu tengkuk.

“Siapa ada duit kecik? Aku nak pinjam kejap. Aku tak ada duit kecik,” luah gadis tadi, memohon tanpa rasa segan.

Seorang lelaki tua berperut gendut bangun dari bangku. Daripada pakaian dan sisa mekap yang tercalit di mukanya, Idriz yakin yang lelaki itu memainkan peranan sebagai badut di funfair itu. Hidung merahnya sudah dicabut, menampakkan hidung yang tidak berlapik mekap yang berwarna cerah. Matanya pula sepet, tirus di hujung. 

“Nah!” ucapnya sambil menghulurkan not dua puluh ringgit kepada gadis yang meminta tolong tadi.

“Terima kasih, Uncle Jon,” ucap gadis itu sebelum menghulurkan pula duit itu kepada Idriz.

Idriz menyeluk ke dalam saku, mencari baki syiling untuk dikembalikan kepada gadis tadi.

“Terima kasih,” ucap Idriz sambil menempatkan syiling dua puluh sen di atas tapak tangan pelanggannya. 

Idriz cepat-cepat angkat kaki, mahu meninggalkan kawasan itu dengan segera. Rasa malu masih bertapak di dalam dirinya. Entah mengapa, dia merasakan dirinya sedang diketawakan dalam hati. 

Selepas meloloskan diri dari pagar depan funfair, dia naik ke atas motosikalnya semula. Enjin motosikalnya menjerit apabila dihidupkan, seperti tuannya, seakan-akan sudah tidak sabar untuk meninggalkan kawasan itu.

“Hoi, tunggu kejap!”

Idriz menoleh.

Aneh! Dia masih rasa seram meskipun dia sudah tahu kelibat di depannya manusia. Ya, mekap gadis itu tampak terlalu realistik sampaikan susah untuk dia mempercayai yang gadis itu satu spesies dengannya. Ah, situasi itu dirasakan cukup janggal! 

Dia merasakan dia sedang berkomunikasi dengan hantu di alam ghaib seperti siri Bercakap Dengan Jin karya Tamar Jalis. Mungkinkah ini perasaannya menjadi seorang dukun ataupun psikik? Ia satu perasaan pelik yang tidak mengujakan lelaki biasa sepertinya.

“Kenapa? Ada order tak cukup?” soalnya.

Gadis itu menjawab dengan gelengan. Dia menghulurkan semula objek petak yang sudah retak kepada Idriz.

Secara spontan, Idriz menyeluk ke dalam poket seluar. Ya, handphone tuanya sudah tidak berada di dalam poket. Barangkali tercicir sewaktu dia mengekori gadis itu ke belakang tadi. Mujurlah ia dikembalikan. Idriz tidak mempunyai bajet untuk membeli telefon baru. Bajet bulanannya telah meletus untuk membaiki motosikal ayahnya yang sakit.

“Terima kasih,” ucap Idriz tanpa memandang muka gadis itu.

Suara tawa menikam gegendang telinganya. Dia tahu tawa itu ditujukan kepadanya. Barangkali gadis itu sudah menghidu yang dia masih takut. Manakan tidak, dia seboleh-bolehnya cuba mengelak daripada memandang si ‘pontianak’ hidup itu.

Idriz mengangkat muka semula, memberanikan diri.

“Kau takut?” soal gadis itu spontan sewaktu pandangan mereka bertemu.

Idriz menarik muka masam sambil memakai helmetnya semula. Pandangannya disauhkan ke depan.

“Dah besar panjang pun takut hantu,” ejek gadis itu.

Idriz memandangnya sekali lagi. Namun, tiba-tiba saja Idriz menunjukkan air muka terkejut sambil bola matanya memandang ke belakang gadis tadi. Darahnya bagaikan sudah tersejat, membuatkan mukanya tampak pucat lesi. Air liurnya ditelan, deras menuruni anak tekak membuatkan halkumnya bergerak.

“Jangan pandang belakang kau,” ucap Idriz selepas menelan air liur sekali lagi, menyuarakan amaran bersungguh-sungguh dengan ekspresi yang cukup meyakinkan.

Air muka gadis itu berubah. Jantung terasa bagaikan berhenti berdegup. Dia menggigit bibir yang gigil. Pedih masih terasa di anak tekak yang kekeringan, tak sempat hendak dibasahkan dengan air yang datang bersama pakej makanan yang dipesannya melalui Idriz tadi. Walaupun sudah diberi amaran oleh Idriz, dia tetap menoleh ke belakang perlahan-lahan sambil hatinya meneka apa yang sedang dilihat Idriz.

“Kau tipu aku?!” soalnya geram sewaktu melihat tak ada apa-apa yang berada di belakangnya.

Idriz ketawa berdekah-dekah.

“Pulangkan paku buah keras. Ambik kau! Itulah, seronok sangat takutkan orang!” balasnya.

“Apahal pula kau emo sangat? Dah memang kerja aku takutkan orang,” balas gadis itu sambil mencebik. Handphone Idriz dicampak kepada pemiliknya.

Mujurlah Idriz sempat menangkapnya. Kalau tidak barangkali kaca skrinnya yang sudah retak bakal terpisah, bercerai.

Idriz memerhati wajah itu lama-lama. Gadis itu sememangnya hantu yang cantik. Hidungnya mancung, duduk terletak. Matanya tampak menakutkan dengan gelangan hitam yang barangkali dilukis menggunakan eye-liner. Tetapi, kalau dia dapat meneka garisan mata sebenar gadis itu di bawah cahaya malap lampu jalan dengan tepat, ia sepasang mata yang indah, besar dan elok bentuknya. 

Sayang, rambutnya dikaratkan dengan warna auburn. Idriz paling tidak gemar melihat gadis Melayu mewarnakan rambut semula jadi mereka. Baginya, rambut hitam cukup manis dengan warna kulit bangsanya.

Gadis itu berpusing, mahu meninggalkan Idriz.

“Hei!” jerit Idriz.

Gadis itu menoleh.

“Sorry. Aku tak ada niat…” ucap Idriz. 

Tiba-tiba saja dia rasa berdosa. Bukankah dia sepatutnya menjaga hati pelanggan? Dia bekerja dalam industri servis, sepatutnya lebih peka dengan kehendak pelanggan. Kalau Mikayla berhenti memesan makanan dengan syarikat aplikasi itu, kalaupun tidak dia, barangkali kawan-kawan sekerjanya yang lain akan rugi.

“Tak apa,” balas pontianak itu sambil menaikkan jari hantu, manis dan kelengkeng tangan kanan sementara jari telunjuk dan ibu tangan kanannya bersatu di hujung, membentuk bulatan. 

Idriz menguntum senyuman, melihat si hantu itu melangkah pergi meninggalkan dirinya dalam dakapan malam. Hujan turun renyai-renyai, memaksa dia beredar dengan motosikalnya cepat-cepat. Kalau tidak, dia barangkali terpaksa kuyup sepanjang perjalanan pulang. 

Entah mengapa, dia menguntum senyuman sepanjang perjalanan pulang ke flat yang didiami keluarganya. Insiden yang tadi membuatkan dia rasa stress dan malu sudah bertukar lucu apabila difikirkan semula. Wajah si hantu itu pula duduk kemas dalam ingatan. Dia masih tersengih sebelum melelapkan mata selepas pulang ke rumah, bagaikan lelaki yang baru jatuh cinta. Jatuh cinta dengan pontianak? Ah, gila!


Previous: Bab 1A

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.