Home Novel Cinta Anggun Mikayla
Anggun Mikayla
liza nur
9/2/2020 20:43:06
10,610
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 1A

Muzik The Carousel susunan Marc Jungermann yang mengalunkan irama klasik funfair menghilang bersama  spotlight yang tadi gah menghidupkan separuh kawasan parkir kereta yang dikelilingi pagar besi. Yang tinggal hanya lampu-lampu pijar lama. Ferris wheel yang hanya setinggi bumbung rumah dua tingkat di tengah-tengah mini funfair itu berputar perlahan-lahan, mengeluarkan melodi aneh bagaikan rantai basikal tua yang sudah semput untuk bekerja sebelum berhenti sepenuhnya. Flying jumbo yang sejak tadi duduk statik, dipencilkan kanak-kanak yang singgah masih menguntum senyum. Namun, senyuman gajah-gajah terbang yang disokong palang besi itu sudah pudar warna dengan cat yang semakin lekang.

Lama Idriz memerhatikan tapak funfair yang sepi tanpa suara itu. Walaupun kesemua pengunjung sudah menghilang, dia mengharap masih ada saki-baki pekerja yang tertinggal. Namun, peliknya tak ada satu jasad manusia pun yang menyapa retina matanya. Dia bagaikan terperangkap dalam drama Supernatural yang sering ditonton di kaca televisyen. 

Adakah dunianya benar-benar sudah diceroboh oleh makhluk hijau bermata besar yang menculik manusia untuk menjalankan uji kaji? Mungkin ia misteri aneh yang melibatkan pembunuh bersiri seperti Hannibal. Atau barangkali hanya drama bersiri paranormal tempatan yang melibatkan gangguan makhluk halus? 

Idriz mendagu di kaunter depan, mengintai kalau-kalau penjaganya masih ada di dalam. Namun, penjaga kaunter jualan token itu juga tidak kelihatan di mana-mana. Lampu pijar di depan kaunter itu sudah berkelip-kelip, mengeluarkan suara persis tebuan sesat. Dia berdiri di bawah lampu itu sambil matanya meliar ke kiri dan kanan, mencari makhluk yang sama spesies dengannya untuk bertanyakan sesuatu. Tangannya masih menggenggam bungkusan makanan yang sudah disimpul mati, takut tertumpah isinya.

Idriz menelan air liur. Muka handphone yang sudah retak skrinnya itu diperhatikan lama-lama. Baterinya hanya tinggal separuh. Kreditnya juga sudah nyawa-nyawa ikan. Bagi seorang lelaki dewasa sepertinya, kenyataan yang dia masih menggunakan khidmat prabayar kerana tidak mampu melanggan khidmat pascabayar adalah sesuatu yang memalukan. Apatah lagi kerja sambilannya menuntut dia menggunakan internet sepanjang masa.

“Bungkusit!” jeritnya seorang diri, menagih perhatian.

Tak ada seorang pun yang menyahut.

Angin tiba-tiba saja menderu, bagaikan mahu menceritakan sesuatu. Atau mungkin memberi amaran awal. Rasa dingin menyapa tengkuk, membuat dia rasa seram sejuk. Adakah melakukan kerja lebih masa malam itu suatu keputusan yang salah? Perlukah dia rasa menyesal sekarang?

Ya, malam itu adalah Jumaat. Malam yang kata orang rahmatnya adalah untuk singgah ke surau, berjemaah. Atau mungkin mengasingkan diri di ruang selamat bertemankan alunan kalam suci. Paling tidak, berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Malam Jumaat kata orang, adalah malam untuk beribadah.

Namun, bukankah bekerja juga satu ibadah? Bukankah mencari rezeki yang halal untuk keluarga juga adalah satu ibadah? ALLAH menyuruh umat-NYA berusaha sebelum tawakal dan berserah kepada takdir. Itu yang dilakukannya sekarang. Dia sedang berusaha untuk membantu ayah dan adik-adiknya. 

Maka, dia perlu berusaha. Otaknya ligat berputar, mencari ikhtiar untuk menjejak makhluk yang memesan makanan melalui aplikasi Bungkusit tadi. Nampaknya, Idriz tak punya pilihan lain walaupun dia sedaya upaya mahu mengelak daripada menggunakan handphone kerana limitasi kredit dan internetnya. 

Satu set nombor didailnya. Hatinya lega saat terdengar alunan nada dering itu. Ya, pemesan makanan itu berada di kawasan sekitar. Telinga berjaya menangkap arah bunyi yang dicari. Dia yakin, dia berada di tempat yang betul. Alamat itu tidak salah. Maknanya, dia juga tidak salah. 

Idriz berpusing ke belakang.

“Bungkus…” 

Ayatnya termati. Mata Idriz terbuka luas. Lututnya terasa longgar bagaikan hendak menjunam ke bawah, mencium tar. Pundi kencingnya terasa bagaikan tangki yang hampir bocor, mahu memuntahkan segala isi yang cuba ditahan sejak naik ke atas tempat duduk motosikalnya tadi.

Di depannya duduk seorang gadis berambut panjang, menutupi sedikit mukanya. Tubuhnya bersalut persalinan putih dengan hiasan percikan darah. Fabrik gaun yang dipakai makhluk itu nipis, beralun dengan tiupan angin. Bebola matanya tersembul dengan gelang gelap yang membingkai di sekeliling mata. Bibirnya tampak pucat, kekeringan. Dia menguntum senyuman, menyeringai di depan Idriz.

Spontan Idriz memejamkan mata, tak mahu terus dipanah makhluk halus di depannya. Dia mahu mengangkat kaki segera. Namun, dia tidak tahu arah mana yang perlu diikuti. Bagaimana kalau makhluk tadi sudah mengubah posisi ke arah yang dipilih? Bagaimana kalau ia terus melayang, mengekorinya bagaikan bayang-bayang sehingga sampai ke rumah dan menyampuk ahli keluarganya yang lain? 

Tidak! Idriz tahu dia harus cepat-cepat bertindak. Dia tidak mahu mati muda kerana dicekik pontianak, disedut darah sampai kering kontang. Dia tahu kematian tragisnya nanti takkan terbela. Mungkin berita tentang kematian mengejutnya di tapak funfair itu akan dihidu wartawan Sinar Harian yang rajin mengorek cerita sensasi. 

Namun, mampukah mereka merungkai misteri di sebalik kematiannya nanti? Mampukah mereka mengesan siapa sebenarnya pelaku jenayah kejam itu? Selain para wartawan, mungkin juga akan datang ahli paranormal yang mengaku dapat mengesan aura negatif di tapak itu. Dia dapat membayangkan pawang-pawang atau bomoh membawa kemenyan dan limau purut untuk pemujaan. Tidak mustahil juga ada yang membawa kelapa. 

“ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!” Laungan azan terlontar daripada anak tekaknya meskipun bibirnya masih terketar-ketar. 

Ya! Dia tak mahu mati dengan mudah. Agamanya menyuruh dia berikhtiar. TUHAN pemerintah sekalian alam. Kepada-NYA, dia harus kembali memohon pertolongan. Semua makhluk adalah ciptaan-NYA. Mereka harus takut dengan kekuasaan yang ada pada-NYA.

“Berapa semua?”

Idriz terdiam seketika. Adakah dia tersalah dengar? Mungkinkah makhluk itu cuba menggodanya supaya mendiamkan suara azan? Ya, pasti makhluk itu jadi lemah apabila terdengar nama Maha Pencipta. Padan muka! Berani makhluk itu menakut-nakutkan manusia yang pernah ke sekolah agama, pernah menduduki PSRA yakni Penilaian Sekolah Rendah Agama sepertinya.

“ALLAHUAKBAR! ALLAHUAKBAR!” sambung Idriz.

“Kau ni muazzin ke?” soal suara itu lagi.

Idriz terkesima. Pandai makhluk ini serkap jarang. Takkan muazzin bersuara sumbang sepertinya? 

“Apasal lambat sangat datang? Perut aku dah berbunyi,” tokok suara itu, tidak puas hati. 

Menurut jaminan pelanggan yang dibacanya sebelum ini, penghantaran akan dibuat dengan pantas. Bukankah dia sepatutnya diberi kupon makanan percuma seperti yang dilakukan penghantar Pizza Dominos apabila mereka tiba lewat?

Kata-kata makhluk itu membuatkan Idriz semakin keliru. Sejak bila makhluk ini berkongsi sistem aplikasi yang sama dengan manusia? Tak bolehkah mereka cipta teknologi sendiri? Bomoh mana pula yang hadiahkan handphone kepadanya? Pandai pula pesan makanan manusia. 

Eh, tunggu kejap! Entah-entah, dia cakap pasal aku! Aku makanan dia? Dia sebenarnya pesan aku, bukan makanan ni! Cetus hati Idriz. Secara automatik genggaman tangannya terbuka. Bungkusan makanan di tangannya terlepas.

“Ya ALLAH. Apa masalah kau ni? Kenapa kau lepas plastik ni? Nasib baik tak tumpah makanan aku!”

Bunyi plastik makanan diangkat menikam gegendang telinga Idriz. Dia mengangkat kelopak matanya sedikit, mengintai makhluk yang masih berada di depannya. Makhluk itu dipandang dari atas ke bawah. 

Ya, kaki makhluk yang menggerunkan itu menjejak tanah. Kain gaunnya yang diangkat sedikit untuk memudahkan langkah, menampakkan kedua-dua belah kakinya yang beralaskan selipar Jepun. Setelah Idriz yakin yang dia telah memperbodohkan dirinya sendiri kerana takut, dia membuka mata kembali, luas-luas.

“Astaghfirullah. Apasal kau pakai macam ni?” soal Idriz, rasa geram bercampur malu. 

Sudah terang lagi jelas yang dia seorang lelaki dewasa yang pengecut. Ah, Idriz rasa diaibkan! Mujurlah tiada manusia lain menyaksikan drama swasta itu kecuali mereka berdua.

“Dah aku kerja dalam rumah hantu. Kau nak suruh aku pakai macam mana lagi? Pakai dress Gucci dengan kasut Prada?” soalnya kembali, sinis.


Next: Bab 1b

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.