Home Novel Cinta Faris Loves Layla (Saya Isteri Awak ke?)
Bab 6

Seorang pemuda kacak lengkap berkot dan slack merenung keluar dari tingkap kaca sebuah pejabat. Pejabat tersebut yang berada di tingkat teratas bangunan itu memang luas dan kelihatan ekslusif. Mata pemuda itu menyorot kaki langit yang hilang sarat dengan bangunan-bangunan pencakar langit dan pemandangan indah Menara Berkembar Petronas disiram cahaya pagi. Kedua-dua tangannya diseluk ke dalam poket seluarnya. Pagi-pagi lagi dia telah berada di situ atas arahan bapanya. Dan sejak beberapa bulan lepas dia sudah biasa diminta datang seawal-awal pagi begitu. Mujurlah dia bukan jenis orang yang suka bangun lambat.

Namanya Faris Nabhan Omar. Anak seorang hartawan terkenal di Malaysia, Omar Bukhary. Dia lulusan Harvard dalam bidang Seni bina baru pulang dari Negara Uncle Sam dua bulan lepas. Sejak pulang Faris terasa kebosanan yang teramat. Dia dipanggil pulang di kala dia sedang menikmati hidup yang mengujakan di kota Boston. Entah apa yang ayahnya mahukan darinya. Omar Bukhari seolah-olah tidak sabar lagi sebab dia menghantar jet ke Boston untuk membawanya pulang. Agaknya, adiknya Wafiq Irfan yang punya angkara. Wafiq memang cemburukannya kerana dia anak kesayangan ayah. Ayah pandang dia lebih dari Wafiq kerana sepanjang hidup dia turutkan kata ayah. Ayah kata dia perlu ambil senibina dia ambil, sehinggalah mencapai Summa Cum Laude. Anugerah paling tertinggi sekali. Tapi Wafiq tidak. Dia selalu mengecewakan ayah. Dan dia tahu disebabkan oleh itu Wafiq selalu cemburu padanya.

Entah kenapa dia tiba-tiba terkenangkan kelembutan Ariel di kota Boston.Ariel, kelahiran Italy dan Jewish mempunyai kecantikan yang tiada tolok bandingnya. Dia baru sahaja cuba memikat wanita itu membawanya makan malam dan berhajat membawanya pulang ke apartment mewahnya bila-bila nanti tapi semua itu hanya angan-angan bila panggilan dari ayahnya menyuruh dia pulang pada satu malam. Hubungannya dengan Ariel berhenti setakat itu sahaja. Mati sebelum ada bibit-bibit apa pun.

Dan dalam dua bulan itu dia dipaksa menguruskan satu anak syarikat hartanah bapanya. Pengalamannya dua tahun di Boston ayahnya minta untuk garapkan di syarikat milik keluarga sendiri. Bagi Faris tiada masalah sebab ramai juga pekerja ayahnya yang boleh diharapkan di situ. Dia hanya mengarah sahaja sebab dah jawatannya pun Pengarah. Faris tidak kisahkan sangat tentang syarikat. Dia memang boleh kendalikan. Tapi yang dia bosan sangat ialah terpaksa berdepan dengan neneknya setiap hari, Tok Zauyah. Wanita tua itu yang sebenarnya menguruskan semua. Ayahnya banyak menurut sahaja. Ada sahaja yang tak kena pada wanita zaman purba atau ancient itu. Yelah umurnya pun sudah 75 tahun. Memang konvensional dan tradisional.

Faris pasti kepulangannya yang mengejut itu ada kena mengena dengan Tok Zauyah. Tok Zauyah memang tak berkenan dengan cara hidup Faris yang lebih moden dan hedonis itu. Berpeleseran dengan ramai wanita. Berhibur sampai pagi. Walaupun Faris jarang minum tapi wanita tidak lekang dari sisi.Wajahnya yang tampan sering menghiasi dada majalah elit. Faris Nabhan memang ada rupa. Tampan bergaya dengan ketinggian hampir 6 kaki. Ada darah Arab dari sebelah bapa. Ibu pula kacukan Inggeris Melayu. Sekali imbas rupa Faris bukan macam orang Melayu. Susuk tubuhnya macam orang putih. Tinggi dan sasa. Matanya sedikit perang. Hidung tinggi berkarekter tersendiri. Tapi kemelayuannya terletak pada kulitnya yang tidak begitu cerah dan rambut tebal hitam pekat berombak. Kekacakannya mencairkan hati mana-mana wanita sahaja. Tok Zauyah tahu Faris boleh dapat sesiapa sahaja. Tapi bagi Tok Zauyah, cicit yang dia harapkan mestilah dari seorang wanita yang baik. Wanita melayu yang baik dan solehah. Itu sahaja cara untuk perbetulkan kesemuanya kembali. Itulah Tok Zauyah sering katakan apabila Faris mengungkit kenapa dia dipanggil balik.

Omar Bukhary sudah gagal dulu menurut Tok Zauyah. Berkahwin dengan wanita kacukan Melayu yang juga sudah hilang Melayunya. Lama Tok Zauyah memendam rasa. Mengikutkan kata anaknya yang tersayang nan seorang itu, menyebabkan Tok Zauyah restui sahaja perkahwinan Omar Bukhary walau dengan hati kurang rela. Tapi, Omar Bukhary kecewa akhirnya. Dikecewakan oleh isterinya sendiri. Kebahagiaan yang ingin dimiliki hanya sekejap cuma. Tok Zauyah tidak suka campurtangan dalam rumah tangga mereka. Sehinggalah terlewat. Omar Bukhary dan Sophie akhirnya tidak bahagia. Sophie akhirnya meninggal dunia akibat barah. Tapi Omar Bukhary sudah lebih dulu mati dari Sophie. Sophie yang diharapkan tidak pernah mencintainya. Malahan Sophie sering curang dengannya. Entah apa yang kurang dari Omar Bukhary menyebabkan Sophie sering mencari lelaki lain di belakang Omar.

Tok Zauyah sedar Faris makin jauh dari kemelayuannya. Walaupun semasa kecil dihantar belajar ugama tetapi berpuluh tahun di Australia mengikis semua. Ada Omar Bukhary bawa Faris ke Mekah. Sebenarnya sudah haji kecil pun tapi itu semua hanya tinggal gambar usang dalam album lama keluarga. Tok Zauyah tidak faham kenapa ini semua berlaku. Macam-macam cara telah dibuat supaya anak-anak Omar yang bertiga iaitu Faris, Nabila dan Wafiq kembali mengamalkan cara hidup Islam dan orang Melayu tetapi mereka tetap sama. Wafiq dan Nabila pun begitu juga. Kekayaan telah menghanyutkan mereka. Nabila masih di Universiti di Ireland. Sekali-sekala sahaja pulang ke Malaysia. Wafiq pula baru sahaja graduasi dari sebuah university di UK dalam bidang kejuruteraan. Dia kini turut membantu Omar Bukhary. Tapi dalam mereka bertiga itu Faris yang paling menonjol. Anak Omar yang paling sulung yang diharapkan untuk meneruskan generasi keluarga Bukhary.

Itulah sebabnya dia menasihati Faris kalau memilih isteri bagaimana. Bagi Faris, kriteria Tok Zauyah hanya ada dalam khayalan sahaja. Mana ada lagi wanita Melayu seperti yang dikatakan itu. Rata-rata wanita Melayu yang Faris jumpa sudah moden. Kebanyakan mereka adalah anak orang kenamaan. Mana ada lagi yang seperti wanita Melayu terakhir. Wanita seperti itu sudah pupus dalam kamus hidup Faris.Mungkin wanita begitu Tok Zauyah pandang tinggi tapi bagi Faris macam tiada standard. Mana kan sesuai untuk dia. Faris sukakan wanita yang cosmopolitan dan sofistikated. Bagi dia wanita sebegitu sahaja yang boleh dibuat peneman dan rakan sehidup semati. Sama gelombang minda. Kalau kriteria Tok Zauyah, Faris bimbang wanita seperti itu berakal jumud. Sempit mindanya. Sesempit tudung yang mereka pakai mungkin.

Memang Faris tidak nafikan wanita bertudung ada yang memang cantik tapi Faris tak terbayang kalau salah seorang dari mereka menjadi soul matenya. Hah! Mana mungkin!. Dia asyik terbayangkan Ariel sahaja. Lagi satu dia akan rasa malu kalau wanita begitu di sisinya. Sudah tentu dia pun terpaksa barlagak baik pula. Sedangkan dia bukan begitu. Solat memang jarang sekali. Bersosial memang biasa. Berparti memang sudah kewajiban. Jadi, di manakah hendak dia letak wanita seperti itu dalam hidupnya. Mesti kekok segalanya. Mesti huru-hara segalanya. Tok Zauyah memang sudah hilang akal agaknya kalau mahu juga dia mencari wanita sebegitu.

Selama hidupnya dia tidak pernah mendekati wanita bertudung litup. Baginya mereka memang off limit dengan tudung mereka yang pelik. Faris memang tahu wanita Islam wajib menutup aurat tapi selama dia hidup dia tidak pernah kisah sangat tentang agama Islam. Dia selalu rimas melihat mereka bertudung dengan pelbagai warna. Bukankah kecantikan perlu ditunjukkan? Apa perlu ditutup-tutup pula? Zaman sudah moden dan wanita juga perlu moden. Baginya menutup aurat adalah seperti ketinggalan zaman dan untuk wanita yang tertindas sahaja.

Faris kembali ke mejanya. Melihat fail-fail yang tersusun di atas meja. Itu adalah fail-fail projek yang dia kendalikan sejak dia pulang ke Kuala Lumpur. Dia memandang fail-fail itu dengan bangga. Kemudian dia beralih kepada komputernya memang terpasang sejak tadi penuh dengan email-email yang masuk tak terkecuali message-message Facebook dari rakan perniagaan dan sosial. Selalunya pagi-pagi itu dia akan memeriksa email melihat mana yang urgent memerlukan perhatiannya dan yang juga penting tapi tidak urgent. Semua email telah disisihkan mengikut folder tertentu berdasarkan projek-projek yang masuk. Sejak dulu dia sukakan kerja yang bersistematik dan tersusun. Sebab itulah mejanya sentiasa kemas tersusun. Dia sukakan kerja yang terancang dan teliti. Ketelitian itulah yang menyebabkan dia berjaya dalam pelajaran begitu juga dalam kerjanya. Satu panggilan telefon mengejutkannya. Segera dia mengambil telefon di hadapannya.

       “ Oh Julia, how are you?  What can I do for you? “ Tanya Faris kepada seseorang di hujung talian. Faris mengangguk-angguk seketika. Julia adalah salah seorang rakan perniagaannya. Syarikat mereka sudah lama berurusan dari generasi datuk Julia lagi. Hari itu Julia memintanya untuk makan bersama di KLCC. Gadis keturunan Cina kacukan India itu sering mengajaknya keluar kalau ada peluang tetapi Faris seperti biasa membataskan hubungan mereka sekadar rakan perniagaan sahaja. Macam dia, gadis itu juga sering bertukar-tukar teman. Dia tidak mahu keruhkan hubungan baik mereka sekeluarga sekiranya ada apa-apa yang terjadi..

      “ Ok, I will be there. See you soon Julia.” Ujar Faris lantas meletakkan gagang. Ada banyak perkara yang perlu dibincangkan dengan Julia untuk projek di Langkawi yang akan bermula dua bulan lagi. Dia melihat jam Luminor Panerai di tangan yang telahpun menunjukkan pukul 11.30 pagi. Dia harus segera ke sana sebelum jalan kian sesak dek kerana waktu makan tengahari. Tambahan pula tempat parkir di KLCC pula mudah penuh di kala waktu begitu. Lagipun dia tidak mahu pulang lewat sangat hari itu. Dia teringat Desmond yang mahu mengajaknya ke sebuah parti di sebuah kelab ekslusif malam itu.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.