“Betul? Kau tau mana?”
Ayra terus hilang mood untuk bergambar. Berita kehadiran
Adiy, membuatkan hatinya berbelah bagi, antara gembira dengan tidak.
“Petang semalam ba. Mustahil kau ndak tau!”
Syidah masih tak percaya
Ayra langsung tidak tahu kedatangan Shahin Adiy ke situ. Biasanya, Ayralah
orang pertama yang akan tahu kehadiran Adiy. Bukankah mereka pasangan kekasih?
Atau... mungkinkah hubungan mereka sudah putus? Syidah berteka-teki.
Ayra menggeleng kepala. “Sumpah, ndak ku tau langsung Si
Adiy ada di sini.”
“Bukan dia selalu e-mel kau?”
Syidah masih tidak puas hati. Macam ada yang tak kena
dalam hubungan Ayra dan Adiy.
“Itu dulu. Sekarang mana ada.”
Ayra lontarkan
pandangan ke Gunung Kinabalu yang menjadi puncak tertinggi di Kepulaua Borneo.
Ketinggiannya mencecah 4095 meter dari aras laut. Ia menjadi lambang kemegahan
penduduk Sabah.
“Lagipun, lama sudah ndak
aku online.”
Ayra biasanya melayari
internet di makmal komputer sekolah. Namun, sejak SPM semakin hampir, dia terus
berhenti dari melayari internet. Masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk
mengulang kaji pelajaran. Harapan orang tua dan harapan para guru tidak harus
dipersiakan. Dia menjadi pelajar harapan sekolah. Dia juga sering diingatkan
supaya memberi contoh yang baik kepada adik-adik sebagai anak sulung dalam
keluarga.
“Kenapa? Kamu berdua sudah berpisah? Kenapa ndak kasi tahu
aku?”
Ada dua rasa yang bermain di benak Syidah andai benar
perhubungan Ayra dan Adiy sudah putus. Pertama, dia turut rasa simpati dengan
sahabatnya kerana percintaannya putus di tengah jalan. Kedua, dia rasa gembira.
Sangat-sangat gembira! Peluangnya yang tertutup kini terbuka kembali.
“Kami masih lagi kawan cuma jarang e-melmacam dulu. Aku yang suruh dia jangan e-mel
aku buat sementara waktu. Aku mau tumpukan perhatian pada SPM.”
Ayra membetulkan tanggapan Syidah. Dia dan Adiy tidak
pernah putus persahabatan. Mereka masih berkawan, cuma tidak lagi semesra dulu.
Kalau dulu, saban hari mereka akan berbalas e-mel. Sekarang tidak lagi.
“Oh... patutlah.”
Syidah angguk-angguk
kepala. Ayra dan Adiy masih berkawan. Kawan biasa! Itulah yang diharapkannya.
“Oh, baru aku tau.
Maknanya, hubungan kamu masih berjalan, cuma berpisah buat sementara waktu
saja. Kalaulah aku berada di tempat kau, ndak aku berhenti berhubung dengan
Adiy. Bimbang aku takut Si Adiy cari pengganti lain.”
“Cari pengganti? Eh, kau ni sampai ke situ pulak! Aku dan
Adiy berkawan saja ba! Dia mau ada kekasih... mau kawin... itu bukan urusan
aku. Kami setakat berkawan saja.”
Ayra membetulkan tafsiran Syidah yang kononnya dia dan
Adiy ada menjalinkan hubungan. Silap haribulan, tafsiran Syidah yang tak betul itu
sampai ke telinga orang tuanya. Habis dia dikerjakan nanti!
“Kau
ndak sempat berbual dengan Si Adiy?”
Ayra sebenarnya rindu
pada Adiy. Tapi dia takut hendak meluahkan kerinduannya. Takut Adiy salah
tafsir dan terus menjauhkan diri daripadanya. Ketika mula-mula persahabatan
mereka terjalin, Adiy sering mengingatkan yang mereka sekadar berkawan, tidak
lebih dari tu. Adiy seorang lelaki yang bercita-cita tinggi. Dia tidak mahu
cita-citanya musnah hanya kerana ‘cinta.’ Ayra akur dengan permintaan Adiy. Dia
juga sekadar ingin berteman. Cintan-cintun diharamkan sama sekali.
Ayra dapat merasakan
yang Adiy masih marah padanya. Permintaannya supaya Adiy tidak menghantar e-mel
padanya buat sementara waktu menyebabkan Adiy terasa hati lalu terus tidak
menghubunginya lagi.
“Alah... takkan kau ndak tau. Dia mana mau sembang dengan
aku ba. Siapalah aku ni kan. Budak kampung, pelajaran pun ndak seberapa. Rupa
jauh sekali!”
Syidah memusingkan badannya yang sedikit berisi. Tiada
lelaki yang menyukainya kerana banyak kekurangan yang ada pada dirinya. Ayra
pula memiliki banyak kelebihan. Cantik, pandai dan ceria selalu.
“Kau bercakap ni macamlah aku bukan orang kampung. Kita
berdua kan sama saja ba. Tapi Si Adiy ndak kisah pun berkawan dengan aku. Kau
tu yang merendah diri sangat. Lepas tu fikir yang bukan-bukan. Konon orang
seperti Adiy ndak sudi berkawan dengan kau.”
“Mestilah. Aku pernah bercakap dengan dia, mau ajak sembang-sembang.
Tapi dia buat ndak peduli saja. Iyalah, aku ni ndak lawa. Gemuk. Lain la kau,
cantik... bijak... Sebab tu Si Adiy sudi ambil kau sebagai awek dia.”
“Eh, kau ke situ pulak. Aku dan Adiy ndak ada apa-apalah.
Kami berkawan saja.”
Ayra tak berbohong
dengan Syidah. Memang dia dan Adiy tidak pernah menjalin hubungan istimewa. Mereka
sekadar kawan biasa. Ayra juga tidak pernah menyimpan harapan hendak sehidup
semati dengan Adiy. Dia sedar kedudukannya. Dia tak layak bergandingan dengan
lelaki itu. Mungkin dalam mimpi sahaja mereka boleh bersatu. Itupun belum tentu.
* * *
Telefon bimbit
berdering, menyedarkan Ayra dari terus tenggelam dengan kisah-kisah lalu. Dia
lantas mencapai telefon bimbit Nokia C3 atas meja di hujung kepala.
Nama Dean tertera pada
skrin telefon. Dia menarik nafas lalu menjawab panggilan daripada Dean.
“Hello. Kau ada masalah? Wonderpets akan segera datang membantu.”
Ayra memulakan bicara.
“Hei, kau dah lupa ke?”
Dean menjerit di hujung
talian. Ayra segera menjauhkan telefon bimbit dari cuping telinga. Suara Dean
hampir memecahkan gegendang telinganya. Pembesar suara segera diaktifkan.
“Hoi, kau ingat aku pekak ke?”
“Kau tak pekak. Tapi berkemungkinan kau dah jadi pelupa.”
“Er...”
Ayra menggaru-garu
kepala. Dean sewenang-wenang menuduhnya pelupa.
“Lupa apa?”
“Dah pukul lapan sekarang. Kau kata nak ke kedai buku.”
Ayra terus menoleh ke arah jam dinding.
“Ya Allah, aku
terlupa!”
Ayra menepuk dahinya.
Dia benar-benar terlupa dengan program yang telah dirancangnya bersama Dean.
“Huh, lima minit aje aku boleh tunggu ni. Kalau kau lambat,
aku pergi dulu!”
“Mana sempat lima minit nak bersiap. 15 minit ye?”
Ayra terlupa dengan
janjinya. Pagi tadi, semasa di kelas, dia ajak Dean ke Kedai Buku Popular yang
terletak di pusat membeli-belah Kinta City. Dia mahu membeli buku ilmiah untuk
digunakan semasa kursus. Pensyarah ada mengesyorkan beberapa buah buku yang
sesuai untuk dijadikan bahan rujukan.
Rakan baik Ayra yang
ada kereta hanya dua orang saja; Dean dan Nadiira. Rakan sekelas yang lain ada
juga kenderaan, tapi dia segan dengan mereka. Antara lima pelajar lelaki yang
ada di kelas, hanya Dean sahaja yang dia tak segan untuk berbual dan bergurau
senda.
Ayra bangun
meninggalkan katil. Dia sempat menyelak langsir. Dean tidak kelihatan di bawah.
‘Pasti Adiy sedang menantinya di kawasan parkir blok asrama lelaki. Itulah
tempat yang dijanjikan.
Matanya kemudian
beralih ke tempat letak kereta berhampiran pagar. Kosong. Nadira belum sampai.
Hari ini Nadira ponteng kelas lagi. Nadira berani melanggar peraturan.
Kehadiran para pelajar ke kuliah sepatutnya seratus peratus. Ayra berdoa agar esok
Nadira kembali ke kampus.
Sikat rambut dicapai. Rambutnya
yang separas pinggang segera disikat. Raut wajahnya dalam cermin diperhati. Sudah
berbeza wajahnya dulu dan sekarang. Dulu berat badannya tak pernah mencecah 40kg.
Tapi sekarang berat badannya sudah meningkat ke 45kg. Kulitnya yang dulu juga
putih tapi sekarang sedikit gelap kerana asyik berjemur di bawah panas terik
mentari. Semasa belajar di UiTM dulu, asrama kediaman pelajar terletak agak
jauh dari fakulti. Ketika itulah kulit mukanya mula berubah warna.
‘Aku bukan Ayra yang
dulu lagi.’
Pintu almari pakaian
dibuka. Tidak banyak pakaian yang dibawa ke kampus. Hanya ada lima pasang baju
kurung, sehelai jeans dan dua helai blaus. Tiada pilihan. Tangannya terus
mencapai jean dan blaus putih. Tanpa membuang masa, dia terus mengenakan
pakaian.
‘Lima minit sahaja Dean
beri masa aku untuk bersiap! Huh! Nak turun tangga lepas tu menapak ke tempat
yang dijanjikan pun mengambil masa lima minit. Dean tak fikir langsung soal ni.
Mentang-mentanglah dia ada kereta!’ Ayra merengus!
Ayra mencapai beg
tangan yang tersangkut pada tombol pintu. Zip dibuka untuk memastikan dompet
ada di dalam. Dia kemudian mencapai telefon bimbit lalu dimasukkan ke celah
poket beg. Ikutkan hati, mahu saja ditinggalkan telefon bimbit dalam bilik.
Tapi risau pulak kalau Suhaila terbaca mesej yang tak diingankan.
Pintu bilik ditarik.
Ayra yang sudah menyarung sandal terus melangkah keluar. Pintu bilik segera dkunci.
Suhaila masih belum pulang. Lepas habis kuliah, dia terus keluar dating dengan tunangnya yang sanggup
datang dari Manjung.