Ayra melangkah keluar dari
bilik air sambil membimbit baldi yang berisi mandian badan, syampu, pencuci
wanita, pencuci muka serta span menuju ke bilik. Dia menolak daun pintu yang
tidak berkunci. Suhaila sedang mengadap skrin komputer di mejanya.
“Khusyuk nampak. Buat apa tu?”
Ayra menyapa sambil meletakkan
baldi di balik pintu.
“Main game.”
“Dah agak dah. Apa yang best sangat tu main game.
Aku tak pernah cuba.”
“Baik kau jangan cuba-cuba. Kalau dah cuba sure kau tak boleh berhenti.”
“Ye ke... kalau macam tu aku tak nak cubalah!”
Suhaila tersengih. Ayra
membuka pintu almari lalu mengeluarkan penyangkut baju yang dibawa dari rumah
sewa. Tuala segera digantungkannya pada penyangkut baju. Ayra menuju ke tingkap
dan menggantungkan penyangkut di situ. Biar kena cahaya matahari.
Matanya sempat melirik ke arah telefon bimbit yang berada
di atas meja. Ada cahaya yang berkelip-kelip. Cahaya yang berkelip-kelip itu
menandakan ada mesej yang masuk dan belum dibaca. Jantungnya terus berdegup kencang.
Resah hatinya setiap kali menerima mesej. Rasa mahu tutup sahaja telefon bimbit
tersebut.
Harap-harap mesej dari Dean. Ayra sempat berdoa.
Mengeluh Ayra sebaik
sahaja membaca mesej. Hari ni saja sudah enam kali dia menerima mesej yang
membuatkan fikirannya jadi serabut. Semakin hari semakin kerap mesej menerjah
ke kotak mesej. Siapa pengirimnya dan apa motifnya yang sebenar, dia masih
samar-samar.
Ayra sudah banyak kali balas
mesej tersebut dengan meminta pengirim mesej tersebut datang bersemuka dengannya,
tapi tiada balasan. Kalau dia telefon, jangan harap nak berangkat.
“Penakut!!!”
Ayra melepaskan geram.
Daripada rasa takut pada mulanya, kini perasaannya bertukar menjadi marah
setiap kali menerima mesej sebegitu.
“Terkejut aku!”
Suhaila mengurut dada.
Dia memandang Ayra. “Kau cakap dengan siapa?”
“Maaf...”
Ayra tergelak kecil.
Dia terlepas cakap.
“Err... boleh tak nak
kesan seseorang melalui nombor telefon?”
“Maksud kau, kau nak dapatkan maklumat pemilik
sekian-sekian nombor?”
“Ya. Boleh tak?”
Ayra berharap sangat
untuk mengetahui identiti si pengirim yang misteri itu.
“Susah. Maklumat pemilik nombor telefon dirahsiakan oleh
penyedia telekomunikasi. Kenapa? Kau selalu terima panggilan dari nombor yang
tak dikenali ke?”
“Bukan panggilan, sekadar mesej je.”
“Peminat kau agaknya. Peminat dalam diam. Cemburu la Dean
kalau dia tahu semua ni.”
“Entahlah Ila, bila aku balas mesej, tanya siapa dia, dia
diam je. Langsung tak balas.”
Ayra belum bersedia
memberitahu Suhaila kandungan mesej yang sering diterimanya itu. Dia lebih suka
biarlah Suhaila fikir yang dia menerima mesej dari peminat rahsia atau secret admirer. Itu lebih baik buat masa
sekarang.
Kalau diberitahu Suhaila isi kandungan mesej tersebut, Ayra
yakin Suhaila pasti akan bertanya bertalu-talu. Terpaksalah Ayra ceritakan dari
A sampai Z, kisah yang tak ingin dikenang lagi. Suhaila mungkin akan rasa
simpati atau juga membencinya setelah mendengar kisah itu.
Belum masanya lagi...
“Entah-entah... Dean?” duga Suhaila setelah terdiam
sejenak. “Setahu aku, hanya Dean sahaja yang terang-terangan menyukai kau.”
“Dean?” Ayra menjuih. “Mustahil. Aku ada nombor Dean.”
“Mana tahu mungkin Dean ada nombor kedua yang kita semua
tak tahu. Lepas tu dia gunakan nombor tu untuk uji kau. Nak tengok kau ni jenis
cepat layan mesej ke tak.”
Suhaila terus membuat andaian. Macam-macam cara seorang
lelaki untuk menarik perhatian gadis yang dicintainya. Suhaila terbayang wajah
Muiz, lelaki yang cuba menarik perhatiannya sejak di bangku sekolah menengah
lagi. Macam-macam cara Muiz lakukan. Antaranya, menghantar surat,
mempertahankannya ketika dia diganggu pelajar lelaki lain, menulis namanya pada
setiap helaian buku dan macam-macam lagi.
“Mungkin juga... geliga otak kau!”
Ayra pura-pura teruja
dengan pendapat Suhaila. Suhaila fikir sebegitu kerana dia tidak mengetahui isi
kandungan mesej yang diterima Ayra. Kalau Suhaila tahu isi kandungan mesej,
pasti dia tidak akan mengeluarkan pendapatnya itu. Ayra tetap dengan
keputusannya untuk tidak menceritakan isi kandungan mesej pada sesiapa sahaja.
Dia mahu membuat siasatan.
“Dean dah parah tu. Baik kau terima sajalah cinta dia tu.
Baik apa budak tu walaupun...”
“Walaupun apa?”
Geram Ayra bila Suhaila sengaja tidak menghabiskan
kata-katanya.
“Ngada-ngada sikit.... ops, maaf, aku sedang kutuk boyfriend kau.”
Suhaila ketawa mengekek sambil menutup mulut. Itulah
kekurangan Dean yang nampak ketara. Agak mengada! Cerewet pun ya. Memilih bukan
main. Kalau gadis tu tak berkulit putih, tak ada pelajaran, jangan harap dia
nak pandang.
“Eh, ke situ pulak. Kutuklah kalau kau nak kutuk pun. Ada
aku kesah?”
Ayra langsung tak terasa apa-apa dengan kutukan Suhaila
ke atas Dean. Dia pun sebenarnya sokong dengan pendapat Suhaila. Dean
mengada-ngada! Dean melayannya seolah-olah mereka adalah pasangan kekasih. Bila
dalam kelas, Dean akan mencari tempat duduk di sebelahnya. Kalau pensyarah
suruh tubuh kumpulan, Dean cepat-cepat memasukkan namanya sekali.
“Woi, korang sedang kutuk sapa?”
Aisyah yang entah dari
planet mana muncul tiba-tiba. Sempat lagi dia mengetuk pintu dengan kuat,
dengan harapan Suhaila dan Ayra akan terkejut. Dia yakin, sahabat-sahabatnya
itu tentu sedang bergosip sakan di dalam bilik.
“Bagilah salam kalau
nak masuk!”
Suhaila membebel. Dia
mengurut dada, terkejut dengan ketukan Aisyah. Mengalahkan bunyi guruh di
langit.
“Assalamualaikum... rakan-rakanku yang sedang
bergosip...”
Aisyah menukar lirik, melodinya masih sama dengan lagu
raya dendangan Jamal Abdillah. Siap dengan aksi sekali.
Suhaila
dan Ayra ketawa berdekah-dekah dengan aksi Aisyah. Gadis Selangor itu memang
kelakar orangnya. Kalau di kelas, dialah yang akan menceriakan kelas dengan
lawaknya. Pensyarah juga suka padanya. Suruh menyanyi, berlakon, menari,
semuanya tak pernah ditolak Aisyah. Dia akan lakukannya dengan caranya sendiri.
Aksinya akan mengundang ketawa semua pelajar.
“Kutuk aku ya?”
Aisyah melabuh punggung
atas katil Ayra. Dia mencapai bantal kecil berbentuk hati lalu terus dipeluknya
erat.
“Tak adalah! Kau kan kawan kami, takkan kami nak kutuk
pulak,” balas Suhaila.
“Baiknya... syukur aku
dapat kawan macam korang tau. Dah tu, sapa yang korang kutuk tu?”
Aisyah masih tak puas
hati. Masa di luar tadi, bukan main Suhaila dan Ayra rancak berbual. Siap
ketawa-ketawa lagi. Aisyah panas pedih di dalam biliknya. Dia sedang membaca
novel.
“Nak cerita tak Ayra?”
Suhaila pandang tepat
ke wajah Ayra. Ayra terkelip-kelip matanya memandang Suhaila.
“Korang ni buat suspen aje.
Cepatlah cakap!”
Aisyah sudah tidak
sabar. Suhaila dan Ayra pasti menyembunyikan cerita yang menarik dari
pengetahuannya. Dia harus korek sampai dapat.
“Pasal Dira ke?” Aisyah
memperlahankan suara.
“His, tak ada kena
mengena langsung!”
“Dah tu???”
Aisyah terus mendesak.
“Aku terima mesej dari
pengirim yang tak dikenali. Ila syak Dean yang hantar.”
Ayra membuka cerita.
Kalau dengan Aisyah, jangan haraplah nak simpan rahsia. Pasti akan dikoreknya
sampai dapat. Tambah-tambah lagi kalau dia dah tahu sebahagian cerita.
“Mana mesej tu? Bak
sini aku nak baca!”
Aisyah sudah bangun.
Dia menghulur tangan. Tersentak Ayra dengan permintaan Aisyah. Suhaila tak ada
pulak sampai mintak nak baca mesej.
“Aku dah padam.”
Ayra bercakap benar.
Dia memang akan memadam setiap mesej yang diterimanya dari pengirim misteri
tersebut. Dia tak boleh biarkan mesej tersebut tanpa dipadam. Bimbang kalau ada
yang terbaca nanti.
“Huh! Dia tulis apa?”
Aisyah agak kecewa.
Tapi dia masih tak puas hati selagi tak tahu isi kandungan mesej yang diterima
Ayra.
“Biasalah. Ayat nak tackle awek la tu. Betul tak Ayra?’
Suhaila mengenyit mata
pada Ayra. Dia dapat mengagak, Ayra pasti rimas dengan sikap Aisyah yang suka
ambil tahu hal orang.
“Ya. Betullah tu. Perut
aku ni terasa lapar pulak. Korang tak lapar ke?”
Ayra segera menukar
topik. Makin dilayan makin menjadi.
“Aku pun lapar. Jom ke
kafe.”
Aisyah menggosok
perutnya yang agak buncit. Tinggi dan beratnya tidak sepadan. Puas sudah makan
ubat kurus, badannya tetap tak kurus-kurus. Makin berisi adalah. Cemburu jugak
dia dengan tubuh badan Ayra dan Suhaila. Pakai apa pun nampak cantik.
“Jom!”
Suhaila bingkas bangun
lalu meninggalkan katil. Aisyah pulak terus melangkah keluar dari bilik.
“Kita jumpa kat bawah nanti.”
Jerit Aisyah dari luar bilik.