Komputer riba dari dalam beg dikeluarkan.
Komputer riba berjenama Acer itu segera dibuka. Sudah tiga bulan komputer riba tersebut
menjadi milik Ayra. Sudah lama Ayra mengimpikan untuk memiliki sebuah komputer
riba, sejak bergelar mahasiswi, namun hajatnya itu tidak kesampaian.
Masa di UiTM Arau dulu,
pinjaman yang dia dapat sekadar cukup untuk perbelanjaan pengajian enam
semester. Selesai diploma, dia sambung ke ijazah sarjana muda pula selama dua
tahun di tempat yang sama. Dia tiada sumber kewangan lain, hanya mengharapkan
pinjaman PTPTN dan pendapatan yang diperolehi dengan bekerja ketika cuti
semester. Selesai pengajian, dapatlah dia mengumpul sedikit wang dengan bekerja
di sebuah pasaraya.
Apabila ditawarkan
untuk mengikuti kursus Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah atau LPBS, Ayra terus
membeli komputer riba. Gembira hatinya saat komputer riba bertukar tangan
daripada penjual kepada dirinya. Komputer riba tersebut ditatang bagai minat
yang penuh. Bukan mudah untuk memilikinya, sebab itu Ayra menjaga komputer
ribanya dengan baik.
Ayra mendaftar di
Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh Mac lalu dengan opsyen Bahasa
Inggeris. Kekurangan guru Bahasa Inggeris menyebabkan mereka dipanggil untuk
mengikuti kursus LPBS. Ayra bersyukur kerana tidak sampai tiga bulan dia
menjadi guru sandaran tidak terlatih atau GSTT, akhirnya dia ditawarkan kursus
LPBS untuk diserap ke jawatan tetap.
Mengikut perjanjian,
Ayra perlu menghadiri kursus interaksi setiap kali cuti sekolah di IPG Kampus
Ipoh. Pengisytiharan naik taraf IPG Perguruan kepada Institut Pendidikan Guru
telah dilakukan pada tahun 2006.Pengisytiharan ini memberikan satu
perubahan besar kepada institusi keguruan dengan bermulanya Program
Pensiswazahan Guru yang dijalankan di IPG seperti Program Pensiswazahan Guru
Sekolah Rendah (PGSR). Selain itu, IPG juga mula menjalankan latihan
praperkhidmatan yang boleh memberi pengiktirafan ijazah Sarjana Muda kepada
guru sekolah rendah melalui Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSM) seperti
Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan B.Ed TESL.
Kampus Ipoh salah satu daripada
27 Institut Pendidikan Guru yang ada di Malaysia. Terletak di Hulu Kinta, Ipoh,
IPG ini menawarkan pelbagai kursus berkaitan perguruan. Kampus Ipoh mempunyai
lapan blok asrama perempuan dan hanya tiga blok asrama lelaki.
Duduk berhadapan kolam
di belakang blok A sambil menghirup udara segar memberi ketenangan yang sungguh
bermakna buat Ayra. Dia melayari internet dan mengemaskini blog yang baru dibina.
Dia merasa bebas bersendirian di situ. Tiada sesiapa yang mengganggu. Ayra
boleh melayari internet selama mana dia mahu tanpa sebarang gangguan.
Semalam, hampir tiga jam dia berada di situ sambil
melayari internet. Gila dia dengan dunia tanpa sempadan itu. Sebelum ini, Ayra
kurang berminat dengan dunia internet. Dia sekadar melayari internet untuk
mencari maklumat bagi menyiapkan tugasan. Namun sejak diperkenalkan oleh Nadira
dengan dunia blog, twitter, dan facebook, hatinya mula tertarik untuk memiliki
akaun-akaun tersebut. Namun, masa tidak mengizinkan. Dia bukannya selalu melayari
internet. Hanya hari-hari tertentu sahaja.
Buat masa sekarang Ayra lebih berminat untuk memiliki
blog.
Sebenarnya, banyak kebaikan blog jika pandai
memanfaatkannya. Pengguna boleh memaparkan produk-produk yang dihasilkan. Jika
rajin berusaha, mereka mampu menjadi jutawan dalam masa yang singkat. Pelayar
internet semakin bertambah bukan sahaja di Malaysia, tetapi seluruh dunia. Ada
juga yang mempamerkan hasil karya seperti sajak, cerpen dan novel, dan ada juga
yang memaparkan sesuatu topik untuk dibincangkan. Tapi, jika salah guna, diri
sendiri yang akan menerima akibatnya nanti.
Jari jemarinya pantas menggerakkan tetikus lalu klik pada
mozilla firefox sebaik sahaja isyarat sambungan internet sudah terpampang. Nadira
yang mengajarnya membina blog. Hendak buat sendiri, dia tidak pandai. Dalam hal
ni, Nadira baginya seorang yang pakar. Nadira juga memiliki blog yang sudah
berusia lima tahun. Namun sejak setahun lalu, blog Nadira tidak dikemaskini
lagi. Blognya terbiar.
Ayra menarik nafas dan memandang alam sekitar depan mata.
Air kolam dan bukit-bukau yang hijau menenangkan jiwa. Memandang keindahan alam
yang masih belum tercemar itu membuatkan matanya yang pedih kembali segar. Ayra
menghabiskan masa selama beberapa minit menikmati keindahan alam ciptaan Yang
Maha Esa sebelum menyambung kembali aktiviti.
Mawar – itulah nama blog kesayangan Ayra. Dia tidak tahu
hendak letak nama yang sesuai ketika proses mendaftar blog. Memandangkan dia
minat pada bunga, jadi dia terus letak saja nama Mawar ketika Nadira memintanya
memberikan nama blog.
Minggu pertama, Ayra
hanya letak info tentang pelbagai spesies bunga. Info tersebut dia dapatkan
dari internet juga. Adalah dua tiga orang peminat bunga yang mengunjungi blog Mawar
dan menyoal pasal bunga. Ia menjadi perangsang buat Ayra untuk terus
mengemaskini blog dan meletakkan lagi banyak info tentang bunga.
Setakat ini, sudah lapan info yang dimasukkan berkaitan
dengan bunga. Blog Mawar masih kosong, berbeza dengan rakan-rakan blog lain
yang sering dikunjungi. Tiada hiasan yang diletakkan melainkan beberapa kuntum
bunga yang menjadi wallpaper. Nadira sekali
lagi membantu Ayra meletakkan wallpaperbunga-bungaan.
Ada jam digital dan kalendar di sebelah tepi. Maklumat diri langsung tidak ada.
Gambar bunga mawar menggantikan gambar pemilik blog.
Pada mulanya Nadira berkeras
hendak meletakkan gambar Ayra. Apa lagi, Ayra terus menentang habis-habisan. Dia
bukannya malu hendak meletakkan gambar, tetapi dia ada alasan tersendiri mengapa
dia enggan mendedahkan diri. Identitinya biarlah menjadi rahsia.
“Apalah kau ni... itu pun nak malu. Manalah tahu, ada
lelaki yang tersalah masuk blog kau ni, terus terpikat bila terlihat gambar
kau.”
“Aku bukan nak cari jodoh dengan blog aku ni.”
Ayra tetap berkeras dengan keputusannya. Nadira terpaksa
akur dengan keputusan Ayra.
Mata Ayra tertancap pada satu komen di bawah catatan
terbaru yang dimasukkannya dua hari lepas. Dia memasukkan catatan tersebut
semasa berada di perpustakaan. Ketika itu, dia ke perpustakaan untuk mencari
buku-buku yang sesuai bagi menyiapkan tugasan. Mujur dengan bantuan rakan-rakan,
iaitu Dean dan Suhaila, mereka berjaya mengumpul maklumat tugasan. Mereka
berjaya menyiapkan tugasan lebih awal.
Selesai menyiapkan
tugasan, Ayra menggunakan kesempatan untuk meletakkan catatan baru di blog
menggunakan sumber buku dari perpustakaan.
Jari-jemarinya menggosok key pad sehingga anak panah berhenti pada perkataan ‘1 komen.’ Ayra
terus klik di situ kerana teruja hendak membaca komen yang dihantar pengunjung
blog Mawar.
Terkebil-kebil matanya membaca sepotong ayat yang
tercatat di situ.
‘PENIPU! TOPENG MUKA KAU AKAN TERBONGKAR!’
Terpinga-pinga Ayra dengan baris ayat tersebut. Berulang
kali dia membacanya, masih tidak percaya komen sebegitu dihantar ke ruangan
blog kesayangannya. Pucat muka Ayra. Dahinya berkerut-kerut. Jantungnya
berdegup kencang.
Pengirimnya; anonymous! Tak diketahui!!! Siapa
penipu? Topeng siapa pula yang akan dibuka?
Komen tersebut dihantar
di bawah catatan yang berkaitan dengan penanaman bunga melur. Langsung tiada
kaitan!
Ayra cepat-cepat daftar masuk ke akaun Google untuk
memadam segera komen tersebut. Habislah kalau pengunjung lain membaca komen
daripada seseorang yang enggan memperkenalkan dirinya itu. Tentu mereka akan
memikirkan sesuatu yang buruk tentang dirinya. Itulah yang Ayra bimbang.
Ayra berjaya memadam
komen tersebut. Dia menarik nafas lega untuk seketika.
Terus hilang minatnya untuk mengemaskini blog. Ayra juga
hilang minat untuk membaca blog-blog lain. Fikirannya terus melayang pada komen
tersebut.
‘Penipu! Topeng muka kau akan terbongkar!’
Keresahan terus melanda
jiwa. Siapakah yang menghantar komen tersebut? Adakah penghantar komen tersebut
saja suka-suka? Atau ada makna tersirat dari ayat tersebut???
Peluh menitik di dahi.
Ketakutan menguasai dirinya. Ayra bingkas meninggalkan tempat tersebut bersama
komputer ribanya.