Home Novel Cinta Jon Aragorn
Jon Aragorn
Ann Hann
3/1/2021 17:08:50
29,126
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 10

Kami saling duduk berhadapan di sebuah restoran ala Spanish (bukan kafe) di Brooklyn. Aku memilih restoran itu sebab ia kelihatan agak tersembunyi selain cuba mengelak dari sesiapa yang aku kenal, contohnya mungkin jiran atau bekas-bekas rakan sekolah tinggi ataupun dari universiti. 

Seorang pelayan menghampiri sebaik kami berdua duduk di sebuah meja yang terletak di sebelah kanan.

“Kau nak makan apa?” tanya Jon sambil dia membuka butang kemejanya mendedahkan t-shirt berwarna hitam dengan berlambangkan seekor naga lucu. 

Rasanya naga itu dari sebuah filem animasi. Leka seketika memerhati, aku cepat-cepat membaca menu bila Jon duduk sambil memanggil pelayan. Seorang wanita mexico bersedia mengambil pesanan. Aku meminta tortilla berinti salad sayur. Jon juga meminta menu yang sama tapi tortillanya berintikan daging. “Kau diet ke? Ada banyak makanan sedap di sini kau cuma minta tortilla?” tanya Jon.

“Ya. Aku suka berdiet,” kenapa pula aku nak terangkan lebih terperinci perihal makanan yang perlu aku makan pada dia? Itu privasi. Bagaimanapun, diam-diam aku perasan yang Jon sudah tidak sekurus dulu. Lengannya kali ini lebih berotot, begitu juga dadanya. Sewaktu kami jalan beriringan tadi aku perasan ketinggianku cuma separas dagunya berbanding dulu tinggi kami setara. 

Oh, sebelum terlupa aku mengeluarkan bungkusan dan meletakkannya di atas meja sebelum perlahan-lahan menyorongnya kepada Jon yang melihat aku dan bungkusan itu bersilih ganti. “Aku tak boleh terima komik ni. Selain harganya yang mahal, aku tak suka terhutang budi.”

“Ambillah, aku ikhlas. Barang bagus begini harus berada di tangan orang yang  menghargainya. Aku percaya kau akan simpannya di tempat yang baik,” Jon menolak dan menyorong bungkusan itu kepadaku kembali.

“Tapi…”

“Aku belanja hadiah hari ulang tahun kau,” kata Jon dengan suara yang kedengaran tidak kisah sudah berapa banyak wang yang dia belanjakan.

Kami saling berpandangan beberapa saat sebelum pandangan itu terlerai oleh  suara bayi menangis di dalam restoran. Aku kehabisan alasan hendak menolak. Dua tiga kali aku berdehem untuk melegakan tekak yang kering. 

“Yalah, terima kasih, nanti aku belanja kau makan lepas aku dapat gaji pertama. Jadi… boleh tak kita teruskan perbincangan pasal rancangan kau ni, aku tak boleh balik lewat,” desakku pada Jon yang terus bersabar. Tingkahnya yang sentiasa tenang dan kelihatan selalu menghela nafas memang tidak berubah, begitu juga bila dia sesekali mengerlingku sambil melihat sekeliling kami. 

“Sebelum tu boleh aku tahu kenapa kau nak cari kekasih palsu, aku patut tahukan? Sebab aku watak penting dalam penipuan kau ni,” aku meneruskan rancangan untuk menekannya selain cuba  mengalih fikiranku dari mengingati memori lama. “Macam mana kau bo…”

“Wow woww, ssh… relaks Nami, relaks,” Jon mengangkat tapak tangannya meminta aku bersabar. “Boleh tak kau perlahankan nada suara kau, nanti orang di belakang kau fikir kita pasangan kekasih yang tak ada otak,”  dia ketawa kecil sambil menggeleng dan memandang ke kiri.

Aku menggerenyet tapi berpaling juga ke belakang meja. Memang betul, seorang wanita separuh usia, berkulit hitam kehairanan melihat aku dan Jon. Kuat betul agaknya nadaku tadi.

“Apa kata kita makan dulu, mungkin kau boleh tenang sikit lepas makan,” cadang Jon.

Selepas tortilla yang kami pesan siap dihidangkan aku segera makan dengan senyap sambil berfikir-fikir di mana aku hendak cari duit untuk tebus kontrak. Aku betul-betul tak percaya dengan Jon Aragorn! Lelaki gila yang duduk di hadapanku sekarang ini, nampak sahaja tenang tetapi aku teringin hendak tahu apa yang difikirkannya.

“Kau nampak makin garang lepas tujuh tahun aku tak jumpa,” komen Jon selepas habis makan sebiji tortilla sebesar roti sandwich.

Tiba-tiba aku terbatuk, termengkelan gas coke-cola yang sejuk. Sebab rasa tak selesa aku menepuk dada yang disusuli pula bunyi sendawa. Astaga… cepat-cepat aku berpaling ke kiri dan menutup mulut, memalukan betul sendawa di depan si pembuli. Bukan sekali, tapi dua kali. “Maaf…” ucapku dengan pipi yang mungkin kemerahan malu. Jon mengerlingku dari balik rambutnya yang jatuh di dahi. 

“Tak apa Nami,” katanya dan meneguk lagi coke sehingga tinggal separuh. 

Aku ternampak Jon tersenyum kecil ketika menunduk. Tentu dia gelihati mendengar aku sendawa termengkelan buih coke. Apalah yang difikirkannya, aku teringin belajar ilmu psikik. 

“Aku dah cakap di pejabat tadi, aku bukan gadis yang sama yang boleh kau buli dulu. Kalau aku dapat duit tunai sepuluh ribu dolar, aku betul-betul berhenti dari Empire Roman,” jawabku berkenaan pertanyaannya tadi dan aku harap dia faham. 

Tetapi wajah Jon berubah suram, dia merenungku dengan bibirnya digetap rapat. Beberapa saat terdiam kemudian dia menjawab. “Apa alasan kau nak berhenti? Sebab aku minta kau menyamar jadi teman wanita aku?”

Jon memang bukan orang yang mudah faham. Encik Roman patut hantar anak tunggal lelakinya ini belajar ke China, berguru dengan sami, biar dia tahu macam mana erti hidup. Apa dia ingat senang ke nak menyamar jadi kekasih palsu?

“Kenapa kau nak susah payah? Ayah kaukan kaya, kau boleh dapatkan apa saja di muka bumi ni. Ada berbillion lelaki di luar sana yang sudi gantikan tempat kau dengan mereka kalau saja itu boleh, kenapa kau nak cari kekasih palsu? Kenapa kau tak ada kekasih betul? Itu pelikkan?”

“Dengar ni Nami, sebelum tu aku minta maaf pasal kenangan kita dulu. Sebenarnya… untuk pengetahuan kau, aku dah berubah, aku bukan budak nakal lagi, kau boleh tengok sekarang.” 

Jon mendepang tangannya menyuruh aku melihat entah apa yang berubah. Aku sekadar memutar mataku. Pipinya mengembung sebelum dia menghembus udara, mungkin sedang melegakan dadanya selepas mendengar soalan-soalan mengecamku tadi. Lambat-lambat dia menjawab.

“Bukan pasal ayah aku kaya. Aku cuma nak lakukan sesuatu atas usahaku sendiri. Lagipun aku dah kerja di Aragorn Tower. Itu saja. Tapi, aku nak buat sesuatu yang… bebas, yang buat aku rasa hidup dan aku tak suka orang fikir aku bangga jadi anak Roman Aragorn,” jelas Jon dengan riak wajah serius yang langsung tidak meyakinkan aku, aku seperti melihat ada simbol ? tanda soal di atas kepalaku.

“Jadi… apa masalahnya?” begitu kasualnya aku bertanya. Aku tak faham macam mana ia ada kaitan pasal nak jadikan aku kekasih palsu.

“Macam aku katakan tadi, aku nak lakukan sesuatu,” Jon mengangguk-angguk kecil, cuba meyakinkan aku mungkin. “Tapi sesuatu yang aku nak buat tu buat ayah dan mak aku risau.”

Hmm… keningku terangkat, masih tak faham.

“Kau tak perlu tahu,” katanya.

Aku terus naik angin. “Kau jual dadah ke? Kau nak hantar aku ke Madrid sebagai penyeludup dadah?”

“Hei…hei… hei! Kau dah gila ke Nami,” Jon mula bengang.


Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.