Home Novel Cinta Tentang Martin
Tentang Martin
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
61,708
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 13

Sambil bersandar pada pintu peti ais aku melihat jam yang sudah menjangkau 8.30 malam. Aku memicit bahu yang keletihan. Lepas lega seketika aku pun menghidangkan hidangan makan malam di atas meja ketika Martin muncul dengan tetamunya. Abraham, Suhan, Bella, Kak Mimi, pekerja dari bahagian pentas dan krew jurukamera yang tidak berapa kukenal.

“Wah, Lila dah ada rupanya,” tegur Kak Mimi sambil menepuk belakangku. 

“Lila tolong saya masak hari ni,” Martin mencelah sambil meletakkan minuman tin yang dibelinya di atas meja Jepun yang terletak di depan televisyen.

“Betul ke? Macam ada apa-apa je Martin dengan Lila…” Suhan mengerlingku dengan senyuman mengejeknya. Kak Mimi dan Bella turut berdehem-dehem.

“Tak adalah, saya ikut arahan ketua aje,” kataku dengan suara perlahan tak mahu mereka memanjang lebar gurauan Suhan dan tak mahu Martin mendengarnya.

“Amboi…amboi, kalau betul pun apa salahnya,” ujar Kak Mimi.

Martin ketawa kuat yang buat aku… rasa nak sepak belakangnya. Disusuli gelak ketawa rakan sekerja yang lain. 

“Dah boleh makan ke? Saya lapar,” aku menoleh pada Martin.

“Sila-sila, jom kita makan, Lila dah penat tolong saya masak,” pelawa Martin dan disambut baik yang lain yang terus berebut-rebut mengambil udang.

“Mina dan Azila tak datang ke?” aku tanya Kak Mimi.

“Tak, orang ada laki mana boleh keluar malam, kita yang single je boleh,” lalu kami ketawa kuat-kuat. Kak Mimi sebenarnya janda anak dua. Lucu dan baik sangat orangnya. Aku begitu menyenangi sikap Kak Mimi yang peramah macam Suhan juga. Cuma Suhan memang jenis humor dan gila-gila sekali-sekala.

Tidak lama kemudian bunyi loceng bergema lagi. Martin pantas melangkah ke pintu melihat dari kamera pengawasan siapa yang datang. Rupanya Zara. Ya. Martin turut menjemput Zara. Dan itu menguatkan lagi persepsiku tentang hubungan mereka berdua. Seperti biasa, kemunculannya dengan gaya manja automatik mengubah suasana. Muka meluat Kak Mimi dengan mulut terkumat-kamit buat aku hampir ketawa. 

“Datang pulak si berlagak tu!” kata Kak Mimi kepadaku yang mampu tersengih saja. Aku tidak kenal Zara, jadi aku tak tahu seberapa kuat lagaknya boleh buat aku menyampah. 

Tetapi bagaimanapun Kak Mimi betul. Cukup sepuluh minit aku hampir hilang sabar bila Zara mengarahkan padaku ambilkan dia segelas air.

“Sedap juga awak masak,” puji Zara dengan aksi manja luar biasa di sebelah Martin.

“Memang sedap. Tapi bukan saya yang masak, Lila yang tolong saya masak,” jawab Martin sambil mengenyit mata kepadaku.

Zara terus berhenti memuji dan cuba memuji dekorasi rumah Martin pula.

Sebaik Mystery Game disiarkan jam 10, semua orang mula fokus. Setengah jamnya lagi sesekali suara ketawa kami meledak setiap kali Gita dan Farhana menjerit. Rasa seronokku hilang beberapa minit kemudian. Aku mula hilang fokus. Berkali-kali aku nasihatkan hatiku jangan cemburu. Aku tak berhak pun sakit hati. Aku tidak ada kena-mengena dengan Martin jadi aku tak perlu cemburu tengok Zara duduk rapat di sebelah Martin sambil ketawa mengekek.

Pantas aku bangun menghilang ke dapur, memotong asam jeruk yang kubeli tadi. Alasan yang tepat hanyalah untuk menghindarkan mataku yang sering jadi pengkhianat ini. Leka menghiris setiap biji jeruk asam tidakku sedar Martin sudah berada di sebelahku.

“Bosan ke tengok game tu?” tanya Martin.

“Eh, tak. Best… saya cuma nak makan sesuatu,” jawabku dan terus menghiris kemudian meletakkannya di dalam mangkuk. “Saya suka editingnya,” pujiku lagi dan mahu membawa mangkuk berisi asam jeruk itu keluar sebelum Martin tiba-tiba mengambilnya dari tanganku dan menahan aku dari keluar.

Aku bagai terkena renjatan elektrik dua saat ketika tangan kami bersentuh. Mata kami bertentangan. “Tidurlah kat rumah saya kalau awak tak ada tempat nak tidur, jangan tidur di pejabat lagi,” ujar Martin.

Awak dah gila ke?” bisikku takut rakan sekerja mendengar cadangan Martin itu. “Itu rahsia saya.” Kataku geram.

“Saya cuma risaukan awak.”

Lain benar maksudnya perkataan risau itu pada aku. Apa dah jadi dengan Zara? Aku jadi perampas? Aku terus keluar dengan Martin menyusuliku dari belakang. Suhan tersenyum-senyum melihatku. Martin meletakkan mangkuk tadi di atas meja tamu dan kembali duduk di sebelah Zara yang terlalu manja malam itu.

“Episod Martin dengan Lila bila?” tanya Kak Mimi.

“Dua minggu akan datang,” jawab Abraham yang telahpun berdiri sambil membetulkan seluarnya. “Aku gerak dulu, ada janji dengan kawan,” katanya pada Martin.

Martin langsung berdiri. “Terima kasih datang, good job bro,” mereka berpelukan sambil menepuk belakang masing-masing. Melihat Abraham pulang aku pun ikut berdiri yang membuatkan Suhan, Bella dan Kak Mimi pantas berpaling.

“Saya pun nak balik, dah lewat ni, nanti mak saya cari,” kataku meminta diri pada tuan rumah yang buat muka terkejut.

“Betul ke?” tanya Martin.

Aku mengangguk lalu bersalam dengan Kak Mimi dan Bella dan Suhan yang pura-pura hendak berlaga pipi denganku sebelum ditolak oleh Kak Mimi. Oleh sebab Zara pun langsung tidak menoleh kepadaku. Aku pun buat-buat tidak endahkan dia juga.

“Biarlah Lila pulang, dia dah penat tu,” Zara mencelah dari tepi Martin. “Lepas habis show kita main kad, Martin... jomlah.” Lalu menarik Martin duduk semula.

“Awak balik rumah ke Lila?” tanya Martin lagi.

“Ya, terima kasih makan malamnya. Bye…” lantas aku keluar menyusuli Abraham yang sudah menghilang beberapa minit lalu. 

Sambil menggosok mata aku memicit butang lif yang terbuka dalam sepuluh saat. Kesunyian apartmen itu berbeza dengan Swan Flat yang selalu riuh dengan suara budak-budak bermain. Di flat,  aku biasa melihat anak-anak bujang lepak bermain gitar. Aku tersenyum. Lif itu bergerak turun ke bawah mengikut urutan nombor. Sebaik pintu lif terbuka aku melangkah keluar, jalanku macam lambat sedikit, entah mungkin kerana letih memasak atau kerana scene yang menusuk jiwaku tadi. 

Rasanya sudah cukup aku menyakitkan hatiku sendiri. Ini yang terakhir. Ingatan itu harus dibuang secepat mungkin sebelum merebak menjadi racun. Kenapa juga dengan kau duhai hati… tolonglah bertindak ikut fikiranku. Bukankah aku sudah mengingatkan kepada kau yang aku tidak akan berlebihan tentang itu. Itu cuma mimpi indahku. 

Selepas menarik nafas panjang aku kembali melangkah dan memutuskan mencari teksi ketika berjalan kaki keluar dari perkarangan apartmen. 

“Lila.”

 Belum sempat aku berpaling tiba-tiba tanganku berada dalam genggaman Martin. Aku terpana dengan tindakannya yang tak sudah-sudah menggoncang hatiku. “Saya hantar awak pulang,” ujarnya tanpa mempedulikan riak terkejutku.

“Martin.” Aku berkeras dan berhenti melangkah. Begitu juga dengan dia. Genggamannya dilepaskan dari tanganku ketika dia berpusing menghadapku. “Saya boleh balik sendiri.”

“Saya boleh hantar awak pulang.” Riaknya tegas.

“Tak boleh.”

“Kenapa tak boleh?”

“Awak tak patut tinggalkan Zara dan tetamu awak.”

“Tak apa, yang pentingnya awak.”

“Nanti Zara marah.”

“Kenapa pula dia nak marah,” balas Martin dengan keningnya berkerut pelik.

Sejenak aku berfikir, cuba untuk tidak menunjukkan perasaanku yang sedang memberontak di dalam dada. Anggap saja dia cuba membalas budiku menolongnya hari ini. Martin mendepa sebelah tangannya memberi jalan kepadaku masuk ke pintu penumpang. Truck Navara kepunyaannya parkir dekat sahaja. Aku terus menaiki trak dan Martin pantas berpusing ke sebelah. Wajahnya bertukar girang yang tidak ingin aku tafsirkan dengan apa-apa. Tidak sesekali pun aku membocorkan rahsia hatiku pada Martin. Ia sangat memalukan lebih-lebih kami terlibat dalam perjanjian yang disebut sebagai hutang. Itu saja sudah cukup membodohkan diriku sendiri.


Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.