Home Novel Cinta Tentang Martin
Tentang Martin
Ann Hann
5/12/2018 08:08:26
61,733
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Martin sengaja kunci ke? Atau kerja Abraham. Saja nak kenakan aku agaknya. Tiba-tiba muncul tangan Martin menindih tanganku, laju saja aku menarik tanganku daripada pemegang pintu tersebut dan dengan perlahan Martin menyorong pintu itu ke kiri. “Awak nak robohkan pintu ni ke?” Martin bersuara dari balik bahuku yang buat aku meremang tak tentu pasal. 

“Kalau awak nak belanja saya breakfast esok pun boleh, pukul 8.30, di kafe…” kata Martin dengan nadanya yang penuh pesona.

“Tak…” cepat sahaja aku menggeleng.

“Ok, tapi jangan lupa petang ni, siapkan kerja awak cepat.”

Aku mengangguk laju dan cepat-cepat keluar sambil mengutuk dalam hati. Kenapalah aku bodoh sangat. Kenapa pula pintu biliknya jenis sorong tak macam pintu bilik yang lain. Memalukan betul, tentu Martin ingat aku cemburu sangat selepas tengok dia keluar makan dengan Zara. Haish!


Hujan turun renyai-renyai sewaktu aku dan Martin menuju ke pasaraya. Dia betul-betul dapat kelepasan pulang jam empat petang hari ini. Selepas meletakkan keretanya berhampiran pintu utama kami berdua beriringan masuk ke dalam pasaraya yang agak lengang hari ini. Mungkin bersama Martin, jalan beriringan di dalam pasaraya dengan menyorong troli agak janggal buatku tetapi aku hampir tidak peduli dengan perasaanku memandangkan Martin begitu selesa. Dia langsung tidak menunjukkan tanda-tanda rasa janggal bila bersamaku. Itu buat aku menyenanginya

“Awak nak masak apa?” soalku sambil menyorong troli ke bahagian bahan basah.

“Apa-apalah yang awak pandai,” jawab Martin.

Terus aku berhenti menyorong troli itu dan berpaling kepada Martin. “Minta maaf, tapi saya tak pandai masak,” adakah pembohonganku ketara pada wajahku? Martin merenungku seolah-olah tahu aku lemah dalam hal tersebut.

“Masak nasi?” 

“Pandai.” Jawabku.

“Itu maksudnya pandai Lila.”

Aku ada sisi kelemahan yang sangat buruk kalau pasal memasak. Masaklah apa saja pun, menumis, membakar, mengukus, buat penkek asalkan jangan menggoreng! Dan sebaik fikir pasal menggoreng, Martin terus mengaut udang besar dan menimbangnya. Kemudian dia memilih ikan besar pula. Fikiranku mula serabut. Cepat-cepat aku cari bahan untuk masak masakan yang aku pandai.

Ketika aku memilih bahan-bahan sos dan rempah Martin datang meletakkan bahan mentah yang dibelinya tadi. Dia menyorong troli tadi selepas aku selesai mendapatkan kesemua bahan. Di pertengahan, Martin menyapa seorang wanita bergaya berbangsa cina.

“Hai Martin, nice to meet you, hi…” wanita itu turut menyapaku sopan, kami berjabat tangan.

“Jiran sebelah saya, Puan Jenny,” Martin memperkenalkan wanita itu kepada aku.

Aku tersenyum sahaja dan membiarkan mereka berdua bercerita. Perbualan mereka pasal anak wanita itu sedang belajar di Switzerland. Tidak lama bercerita, selepas saling mengucapkan selamat tinggal perbualan itu ditamatkan oleh wanita tersebut dengan kata-kata yang mengejutkan aku.

“Your girlfreind is beautiful… Martin.” Wanita itu menepuk lenganku.

Aku ternganga mendengarnya langsung tidak sempat membetulkan tanggapan wanita itu yang sudah pun berlalu pergi. Martin tersenyum simpul. “Awak patut betulkan tanggapannya,” kataku.

“Awak memang cantik Lila,” kata Martin, selamba dia kembali menyorong troli ke kaunter dan membayar semuanya. Itu bukan menjawab soalan.


***

Dari Pasaraya sampai ke apartmen Martin aku menolak untuk memikirkan segala yang tidak berkaitan dengan apa pun yang aku ragukan. Sebagai seseorang yang telah melakukan kesalahan besar aku bertindak secara realistik. Cuba menurut arahan Martin selagi aku percaya tidak ada apa-apa yang perlu aku risaukan. Dia baik, tidak lebih dari itu. Kami mungkin boleh jadi kawan, aku dah terima hakikat.

Aku hampir terpegun dengan keunikan apartmen Martin. Ringkas sahaja dengan gaya moden urban. Warna perabot dan dindingnya hampir serasi, warna keperakan dan kelabu yang menimbulkan ciri-ciri pemikiran seorang direktor. Maksudku, mungkin fikiran lelaki sibuk seperti Martin memerlukan ruang ringkas yang tenang dalam rumahnya sendiri. Ruang tamunya juga cuma ada set sofa dan set televisyen. Gambar lukisan dan motivasi terletak di beberapa sudut yang buat aku singgah membaca.

“Selesa?” tanya Martin ketika mengambil plastik barang dari tanganku.

“Cantik, ringkas dan selesa… sudah tentu,” ujarku jujur sambil mengekori Martin ke dapur dan terus menuju ke sinki.

Aku mengeluarkan udang untuk dibersihkan. Udang itu lebih besar dari ibu jariku. Tentu sedap kalau masak sos, makan dengan beras wangi macam kat restoran cina muslim dekat rumahku. Sejenak mengenang keenakan masakan restoran itu. Aku menelan liur sambil senyum  berkhayal sebelum dikejutkan dengan Martin yang memasukkan tali apron ke kepalaku. “Eh…” aku benar-benar terharu.

Martin kemudian mengikat pula tali apron itu ke pinggangku dari belakang. “Nanti baju awak kotor,” katanya.

Oh Tuhan, dia buat aku semakin jatuh hati. Jauhkanlah aku dari perasaan ini. Sepantas itu aku disedarkan tentang Zara.    

“Terima kasih.” Aku menoleh kepada Martin yang berdiri di sebelahku.

Martin membalas ucapanku dengan senyuman lebar sebelum berkata. “Saya yang patut ucap terima kasih sebab awak tolong saya masak,” dia mula mengeluarkan halia dan bawang merah, menarik pisau dari bekas dan mula mengupas bawang.

Aku terkejut dia pandai mengupas bawang. “Awak pandai kupas bawang?” soalku pelik. Mungkin juga macam soalan orang dungu.

“Kalau di Switzerland saya biasa tolong ibu saya masak.”

“Mak awak tinggal di Switzerland?” aku terkejut pula.

“Ya dengan ayah saya. Abang saya kerja askar di sana, jadi dia jarang ada di rumah. Adik lelaki saya belajar di Amerika. Kenapa? Tak percaya?”

“Macam mana awak boleh tinggal kat Malaysia?”

“Saya membesar di Malaysia.” Martin ketawa sesaat sebelum menyambung ceritanya. “Ibu saya orang Malaysia. Ayah saya dari Switzerland, mereka berjumpa semasa belajar di Zurich. Kemudian berkahwin dan mereka bekerja di sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur.”

“Guru?”

“Ya.”

“Saya bersekolah di situ sampai habis. Kemudian sambung belajar di Amerika dalam bidang media. Ayah saya buat keputusan pulang ke Swizerland lepas kami tiga beradik semua dah besar, saya anak yang kedua. Saya pula habis belajar, bekerja di Swiss sekejap sebelum ditawarkan bekerja dengan E-Rose TV. Saya rindukan suasana di sini, kawan-kawan saya.”

Akhirnya cerita itu menjelaskan kenapa Martin berada di Malaysia. 

“Nice story? huh…” Martin mengerlingku.

“Ya. Mulanya saya pelik juga kenapalah ada pelancong ala-ala Eropah boleh cakap Melayu,” aku ketawa. Martin turut ketawa.

“Awak ada berapa adik beradik?” tanya Martin.

“Tiga. saya pun anak kedua, abang saya Ameng, ingat lagi malam tu…”

“Ya… ya,” sahut Martin ketawa.

“Adik saya Andy belajar di Penang sekarang.”

“Kita serasikan, anak kedua…emm…” ujar Martin sambil terus mengupas halia.

Aku tak menjawab, sekadar ketawa mengiyakan dan setelah selesai membersihkan udang, aku menyalut udang dengan tepung di meja dapur. Serbuk tepung yang berserakan di atas meja kubersihkan dengan teliti. Martin masih mengupas bawang, agaknya.

“Mana kuali pan awak?”

“Di atas.”

Martin langsung membuka rak yang paling atas dan menghulurkan kuali itu kepadaku kemudian dia kembali ke sinki membasuh bahan-bahan yang dikupasnya tadi. Selepas memanaskan minyak untuk menggoreng udang, aku melakukan aksi yang paling aku tak suka. Ergh! Harapnya taklah teruk sangat rupaku ketika sedang memasukkan udang ke dalam minyak yang sudah panas. Malangnya ketika aku berpaling ke kiri. Martin ketawa tanpa suara sambil menggeleng. Adakah dari tadi dia menyaksikan apa yang aku buat dengan udang itu?

Aku tersengih. “Err… saya tak suka apa-apa je yang buat saya terkejut, termasuk goreng-goreng ni,” jujur sajalah, memang aku takut pun. 

“Macam hantulah ya,” ujar Martin lalu menghulur tangannya. “Biar saya goreng udang tu, awak potong bawang.”

Emm, tawaran yang baik. Laju saja aku menghulur penyepit kepada Martin dan beralih kerja potong bawang, lobak dan lada benggala. Selepas menyediakan semua bahan-bahan, aku masak nasi. Kemudian masak ikan kukus dan siapkan sos untuk udang. Selepas semua hidangan siap dimasak, Martin keluar sekejap, katanya nak beli minuman untuk tetamu. Buat semua kerja di dapur Martin hari ini buat aku terfikir kenapa bukan Zara yang melakukannya. Oh, sudah tentu sebab aku orang bawahan Martin. Dan silapnya, aku mudah jadi orang suruhan Martin sebab hutangku. Kenyataan yang kuandaikan sendiri itu amat mengguris hati. 


Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.