Home Novel Cinta Osaka, With Love
Osaka, With Love
Mastura Abdullah
14/9/2018 08:44:39
88,696
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

SEMINGGU berlalu, namun kelibat Umairah tidak juga kelihatan di kelas 5 Gamma. Puas Faeeq dan rakan-rakannya tunggu, malah mereka sepakat untuk membuat standing ovation demi menyakat Umairah, namun insan yang dinanti tidak juga kunjung tiba. Loceng rehat baharu sahaja berbunyi, Faeeq bangun juga, berniat hendak bertanya pada Izzati.


“Izzati...Umairah mana?” tanya Faeeq ketika Izzati sibuk mengemas buku-buku di atas meja.


Izzati hanya menjungkit bahu, buat Faeeq bengang. Pantas Izzati mengatur langkah tanpa menunggu Faeeq. Bagi Izzati, buang masa sahaja melayan Faeeq. Kerjanya menyakitkan hati sahaja setiap hari. Apabila terdesak hendakkan sesuatu, baharulah terhegeh-hegeh mendekati dan bermulut manis. Huh, memang pantang dia!


“Takkan hang tak tau?” tanya Faeeq,cuba bersabar.

“Mana aku nak tau! Bukan hangsekampung dengan Umairah?” sergah Izzati, sebelum bergegas menuruni anak tangga. Faeeq tidak berniat hendak bertanya lagi walaupun tanda soal besar belum lagi terjawab.

“Makan, makan, jom! Lapaq wey.” SuaraLan kedengaran sambil menepuk bahunya.


Sempat Lan melompat di muka pintu dan bergayut di bahagian atas rangka pintu. Dia menarik dan menurunkan badannya dalam kiraan dua puluh sebelum melepaskan gayutan. 


“Dah macam monyet,” komen Faeeq selamba.

“Aku monyet, hang bapak monyet,” sahut Lan, tersengih-sengih. Faeeq mencebik, tanda tidak gelihati dan tidak mahu ketawa. Mereka jalan berkumpulan menuruni tangga.


“Adoi, kesian betui bapak monyet ni! Makan minum tak lalu gara-gara markanya tak mai sekolah seminggu.”

“Hairanlah aku...awat dia tak mai sekolah, hah?” tanya Faeeq, langsung tak ambil hati gurauan Lan.

“Demam kut,” tebak Bob yang berjalan di sebelah kirinya.

“Demam apa, seminggu?” sanggah Faeeq lagi.

“Demam tak lama, sakit hati yang lama. Dari dia ke sekolah menghadap muka monyet hang yang menyakitkan mata,baik dia belajaq kat rumah. Tengok bendang, sejuk mata sampai ke otak.”

“Balik sekolah ni hang pi lah ziarah dia,” cadang Apek pula. 


Kasihan pula melihat Faeeq seperti orang sasau. Selama lima tahun mengenali Faeeq, tak pernah pula dia melihat Faeeq tersangkut hati dengan mana-mana gadis di sekolah mereka ataupun darisekolah lain. Maklum sahaja, Faeeq atlet bola wakil negeri ke peringkat kebangsaan, tentu sahaja dia bertemu dengan ramai gadis cun. Tetapi, di kala mereka semua sibuk dengan peperiksaan SPM, muncul Umairah yang membuatkan Faeeq angau sepanjang masa.


“Malas aku.”

“Kalau malas, tutup mulut dan tengok.Kalau ada, adalah! Kalau tak dak, tok sah nak bersungut.”

Bob menjawab bagi pihakrakan-rakannya. Ketika sibuk bersembang, Apek sibuk menunjuk ke arah seorangpelajar perempuan yang duduk bersendirian di sebuah bangku.

“Budak baru ka?”

“Hang ni...budak form three pun nak usik jugak.” Lan menyanggah.


Apek tidak mempedulikan teguran rakannya, malah mengambil langkah panjang, mendekati pelajar perempuan yang dimaksudnya tadi. Faeeq geleng kepala tetapi mengikut rentak Apek. Dia duduk mengapit pelajar muda itu dari sebelah kiri.

“Student baru ka?” tanya Faeeq,selamba.

Pelajar baru itu hanya menundukkan kepala, segan apabila dirinya diapait oleh dua pelajar lelaki yang kelihatan lebih tua dari usianya.

“Nama siapa?” Apek turut bertindak sebagai penemuramah. Soalan itu memang biasa ditanya pada pelajar baharu sekolah mereka.

“Kuat sikit! Abang tak dengaq,” komen Apek, biarpun pelajar muda itu belum pun menjawab soalannya. Lan dan Bob sengih-sengih sahaja. Mereka gelihati dengan reaksi takut-takut pelajar perempuan itu.


“Fiqa.”

“Oh, Fiqa! Fiqa ni kelas mana?”

“4 Gamma.”

“Eh, junior kita! Kenalkan, dari kiri Fiqa tu Abang Paeeq, bapak kepada ‘monyet-monyet’ di SMK Alor Janggus. ‘Monyet’paling kanan nama Abang Lan, ‘Monyet’ paling sado nama Abang Bob dan abang sendiri, Abang Apek, penjaga kepada sekalian ‘monyet’ ni.”

“Oi...awat tu? Budak baru pun pi sakat jugak. Gila ka mereng?” sergah Izzati dari belakang. Apek menepuk dahi.Izzati tak habis-habis dengan sikap kacau daunnya. Ada sahaja yang tak senang di matanya.

“Mailah, Izzati! Join sekaki, berkenalan dengan junior kita. Fiqa ni dari kelas 4 Gamma.” pelawa Apek, tidak mahu larut dengan emosi tidak senang Izzati. Izzati pula menjeling tajam seperti selalu. Sakit betul hati dengan pelajar lelaki dari kelasnya.

“Fiqa...mai ikut Kak Zati. Tok sah dilayan ‘beruk-beruk’ empat ekoq ni,” ajak Izzati.

Fiqa hanya menurut. Dia selesa mengikut Izzati yang belum dikenali dari duduk sebangku dengan pelajar-pelajar lelaki itu.

“Eh, blah lagu tu ja?” Apek sengaja menguatkan suara, namun suaranya larut dek bunyi loceng rehat yang telah pun tamat.

“Melepaih waktu makan aku,” sungut Bob, disambut gelak dari rakan-rakannya.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.