Home Novel Cinta A LOVE TO KILL
A LOVE TO KILL
Farhah Aiddin
27/7/2021 11:07:15
35,922
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7

Jarak bumi ke matahari berpurata kira-kira 149,680,000 kilometer. Cahaya yang keluar dari matahari memakan masa lebih kurang 8 minit untuk sampai ke bumi. Cahaya yang terang ini mampu mengakibatkan sesiapa sahaja yang memandangnya secara terus menjadi buta.

Buta dalam istilah biasa ialah tidak dapat melihat. Pandangannya kosong dan gelap. Tetapi sebenarnya istilah buta boleh diguna pakai untuk mereka yang membutakan mata dan hati daripada melihat sesuatu. Buta mata dan buta hati.

Tiada siapa yang pernah mencelikkan mata dan hati mereka untuk dia. Membela nasib dan mengurangkan penderitaannya. Mereka butakan mata, tulikan telinga serta tutup segala rasa simpati dan empiti terhadapnya.

Tujuh belas tahun dia hidup. Tidak pernah sekali merasakan kasih sayang daripada sesiapa. Dalam keluarganya, dia ada emak, Nek Dian, Tok Ayah dan adik bongsu emaknya. Tok Ayah sudah menghadap ilahi dua tahun lepas.Manakala emaknya, tidak pernah pulang selepas berkahwin dengan pilihan hati kira-kira 7 tahun lepas. Entah hidup, entah mati, dia pun tidak pasti. Antara mereka semua, emaklah yang paling jijik dengannya. Yang paling membenci dirinya.

Tidak pernah walau sehari di dalam memorinya dia tidak dipukul, dipijak dan dicaci maki oleh emaknya sendiri. Seganda kebencian Nek Dian terhadapnya umpama sepuluh kali ganda kebencian emak terhadap dirinya.

“Arghhh…” Syifaa Qaireen mengerang kesakitan. Kepalanya teramat sakit. Rasa bergegar seolah-olah mahu meletup. Suhu badannya semakin meningkat tinggi. Menggeletar tubuhnya menahan rasa sejuk. Selimut yang sudah bercopang-caping, ditarik bagi menghangatkan tubuhnya.

Selepas cikgu Lydia membawanya ke klinik kesihatan, dia terus menghantar Syifaa Qaireen pulang ke kediaman keluarganya. Nasibnya baik kerana Nek Dian masih tidak pulang dari istana mahligai Tengku Mahfuz. Nek Dian bekerja sebagai tukang masak keluarga bertaraf diraja itu sedari muda lagi. Dulu Tok Ayahnya merupakan tukang kebun.

Kediaman ini terletak lebih kurang satu kilometer dari Istana Mahligai Nan Indah Tengku Mahfuz. Juga berada dalam kawasan yang sama. Milik keluarga diraja itu. Apa yang dia tahu, Tengku Mahfuz merupakan sepupu kepada salah seorang sultan yang terdapat di negara ini. Mereka berpindah ke Kuala Lumpur dengan membina empayar perniagaan sendiri. Hidup mereka terlalu mewah dan sempurna di mata semua orang yang melihatnya.

“Aduh… kenapa pening sangat kepala ni?” Kepala yang sakit dipicit-picit. Kalau diikutkan hatinya, mahu sahaja dia menghentak kepala ke lantai supaya rasa sakitnya dapat dikurangkan.

Syifaa Qaireen hanya mampu mengetap bibir menahan sakit. Kesakitan dan kepanasan suhu badannya membuatkan dia rasa dirinya seolah tidak merasa bumi. Tubuhnya seakan terapung di udara. Lelah. Hari ini amat melelah jiwanya. Moga apungan ini bakal membawanya terbang ke alam lena sekali gus menyahkan demamnya yang mula meninggi.

Tidur. Hanya tidur yang mampu buatnya sembuh.

Zap!

“Aduh…” Kepala Syifaa Qaireen terhantuk atas tilam nipis. Hancur segala harapannya apabila tiba-tiba sahaja bantalnya ditarik dengan kasar. Anak matanya kuyu menangkap kemunculan Wildan, adik bongsu emaknya itu. Biarpun Wildan berpangkat pak cik tetapi dia hanya tua setahun daripada Syifaa Qaireen.

“Oh, bukan main hebat lagi kau kan Syifaa Qaireen?” Wildan memerli geram. “Sedap tidur lepas kau buat onar memalukan aku dan mak aku!”

Syifaa Qaireen sekadar menjeling. Dia menarik selimut menutupi seluruh mukanya. Tiada tenaga mahu membalas. Tekak pun sakit. Lebih baik dia tidur dan masuk ke alam mimpi. Melupakan rasa sakit yang tak akan pernah hilang di hatinya meskipun buat sejenak cuma.

Melihatkan perlakuan selamba anak kakaknya itu, Wildan menarik dengan kasar selimut Syifaa Qaireen. Tarikannya itu menambahkan lagi koyakkan yang sedia ada pada selimut tersebut. Hancur. Langsung tidak berupa selimut. Seakan cebisan kain buruk.

“Acu ni dah kenapa?” Geram pula hati Syifaa Qaireen berdepan dengan perangai baran Wildan. Menyampah! Tidak habis-habis menyakitkan hati.

“Kau tu yang dah kenapa?” Wildan bercekak pinggang. Mahu sahaja dia memijak-mijak Syifaa Qaireen biar lumat seperti sambal belacan! Suka sangat buat perangai yang entah apa-apa.

“Hisy!” Syifaa Qaireen merengus kasar. Masa tengah sakit seperti inilah Saif Wildan mahu mencari gaduh dengannya. “Syifaa malas nak gaduh dengan acu. Nak tidur.”

“Sini kau! Ikut aku!” Tubuh Syifaa Qaireen yang kurus kering itu langsung terduduk sebaik sahaja Wildan menarik tangannya dengan kasar.

Syifaa Qaireen membalas dengan renungan tajam. Silap hari bulan, dia beri juga hadiah istimewa khas untuk pak ciknya ini. Hadiah istimewanya bukan sekadar bangkai cicak malah lebih teruk dari itupun dia boleh bagi.

“Kau ingat aku akan takut dengan renungan maut kau tu? Kau ingat aku macam orang lain ke hah?” Dahi Syifaa Qaireen ditolak dengan jarinya. Geram. Dia cukup meluat dengan perangai acah psiko anak buahnya itu.

“Biar aku ajar sikit orang yang tak kenang diuntung macam kau ni!” Entah apa yang merasuki Wildan, dia heret tubuh Syifaa keluar dari rumah mereka.

“Acu, sakitlah!” Sekuat mungkin Syifaa Qaireen berusaha melepaskan dirinya.

“Sakit? Hati aku dan mak aku jauh lebih sakit menghadap perangai psiko kau tu tiap hari, Syifaa!” Sesampai sahaja di sebuah tembaga besar bersebelahan tangga rumah, dia membuka penutup tembaga yang sudah lama tidak diusik. Kemudian mencapai batok buruk lalu mencedok air sejuk dalam tembaga dan menyimbahnya ke tubuh Syifaa Qaireen dengan kasar. Berkali-kali.

“Aku tak tahulah macam mana lagi nak baiki otak kau yang dah gila ni, Syifaa!”

“Acu!” Sedaya mungkin Syifaa Qaireen cuba melepaskan lengannya yang digenggam kejab oleh Wildan. Air tembaga itu sangat sejuk dan berbau. Mungkin kerana sudah lama tidak berusik.

“Sejuk?” Soal Wildan dalam nada memerli. Jelas di penglihatannya Syifaa Qaireen sedang menggeletar kedinginan. Bibirnya juga pucat. Lantas Wildan menghentikan perbuatan kejamnya itu. “Tak boleh ke kau berubah Syifaa?Jadi Syifaa Qaireen yang aku pernah kenal dulu.”

Dia dan Syifaa Qaireen membesar bersama-sama. Sedari kecil dia kasihankan anak buahnya itu yang didera mental dan fizikal oleh mak, ayah serta kakaknya. Selalu juga dia cuba membela Syifaa Qaireen namun pada akhirnya dia turut menjadi mangsa kemarahan mereka semua.

Dulu dia tidak kisah dimarahi mereka. Dia suka jadi kesatria Syifaa Qaireen. Sekarang? Dia benci! Syifaa Qaireen yang ini bukan lagi anak buah yang dia mahu lindungi. Kegilaan Syifaa Qaireen mengubah segalanya. Dari sayang bertukar geram. Dari kasihan menjadi meluat.

Dalam gigil, Syifaa Qaireen tetap berani menggeleng. “Syifaa Qaireen yang itu dah tak ada. Dah lama mati. Tunggulah sampai bumi terbalik sekali pun, dia tak akan pernah kembali dalam hidup acu lagi.”

Wildan tersentak. Mahu gugur jantungnya mendengar pengakuan tak masuk akal anak buahnya itu. “Kenapa kau boleh jadi sampai macam ni sekali, Syifaa? Apa yang telah merasuk otak dan hati kau hah?”

“Bila hati dah terlalu dalam dilukai, semua deria boleh mati.”

“Aku tak faham apa yang buat hati kau mati?” Wildan bertanya lagi meskipun hatinya rasa disiat-siat mendengar pengakuan Syifaa Qaireen. Sungguh dia tidak mengerti di saat bila hati gadis itu mati.

“Kepalsuan dan kebencian manusia.” Syifaa Qaireen tarik lengannya yang tidak lagi digenggam kuat. Sejuk. Dia mahu berselubung di bawah selimut sekarang juga.

“Beritahu aku siapa manusia itu?” Bentak Wildan.

“Acu teringin sangat ke nak rasa apa yang Syifaa rasa?” Terkeluar decitan dari mulut Syifaa Qaireen. “Percayalah, acu tak akan mampu pikul.”

“Aku tanya siapa yang buat hati kau mati bukannya aku teringin sangat nak rasa apa yang kau rasa, Syifaa Qaireen?” Keluar semula baran si Saif Wildan.

“Syifaa dah bagi tahu tadi, ma-nu-sia! Manusia!” Geram betul dengan orang yang tak faham bahasa. Pekak pun ada juga!

“Memanglah manusia. Tak akanlah kuda dalam kandang tu pulak. Tapi siapa? Aku nak tahu siapa?”

“Acu, Nek Dian, Tok Ayah, ibu dan semua! Semua orang yang ada di sekeliling Syifaa yang menjadi asbab Syifaa jadi macam ni! Puas?” Belum sempat Syifaa Qaireen melangkah, tangannya ditarik Wildan sekali lagi. Kali ini Wildan bawanya ke sebuah gudang yang terletak betul-betul di belakang rumah mereka. Tanpa sebarang kata, Wildan menolak Syifaa Qaireen jatuh ke lantai gudang. Lalu menutup pintu.

Terkejut dengan tindakan luar alam Wildan, Syifaa Qaireen pantas berdiri dan mengetuk bertalu-talu pintu gudang sambil menyeru nama acunya itu. “Acu! Bukan pintu ni Acu!”

“Kau duduk dalam ni sampai otak kau tu waras balik!” Seusai mengunci pintu gudang menggunakan rantai yang bernombor, Wildan melangkah pergi tanpa menoleh lagi ke belakang. Dia pekakkan saja telinganya dari mendengar jeritan Syifaa Qaireen.

Kasihan? Sudah pasti. Lamun dia lebih mahu mewaraskan fikiran Syifaa Qaireen yang langsung tidak termakan dengan kalam nasihatnya yang berbakul itu.

Aku sayang kau, Syifaa. Aku tak nak kau jadi Syifaa Qaireen yang ini. Tolonglah berubah jadi diri kau yang dulu! Aku janji akan kembali menjadi perlindung kau. Kesatria kau yang setia. Desis Wildan penuh pengharapan. Dia benar-benar rindukan Syifaa Qaireen yang dulu.

 


Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.