Ada lebih kurang 7.8 billion penduduk yang menghuni bumi ini. Dan dalam 32 jutanya merupakan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Kaum dan agama sahaja sudah menggambarkan betapa manusia ini berbeza-beza. Warna kulit, bahasa, adat dan termasuklah tingkah laku.
Ada manusia yang dipandang tinggi bak bidadari dan malaikat kiriman Tuhan. Ada juga manusia yang dihina dengan seteruk-teruk kejadiannya. Tidak kisahlah kenapa mereka dihina akan tetapi pernahkah manusia yang menjadi penghina itu terfikir untuk sesekali meletakkan diri dan hati mereka di tempat manusia yang dihina?
Tidak. Mereka tidak pernah berfikiran seperti itu. Kerana itu Syifaa Qaireen tak akan pedulikan ketakutan yang dirasakan orang lain terhadap perlakuan psikonya. Dulu dia tidak seperti ini. Dulu dia gadis lembik yang membiarkan sahaja diri dipijak-pijak dan dihina tanpa henti. Semuanya berubah semenjak dia mengetahui perihal sebenar. Sakit yang ditanggung membuatkan dia kuat. Juga mengubah segalanya.
Syifaa Qaireen mendongakkan kepala merenung langit yang cerah.Pancaran cahaya matahari betul-betul terik. Panasnya seolah matahari berada sejengkal dari tempat dia berdiri tegak di tengah-tengah dataran sekolah.
Selepas pengetua datang meredakan keadaan, dia disuruh membersihkan bangkai cicak yang berlumur kordial sirap yang berteraburan di atas lantai. Sesudah itu, dia didenda berdiri di dataran ini sebagai hukuman atas perbuatan teruknya terhadap rakan sekelasnya pagi tadi.
Sudah dua jam berlalu. Dia tahu, selagi pengetua tidak habis berceramah dengan Nek Dian di atas sana, selagi itulah dia akan berdiri di sini berbumbungkan mentari yang gah memancarkan cahayanya.
Menyesal? Huh! Jangan harap! Bukan Syifaa Qaireenlah kalau dia menyesal atas perbuatan sendiri. Apapun yang terjadi dia akan pastikan yang dia tak akan menyesal berlakuan seperti itu.
Dia masih ingat dengan jelas kejadian dua tahun lepas. Zaya, Ilham dan beberapa rakan sekelasnya yang lain begitu asyik menghina dan mencerca dirinya yang berbintikan Abdullah dan anak tak sah taraf. Ketika itu dia diam. Biarkan sahaja segala hinaan dan perlian mereka. Ya, dia seorang yang lembik dan pasrah. Itu dulu. Mula dari saat hatinya tidak lagi pasrah, dia berubah jadi orang yang digeruni.
Tiada lagi hinaan dan cacian keluar daripada mulut sesiapa. Malah untuk memandang wajahnya sahaja sudah cukup menakutkan semua. Tak salahkan jika dia berubah sebegini setelah melalui segala kesakitan jiwa yang dia hadap selama ini? Jangan pernah salahkan dia kerana puncanya daripada diri mereka sendiri. Mereka yang mulakan. Mereka yang tanam sedikit demi sedikit titik hitam dalam dirinya.
Kepala Syifaa Qaireen mula berdenyut kuat. Matanya berpinar-pinar memandang hadapan. Dia jarang sakit disebabkan perkara remeh seperti ini. Mungkin kerana cuaca terlampau terik dan membahang.
Dush!
Tiba-tiba saja dia jatuh terjelepok ke atas tar dataran. Lutut berdarah akibat hentakkan yang kuat. Berpinar-pinar matanya memandang figura yang memukul belakangnya dengan kuat secara tiba-tiba. Nek Dian. Siapa lagikan?
“Nek…” Sejak bila Nek Dian turun dari bilik pengetua pun dia tak sedar. Yang pasti wajah tua itu begitu menggerunkan.
Nek Dian menggenggam kuat tudung dan rambut Syifaa Qaireen lalu tanpa belas kasihan dia menghentaknya ke atas tar dataran. “Bukan macam ni cara kau nak dapatkan perhatian orang. Itu namanya psiko, Syifaa Qaireen! Psiko! Kau memang tak pernah menyenangkan aku. Patutnya dari kau kecik lagi aku cekik-cekik biar mati tak menyusahkan aku!”
Nasib baik Syifaa Qaireen sempat menghalang dahinya dengan tapak tangan. Kalau tidak, mungkin tak lama lagi kepalanya bakal berlubang dek amarah yang luar biasa menghantui Nek Dian. Hari ini nampaknya kesabaran Nek Dian benar-benar teruji.
“Jijik! Jijik aku dengan kau, Syifa!”
“Puan!” Halang Cikgu Musa, salah seorang guru yang melihat amukan menggila Nek Dian ketika mahu ke kantin sekolah. “Jangan puan. Mati cucu puan ni nanti!”
“Dia ni cucu tak guna. Tak habis-habis memalukan keluarga dengan status jijik dan perangai gila dia tu!” Tangan Nek Dian berjaya dilepaskan cikgu Musa dari terus mengerjakan Syifaa Qaireen.
Manakala seorang lagi guru, menolong Syifaa Qaireen untuk berdiri dengan betul akan tetapi lututnya bagai tidak mampu menampung tubuh. Cepat-cepat guru itu memaut tubuh Syifaa Qaireen yang seperti hendak rebah.
Badan Syifaa Qaireen menggeletar kesakitan. Tekaknya juga rasa sakit seakan mahu demam. Haih payahlah kalau demam! Mesti terseksa.
“Saya rasa Syifaa demam ni.” Ujar guru perempuan yang membantu Syifaa Qaireen. “Cuaca hari ni panas sangat. Baiklah puan bawa dia ke klinik kesihatan.”
Nek Dian ketawa sinis. “Kenapa kau demam aje, Syifaa? Kenapa tak mati? Hidup hanya menyusahkan aku!” sempat juga dia menunjal bahu cucunya itu sebelum dihalang cikgu Musa.
“Puan!” Tegas bunyi teguran cikgu Musa. Tergeleng-geleng kepalanya melihat layanan yang Syifaa Qaireen terima daripada keluarganya sendiri. Mana tidak teruk perangai budak ini. Orang yang sepatutnya melindungi dan menyayangi pun melayannya dengan amat kejam.
“Kalau mati tu mudah, dah lamalah Syifaa mati.” Balas Syifaa Qaireen bersahaja. Dalam sakit-sakit seperti itu, dia tetap mahu menaikkan termometer kemarahan neneknya itu. Ingat Nek Dian saja boleh buat dia sakit hati? Dia pun bolehlah!
“Kau… memang tak habis-habis menyakitkan hati aku!” Nek Dian sekadar menundingkan jarinya ke mata Syifaa Qaireen. Dia sudah tidak kuasa menyakiti tubuh insan yang tidak pernah serik itu. “Kalau macam inilah perangai dia cikgu, cikgu ambillah. Belai dia baik-baik. Tatang bagai minyak yang penuh. Tak kuasa aku nak jaga budak jijik ni lagi.”
Segera Nek Dian berlalu pergi begitu sahaja meninggalkan mereka semua. Kereta Kelisa biru yang terparkir di tepi padang sekolah, meluncur laju. Hanya gelengan yang mampu diberikan oleh dua orang guru tersebut.
“Syifaa, tunggu di astaka ni dulu. Cikgu bawa pergi klinik.” Arah Cikgu Lydia yang memimpinnya ke astaka.
Geleng. Kepala Syifaa Qaireen berdenyut makin kuat. Dia tidak perlu ke klinik. Dia cuma bayangkan tubuhnya baring dan tidur. Selepas itu, dia akan kembali sembuh seperti biasa.
“Jangan degil, Syifaa. Tak boleh ke kamu ubah perangai kamu ni? Sampai bila nak tunjuk psiko dengan semua orang? Sampai bila kamu nak diri kamu dibenci orang hah?” Kali ini suara cikgu Musa pula masuk ke corong telinganya.
Riak wajah Syifaa Qaireen beku menadah pertanyaan itu. “Dulu saya tak macam ni pun semua orang benci saya. Cikgu nak saya berperangai macam mana lagi?”
Kata-kata Syifa Qaireen menusuk ke hati mereka berdua. Mereka sudah lama berkhidmat di sekolah ini. Sebelum Syifaa Qaireen masuk ke sini lagi.Jadi, mereka sangat tahu hal yang dulu. Dulu Syifaa Qaireen mangsa, sekarang dia merupakan pemangsa. Dulu dia ditindas. Sekarang dia menindas.
Cikgu Lydia duduk di sisi Syifaa Qaireen. Tangan yang calar dan sedikit berdarah itu, diraih erat. Syifaa Qaireen tersentak dan cuba menarik. Dadanya berdetak lain macam. Tidak pernah dia dilayan begini. Siapa yang sanggup mencemar tubuh mereka dengan memegang tangan jijiknya itu.
“Dalam peperangan Uhud, ramai prajurit islam gugur syahid. Anggota tubuh mereka dikoyak-koyak dengan kejam. Bahkan ketika Hindun, isteri kepada bapa saudara Rasulullah melihat tubuh saidina Hamzah yang sudah tidak bernyawa, dia hampirinya dengan penuh kebencian lalu membelah dada Saidina Hamzah. Dia keluarkan jantung Saidina Hamzah, kunyah serta menelannya. Disebabkan kekejaman tentera musyirikin terhadap prajurit islam, kaum Muhajirin dan Ansar amat marah sehingga mereka berkata akan membalas dendam atas perbuatan kejam tentera musyrikin jauh lebih dari apa yang tentera musyrikin lakukan.”
“Rasulullah pula apabila berdiri di hadapan jenazah Saidina Hamzah, beliau berkata, ‘Aku akan bunuh 70 orang daripada mereka sebagaimana mereka lakukan terhadap dirimu.’” Cikgu Lydia berhenti seketika. “Kamu tahu tak Allah berfirman apa terhadap peristiwa itu?”
Diam. Mulut terkatuk rapat. Mana mungkin Syifaa Qaireen tahu.
“Allah berfirman dalam surah An-Nahl. KataNya ‘Dan jika kamu memberi balasan, maka balaslah dengan balasan yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Akan tetapi, jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar. Bersabarlah wahai Muhammad dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap kekafiran mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan. Sesungguhnya, Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang berbuat kebaikan.’”
“Saya bukan nabi dan saya bukan orang yang bertakwa.” Syifaa Qaireen bersuara jua. Wajahnya langsung tidak menggambarkan yang hatinya tersentuh. Dia mahu kekal dingin dan tidak berperasaan. Kerana dengan cara ini dia tidak perlu hidup menghadap penindasan.
“Cikgu tahu tapi sekurang-kurangnya kamu teladanilah kisah dan firman itu supaya kamu boleh mengubah sikap ke arah yang lebih baik.” Cikgu Lydia mengeluarkan tisu lalu dia mengelap tangan Syifaa Qaireen yang berdarah. “Allah uji sebab Dia tahu kamu boleh memikulnya. Dia juga beri ujian kerana Dia sayang.”
Hanya diam membisu yang mampu Syifaa Qaireen berikan detik ini. Tersentuh? Entah. Dia malas nak ada rasa seperti itu lagi. Rasa macam itu hanya membunuh jiwanya sahaja!