Home Novel Cinta Sabar Denganku
Sabar Denganku
Zulaikha Rizal
13/9/2021 00:01:31
8,260
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Syafiq sedang duduk bersantai di taman yang ada di kawasan perumahannya. Sengaja dia mengajak sahabat baiknya untuk bersantai di taman memandangkan mereka berdua cuti pada hari itu tambahan pula, mereka berdua baru sahaja pulang dari surau selepas menunaikan waktu solat fardhu isyak jadi mudah untuk mereka terus bersantai.

Sejak mereka duduk di meja batu itu, sahabatnya itu kerap termenung. Apabila bertanyakan soalan kepadanya, dia pasti akan jawab dengan perkataan ‘ya’ sedangkan bukan itu jawapan yang sepatutnya diterima.

Syafiq memandang ke arah sahabatnya lalu meneliti wajah lelaki itu satu per satu. Syafiq mulai teringatkan sesuatu kemudian tersenyum sendiri. Syafiq menepuk perlahan bahu sahabatnya. Lelaki itu segera memandang ke arah Syafiq yang sedang tersenyum.

“Kau dah kenapa? Senyum macam kerang busuk saja” lelaki itu memandag wajah Syafiq dengan pandangan yang tajam.

“Tidaklah, dari awal tadi kau asyik termenung saja. Selalunya orang lelaki ni kalau termenung mesti disebabkan perempuan, kan?” Syafiq mulai mengusik sahabatnya.

“Merepek lah kau. Jadi waktu kau bercinta dengan isteri kau dulu, kau termenung juga lah?” soal lelaki itu.

“Iyalah, teringat dekat wanita tercinta lah katakan. Maksudnya, betullah kau memang teringat dekat perempuan?” lelaki itu terdiam lalu mengalihkan pandangannya.

“Wahhhhh, ustaz! Wanita mana yang telah mencuri hati Ustaz Zaarif?”

“Merepeklah kau” Zaarif menggeleng kepalanya perlahan. Tiba-tiba, terasa hujan mulai membasahi permukaan bumi.

“Rif, hujanlah. Kau duduk dekat rumah aku sekejap lah” mereka berdua mulai berdiri dan menuju ke arah blok apartment yang dihuni oleh Syafiq sekeluarga.

“Tak menyusahkan ke? Rumah kau ada dua orang perempuan, kan?” soal Zaarif prihatin.

“Tak apa, nanti aku beritahulah mereka” Zaarif mengangguk perlahan. Apabila mereka sampai dihadapan pintu rumah milik Syafiq, Zaarif diminta untuk menunggu sebentar dihadapan rumah mereka kerana Syafiq ingin memberitahu isterinya serta memintanya untuk menutup aurat.

Sambil menunggu, Zaarif melihat keadaan sekeliling kawasan apartment itu. Dia tersenyum sendiri apabila dapat merasakan suasana yang tenang dengan udara yang sejuk memandangkan hujan telah pun turun dengan lebat.

Zaarif dipanggil masuk oleh Syafiq. Dengan perasaan yang segan, dia mulai melangkah masuk sambil memberi salam.

“Waalaikumsalam ustaz,masuklah” pelawa Raida sopan sambil memimpin tangan anak perempuannya.

“Tak usahlah panggil saya ustaz. Arif saja” Zaarif mulai segan apabila ada orang yang dikenalinya memanggilnya dengan gelaran ustaz.

“Sayang, bawalah dia duduk. Saya nak siapkan lauk, boleh kita makan sekali” tutur Raida lembut. Syafiq mengangguk perlahan lalu mengajak Zaarif untuk duduk di sofa ruang tamu.

“Inilah rumah aku, maklumlah dah berkeluarga kan” Zaarif tersenyum sambil meneliti setiap sudut rumah itu.

“Fina, panggil Mak Su boleh?” pinta Raida kepada anaknya.

“Baik Mama” Fina terus berlari ke arah bilik yang menempatkan Ain. Sempat Fina dibelai kejap oleh ayahnya sebelum dia mengetuk pintu bilik wanita itu. Fina mengetuk pintu bilik Ain dengan serdehana.

“Mak Su, Mama panggil” Ain segera membuka pintu biliknya lalu mendukung anak saudaranya.

“Mama panggil? Jom, pergi dekat Mama” pada malam itu, Ain hanya mengenakan sehelai kemeja-T serta leggings. Rambutnya dilepaskan memandangkan getah rambutnya hilang dan tanpa diragukan sudah pastinya Fina yang mencampakkannya.

Ain sedang berjalan untuk menuju ke dapur namun, ditahan oleh Syafiq ketika dia melalui di sebelah lelaki itu.

“Kenapa, Abang?” soal Ain lembut. Saat itu Zaarif turut menoleh memandang ke arah Ain. Dia mulai bertindak secara rasional. Dia menarik nafas lalu memandang ke arah hadapan. Fikirannya saat itu bukanlah ke arah gaya pemakaiannya wanita itu namun, wanita itu adalah wanita yang telah menarik perhatiannya beberapa hari yang lepas. dia cuba untuk mengawal hatinya yang pada saat itu terasa bahawa ada debaran maha hebat di jiwanya.

“Pakai lah baju sopan sikit, Fiqah. Ada tetamu, kan”

“Sopan lah ni, Abang. Dahlah, Akak panggil Fiqah” Ain menepis perlahan tangan abangnya lalu menuju ke arah dapur.

“Ada apa, Akak?” soal Ain lembut. Fina yang didukungnya sedang khusyuk bermain dengan rambutnya.

“Akak nak minta tolong belikan ais, boleh?”

“Oh, boleh saja” Ain mulai menurunkan Fina dan segera bersiap. Dia hanya mengenakan windbreaker bersama dengan leggings. Ain menuju ke arah abangnya lalu menghulurkan tangan.

Syafiq yang hairan dengan kehadiran adiknya yang berpakaian begitu hanya menyambut huluran adiknya dengan meletakkan tangannya. Ain melihat abangnya dengan pandang yang tajam.

“Fiqah nak duit lah, Abang. Akak suruh beli ais”

“Dalam keadaan hujan macam ini?” soal Syafiq risau.

“Abang, ini bukannya pertama kali. Beri sahajalah duit tu” Syafiq menyeluk poket seluarnya lalu menyerahkan sekeping not seringgit kepada Ain.

“Gerak dulu, Abang, Akak” Ain terus keluar dari rumah itu. Syafiq yang agak terkejut dengan perlakuan Ain hanya menggaru kepala.

“Maaflah, adik aku tu boleh pula dia tak sopan” ujar Syafiq segan.

“Tak apa, biasalah muda lagi kan?” Syafiq dan Zaarif tersenyum lalu mereka berdua mula menyambung perbualan mereka yang tertunda sebentar tadi. Raida yang melihat keadaan mereka hanya menggeleng kepala.

“Fiq, tadi tu adik kau eh?”soal Zaarif dengan berhati-hati.

“Haah, itulah adik aku.Kenapa? Berkenan? Kalau berkenan masuklah meminang, aku lagi sokong kalau kau yang nak jaga adik aku” seloroh Syafiq dengan semangat.

“Amboi, macam nak sangat lepaskan adik kau saja?” usik Zaarif.

“Bukan itu maksud aku tapi, aku tak mampu nak jaga dia. Aku dah tak mampu nak terapkan agama pada dia sebab itulah aku sokong kalau betul kau nak dekat adik aku. Aku yakin dengan sepenuh hati aku yang kau mampu jaga dia” tutur Syafiq panjang lebar. Zaarif mulai rasa serba salah.

“Fiq, maaflah. Janganlah serius sangat”

“Tak ada apalah”

“Jujur aku cakap kalau betul kau berkenan dengan adik aku, aku terima” Zaarif tersenyum kecil apabila mendengar kata-kata Syafiq.

“InsyaAllah, Fiq. Adik kau akan dapat jodoh yang baik, yang boleh bimbing dia ke syurga”

“InsyaAllah”

Mereka berlima menikmati makan malam bersama-sama. Zaarif berjaya menahan dirinya daripada terus memandang Ain. Dia mulai berazam untuk mencari petunjuk. Andai benar Ain adalah jodohnya maka tanpa ragu-ragu dia akan meminta izin kepada ibunya untuk menikahi wanita yang telah ditakdirkan buatnya namun, andai Ain bukan jodohnya,dia akan menerimanya dengan hati yang terbuka.

Zaarif percaya Allah itu Maha Kuasa jadi pastinya takdir yang indah telah ditetapkan buat semua hambanya. Zaarif tersenyum kecil.

Ketika ingin pulang, hujan mulai reda. Dengan hati yang terbuka, Syafiq menghantarnya sehingga ketempat mereka memarkirkan motosikal mereka. Mereka berdua bersalaman sebelum Zaarif memulas minyak motosikalnya.

Setelah sampai di rumah teres setingkat miliknya, Zaarif menyangkut kunci motosikalnya di belakang pintu rumah. Dia mulai membersihkan diri serta mengambil wuduk. Sebelum dia ingin merehatkan diri, sejadah dicapai lalu dibentang mengikut arah kiblat lalu takbir diangkat. Zaarif menunaikan solat sunat istikharah untuk meminta petunjuk mengenai seorang wanita yang dipanggil Fiqah oleh abangnya.

 

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulaikha Rizal