Home Novel Cinta Sabar Denganku
Sabar Denganku
Zulaikha Rizal
13/9/2021 00:01:31
64,510
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Syafiq mengetuk perlahan pintu bilik yang menempatkan Ain. Tanpa ragu, Ain hanya membuka pintu bilik itu dengan wajah yang tiada reaksi. Tangan Ain dicapai lembut oleh Syafiq lalu ditarik ke arah balkoni rumah mereka dengan lembut. Ain yang agak bingung hanya mengikuti langkah abangnya tanpa bertanya walau satu soalan.

Sampai sahaja di balkoni, tangan Ain dilepaskan perlahan. Ain hanya memandang wajah abangnya dengan wajah yang hairan. Syafiq memandang ke arah mata Ain lalu menarik nafas berat.

“Abang cakap ni, Fiqah dengar dulu ya? Jangan marah atau apa-apa. Kalau Fiqah tak setuju, beritahu sahaja Fiqah tak setuju dan Abang akan hormat apa sahaja keputusan Fiqah” tutur Syafiq lembut. Ain semakin hairan dengan kata-kata abangnya dan hanya terus menunggu apakah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh Syafiq.

“Abang ada jumpa dengan seorang lelaki ni dan Abang rasa Abang nak kahwinkan Fiqah memandangkan Abang rasa dah tiba masanya untuk Fiqah berkahwin walaupun Fiqah masih muda” baru sahaja Ain ingin membuka mulut, Syafiq telah pun memintas terlebih dahulu.

“Abang tak ada niat nak jauhkan diri daripada Fiqah atau Abang nak buang Fiqah. Bukan itu niat sebenar Abang. Cuma, Abang dah fikir masak-masak fasal ni” Ain tersenyum kecil melihat wajah kalut abangnya.

“Abang, dengarlah apa Fiqah nak cakap pula” Ain menyentuh lembut lengan abangnya. Syafiq hanya menanti kata-kata Ain dengan penuh gemuruh.

“Abang yakin yang Abang nak kahwinkan Fiqah?” soal Ain dengan nada yang mendatar.

“Yakin, Abang dah fikir masak-masak dah fasal ni Fiqah” Ain mengangguk perlahan lalu tersenyum memandang abangnya.

“Kalau Abang yakin, Fiqah juga yakin dengan apa sahaja keputusan Abang. Abang dah jaga Fiqah sejak Fiqah kecil jadi, Fiqah yakin apa sahaja yang Abang buat mesti Abang dah fikirkan betul-betul. Fiqah setuju dengan keputusan Abang” Ain tersenyum memandang Syafiq.

“Walaupun dengan mudah Fiqah terima, bukan sebab Fiqah nak jauh daripada Abang tapi sebab Fiqah tahu Abang akan fikirkan yang terbaik untuk Fiqah” Syafiq turut tersenyum mendengar kata-kata Ain.

“Terima kasih, Fiqah” Ain hanya membalas ucapan abangnya dengan menghadiahkan senyuman buat abangnya.

Sejak semalam, Ain telah pun mendengar perbualan Syafiq bersama kakak iparnya mengenai hal ini. Abangnya turut membincangkan hal ini bersama Mak Long. Tanpa disangka, abangnya telah pun berjaga sepanjang malam hanya kerana memikirkan hal ini untuk dirinya. Terbit rasa terharu dalam hati Ain. Disebabkan hal itulah yang telah mendorong Ain untuk menerima apa yang abangnya inginkan. Dia percaya, abangnya pasti telah bersusah payah demi dirinya. Ain tersenyum di dalam hatinya.

 

Dengan seribu harapan serta matlamat, Zaarif keluar dari rumahnya dengan kaki kiri sambil melafazkan bismillah. Telah hampir seminggu dia berusaha untuk mencari petunjuk demi masa hadapannya juga perasaannya. Doa menaiki kenderaan turut dibaca maka bermulalah perjalanan Zaarif dari rumahnya menuju ke rumah seseorang yang dicintainya.

Dalam perjalanan, Zaarif membuka audio zikir di dalam kereta Myvi miliknya. Dia cuba untuk bersangka baik kepada Allah dan berharapkan bahawa harapannya akan dibalas dengan kegembiraan.

Andai kata harapannya dibalas dengan kekecewaan, dia pasti Allah akan membalasnya dengan berjuta kebahagiaan. Allah itu bukanlah Tuhan yang kejam sehinggakan hambanya akan sentiasa menerima sesuatu yang mendukakan. Rahmat Allah itu terlalu luas sehinggakan setiap manusia atau ciptaanNya pasti akan merasakan kegembiraan serta wujudnya Allah.

Zaarif memarkirkan keretanya di hadapan rumah teres milik ibunya. Dengan hati yang berdebar, dia mulai melangkah masuk ke dalam rumah ibunya sambil disertakan dengan ucapan salam.

“Assalamualaikum, Ibu. Arif balik ni” tutur Zaarif lembut sambil mencari kelibat ibunya.

“Waalaikumsalam, Ibu dekat dapur ni” Zaarif tersenyum lalu terus menuju ke arah dapur. Kelihatan ibunya sedang meghadap ke arah dapur gas sambil mengacau lauk di dalam periuk. Senyuman masih tidak lekang pada wajah lelaki itu. Perlahan-lahan Zaarif menghampiri ibunya.

“Sedapnya bau, Ibu. Ibu masak apa?” soal Zaarif lembut sambil berdiri di sebelah ibunya.

“Ibu masak kari ayam. Anak tunggal Ibu ni kan suka sangat dengan kari ayam” senyuman Zaarif makin bertambah manisnya apabila mendengar kata-kata ibunya.

“Ibu, Arif ada benda nak bincang dengan Ibu ni” ujar Zaarif berhati-hati. Puan Dahlia memandang anaknya sekilas pandang kemudian memberi perhatiannya semula ke arah masakan.

“Apa dia, Arif? Cakap sajalah, Ibu dengar” Zaarif menarik nafas berat kemudian melepaskannya perlahan.

“Arif ingat, Arif nak kahwin” tutur lelaki itu perlahan.

“Nak kahwin? Dengan siapa?” sungguh tidak dijangka, ekspresi ibunya pada ketika itu sungguh tenang. Apa yang difikirkannya sebelum ini adalah sangat berbeza dengan apa yang dilihatnya pada saat ini.

“Dengan seorang perempuan dekat tempat Arif tinggal tu. Dia baik orangnya, Ibu” Puan Dahlia mulai meletakkan senduknya serta memadamkan api dapur gas. Puan Dahlia memandang ke arah Zaarif.

“Bawalah jumpa Ibu. Nanti sebelum datang tu pastikan beritahu Ibu dulu, boleh lah Ibu masak makanan yang sedap-sedap” Zaarif tersenyum melihat wajah ibunya.

“Betul ke, Ibu?” soal Zaarif sedikit teruja.

“Eh, teruja pula dia. Iya, bawalah jumpa Ibu. Boleh Ibu berkenalan dengan dia”

“Boleh, Ibu. No problem” Zaarif segera mencapai mangkuk yang mempunyai saiz yang agak besar lalu meletakkan kari ayam itu ke dalam mangkuk. Mereka dua beranak mulai menikmati hidangan makanan tengah hari dengan penuh ceria. Sepanjang hari itu jugalah, banyak perkara berkenaan dengan Ain diceritakan kepada Ibunya.

Mendengarkan apa yang dibicarakan kepadanya membuatkan hati Puan Dahlia terasa tenang serta gembira. Mungkin wanitai tulah yang telah ditakdirkan kepada Zaarif sebagai jodohnya sehingga ke syurga. Sebagai seorang ibu, sudah pastinya Puan Dahlia inginkan yang terbaik buat anaknya. Puan Dahlia yakin, jika benar Zaarif sudah tertarik pada seseorang wanita, pastinya wanita itu beragama, baik akhlaknya serta mempunyai wajah yang menyejukkan mata memandang.

Sebagai seorang ibu juga, dia tidak mahu menyukarkan perjalanan anaknya ke arah perkahwinan. Perkahwinan merupakan ibadah yang paling lama, yang akan dijalankan oleh seseorang hamba serta melakukan salah satu sunnah yang dituntut. Jadi, memandangkan anaknya juga bakal menuju ke arah itu, biarlah dia memudahkan apa yang mampu dan selebihnya dia hanya mampu berharap kepada Allah bahawa semuanya akan dipermudahkan.

Zaarif menyudahi malamnya dengan solat sunat istikharah. Dia mulai membaringkan dirinya di atas katil di rumah Puan Dahlia. Zaarif menghalakan pandangannya ke arah siling biliknya. Dia mulai teringat mengenai pertemuan dirinya bersama dengan seorang wanita yang berjaya menarik perhatiannya secara berhadapan.

 

Syafiq langsung tidak melepaskan genggaman pada tangan adiknya. Mereka bertiga lebih memilih untuk berbincang di luar memandangkan Zaarif segan untuk membincangkan hal itu di rumah sahabatnya tambahan pula dengan adanya kehadiran Raida, Zaarif lebih bertambah segan.

Mereka bertiga memutuskan untuk berjumpa di tempat yang sesak pada waktu petang iaitu di taman perumahan di kawasan rumah Syafiq. Syafiq duduk bersebelahan dengan Ain juga berhadapan dengan Zaarif. Mereka bertiga mulai berbincang sesama sendiri lalu Syafiq mulai meninggalkan mereka berdua. Syafiq tidak pergi terlalu jauh, pada kedudukannya dia masih mampu mendengar perbualan adiknya bersama dengan sahabatnya.

“Ustaz yakin, Ustaz nak berkahwin dengan perempuan macam saya?” soal Ain terus terang.

“Apa maksud awak?” soal Zaarif tidak mengerti dengan apa yang cuba disampaikan oleh Ain.

“Ustaz, tengoklah diri saya. Saya tak menutup aurat macam mana perempuan lain buat. Saya tak solehah macam perempuan lain. Ustaz seorang yang beragama tapi bukan saya. Ustaz sepatutnya layak dengan sesorang yang lebih solehah dan setaraf dengan Ustaz” terang Ain dengan nada yang mendatar.

“Allahuakbar, saya bukanlah soleh sangat Ain. Saya hanyalah manusia biasa yang cuba dan mahu mengejar cinta Tuhan yang tidak ada bandingannya” Zaarif tersenyum kecil sambil melihat ke arah Syafiq. Sengaja dia tidak mahu memandang wanita itu kerana Zaarif tahu Ain sedang memandang ke arahnya.

“Saya akui dalam Islam, sesorang lelaki itu digalakkan untuk berkahwin dengan wanita itu kerana empat perkara. Hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya tapi jujur saya katakan hati saya terjatuh pada awak dan jujur saya cakap, saya buat solat istikharah. Saya tak bermimpi” Zaarif menggeleng kepalanya perlahan.

“Malangnya, bukan rezeki saya untuk menerima petunjuk melalui mimpi tetapi hati saya telah diberatkan ke arah awak. Saya juga ada buat beberapa perbincangan dengan sahabat-sahabat saya, guru saya, mak saya dan abang awak sendiri dan Alhamdulillah ternyata semua menunjukkan ke arah yang baik”

“Andai awak terima saya, maka saya akan hantar rombongan dan bawa awak jumpa mak saya tetapi andai awak tak menerima saya, saya terima dengan hati yang terbuka kerana mungkin itulah antara jawapan kepada istikharah saya” Zaarif mengangguk perlahan lalu tersenyum. Matanya masih memandang ke arah Syafiq yang turut mendengar kata-katanya.

“Kalau Ustaz dah berfkir masak-masak. Begitu juga dengan Abang saya” Ain menarik nafas berat lalu dihembuskan perlahan.

“Saya juga menerima Ustaz”

 

 

Dalam minggu ini, dia akan membawa Ain bertemu dengan ibunya supaya mereka berkenalan. Puan Dahlia sudah sedia maklum bahawa wanita yang akan dikahwini oleh Zaarif itu adalah wanita yang tidak bertudung. Zaarif telah pun menerangkan matlamatnya kepada Puan Dahlia bahawa dia berjanji akan memimpin tangan wanita itu dan bersama-sama dengannya menuju ke arah mendekati Tuhan.

 

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zulaikha Rizal