“AKU mahu kamu culik gadis dalam gambar
ni!” Arah Dato’ Bakri kepada orang suruhannya. Foto tersebut diserahkan kepada
lelaki berkepala botak itu.
“Baik
Dato’.”
“Pastikan
kamu tidak gagal. Tentang upah kamu jangan bimbang. Aku akan bayar bila kerja
kamu settle.” Dato’ Bakri
menghembuskan asap cerutnya.
“Baik Dato’.” Cantik
gadis dalam foto itu. Orang suruhannya itu beredar.
Eleanor
Dato’ Ariffin. Kau akan tetap menjadi milik aku. Kau yang paksa aku guna cara
kasar. Bibirnya Dato’ Bakri mengulum senyuman lebar. Suka atau tidak, Eleanor
akan menjadi isterinya.
Senyuman
manis Dato’ Bakri mengundang curiga isterinya Datin Ruhaya. Tambahan pula apabila
dia berselisih dengan orang suruahan suaminya itu. Dia perasan dengan perubahan
suaminya itu. Lelaki berhidung belang seperti suaminya itu bukan cukup isteri
dua. Dia tahu suaminya masih tidak
berputus asa dengan gadis bernama Eleanor itu. Sebelum ini, fikirnya gadis itu
yang menggoda suaminya. Nyata dia silap menuduh. Gadis itu langsung tidak
melayan suaminya.
Datin
Ruhaya meletakan gelas berisi air kosong di dada meja. Dia duduk di kerusi itu
sambil merenung wajah suaminya yang kian dimamah usia. Ada kekacakan lagi di situ
pada pandangan mata seorang isteri.
“You
tak balik rumah Salina?”
“Malas.”
Jawab Dato’ Bakri pendek.
“Kenapa?
Dah bosan?”
“You
ni kenapa? Dulu bila I kerap balik ke rumah Sally, you bising-bising.” Dato’ Bakri
memandang wajah Datin Ruhaya dengan kerutan.
“Saja
tanya. Tak boleh?”
“Urusan
I biar I yang handle. You tak perlu ambil
tahu. I sudah sediakan segala keperluan untuk you. Tak cukup you boleh mention pada I.”
“You
dan cukup berikan I segala-galanya. Cuma…”
“Cuma
apa?” Dato’ Bakri bertanya serius.
“You
tu tak jalankan tangggungjawab you sebagai seorang suami. You berkahwin ikut
nafsu. Pantang nampak perempuan cantik.”
“You
nak salahkan I? Cermin muka you dulu.”
“Kalau
I teruk, you lagi teruk dari I. I tahu you sudah pasang niat dalam hati you
untuk beristeri lagi.”
Datin
Ruhaya kian makan hati dengan sikap suaminya. Dato’ Bakri mementingkan diri
sendiri. Anak-anak sudah dewasa tetapi suami yang semakin usia semakin
menggatal. Rasa malu seakan tidak ada pada diri suaminya itu.
“I
mampu. Tiada masalah di situ.”
“You
berkahwin kerana nafsu.”
“Pandai
pula you nak menasihati I.” Dato’ Bakri menjeling isterinya.
“Kenyataan.
Sayangnya gadis yang you gila-gilakan itu tidak sudi, bukan? You fikir semua
gadis pandang pada kesenangan saja. Sedarlah gadis tu baya-baya anak kita.”
Jelingan berbalas dengan jelingan.
“Apa
yang you merepek!”
“Bakri…
I sudah masak dengan perangai meroyan you itu. Harta yang you ada itu tak ke
mana. You tu makin tua macam I. I rasa you yang patut cermin diri you dulu.”
Datin Ruhaya bangun dan berlalu.
Dato’
Bakri merengus kecil.
HAIRIE sudah terpacak di hadapan
Eleanor. Eleanor bijak melarikan diri dari dia tetapi tidak kali ini. Dia
rindukan wajah dan senyuman manis gadis itu. Eleanor langsung tidak sudi
memandang. Marah gadis itu seakan tidak pernah reda.
“El…”
“Stop! Jangan rapat dengan I!”
Hairie
berhenti melangkah.
“El…
masakan tiada peluang untuk I?”
“Tiada
peluang kedua untuk you, Hairie.”
“Keras
betul hati you. You patut berikan peluang kedua pada I.”
Eleanor
memeluk tubuh. Tiada sebarang perasaan lagi dalam hatinya untuk Hairie. Pintu
hatinya sudah tertutup buat Hairie. Lukanya tidak terubat dengan kemaafan dari
mulut Hairie. Luka itu sudah berparut.
“Jangan
ganggu I lagi. I tak mungkin akan menerima you semula.”
“I
sayangkan you, El.”
Eleanor
tersenyum sinis.
“Sayangkan
I tapi percayakan fitnah dari perempuan tu. You fikir I boleh lupakan kata-kata
you itu. ‘I sudah jumpa calon isteri yang layak untuk I’.” Eleanor turut
mengulangkan ayat Hairie yang cukup menyakitkan hatinya itu.
“I’m so sorry. I tahu salah I.”
“Baguslah
you sudah tahu mana silap you.”
“El…
Kita mulakan semula.” Hairie memujuk lembut.
“Sorry… I tak berminat. I sudah maafkan
you tapi untuk menjalinkan semula hubungan cinta, tidak sama sekali.” Eleanor
melintasi Hairie. Pantas Hairie menangkap lengannya.
“Don’t touch me!” Eleanor meradang marah.
Dia menampar-nampar tangan Hairie yang mencengkam lengannya.
“Please El...”
“Lepaskan
tangan you!”
Hairie
menggeleng.
“I
jerit nanti!”
“Jeritlah.
I tak kisah.”
Eleanor
tiada cara lain. Dia memukul kepala Hairie dengan tas tangannya. Sebaik Hairie
melepaskan cengkamannya, Eleanor berlari masuk ke dalam keretanya. Hairie sudah
tidak mampu untuk mengejar Eleanor semula.
Eleanor
memasang ear phone pada telinganya
sebaik mendengar suara Aleeza di talian. Tiada tempat lain untuk dia mengadu
jika bukan dengan Aleeza.
“Hairie…
Hairie masih kacau akulah.”
“Kau
terserempak dengan dia ke?”
“Kau
pun satu tak kejut aku awal.”
“Siapa
suruh kau tak mahu bangun. Aku dah kejutkan kau banyak kali. Bukan salahku.”
Dia
keletihan menunggu keretanya di bengkel. Sampai ke tumah sewanya pun lewat
malam. Tidak sempat dia memaklumkan
kepada abangnya yang dia tidak balik ke sana. Pagi ini baru dia menghantar
mesej kepada abangnya. Elman membebel panjang. tadah telinga sajalah.
“Lain
kali simbah je aku dengan air kalau aku tak bangun.” Eleanor memberikan saranan
pada Aleeza.
“Hahaha...
molek sangat. Aku suka cara tu. By the
way, apa kisah kau dan Hairie tadi. Dia merayu-rayu nakkan kau balik ye?”
“Tak
nak aku. Dia berpeluk sakan dengan perempuan tu nak come back pada aku. Sisa orang tu.”
Aleeza
tawa gelihati. Ayat Eleanor memang tak boleh tahan. Dia boleh gambarkan wajah
serius Eleanor dengan ayat kelakarnya itu.
“Tak
baik kau ni.”
“Aku
nampak dengan mata aku sendiri Hairie berasmara dengan perempuan tu dalam bilik
pejabat dia. Tak ke sakit hati aku ni. Hebat betul calon isteri dia tu.”
“Eloknya
kau panggil tok kadi nikahkan mereka.”
“Tu
silap aku. Kalau diaorang nikah memang baguslah sangat. Takder si Hairie kacau
hidup aku!”
Sebuah
van meluncur laju memintas kereta Eleanor. Eleanor terpaksa membrek cemas
kereta apabila van tersebut menyekat laluan keretanya.
“Aleeza,
nanti aku call kau balik.” Eleanor
terus mematikan tlaian. Dia menarik ear phone dari telinga.
Apa
kena dengan van tersebut. Lain macam pula. Eleanor tidak sedap hati. Dia masih
duduk di dalam kereta. Jalan tersebut agak sunyi ketika ini. Tiada nampak
kereta yang lalu lalang.
Tiga
orang lelaki tidak dikenali keluar dari perut van tersebut. Eleanor jadi cuak.
Dia membuka tali pinggang keledarnya. Eleanor melangkah keluar dari keretanya
dengan segera. Ketia-tiga lelaki lebih pantas menghalang laluannya. Leher
Eleanor dipaut dari belakang. Salah-seorangnya menekup mulut Eleanor dengan
sehelai sapu tangan. Matanya mula berpinar-pinar.
“Cepat!
Bawa dia masuk ke dalam van.” Lelaki berkepala botak itu memberikan arahan.
WEIR terus memecut keretanya. Dia sudah
lambat untuk temujanji dengan wakil hartanah yang
diaturkan. Weir mengikut jalan short cut. Kemalangan telah menyebabkan
jalan utama yang sering dilaluinya mengalami kesesakan serius. Sebuah lori
minyak dan dua buah kereta terbalik atas jalan.
Weir
cuba menghubungi wakil hartanah terbabit. Telefon bimbitnya sudah kehabisan
bateri. Weir melepaskan keluhan berat. Bagaimana dia boleh lupa untuk caj
telefon bimbitnya itu.
Weir
segera menekan brek kereta sebaik melihat sebuah van melintas di hadapannya.
Dia leka dengan dengan telefon bimbit hingga hilang tumpuan pada pemanduan.
keretanya terbabas di tepi jalan.
Eleanor
yang mula sedarkan diri itu terpisat-pisat membuka mata. Mereka mahu membawa
dia ke mana?
“Siapa
kamu?” Soalnya keras.
“Lebih
kamu duduk baik-baik. Kami tidak akan cederakan kamu.”
“Kalau
kamu nak duit, kamu salah culik orang. Aku tiada duit!”
“Kami
tak perlukan duit dari kamu.”
Eleanor
mengertap bibir. Kalau dia berdiam diri maka nasibnya belum tentu selamat. Dia
meluru ke arah pemandu di hadapan.
“Berhenti!
Berhenti!”
Tindakan
Eleanor telah menyebabkan van tersebut hilang kawalan. Lelaki kepala botak itu
menarik tubuh Eleanor. Serentak itu Eleanor melepaskan tendangan pada perut
lelaki terbabit. Mereka tidak dapat mengawal tindakan agresifnya. Sebaik van
tersebut berhenti di atas jalan, Eleanor mengambil peluang melepaskan diri. Dia
berlari sekuat-kuat hatinya tanpa menoleh ke belakang lagi.
Apabila
melihat kelibat manusia di bahu jalan, Eleanor bergegas untuk mendapat bantuan.
Eleanor menyentuh bahu lelaki yang sedang menutup but keretanya. lelaki itu
berpaling.
“To…
tolong…” Dia sudah tidak terdaya. Pandangan matanya menjadi gelap. Dia
terjelupuk jatuh di depan lelaki itu.
“El...
El..” Weir menampar-nampar perlahan pipi Eleanor.
Eleanor
sudah tidak sedarkan diri. Tiada cara lain. Weir mengangkat
tubuh Eleanor masuk ke dalam keretanya. Mungkin ada sesuatu yang menimpa gadis
itu. Weir menghidupkan
enjin keretanya semula. Sebaik melihat
kelibat tiga lelaki yang berlari dari cermin sisi keretanya itu, Weir seakan
mengerti apa yang berlaku pada Eleanor. Tanpa berlengah keretanya menyusuri
semula dia atas jalan raya terbabit.
Weir memecut laju.
Ketiga-tiga
lelaki itu sudah tercungap kemengahan sambil memenggang pinggang. Sasaran
mereka telah terlepas lari. Apa yang harus mereka adukan kepada boss mereka. Hal itu yang bakal
memeningkan kepala mereka.