BAB 10
SEMANGAT kerja Nurin Amira menurun. Dia memaksa diri melakukan
semua kerja. Jauh di lubuk hatinya bersyukur kerana tidak dikenakan tindakan oleh
ketuanya. Ini bermakna kerja yang dilakukan tiada cacat celanya. Sempurna.
Wajahnya mendung. Walaupun
sesekali tersenyum apabila rakan sejawat lalu di depannya, wajah itu tetap
menyembunyikan dukanya yang tersendiri. Gundah di hatinya Tuhan sahaja yang
tahu.
Safiah menyedari wajah
kelat yang menghiasi wajah temannya itu. Namun, dia dia tidak punya kesempatan
untuk menegurnya. Tambahan pula tuntutan kerja yang banyak di atas mejanya
menahan dia menghampiri Nurin Amira.
Bukan Safiah sahaja yang
terperasan dengan wajah mendung Nurin Amira. Ramai kakitangan di pejabat itu
menyedarinya. Ada yang bersimpati. Ada juga yang melepaskan sindiran tajam.
Tidak kurang juga ada yang mempamerkan senyuman sinis ke arahnya. Nurin Amira
rasa ingin menangis.
“Aku tahu hang ada sembunyikan
sesuatu dariku,” soal Safiah ketika keluar makan tengah hari bersama.
Nurin Amira mengangkat
wajah yang sedari tadi menunduk memandang meja. Mata yang bersinar galak itu
kini tidak bercahaya lagi.
“Ya! Mira rasa dah tak
kuat lagi. Sedih sangat.”
“Berterus teranglah dengan
Yaya. Sekurang-kurangnya hang akan lebih tenang nanti.”
“Semalam Najib minta duit,
Mira tak bagi. Kami bertengkar. Mira cuba mengawal perasaan marah. Suara juga
cukup perlahan. Entah macam mana orang tua Najib terdengar pertengkaran kami.
Apa lagi. Mira disindir dan dihina oleh emak Najib.”
Peristiwa yang masih segar
di ingatan disingkap satu persatu. Bagai terngiang-ngiang lafaz kata Mohd Najib
yang menggigit sanubari.
Nurin Amira baharu keluar
dari bilik air ketika masuk ke dalam bilik. Kelihatan Mohd Najib duduk bersila
di atas katil. Sungguhpun meluat melihat senyum simpul Mohd Najib itu, Nurin
Amira berlagak selamba. Seboleh mungkin dia cuba bersahaja. Setidak-tidaknya
Mohd Najib tidak dapat membaca kegugupan yang menghantui dirinya.
Selesai solat, Nurin Amira
mencapai surah Yasin pula. Dia langsung tidak mengendahkan kehadiran Mohd Najib
di situ.
“Mira. Abang nak cakap
sesuatu dengan Mira.”
Baharu sahaja hendak
melafazkan Bismillah, Mohd Najib pula bersuara. Nurin Amira masih menunduk
memandang buku Yasin di tangannya. Hatinya bersimpang-siur sambil mendoakan mudah-mudahan
Mohd Najib tidak mengapa-apakan dirinya.
“Abang nak pinjam duit
Mira seratus dua. Abang dah kehabisan duit.”
Berkerut dahi Nurin Amira. Selama ini orang tuanya
sendiri tidak pernah meminta wang daripadanya. Kecuali dia sendiri dengan
ikhlas hati menghulurkan wang. Kini lelaki itu dengan beraninya meminta wang
daripadanya. Tertanya-tanya juga dia ke mana perginya wang gajinya selama ini. Apakah
masih tidak cukup lagi menampung dirinya seorang?
“Awak minta duit saya. Tak malukah awak?”
Nurin Amira terperasan
perubahan air muka Mohd Najib itu. Tetapi, dia sengaja tidak mengendahkan.
“Abang sungguh-sungguh ni.
Kalau Mira sendiri tak dapat tolong abang, siapa lagi yang boleh abang
harapkan.”
“Ooo... jadi selama ini
awak buat saya macam ni, awak ingat awak boleh sesuka hati nak minta duit
daripada saya? Nak ambil kesempatan ke atas diri saya. Lelaki jenis apa awak
ni? Minta duit dari perempuan!”
Panas menyerbu ke dalam
dada Mohd Najib. Tidak pernah terlintas di hatinya untuk meminta wang daripada
Nurin Amira ketika ini. Cuma dia betul-betul terdesak. Baru-baru ini dia
dikenakan saman kerana memandu laju ketika pulang dari tempat kerja. Wang
gajinya yang cuma cukup-cukup untuk makan dia seorang sudah habis dibelanjakan.
Tinggal sedikit saaja lagi buat mengalas perutnya untuk masa seminggu dua ini.
Nurin Amira pun tidaklah
berniat untuk tidak membantu orang yang tengah terdesak. Dia sendiri pun
kesempitan wang. Di dalam dompetnya ketika itu cuma tinggal RM150 sahaja. Dia
juga perlu membayar insurans kereta berserta road taxnya sekali pada bulan itu. Itu belum masuk duit bulanan kereta
lagi. Apakah tidak terlintas di fikiran Mohd Najib akan hakikat itu? Dia
sendiri pelik dengan sikap lelaki ini.
“Awak nak tolong ke tak
ni?”
“Macam mana saya nak tolong
awak. Saya pun tak ada duit. Awak ingat saya cap duit ka? Senang-senang awak
nak mintak duit kat saya?”
“Bini jenis apa awak ni?
Tak boleh diharap!”
“Hei! Awak saja yang
beria-ia. Saya tak pernah pun menginginkan semua ini. Awak kejam. Awak
musnahkan masa depan saya. Awak busukkan nama saya kononnya saya sukakan awak.
Saya mahu dilepaskan.”
“Ah.... awak. Jangan mimpi
di siang hari,” jawab Mohd Najib seperti memahami maksud Nurin Amira.
Tiba-tiba pintu yang tidak
berkunci dikuak oleh seseorang. Tersembul wajah ibu mertua dengan dahi
berkerut-kerut.
“Isteri jenis apa macam
ni? Tolong suami sendiri tak mahu. Kalau sudah tidak sanggup membantu, buat apa
gatal nak kahwin dengan Najib ni?”
Nurin Amira terkasima.
Terkejut dituduh oleh ibu mertuanya begitu. Dia tidak sedar sejak bila
mertuanya itu mencuri dengar perbualan mereka. Air mata yang bergenangan cuba
ditahan agar tidak menitis di depan mereka.
Mohd Najib tersengih
gembira kerana ibunya menyebelahinya. Mengucap panjang Nurin Amira ketika itu
apabila dihamburkan kata-kata kesat oleh ibu mertuanya sendiri.
“Teruknya. Anak dengan mak
sama saja. Sudahlah baru-baru ini rosakkan kereta, ini nak meminjam duit pulak.”
Safiah menggeleng kepalanya geram dengan perangai Mohd Najib yang keanak-anakan
itu.
“Mujurlah bapa mertua aku
ada. Dialah yang meleraikan pergaduhan kami. Tapi, aku tak sangka pulak, Najib
sanggup mencuri dari dalam dompet aku.”
“Kenapalah hang simpan
duit dalam dompet tu?”
“Dalam dompet aku cuma ada
RM150 saja. Pagi tadi masa nak bubuh minyak, barulah aku perasan. Duit aku
tinggal RM10 saja. Semuanya satu ringgit. Terpaksalah aku ambil duit dari bank,
barulah dapat membayar duit minyak kereta. Itupun mujur aku tengok duit dulu
dalam dompet. Kalau tak, malu aku kat stesen minyak tadi.
“Sebenarnya, RM100 tu aku nak buat bayar duit baju. Aku
dah tempah baju tu kat butik. Tapi, sekarang aku gagal dapatkan baju tu. Dah
bukan rezeki aku nampaknya.”
“Kalau hang perlukan duit,
aku sanggup pinjamkan. Aku tahu hang tersepit sekarang ni.”
“Mira malu, Ya. Hang dah
banyak bersusah payah kerana Mira.”
“Mira.... janganlah cakap
macam tu. Hang kan kawan baik aku. Hari ni hang susah. Mana tau lain kali aku
pulak kesusahan.”
“Terima kasih, Yaya.”
Nurin Amira menggenggam
erat tangan sahabatnya itu. Tiada lagi sahabat yang sebaik Safiah yang sanggup ketawa
dan menangis bersamanya. Sekali lagi dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana
menganugerahi sahabat yang memahami.
Walaupun hampir maghrib, dia
tidak terus pulang ke rumah. Tetapi, menghalakan keretanya ke halaman masjid
ketika dalam perjalanan pulang ke rumah. Beberapa orang jemaah sedang bersedia
untuk sembahyang berjemaah. Ada juga di antara mereka menunaikan solat sunat
dahulu. Setelah mengambil air sembahyang dia duduk di saf kedua. Kedengaran
bacaan ayat suci al-Quran sedang berlagu merdu membuahkan ketenangan di
hatinya.
Dia ingin menunaikan
sembahyang maghrib, seterusnya berdoa semoga diberi hidayah agar terhindar daripada
penderitaan di dunia. Moga diri terus dipelihara dalam kesejahteraan dunia dan
akhirat.
************
MOHD NAJIB menarik nafas lega kerana dapat melunaskan saman yang
dikenakan terhadapnya. Dia berterima kasih terhadap Nurin Amira kerana dengan duit
isterinya itulah dia dapat membayar saman tersebut. Dia tidak peduli sama ada
duit yang diambilnya itu dihalalkan atau tidak oleh isterinya. Dia sudah
meminta dengan baik daripada Nurin Amira. Nurin Amira sahaja tidak mahu
membantunya. Dia benar-benar terdesak. Separuh lagi dia meminjam daripada
kawan. Dia berjanji dalam waktu terdekat akan membayar semula wang itu.
Sakit juga telinganya
menerima bebelan ayahnya yang tidak gemar dengan caranya yang suka berkasar
dengan Nurin Amira. Kalaulah dia mampu menyewa sebuah rumah, mahu sahaja dia
membawa Nurin Amira keluar dari rumah orang tuanya itu. Dia ada impian untuk
membina keluarga bahagia bersama Nurin Amira. Biarpun suatu hari nanti Nurin
Amira yang akan bekerja. Manakala dia akan membantu mengurus rumah tangga. Baik
dari segi mengemas, membasuh dan memasak. Biarpun tugas itu terlalu asing
baginya, dia akan cuba melakukannya. Hanya itu yang mampu dilakukan. Janji dia
dapat hidup dengan gadis idaman hatinya. Bersusah payah dia mendapatkan gadis
itu. Tidak sekali-kali dia akan melepaskannya.
Dia tidak betah bekerja kerana cepat bosan dengan kerja
yang dipohon. Jadi, tidak hairanlah selama ini dia kerap bertukar tempat kerja.
Tambahan pula dia tidak mempunyai kelulusan tinggi. Berbanding dengan Nurin
Amira seorang lulusan univerisiti. Mampu memiliki kerjaya yang baik. Mungkin
juga suatu hari nanti dia boleh berniaga dengan Nurin Amira. Mana tahu
rezekinya lebih murah dalam perniagaan.
Mohd Najib terus terbuai
dengan angan-angannya. Terlalu jauh angan-angan yang diciptanya itu. Sebaris senyuman
terlukis dibibirnya.
“Hang minta duit daripada Mira
tu, hang nak buat apa?”
Terkejut Mohd Najib apabila disoal oleh ibunya.
“Tak ada apa, mak.”
“Tak ada apa, tak ada apa.
Dengan mak jangan nak menipu. Pantang tok nenek moyang kita kamu menipu.”
“Errr! Najib guna duit
Mira tu buat repair motor.” Mohd
Najib terpaksa menipu ibunya. Dia tidak mahu ibunya tahu duit itu digunakan
untuk membayar saman. Jika ibunya tahu, sudah pastilah nanti akan sampai ke
pengetahuan ayahnya. Dia tidak mahu perkara itu terjadi.
“Repairmotor? Apa kena dengan motor hang? Mak tengok tak ada apa
pun yang rosak,” sela Mak Senah lagi.
“Tengok dengan mata kasar
memanglah tak nampak, mak. Najib yang hari-hari berdepan dengan motor tu. Mana
tahan, mak. Tunggu, tunggu, tunggu. Tunggu lagi lama, alamat jadi besi buruklah
motor Najib tu.”
“Itulah hang. Tau kuda
aja. Bukan nak jaga betui-betui.”
“Mak masak apa? Lapaq la.
Perut ni dah bekeroncong nyanyi lagu dak dik dut,” kata Mohd Najib mengalih
topik perbualan. Dia tersenyum kerana ibunya itu mempercayai kata-katanya.
Dia tidak peduli lagi
leteran ibunya selepas itu. Yang pasti, dia dapat mengisi perutnya yang kosong.
Dia ketawa senang dalam hati.