Home Novel Cinta Di Penjara Rindu
Di Penjara Rindu
Raiza Khairina
23/10/2012 11:46:27
134,138
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

BAB 2

NURIN AMIRA BINTI ZAINAL… ataupun Mira dahulu sebahagian daripada hidupnya. Akhir-akhir ini, nama itu tiba-tiba sahaja ingin diusirnya pergi. Tetapi! Bagaimana? Zakuan tidak tahu!

Nama itu jugalah yang dahulu dipuja dan disayangi. Sering meniti di bibir. Dan kini sebaliknya mendera jiwa kelelakiannya pula. Zakuan hilang konsentrasinya pada kerja dan diri sendiri. Jiwanya tidak tenteram. Terusik hanya kerana seorang wanita. Api amarahnya terasa menggelegak di jiwa. Hatinya remuk-redam. Sakit sungguh apabila hati dilukai.

Zakuan ingin menjerit melepaskan amarah yang kian menggigit hati terasa suara tersekat di kerongkong. Apatah lagi rumah sewa yang didudukinya itu dikelilingi jiran tertangga. Sekali terkentut, jiran sebelah rumah boleh terdengar bunyinya. Inikan pula melepaskan jeritan hati yang tertekan. Menjerit mungkin mengganggu orang lain. Dalam keadaan kusut begitu, Zakuan masih lagi boleh berfikir secara rasional.

************

TUK! TUK! TUK!

Ketukan di pintu bertalu-talu. Diselang-seli suara memanggil. Aziz dan Jeffri saling berpandangan apabila tiada reaksi daripada Zakuan. Andai tiada sebarang tindak balas sekejap lagi, mereka bersepakat mahu memecahkan pintu kamar Zakuan. Mereka bertiga rakan baik semenjak di sekolah menengah lagi. Apabila ada sesuatu yang mengganggu fikiran salah seorang rakan mereka, mereka segera cuba membantu apa yang terdaya. Lagipun, kebimbangan ketara terlukis pada wajah kedua-dua orang anak muda itu apabila melihat Zakuan seperti tidak terurus lagaknya.

Zakuan sebenarnya tidak mahu diganggu. Dia ingin bersendirian melayan hati yang terluka. Namun, apakan daya. Teman-temannya itu tidak mahu memahami perasaannya.

“Astaga! Apa dah jadi ni, Wan? Macam sarang tikus bilik hang ni!” Terpacul pertanyaan itu dari bibir Jeffri. Selamba.

Spontan Zakuan memandang tajam ke arah Jeffri. Saat itu Jeffri gugup.

“Er.... Maaflah, Wan. Aku tak bermaksud nak menyinggung perasaan hang. Tapi, kot ya pun hang sedih la ni, tak salah kan kalau hang sudi berkongsi masalah hang dengan kami? Kita bukan kenai sehari dua. Hang kena sedaq tu. Kita pulak duduk serumah. Tak guna jugak masing-masing buat hal sendiri,” nasihat Jeffri panjang lebar tanpa mempedulikan isyarat mata yang ditunjukkan oleh Aziz itu. Dia tidak tahu masalah sebenar yang bermain di fikiran Zakuan. Lain dengan Aziz yang terlebih dahulu mengetahui masalah yang dihadapi Zakuan.

Tidak tahan menahan telinga mendengar bebelan Jeffri itu, Zakuan berdiri menuju ke tingkap menghadap panorama malam yang sunyi sepi.

“Wan! Aku minta maaf bagi pihak Jeff. Dia tak tau apa-apa. Kami minta diri dulu,” ujar Aziz sambil menolak tubuh Jeffri keluar dari bilik Zakuan. Aziz menolak Jeffri menuju ke dapur.

“Hei... Apa sebenaqnya yang hang pa berdua rahsiakan dari aku ni? Aku tak pahamlah!”

Pekat loghat Kedah Jeffri itu menikam masuk ke benak Aziz.

“Perlahankan suara hang tu sikit, boleh tak?” katanya, separuh berbisik.

“Hang ni pasai apa pulak?”

“Mulut hang tu celupaq sangat. Aku tau la hang ambik berat kes Wan tu.”

“Betul la apa yang aku cakap tadi tu. Kes apa pulak ni? Isy! Aku tak paham betui la,” rengus Jeffri yang mulai berang.

“Hang ni pun satu. Nama saja kawan. Gelojoh tak bertempat. Perangai Wan luaq dan dalam pun hang tak paham. Eeiii... geram aku. Rasa nak bagi penampaq sebijik.”

Aziz melepaskan perasaan geramnya.

“Amboi, berani hang nak bagi penampaq kat pipi aku yang handsome ni.” Jeffri berseloroh.

“Yalah. Dah gelojoh semacam, memang aku sanggup. Ni aku nak bagitau pasai...”

“Pasai apa kawan kita jadi lagu tu? Aku tak boleh tengok la.”

“La... Aku bagi penampaq betui-betui, kan baru hang tau langit tu tinggi ke rendah. Hang sabaq sikit, boleh tak?”

Jeffri tersengeh. Aziz menjenguk ke dalam bimbang pula Zakuan mendengar perbualan mereka berdua.

“Hang nak tau tak?”

“Mestilah aku nak tau.”

“Hang ni suka sangat menyampuk. Aku tak habis cakap lagi la,” kata Aziz sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.

“Yelah! Yelah! Dah hang tanya, tentulah aku jawab nak tau,” jawab Jeffri, masih dengan sikap kelakarnya. Berlucu dengan teman rumah sendiri sudah menjadi kebiasaannya. Sedikit sebanyak mengubati rindunya kepada keluarga di kampung Tikam batu, Kedah.

“Kawan kita tu tengah frust. Makwe dia dah ikut mamat lain. Itu pasai dia naik hangin satu badan. Hang tau ajelah Si Wan tu. Setia bagai nak gila dengan Nurin Amira tu. Tak pasai-pasai blah gitu aja. Kalau aku, aku pun marah.”

Terlopong seketika mulut Jeffri mendengar penjelasan itu. Dia langsung tidak menyangka selama ini Zakuan menghadapi masalah berat dalam hidupnya. Dia menggeleng-geleng. Hairan. ‘Orang sekacak Zakuan tu aweknya boleh lari ikut orang lain,’ kata hatinya.

“Ooo... patut la monyok semacam aja sehari dua ni. Yang aku hairan, apa kena dengan Mira tu? Angin tak dak, ribut tak dak, tup tup ikut jantan lain. Apa ceghita?” jawab Jeffri dengan mulut terlopong.

“Zakuan tu punyalah handsome mengalahkan Aamir Khan. Mau jugak awek dia ikut jantan lain. Sadis! Sadis!” sambung Jeffri sambil menggeleng-geleng.

“Isy.... Biul otak hang ni, tau tak.”

Jeffri menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dia semakin tidak faham.

“Dah menikah pun dengan jantan tu.”

“Apa? Menikah? Salah dengaq, kut. Mira tu yang aku tau bukan macam tu. Setia gila sama Zakuan tu.”

“Ah.... Pantai lagi kan berubah, ini kan pulak hati manusia,” jawab Aziz berperibahasa pula.

“Yalah. Yang buat aku tak paham sangat-sangat, kalau betuilah Mira tu dah menikah dengan jantan lain, apa sebenaqnya yang dia nak agaknya? Kawan kita tu punyalah setia gila kat dia. Heran! Heran!” kata Jeffri sambil menggeleng-geleng lagi.

“Biasalah, pompuan. Cun macam mana pun kalau dah tak setia, macam tulah jadinya,” komen Aziz pula.

“Hei... Dari mana hang tau semua ceghita ni. Boleh percaya ka?” soal Jeffri masih waswas dengan kenyataan yang baharu didengarinya itu.

“Terpulanglah pada hang nak percaya atau tak. Malas aku nak layan hang lagi. Lebih baik aku berborak dengan Zakuan,” jawab Aziz lalu menuju ke dalam kamar Zakuan yang bertutup.

************

INI bukan kali pertama dia rasa terluka. Kali pertama terluka kerana cinta yang mulai bersemi di hatinya tidak kesampaian. Gadis itu sangat menarik personalitinya. Dia tidak sedar sejak bila dia menyukai gadis itu. Walaupun tidak pernah menyatakan rasa yang mulai bertunas dalam hati, dia dapat merasakan cintanya tidak bertepuk sebelah tangan. Cuma, keadaan yang bakal menentukan hala tuju perhubungan mereka. Telahannya benar. Si dia akhirnya melanjutkan pelajaran ke London.

Bertahun-tahun dia sendirian menongkah arus kehidupan sehinggalah tamat belajar di universiti. Kehadiran Nurin Amira sedikit sebanyak mengubat luka di hatinya sejak menyepi daripada terus menghubungi si dia yang jauh di kota London melalui e-mel dan laman blog peribadi. Dia tidak menyangka cintanya kali ini juga menemui titik noktah. Hanya kenangan menemani hari-hari sepinya.

Cuaca di luar sungguh dingin sekali. Apatah lagi hari masih pagi. Sekejap tadi hujan renyai-renyai turun membasahi bumi. Namun, kesejukan penghawa dingin tidak mampu menyejukkan hati Zakuan yang gementar menghadiri temu duga yang baharu pertama kali dilaluinya itu. Hatinya bimbang. Takut gagal mendapatkan pekerjaan yang dirasakannya sesuai dengan jiwanya. Juruteknik servis peralatan pejabat di Syarikat Berkat Perwira Enterprice yang agak terkemuka di bandar KB. Biarpun pada mulanya dia begitu yakin akan berjaya dalam temu duga itu.

Ketika melewati kawasan di dalam pejabat, Zakuan sedikit terpegun melihat suasana yang mendamaikan. Susun atur di dalam pejabat itu memukau pandangan matanya. Ada sedikit kebebasan. Mungkin juga majikannya seorang yang menitikberatkan suasana kerja yang harmoni dan juga mementingkan kualiti kerja. Ruang pejabat pula lengkap dengan hiasan dalaman yang menyenangkan hati. Sedap pula mata yang memandang.

Selepas mendapatkan borang permohonan, Zakuan terus mengambil tempat duduk yang berhampiran dengan bilik penemu duga. Di situ ada beberapa orang sedang mengisi borang permohonan. Dia mengambil tempat duduk bersebelahan dengan seorang gadis yang menawan. Berbaju kurung warna biru lembut dan bertudung sedondon dengan warna baju tersebut. Sebelum duduk, dia melemparkan senyuman mesra.

Zakuan semakin gelisah apabila mendapati pen tidak ada di dalam begnya. Dia merungut-rungut sambil menyeluk beg sandangnya.

“Emm.... Saudara cari ini, kan? Ambillah dulu. Saya ada yang lain,” ujar gadis di sebelahnya sambil tersenyum mesra.

Tanpa banyak soal, Zakuan menyambut pen yang dihulurkan oleh gadis itu. Dikerlingnya sekilas orang yang berada di situ. Ada lebih kurang lapan orang, termasuk dirinya menanti giliran untuk ditemu duga.

“Terima kasih,” kata Zakuan setelah selesai mengisi borang permohonan.

“Sama-sama.”

“Ramai juga yang datang temu duga hari ini, ya,” ujar Zakuan, cuba meredakan perasaan gelisah yang menghuni hatinya sejak tadi.

“Boleh tahan jugaklah. First time temu duga kerja ke?” tanya gadis itu pula.

“Ha agh! Baru habis belajaq. Boring. Dah seminggu menganggur kat rumah. Kebetulan kawan beritau syarikat ni nak pakai pekerja. Itu yang datang temu duga. Harap-harap dapat la,” kata Zakuan.

Awatlah gelabah semacam ni? Apa la yang difikirkan budak perempuan tu kat aku, tak taulah. Mintak simpanglah. Manalah tau, dia nampak pelik tengok sikap aku ni.

“Ya ka? Saya pulak masih kerja di syarikat komputer Saujana. Saja nak beralih angin,” ujar gadis itu pula.

“Asyik berborak, lupa nak tanya nama saudari.”

“Nama saya, Nurin Amira binti Zainal. Panggil Mira aje.”

Alamak! Cun pulak awek di sebelah aku ni. Amboi senyumnya tu boleh tahan. Namanya pun sedap. Zakuan menelan air liur.

“Sedap nama tu. Saya Zakuan Haniff. Panggil saj,a Wan.”

Mereka berbalas senyuman.

Kemudian nama Nurin Amira dipanggil.

Zakuan memerhati lenggok gadis itu hingga hilang daripada pandangan matanya. Hatinya tergoda melihat kelembutannya. Senyumannya juga begitu memikat. Menyedari diri yang sedang kelihatan asyik, dia menunduk apabila ada seorang dua perempuan sedang memerhatikan telatahnya itu.

Pertemuan Zakuan dengan Nurin Amira tidak terhenti di situ sahaja. Apabila diterima bekerja di syarikat itu, mereka bertemu muka hampir setiap hari. Dari seorang rakan sekerja, mereka menjalin hubungan kasih. Kemesraan yang terjalin sudah diketahui rakan sekerja. Malah, menggelarkan mereka berdua pasangan yang serasi.

Sepanjang mengenali Nurin Amira, Zakuan mendapati gadis itu pandai membawa diri. Penampilannya juga sederhana. Tidak begitu menonjol. Baginya, Nurin Amira seorang gadis lain daripada yang lain.

***************

“WAN! Boleh aku masuk?” kata Aziz sambil mengetuk pintu sebelum meminta izin masuk. Zakuan membenarkan permintaan Aziz itu. Perlahan-lahan Aziz memulas tombol pintu. Kelihatan Zakuan masih berdiri di tingkap menyaksikan panorama malam yang indah.

Zakuan berpaling melihat kelibat Aziz yang sudah pun duduk di birai katilnya. Lenyap kenangan indah bersama Nurin Amira ketika kali pertama berjumpa hingga terjalin hubungan mesra di antara mereka.

“Aku bukanlah penasihat yang baik. Tapi, nasihat sikit-sikit tu adalah yang boleh diterima pakai. Terpulanglah! Hak hang nak terima atau tak,” kata Aziz sambil melihat reaksi Zakuan yang berubah tempat duduk. Dia melihat temannya yang kelihatan kusut itu dari ekor matanya. Zakuan duduk di kerusi bersebelahan katil bujangnya.

“Aku rasa hang nak kena berehat. Maksud aku, rehatkan minda, rehatkan badan, rehatkan emosi yang berserabut dengan kerja dan entah apa-apa lagi. Aku tengok hang dah tak macam dulu lagi. Tak terurus.”

“Jadi! Apa yang patut aku buat?” tanya Zakuan.

“Berehatlah. Mintak cuti dari bos. Takkanlah nak cuti sehari dua pun dia tak bagi.”

“Aku ingat nak berhenti kerja. Aku dah tak sanggup lagi.”

“Hang dah pikiaq panjang ka? Tak sayang dengan kerja hang la ni? Hang kerja di situ bukan sehari dua, tau. Dua kali dah kenaikan gaji hang. Buat keputusan terburu-buru, hang menyesal nanti. Bukan senang nak dapat kerja lain yang sama taraf dengan gaji hang la ni.,” balas Aziz.

“Habis, nak buat macam mana lagi? Hari-hari aku tengok muka si minah tu. Sakit hati aku ni, tau tak,” jawab Zakuan sambil meraup rambutnya ke belakang.

Aziz menarik nafas panjang. Dia tidak mahu kawannya itu tersungkur hanya kerana seorang perempuan. Dan dalam masa yang sama juga, dia tidak mahu kawannya itu tersinggung dengan kata-katanya. Seboleh-bolehnya, dia cuba mengawal perasaan agar tidak terlampau memberi nasihat.

“Hang kena pro la. Bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor, beb! Kerja, kerja jugak! Cinta, cinta jugak! Tak payahlah nak mencampuqadukkan hal peribadi dengan kerja. Cubalah hang anggap ini semua sebahagian rencah kehidupan yang patut hang lalui. Jodoh pertemuan itu kan kerja Tuhan,” kata Aziz dengan perlahan menepuk bahu temannya itu.

“Arghhh! Cakap memang senang!” Zakuan mendengus marah. Kemudian menghempaskan dirinya ke atas tilam pula. Ada benar nasihat temannya itu, kata hatinya. Akan tetapi, mana mungkin dia dapat bersemuka hampir setiap hari dengan wanita yang pernah mencuri hatinya itu? Setelah bersama-sama berjanji untuk hidup semati, akhirnya impian itu musnah begitu saja, kata hatinya lagi.

Bukan Aziz tidak tahu Zakuan itu anak muda jenis yang bagaimana. Malah, dia tabik hormat rakannya itu. Tidak suka keluar mencari hiburan di luar. Tidak suka bertukar-tukar kawan perempuan. Tidak merokok. Kerja pula dilakukannya dengan penuh ikhlas hati dan rajin pula ke surau bersembahyang jemaah. Dia bersyukur benar ditemukan dengan seorang rakan yang boleh diajak berunding, bersih, serasi dan baik hati itu.

“Pikiaqlah yang mana lagi penting. Cinta, keluarga dan kerjaya yang hang sayang tu. Mana tau, Tuhan nak jodohkan hang dengan pompuan yang lagi baik ka. Kita mana tau, kan? Pikiaqlah demi masa depan hang, okey!” ujar Aziz sambil menepuk-nepuk paha temannya itu.

Jeffri yang mencuri dengar perbualan kedua-dua rakan serumahnya itu tersenyum bangga kerana rakan baik mereka berjaya menenangkan Zakuan. Sebagai seorang sahabat, dia bersimpati dengan nasib yang menimpa Zakuan. Dia ingin keadaan Zakuan kembali seperti dahulu. Cubit paha kiri, paha kanan terasa. Begitulah istilah yang boleh digambarkan tentang tiga orang sahabat ini.

************

“AKU bersimpati dengan nasib yang menimpa teman kita tu,” ujar Aziz, memecah keheningan suasana yang hadir di antara mereka berdua. Jeffri memandang Aziz sekilas, kemudian kembali memfokuskan pandangannya ke hadapan.

Hampir setiap petang sebaik sahaja pulang dari tempat kerja, mereka berdua akan berjoging di sekeliling taman perumahan Taman Beringin itu. Kadangkala Zakuan akan turut menyertai mereka. Itu salah satu riadah yang dilakukan oleh mereka bagi melepaskan ketegangan selepas penat bekerja. Selain itu, Jeffri juga suka mengunjungi cyber cafe bagi melayari internet dengan rakan-rakan mayanya.

Berlainan pula dengan Aziz yang gemar melayani kucing kesayangannya di rumah. Zakuan pula memilih untuk membaca apa juga jenis bahan bacaan yang diminatinya. Ada masanya pula bermain game di rumah. Begitulah aktiviti harian ketiga-tiga sahabat baik ini. Orang bujanglah katakan.

Zakuan akan terus mengingati nasihat arwah ayahnya agar mengamalkan kehidupan sihat sehingga nyawanya terpisah dari badan.

“Itulah. Aku pun simpati jugak dengan nasib yang menimpa kawan kita tu. Tapi, nak buat macam mana? Kalau ada cadangan lain, baguih jugak.”

“Aku ada idea!” jawab Jeffri sambil memetik jarinya.

“Idea apa?” tanya Aziz, sekilas memandang temannya itu.

“Apa kata kita pujuk Wan pergi melancong sehari dua? Aku rasa inilah masanya kita tengok tempat orang, beb! Amacam, setuju?”

Aziz meletakkan jari telunjuknya di dagu sambil memikirkan sesuatu.

“Hang gila apa. Yang frust bagai nak rak, Zakuan kawan kita. Yang kita lebih-lebih ni, sapa suruh? Kerja aku pun banyak di office tu. Silap-silap, aku dibuang kerja pulak. Naya,” ujar Aziz seperti tidak setuju dengan cadangan Jeffri itu.

“Apa la lu. Mau boring gila Si Zakuan tu sorang-sorang pi bercuti. Hang pun satu. Nak minta cuti sehari dua pun susah. Kerja, kerja, kerja 24 jam,” kata Jeffri sambil menepuk dahinya.

“Lagipun, hang jugak yang bagi cadangan tu. Aku setuju aje,” sambung Aziz lagi.

Nampaknya cadangan aku untuk pergi bercuti dengan teman-teman tidak kesampaian. Masih banyak kerja yang perlu aku selesaikan di pejabat. Terpaksalah aku merelakan mereka bercuti. Apa nak buat. Ah! Rindunya dengan keindahan pantai yang menyenangkan. Aziz melepaskan keluhannya.

Jeffri yang menyedari telatah temannya itu, segera mengusiknya.

“Hang ni, Jeff. Tak boleh tengok orang senang la.”

Jeffri ketawa kelucuan. Apa tidaknya. Sedari tadi Aziz jauh mengelamun melayan angan-angannya. Suasana yang murung tadi kembali ceria dengan gelak tawa kedua-dua orang sahabat baik itu.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.