Jam di dinding menunjukkan jam 3 pagi, Alisya masih tidak mampu melelapkan matanya. Badannya terasa berbahang. Kepalanya berdenyut dan tekaknya pula rasa mual. Dia mahu ke tandas tetapi tidak berdaya untuk bangkit dari katilnya. Nur Alisya cuba gagahkan diri untuk bangun. Perlahan-lahan dia duduk dan meletakkan kakinya di lantai. Lantas dia berdiri dan cuba bangun dari duduk. Perlahan dia mengatur langkah demi langkah menuju ke tandas. Badannya seperti ingin melayang, terhuyung-hayang. Lemah. Tanpa dia perasan kakinya tersadung. Dia hampir tersungkur. Mujur dia dapat berpaut di kerusi yang ada di meja belajarnya. Jantungnya berdebar dengan sungguh laju. Tiba-tiba kepalanya seakan berpusing. Alisya jatuh terduduk. Dia tidak berdaya untuk berdiri. Pandangannya mulai kabur. Langsung tidak nampak apa. Allahuakbar!
“Alisya, bangun. Dah pukul 6.30 dah ni, terlajak subuh pula nanti,” Kedengaran suara Puan Noraini dari luar bilik Nur Alisya. Sudah dekat 9 kali Puan Noraini memanggilnya, namun tiada sebarang sahutan kedengaran.
“Nur Alisya…” Kali yang ke-sepuluh Puan Noraini memanggil. Masih lagi tiada sebarang respon dari anak gadis itu. Puan Noraini mula tidak senang hati. Pelik juga dia dengan Nur Alisya, selalunya Nur Alisya sudah bangun dengan sekali kejutan. Namun, tidak pada hari ini.
Puan Noraini tidak betah berlamaan di ruang dapur. Dia pantas menuju ke bilik anak gadisnya. Mahu melihat keadaan anaknya, sama ada masih tidur atau sudah bangun dan solat subuh. Saat tangannya memulas tombol pintu bilik, terasa seperti bahunya sedang disentuh oleh seseorang.
“Ibu, buat apa ni?” soal Amsyar terpisat-pisat. Naik luruh jantung Puan Noraini dibuatnya. Tiba-tiba sahaja si Amsyar muncul.
“Kamu ni along, buat terkejut ibu saja. Cubalah bagi salam ke, ini tidak terus terjah ibu macam tu. Kalau ibu ada sakit jantung, dah lama dah ibu collapse,” marah Puan Noraini. Geram..
“Ibu buat apa ni? Dari tadi along dengar ibu bising-bising jerit nama adik. Alisya tak bangun lagi ke ibu?” soal Amsyar.
“Itulah dia, adik kamu tu jarang buat perangai macam ni. Selalunya kalau ibu panggil dua tiga kali, dia dah bangun. Ini suara dia pun ibu tak dengar,” luah Puan Noraini risau.
“Dah tu, ibu masuklah tengok. Manalah tahu dia tidur lagi ke,” arah Amsyar. Puan Noraini mengangguk. Tangannya terus memulas tombol pintu bilik anak gadisnya itu. Berkerut dahi Puan Noraini.
Amsyar sekadar memerhati tingkah ibunya. Wajah ibunya direnung. “Kenapa tak dibuka pintunya, bu?” soal Amsyar.
“Pintu bilik Alisya dikunci dari dalam,” suara Puan Noraini berubah.
Amsyar mengetuk pintu bilik Nur Alisya berkali-kali. “Alisya, bukak pintu ni. Alisya… dengar tak along panggil ni?”
Alisya tidak memberi respon. Ini membuatkan Amsyar dan Puan Noraini tidak senang hati. Risau kalau terjadi apa-apa dengan puteri bongsu keluarga tersebut.
“Along macam mana ni? Kenapa adik tak buka pintu dari tadi ni? Risau ibu long,” Suara gusar Puan Noraini membuatkan Amsyar tidak senang duduk. Amsyar terus berlari menuju ke kabinet di ruang tamu. Habis semua laci kabinet tersebut diselongkarnya. Kelam- kabut dia mencari kunci pendua bilik Nur Alisya. Setelah kunci ditemui, dia bergegas menuju ke bilik adiknya dan terus membuka pintu.
“Ya Allah, Alisya,” Terjerit Puan Noraini melihat anak kesayangannya terbaring di lantai. Bergegas Amsyar dan Puan Noraini mendapatkan gadis itu.
Dahi Nur Alisya disentuh. “Ibu, panas badan adik ni. Kita bawak dia ke hospital sekarang,” Puan Noraini menangis. Tidak tahu mahu berbuat apa. Matanya tertancap pada wajah anak kesayangannya. Alisya tidak pernah pengsan sampai begini sekali.
“Ibu, pergi siap cepat. Kita kena hantar adik ke hospital sekarang,” gesa Amsyar. Puan Noraini tersentak. Lalu dia terus bangun dari duduk dan tidak mahu berlengah lagi. Risau jika berlaku apa-apa yang tidak diingini terhadap Nur Alisya.
Jam sudah menunjukkan 5 petang, Nur Alisya masih lagi tidak membuka matanya. Kata doktor Nur Alisya mengalami demam panas dan dehidrasi iaitu kekurangan air di dalam badan. Oleh sebab itu, Nur Alisya terpaksa ditahan di wad untuk rawatan selanjutnya. Puan Noraini tidak kemana-mana sejak daripada pagi tadi. Dia tidak mahu kemana-mana selagi anaknya tidak sedar.
“Aini, jom kita pergi makan dulu. Adik tak apa-apa, doktor kata adik demam panas je. Aini tak boleh biarkan perut awak tu kosong, janganlah buat abang risau boleh?” pujuk suaminya Encik Kamaruddin.
“Aini tak lapar bang. Abang kalau nak makan, pergilah. Aini tunggu sini je,” ujar Puan Aini. Encik Kamaruddin mengeluh. Isterinya sungguh degil. Daripada pagi sehingga ke petang, wanita itu langsung tidak menjamah apa-apa makanan. Dia hanya minum seteguk air milo ais yang dibawa oleh Hazriq awal pagi tadi.. Kuih karipap kegemarannya juga langsung tidak disentuh. Alih-alih orang lain yang kenyang.
“Awak ni Aini, silap hari bulan nanti awak pulak yang berjiran dengan si Alisya tu. Sedang elok katil sebelah Alisya ni kosong,” perli Encik Kamaruddin. Puan Noraini menjeling. Sempat pula si suami mengusik saat dia sedang runsing melihat keadaan anak gadis kesayangannya.
“Saya tak seleralah bang. Nanti-nantilah saya makan, saya duduk temankan Alisya. Abang kalau lapar sangat pergi jelah ke cafe tu, tak payah ajak saya ni,”
“Haa baguslah macam tu, biarkan saya ni pergi ke cafe tu sorang. Kalau saya kena ngorat dengan nurse cantik dan muda. Awak jangan jealous,” usik Encik Kamaruddin terhadap isterinya. Matanya mencuri pandang ke arah sang isteri. Cuba meneka apa yang tergambar pada wajah wanita itu.
“Apa yang bising-bising ni ibu? Sya nak tidur pun tak senang,” suara rengekan itu membuatkan kedua-dua mereka terkedu. Mata mereka berdua dilarikan memandang ke arah gadis yang sedang elok terbaring di atas katil hospital itu.
“Alisya?’
“Kenapa bu? Kenapa muka ibu macam gitu? Macam tak kenal anak sendiri pulak,” Nur Alisya memandang pelik. Apa yang tidak kenanya dengan ibu dan ayah. Macam pelik pula gaya mereka memandang dirinya. Macam sudah berpuluh tahun mereka tidak bersua muka.
“Alisya dah sedar? Ya Allah, syukur alhamdulilah,” Menitis juga air mata Puan Noraini kerana terlalu bersyukur. Akhirnya Nur Alisya sedar dari pengsan.
“Eh kejap, Sya dekat mana ni? Kita dekat mana ni? Ibu? Ayah?” Soal Nur Alisya pelik. Matanya diliarkan memandang ke segenap sudut bilik itu. Macam hospital. Dia di hospital? Apa yang terjadi sehinggakan dia berada disini.
“Ibu, kenapa Sya dekat sini?” soalnya lagi. Tangan ibunya diraih. Wajah Puan Noraini ditatap untuk minta kepastian.
Puan Noraini memandang wajah suaminya, minta bantuan. Encik Kamaruddin diam. Dia cuba menyusun ayat yang sesuai bagi menjelaskan keadaan sebenar.
“Adik demam panas je sebab tu kena tahan wad,” Amsyar yang tiba-tiba muncul, membuatkan semua yang ada disitu terkejut. Bungkusan makanan yang dibawanya diletakkan di atas meja. Terbeliak mata Puan Noraini, si Amsyar ni nak buat kenduri agaknya. Banyak benar makanan yang dibawanya.
“Along ada bawakan makanan ni, ibu mesti tak makan lagi kan,”
“Along, kenapa banyak sangat makanan yang kamu bawak ni, siapa nak makan semua ni?” tegur Puan Noraini. Dengan nasi lemak 5 bungkus, roti canainya, kuih itu ini. Mengeleng kepala Puan Noraini.
“Eh siapa lagi yang nak makan, kalau bukan Sya kan Along,” Mata Alisya sudah bersinar melihat semua makanan kegemarannya ada di hadapan mata.
“Kamu ni Alisya, demam ke tidak seleranya macam gitu je. Makanlah banyak-banyak, tembam nanti ibu tak tahu eh,” perli Puan Noraini.
“Alah ibu, Sya laparlah. Dah alang-alang along bawak banyak sangat makanan tu, daripada membazir baik Sya makan. Kan along kan,” Alisya tersengih memandang wajah abang sulungnya itu. Amsyar hanya mengeleng dengan perangai adiknya itu. Dia tidak risau lagi dengan keadaan kesihatan adik bongsunya itu. Alisya hanya demam biasa. Tidaklah serius mana penyakitnya.
“Assalammualaikum…” suara itu menyapa telinga mereka. Mata Alisya tertancap pada wajah jejaka yang berada di hadapan matanya. Mata mereka berdua bertembung. Alisya melarikan matanya apabila sedar dirinya diperhatikan.
“Eh kau Azam, macam mana tahu yang kami ada disini,” soal Amsyar serta-merta. Terkejut juga dia apabila Azam tiba-tiba muncul di muka pintu. Sedangkan dia langsung tidak memberitahu pada sesiapa soal adiknya.
“Aku tadi melawat kawan aku lepastu bertembung pulak dengan Hazriq. Dia kata Alisya masuk wad, itu yang aku singgah,” jelas Azam.
“Mak cik dan pak cik sihat?” soal Azam sambil menghulurkan tangannya untuk bersalam.
“Alhamdulilah Azam, kami sihat. Yang patut kamu tanya tu si dara yang terlantar atas katil tu, buat cemas kami je. Risau mak cik dibuatnya,” bebel Puan Noraini.
“Alah ibu ni, Sya demam sikit je. Bukannya teruk pun,” Alisya membalas. Dia sedang leka menyuap roti canai yang dibawa oleh abang sulungnya. Perut dia terasa lapar sangat. Langsung tidak mahu ambil kisah akan kehadiran lelaki di hadapannya. Tiap kali lelaki itu hadir di depan mata, dia mula rasa tidak senang duduk. Hatinya berdegup kencang. Tak tahu lah apa penyebabnya dia jadi begitu.
Hazriq duduk di sebelah Alisya di atas katil. Dia turut mencuit roti canai yang sedang Alisya jamah. Terbeliak mata Alisya memerhati gelagat abang keduanya itu. Entah bila pula dia duduk di sebelahnya.
“Angah kau ni kenapa, Sya punya kan. Kalau nak pergilah ambil yang lain, orang punya jugak dia nak sebat,” bebel Alisya.
“Angah laparlah Sya, tak sempat nak sarapan tadi,” balas Hazriq. Kesemua yang ada disitu hanya tersengih melihat gelagat dua beradik itu. Azammudin hanya memerhati gelagat Alisya dengan pandangan yang dia sendiri tidak mampu tafsirkan.