Home Novel Cinta CINTA TAK AKAN PERGI
CINTA TAK AKAN PERGI
IZZATUL NADIRA
14/2/2019 23:43:45
11,963
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

“Ibu…oh ibu…” jerit Alisya. Suara jeritan itu bergema memecahkan kesunyian rumah.Sedari tadi dia mencari ibunya namun kelibat Puan Noraini langsung tidak kelihatan. Hampir seluruh pelusuk rumah dicari oleh Alisya termasuklah bilik dan ruang tamu juga tidak membuahkan hasil.

“Kemana pulalah pergi ibu ni. Pagi-pagi dah hilang,” omel Alisya sendirian. Jam di dinding menunjukkan pukul 11 pagi, tak mungkinlah ibu ke pasar pada waktu-waktu begini. Lagi pula, baru semalam ibunya ke pasar membeli barangan kelengkapan dapur.

 Alisya terus berjalan menuju ke ruang tamu sekali lagi. Kemudian dia menuju pula ke dapur, mana tahu Puan Noraini ada di dapur pula. Mungkin sedang memasak. Namun sesampai dia di dapur, bayang Puan Noraini tidak juga kelihatan.

Pelik. Ke manalah pergi ibunya pagi ini. Baru sahaja Alisya terfikir mahu ajak bergosip soal apa yang terjadi semalam tiba-tiba hilang pula. Alisya mendengus kecil.

Hatinya semenjak semalam sehinggalah hari ini langsung tidak tenang. Selagi dia belum menemui jawapan dari setiap persoalan yang ada di benak pemikirannya, dia tidak boleh duduk diam. Semalaman dia mengodek facebook untuk mencari maklumat berkenaan Azammuddin namun tiada apa pun yang dia temui.

"Kamu cari ibu ke?” soal Encik Kamaruddin yang baru sahaja memunculkan diri menghampiri Alisya yang sedang berdiri di tepi peti ais sambil mencekak pinggang. Nampak seperti sedang memikirkan masalah besar pula gayanya.

“Eh ayah tak pergi sekolah ke harini,” soal Alisya.

 “Tak,ayah ambil mc harini. Badan tak berapa sihat pula rasanya,” jawab Encik Kamaruddin. Encik Kamaruddin mengambil tempat untuk duduk di meja makan. Bungkusan nasi lemak yang terletak di tengah-tengah meja diraih.

  Alisya yang perasan ayahnya ingin mula menjamu selera, bergegas kembali ke dapur untuk mengambil sudu serta cawan lalu diberikan kepada ayahnya.

“Ayah nak air apa?” soal Alisya prihatin.

“Ambilkan ayah air kosong suam je Alisya,” jawab Encik Kamaruddin. Alisya cuma menganggukkan kepalanya. Laju dia menuang air suam ke dalam gelas untuk diminum oleh Encik Kamaruddin.

 Melihat ayahnya berselera menyuap nasi lemak ke mulut, Alisya tiba-tiba merasa lapar. Dia mengambil tempat untuk duduk berhadapan dengan ayahnya. Bungkusan nasi lemak yang ada 7 bungkus di tengah-tengah meja laju dicapai. Baru dia teringat yang dia belum menjamah apa-apa makanan lagi pagi ini.

Hari ini Alisya bangun sedikit lewat dari kebiasaan kerana malam tadi dia sibuk berkerja keras mencari maklumat di facebook berkaitan Azammuddin. Gadis itu masih tidak puas hati selagi jawapan dari persoalan yang bermain di fikirannya tidak terjawab.

“Ibu kemana ayah?” tanya Alisya kepada ayahnya.

“Ibu kamu ikut along ke Kuala Lumpurkatanya nak beli barang persiapan untuk majlis pertunangan dia bulan depan,” jawab Encik Kamaruddin.

“Eh… along cuti ke harini?” soal Alisya pelik. Jarang sekali abang sulungnya Amsyar bercuti pada hari biasa seperti ini. Amsyar dan kerjanya seperti tidak boleh dipisahkan. Kadangkala,hujung minggu pun alongnya masih juga bekerja.

 “Katanya nak habiskan cuti tahunan. Sama juga dengan angah, dua-dua cuti harini,” jelas Encik Kamaruddin. Alisya hanya menganggukan kepalanya mengerti apa yang disampaikan oleh Encik Kamaruddin.

Selesai sahaja makan, Encik Kamaruddin terus naik ke bilik untuk beristirehat. Badannya rasa agak lesu dan tidak selesa. Setelah makan ubat yang diberikan oleh doktor di klinik sebentar tadi dia bergegas naik ke bilik untuk tidur sejam dua.

 Alisya pula duduk di ruang tamu sambil menonton video masakan di tiktok. Dia menantikan kepulangan along dan ibunya. Tidak sabar ingin menceritakan soal apa yang dia lihat semalam. Agaknya apalah respon ibu terhadap hal yang ingin dia sampaikan. Pasti ibu akan terkejut dengan berita itu.

Wanita yang sedang ibu aturkan untuk berkenalan dengan Hazriq sudah punya kekasih. Gila. Dah macam drama melayu pula gamaknya. Agaknya wanita itu mungkin sama juga seperti angah, dipaksa untuk berjumpa dengan lelaki yang tidak dikenali. Sudah punya kekasih tetapi tidak berani untuk berterus terang sebab takut jadi anak derhaka.

Ish…kesiankan.

 

Jam menunjukkan sudah hampir 3:00 petang, Puan Noraini dan Amsyar masih juga belum memunculkan diri. Alisya sedari tadi cuba menghubungi ibu dan alongnya, namun kedua-duanya gagal dihubungi malah panggilan tersebut terus masuk ke kotak panggilan suara.

Risau pula dibuatnya.

Hazriq turun dari bilik dan terus menuju ke dapur. Meninjau jika ada lauk-pauk yang terhidang di meja. Perutnya sudah berdendang kelaparan kerana pagi tadi dia tidak turun untuk bersarapan.Niatnya, dia mahu turun ke dapur dan menjamah nasi untuk makan tengah hari. Namun sesampai sahaja di dapur, tiada apa-apa lauk pun yang ada di meja. Yang tinggal cumalah beberapa bungkusan nasi lemak dari sarapan pagi tadi.

“Alisya… ibu tak masak ke harini?" soal Hazriq kepada adik bongsunya, Alisya. Alisya yang mendengar soalan Hazriq cuma membalas dengan jelingan sahaja. Malas mahu menjawab soalan itu.

“Oi… angah tanya ni,” panggil Hazriq. Alisya yang sedang terbaring di atas sofa dipandang tepat.

 “Kalau takda lauk dekat meja tu maksudnya ibu tak masaklah angah,” jawab Alisya selamba. Hazriq yang mendengar laju berjalan menuju kearah Alisya. Kemudian dia mencapai bantal kecil yang terletak elok di atas sofa dan di campak tepat ke arah muka adiknya itu.

“Eeeee…angah apa campak-campak ni,” marah Alisya sambil melempar kembali bantal kecil tersebut kepada Hazriq.

“Orang tanya elok-elok jawablah dengan elok juga,” balas Hazriq sambil matanya melirik tajam dan mengarahkan pandangan pada Alisya yang sedang elok terbaring di atas sofa. Gadis itu sedang asyik menonton video-video yang ada di tiktok. Sedikit pun langsung tidak menghiraukan kehadirannya disitu.

“Sya jawab elok-eloklah ni angah ish…” balas Alisya selamba. Hazriq hanya mampu menjeling sahaja melihat gelagat Alisya. Malas mahu memanjangkan cerita Hazriq terus mengambil tempat di sofa berhadapan dengan adiknya sambil tangannya mencapai tin biskut yang terletak di atas meja. Alisya yang tadinya terbaring kini dengan cepatnya berdiri dan duduk di sebelah abang keduanya Hazriq. Matanya tepat menatapmata angahnya itu.

“Haaa ni kenapa ni?” soal Hazriq dengan nada curiga.  

“Angah…semalam macam mana okay ke?” soal Alisya terus tanpa berfikir panjang.

“Apa yang okay?” soal Hazriq kembali

“Pasal semalamlah yang angah jumpa anak kawan ibu tu? Okay ke dia?” tanya Alisya lagi. Dia cuba mengorek maklumat demi mendapatkan jawapan yang dia ingini. Hazriq langsung tidak mengendahkan soalan Alisya, dia asyik dengan mengunyah biskut sambil matanya sibuk menonton drama yang sedang ditayangkan di televisyen. 

Alisya mendengus sendiri. Geram kerana soalannya tadi sedikitpun tidak diendahkan oleh Hazriq. Satu cubitan kecil dihadiahkan buat angahnya. Laju sungguh jari jemari halus Alisya singgah ke lengan abangnya itu.

Hazriq mengerutkan dahi menahan rasa sakit akibat cubitan yang dihadiahkan oleh Alisya sambil mengusap lengannya. Dia menyipitkan mata menahan geram. 

“Sakitlah…dok cubit-cubit orang kenapa,” bebel Hazriq memarahi Alisya.

“Habis tu…dah Sya tanya angah boleh buat tak reti je, siapa suruh?” balas Alisya dengan selamba.  

“Haaa, Sya nak tanya apa tadi?” Hazriq cuba memberi tumpuan kepada soalan yang bakal ditujukan oleh adik bongsunya.

Alisya membetulkan posisi duduknya untuk menghadap Hazriq. Matanya tepat memandang wajah abang keduanya itu. Sedikit pun tidak beralih walaupun seinci.

“Semalam macam mana, okay ke? Orangnya macam mana?” Sekali lagi soalan yang sama diajukan kepada Hazriq. Dia tidak betah duduk diam selagi persoalan di fikirannya itu tidak berjawab.

“Semalam? Okay, okay je… Tak ada apa yang menarik pun,” jawab Hazriq. Membulat mata Alisya mendengar jawapan dari abangnya itu.

 “Okay je? Angah seriuslah? Yang luar biasa tak ada ke?” Alisya masih tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

“Lah…okay jelah, Sya nak angah cakap macam mana lagi?” ujar Hazriq dengan nada yang malas. Rasa malas mahu melayan soalan-soalan yang diajukan oleh Alisya.

“Takdalah, nak juga tahu orangnya macam mana, cantik ke? Dah ada boyfriend ke belum angah? Baik tak orangnya angah? Angah minta nombor telefon dia tak?” Bertalu-talu soalan ditujukan kepada Hazriq.

“Eeeee…Sya nak tahu sangat pergi tanya dia sendiri. Angah tak tahu dan tak nak ambil tahu, faham!” jawab Hazriq dengan nada yang agak tinggi. Hazriq bingkas bangun dan meninggalkan Alisya terpinga-pinga. Dia sedikit terkejut dengan reaksi angah yang nampak tertekan bila diasak dengan soalan-soalannya tadi. Hazriq terus melangkah menuju ke kabinet dan mencapai kunci kereta. Dia mahu keluar mencari makan dan ingin menenangkan fikirannya. Sakit otak kalau duduk berlamaan dirumah kalau begini.

“Angah nak keluar kejap, Sya nak makan apa?” soal Hazriq dengan nada serius sebelum melangkah keluar dari rumah.

“Errrr…angah belikan Sya nasi ayam boleh ke?” jawab Alisya takut-takut. Hazriq hanya menganggukkan kepala dan terus melangkah keluar menuju ke keretanya. Alisya duduk membatu. Dia terkedu kerana tidak sangka dengan reaksi angah yang nampak marah bila ditanyakan dengan soalan-soalannya sebentar tadi.

Jarang sekali angah meninggikan suara kepadanya. Jika angah marah sebelum ini, dia masih boleh mengawal kemarahannya. Namun hari ini jelas sekali riak wajah angah tampak sedikit berang.

“Mungkin angah tak selesa kot,” ujar Alisya sendiri cuba menenangkan hatinya sendiri.

 

“Dah pukul 10:45 malam dah ni, ibu dengan along tak angkat call pun,” rungut Alisya sendirian. Dia mundar-mandir di ruang tamu, risau akan keadaan ibu dan alongnya. Kedua-dua mereka masih lagi tidak dapat dihubungi. Dari waktu tengah hari sehingga sekarang semua panggilan yang dibuat masuk ke dalam peti mel suara.

Encik Kamaruddin yang duduk di sofa juga cuba mendail nombor telefon kedua-dua mereka, masih tidak berjaya. Ke manalah agaknya kedua-dua anak dan isterinya pergi. Sedari pagi mereka keluar sehingga sudah lewat malam masih juga belum pulang. Andai mereka dapat dihubungi tidaklah dia serisau ini.

“Kemanalah ibu dengan along kamupergi ni. Whatsapp tak berbalas, bila telefon pun tak juga berangkat. Haih merisaukan orang betul lah,” bebel Encik Kamaruddin. Dia tidak senang duduk memikirkan soal isteri dan anaknya. Khuatir jika berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini.

Hazriq yang baru sahaja selesai solat Isyak turun ke ruang tamu untuk menonton televisyen. Kebiasaan waktu begini dia akan menonton filem di Netflix bersama Amsyar dan juga Alisya. Sangkanya ibu dan juga along sudah pulang ke rumah setelah seharian keluar membeli barangan persiapan majlis pertunangan yang tidak lama lagi bakal berlangsung.               

“Ibu mana ayah?” soal Hazriq sambil matanya melilau mencari kelibat Puan Noraini yang masih tidak kelihatan.

 “Ibu dan along kamu belum balik lagi ngah. Ayah dari tadi cuba call tak dapat-dapat,” ujar Encik Kamaruddin dengan nada risau.

 “Eh… belum balik lagi? Dah lewat dahni,” Hazriq sudah mulai risau. Jam di telefon bimbitnya dipandang sekilas, sudah hampir jam 11 malam kedua-dua ibu dan alongnya masih belum pulang.

“Angah, ayah… kita pergi buatlaporan kat balai polis jelah, risaulah Sya,” cadang Alisya kepada Hazriq dan Encik Kamaruddin.

“Sabarlah… kejap lagi along dengan ibu mesti balik. Agaknya adalah halnya kot dekat tengah jalan tu,” jawab Hazriq cuba menenangkan keadaan.

 “Angah, zaman sekarang ni kita kena fikir negatif dulu tau. Kalau jadi apa-apa kita dah siap sedia,” balas Alisya.

 “Ya angah faham, tapi cuba bawak bertenang dulu. Kejap lagi diorang baliklah tu,” pujuk Hazriq lagi. Alisya hanya akur dengan jawapan angah. Dia duduk tersandar di sofa, cuba menenangkan diri. Tidak putus-putus dia berdoa di dalam hati agar Allah lindungi ibu dan alongnya dari sebarang malapetaka.

10 minit kemudian, kedengaran bunyienjin kereta berhenti di hadapan rumah. Pantas Alisya mencapai tudung sarung berwarna hitam yang tersangkut diatas kerusi. Kedua-dua Hazriq dan Alisya laju meluru keluar untuk melihat gerangan siapa yang datang.

Kelihatan sebuah kereta Honda Civic berwarna hitam berada betul-betul di hadapan rumah. Alisya seperti dapat mengagak siapakah empunya kereta tersebut. Matanya di liarkan memerhati orang-orang yang ada didalam kereta itu.

Tidak sampai beberapa detik, ketiga-tiga pintu kereta tersebut dibuka serentak. Terlihat Puan Noraini dan Amsyar,kedua-duanya keluar dari kereta itu. Dan lelaki bernama Azam juga turut keluar dari kereta yang sama.

“Ibu mana kereta along?” soal Alisya dengan nada terkejut. “Ibu okay tak ni? Along kenapa balik dengan dia?” Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Alisya. Dia agak terkejut melihat ibu dan along pulang bersama Azammuddin. Matanya melilau mencari bayang kereta milik alongnya. Sedikit curiga kerana tiba-tiba sahaja ibu dan alongnya pulang bersama lelaki itu. Padahal, setahu Alisya ibu dan along hanya keluar berdua sahaja.

“Kereta along rosak tadi dekat tengah jalan, lepastu dengan bateri telefonnya mati. Nasib baik Azam lalu dekat jalan tu kalau tak entahlah,” jelas Amsyar kepada Alisya dan Hazriq.

 Puan Noraini menghulurkan beberapa beg kertas kepada Hazriq untuk dibawa masuk ke dalam rumah. Melihat beg dan barangan lain yang banyak di dalam bonet kereta tersebut, Alisya terus melupakan niatnya untuk bertanya dengan lebih lanjut. Terus dia meluru membantu ibu dan alongnya mengangkat semua barangan yang ada di dalam bonet kereta.

“Azam kamu tidur saja lah dekat sini, dah lewat malam dah ni,” Ajakan Puan Noraini mengejutkan Alisya. Dia memandang wajah ibunya dengan perasaan curiga. Dah kenapa nak ajak lelaki itu tidur di rumah? Bisik hati Alisya sendiri.

“Eh tak apalah cik Ani, Azam tidurrumah kawan je kot,” ujar Azam kepada Puan Noraini.

“Dah kenapa ibu nak ajak dia tidur rumah kita pulak? Rumah dia kan ada,” soal Alisya selamba. Puan Noraini hanya mengerling tajam Alisya yang sedang mengangkat beg plastik berisi perkakas untuk gubahan hantaran. Barangan tersebut dibeli untuk majlis pertunangan Amsyar yang akan berlangsung tidak lama sahaja lagi.

“Cik Som kamu dia ke Kelantan ada saudaranya meninggal dunia. Lepastu, lupa nak tinggalkan kunci rumah pada si Zam ni haa. Zam pulak baru balik dari kerja luar. Nasib jumpa ibu dengan along kalau tak dia tak tahu nak pergi mana,” terang Puan Noraini.

 Azammuddin yang mendengar hanya mendiamkan diri dan memerhatikan sahaja gelagat Puan Noraini dan anak-anaknya. Namun matanya lebih tertarik pada gadis yang berbaju tidur dan berseluar kotak-kotak. Gadis dihadapannya itu nampak garang namun terselit kemanisan pada raut wajahnya.

“Kalau macam tu tidur sini je Zam bukannya kamu tak biasa dengan kami,” ujar Encik Kamaruddin yang tiba-tiba sahaja memunculkan diri. Azammuddin hanya tersenyum dan hanya mengiyakan dengan satu anggukan.

“Dah jom masuk… Lama-lama dekat luar tu buat apa. Masuk Zam, buat macam rumah kamu sendiri,” ujar Encik Kamaruddin lagi.

 Alisya mendengus sendiri. Tidak puas hati dengan tindakan ibu dan ayahnya mengajak lelaki itu tidur di rumah mereka. Apa yang nak di risaukan sangat dengan anak orang tu? Bukannya umur 5-6 tahun sampai tak pandai berdikari sendiri. Pergilah tidur di rumah kawan atau mana-mana hotel yang ada di Seremban ini. Dasar anak manja! Bebel Alisya sendiri di dalam hati.

Previous: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh IZZATUL NADIRA