Home Novel Cinta CINTA TAK AKAN PERGI
CINTA TAK AKAN PERGI
IZZATUL NADIRA
14/2/2019 23:43:45
12,925
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

             Alisya duduk termenung di birai katil sambil matanya memandang jauh ke arah beranda bilik. Cahaya matahari yang menyinari setiap helaian daun pokok-pokok bunga di beranda itu nampak segar menghijau.

            Gadis itu mulai terbaring semula di atas katil setelah penat duduk. “Haih, bosannya dah 3 hari asyik baring, duduk je.” keluh Alisya sendiri. Selepas keluar sahaja dari hospital, ibunya tidak membenarkan langsung dia keluar kemana-mana kerana Alisya masih dalam keadaan lemah. Khuatir kalau-kalau Alisya kembali demam dan pulang semula ke hospital.

            Tangan Alisya kini mencapai pula telefon bimbitnya yang berada di celahan bantal untuk membuka aplikasi ‘Tiktok’, sambil dia sibuk menonton video-video yang ada di dalam aplikasi tersebut matanya tertancap pada satu video masakan dari salah seorang pempengaruh masakan terkenal iaitu Che Sayang.

            Video yang berdurasi 2 minit itu di tonton dengan penuh khusyuk. Setiap pergerakan dan langkah masakan diperhatikan satu-persatu. “Nampak senang je dia masak, kan bagus kalau aku pun pandai macam tu jugak,” ujarnya sendiri.

            Alisya duduk kembali sambil matanya masih sibuk menonton ke semua video masakan dari Che Sayang. Hatinya mulai tertarik untuk belajar memasak kerana selama ini ibunya seorang sahaja yang hebat dalam perihal memasak. Apa yang dia tahu hanya sebut sahaja apa yang dia teringin makan, pasti akan ibunya penuhi.

           Ralit dia menonton video-video tersebut sehingga tidak sedar akan kehadiran ayahnya disitu. Encik Kamaruddin yang dari tadi memerhati gelagat anak gadis bongsunya hanya tersenyum.

          “Apa yang dok ralit sangat dengan telefon tu Alisya,” tegur Encik Kamaruddin.

          Alisya yang mendengar suara ayahnya terkejut lalu meletakkan telefon bimbitnya ke atas katil. Tersengih-sengih Alisya memandang ayahnya yang sedang mengambil tempat untuk duduk di sebelah Alisya.

         “Ayah ni, terkejut Sya tau,” ujar Alisya sambil membetulkan duduknya. Encik Kamaruddin ketawa kecil mendengar rungutan Alisya.

         “Tengok apa yang sampai ayah masuk bilik pun kamu boleh tak sedar dan boleh terkejut pulak tu,” soal Encik Kamaruddin lagi.

         “Tak ada apa sangat pun ayah. Sya leka tengok video masak-masak dekat tiktok,” jawab Alisya sambil tersenyum memandang ayahnya.

          Encik Kamaruddin memandang Alisya dengan pandangan curiga. Terkejut mendengar apa yang disampaikan oleh anak gadisnya itu. Pertama kali mendengar Alisya minat menonton video masakan. Sebelum ini, kalau bercakap atau bercerita soal masak memasak Alisya lah yang paling malas mendengar dan ambil tahu.

        “Belajar masak ke? Wah…. anak ayah dah nak kahwin ke?” soal Encik Kamaruddin sengaja mahu mengusik.

        “Apa ayah ni, Sya baru habis belajar. Tak kan lah dah nak kahwin, boyfriend pun tak ada lagi,” balas Alisya selamba.

        “Betul ke anak ayah ni tak ada boyfriend? Takkanlah anak ayah yang cantik ni takde yang nak,” ujar Encik Kamaruddin lagi sengaja menyakat.

        “Sebab tak cantiklah dia tak ada boyfriend ayah,” Hazriq pula menyampuk dari luar bilik. Alisya yang mendengar laju mencapai bantal yang berbentuk segiempat dan terus mencampaknya tepat ke arah Hazriq yang berdiri di hadapan pintu bilik.

        “Sibuk je nak menyampukkan angah ni,” marah Alisya. Hazriq ligat ketawa melihat wajah geram Alisya yang tidak puas hati.

        “Kamu ni Hazriq bab menyakat adik nombor satu kan. Haa kamu ni nak apa tercegat dekat sini Hazriq?” soal Encik Kamaruddin kepada anak keduanya. Geram melihat gelagat Hazriq yang suka sangat menyakat adiknya Alisya.

         Pernah sekali sampai menangis Alisya disakat oleh Hazriq. Dari kecil sehingga sekarang,Hazriq yang berumur hampir masuk 30 tahun masih lagi dengan perangai seperti budak sekolah rendah. Ada sahaja akalnya untuk mengusik orang-orang di rumah,lebih-lebih lagi si Alisya. Dialah antara mangsa utama Hazriq untuk diusik.

         “Ibu panggil makan, lauk semua dah siap. Alisya.,, ibu suruh kamu turun makan dekat bawah,” ujar Hazriq kepada ayahnya dan Alisya. Hazriq malas berlama di situ,perutnya pun sudah lapar. Bau masakan yang ibunya masak sudah mampu membuatkan dia tidak sabar untuk makan.

         “Ibu masak apa angah?” soal Alisya sedikit teruja.

         “Manalah angah tahu, ingat angah ke yang masak? Turunlah tengok sendiri,” ujar Hazriq selamba. Laju kakinya melangkah pergi meninggalkan ayah dan Alisya, tidak sabar dia mahumakan.

         Encik Kamaruddin hanya mengeleng sambil tersenyum kecil. Geli hati melihat gelagat anak-anaknya.

 

          “Nak tambah nasi lagi ke Angah?” soal Puan Noraini kepada anak keduanya. Nampak berselera sungguh Hazriq menjamah masakan yang dimasak oleh ibunya hari ini. Masakan tengah hari ini, agak istimewa kerana Puan Noraini masak mengikut permintaan anak keduanya itu iaitu ayam masak merah dan juga labu masak lemak.

           Kedua-dua masakan itu merupakan kegemaran Hazriq dari dia kecil lagi. Kalau boleh mahu sahaja dia meminta ibu untuk masak lauk yang sama setiap hari. Kalau dengan lauk ini, 10 kali tambah pun Hazriq mampu.

           “Cukuplah ibu, ni pun dah kenyang sangat dah ni. 4 pinggan dah angah makan hari ni,” jawab Hazriq. Puan Noraini mengeleng kepala sambil ketawa kecil melihat gelagat Hazriq yang tersandar di kerusi kerana kekenyangan. Alisya dan Encik Kamaruddin turut ketawa melihatnya.

           “Terima kasih ibu, sedap betul lah masakan ibu hari ini. Takda siapa boleh lawan masakan ibu tau,” puji Hazriq. Sungguh, masakan ibunya tiada siapa yang boleh menandinginya. Air tangan ibu antara masakan yang terbaik di dunia.

           “Nanti bawalah bakal menantu ibu ke rumah, ibu ajar dia masak makanan kegemaran kamu.Kalau dah kahwin, boleh lah suruh isteri yang masak,” kata Puan Noraini kepada anak bujangnya itu.

           Hazriq yang sedang elok meneguk air oren, hampir tersembur dibuatnya. Mendengar ujaran yang keluar dari mulut ibunya itu membuatkan dia rasa mahu bangun dari meja. Hazriq pura-pura tidak mendengar, dia mencapai potongan tembikai dan menyuapnya ke mulut tanpa sebarang reaksi.

          “Kamu dengar tak apa yang ibu cakap ni?” soal Puan Noraini. Matanya tepat memandang pada wajah Hazriq yang sengaja buat tidak dengar.

          “Apa dia ibu? Angah malaslah nak cerita pasal ni,” jawab Hazriq acuh tidak acuh.

          “Apa yang malasnya ngah, kamu tu dah umur 30 tahun dah. Sampai bila nak membujangnya,”kata Puan Noraini kepada Hazriq dengan nada yang sedikit tegas bunyinya.

         “Ibu ingat senang ke nak cari bakal isteri, kalau dapat yang elok takpe. Ni kalau dapat yang tak berapa elok macam mana? Anak ibu ni yang merana tau” Hazriq cuba mencari helah. Dengan harapan ibu akan mengubah fikiran untuk tidak meneruskan topik ini dengan lebih jauh.

         “Sebab itu ibu suruh kamu berkawan dulu, kenal-kenal dan kalau okay baru lah kita teruskan,” pujuk Puan Noraini.

         “Nak kenal dengan siapa? Angah mana ada sesiapa nak berkenalan ibu ni pun,” ujar Hazriq kepada Puan Noraini. Garu kepala dibuatnya kalau asyik melayan topik yang tiada berkesudahan ini. Selagi dia belum berkahwin, selagi itulah ibu akan terus membawa topik ini ke dalam perbualan mereka.

          Mendengar kata-kata Hazriq, Puan Noraini bingkas bangun dan mengambil tempat di kerusi sebelah Hazriq. Alisya dan Encik Kamaruddin hanya memerhati sahaja gelagat mereka berdua. Malas ikut campur dalam hal ini. Pandai-pandailah Hazriq menanganinya sendiri.

        “Ibu ada kawan, anak dia baru je habis master. Ibu nak lah kenalkan angah dengan anak kawan ibu tu, Kalau angah free malam ni, bolehlah angah jumpa dia kejap. Pergi makan-makan ke, borak-borak, berkenalan ke. Kan angah kan,” Puan Noraini mulai mencuba nasib. Manalah tahu Hazriq terbuka hati untuk menerima cadangannya.

        “Boleh..tapi dengan satu syarat,” Hazriq menjawab.

        “Okay apa syaratnya?” jawab Puan Noraini. Tidak sabar untuk mendengar apa syarat yang diletakkan oleh Hazriq.

        “Alisya kena ikut angah malam ni, kalau tak angah taknak pergi,” jawab Hazriq selamba. Wajah ibunya dipandang bersahaja. Sengaja mahu melihat reaksi ibu apabila mendengar jawapan itu.

         Membulat mata Puan Noraini kerana jawapan yang tidak terjangka itu. Tidak sangka Hazriq bersetuju dengan cadangan tersebut. Walaupun syaratnya tidak masuk akal, namun hatinya lega kerana rancangan tersebut dipersetujui Hazriq.

          Alisya yang mendengar terus berpaling memandang ke arah Hazriq yang sedang duduk bersebelahan dengan ibu mereka. Dia yang tadinya sedang menikmati nasi bersama ayam masak merah terhenti seketika bila namanya disebut oleh Hazriq.

         “Tak,tak.. angah cakap apa tadi?” soal Alisya cuba mendapatkan klarifikasi daripada Hazriq. Matanya tepat memandang wajah angahnya.

         “Sya kena ikut angah jumpa anak kawan ibu, kalau tak angah taknak pergi. Fullstop!” Hazriq bingkas bangun dan naik ke bilik. Malas mahu berlama menghadap ibunya dan tidak mahu bersoal jawab dengan Alisya. Dia mahu berehat dibilik sahaja.

         Puan Noraini mengeluh perlahan. Pening memikirkan gelagat anak keduanya ini. Namun tidak mengapa, asalkan Hazriq bersetuju itu sudah lebih dari mengembirakanhatinya. Asalkan apa yang dirancang berjalan seperti diharapkan.

         Alisya membatukan diri. Geram pulak dibuatnya. Sudahnya dia pula yang menjadi mangsa. Terpaksa pula dia menemani angah untuk berjumpa dengan anak kawan ibunya. Tak pernah dibuat orang, pergi dating sambil membawa adik.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh IZZATUL NADIRA