Home Novel Cinta Crush Aku Mr Chicano
Crush Aku Mr Chicano
Batiah Hadi
31/1/2019 17:39:40
34,971
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 5

Sejak tadi lagi, makanan telah disusun di bahagian belakang. Ada yang ditempah dan ada juga sumbangan potluck daripada pelajar-pelajar. Eva dan rakan-rakan serumah telah menyediakan ayam rendang minang. Tukang masaknya ialah Julie. Dalam kalangan pelajar, ayam rendang Julie yang paling sedap. 

Eva, Mira dan Nita hanya membantu menyediakan apa yang boleh. Bila teringat rendang Julie dan bau makanan, perut Eva terus berkeriut. Eva baru perasan dalam cuaca sejuk, perut yang lapar selalunya berbunyi kuat. Sesuatu yang jarang berlaku di Malaysia. 

Mira tiba-tiba ketawa dan berbisik tentang perut Eva yang berbunyi. Eva menyenggol lengan Mira supaya menghentikan ketawanya. Malu pun ada kalau orang keliling juga dapat mendengarnya.

Sebelum majlis berakhir, mereka diminta untuk memperkenalkan diri. Tiba-tiba Eva berasa gementar lain macam. Dia perasan mata Emir padanya, namun Eva buat tidak tahu. Dia tidak mahu rasa gementarnya bertambah disebabkan renungan Emir itu. 

Belum sampai gilirannya, Eva rasa seperti mahu pengsan. Badannya berpeluh-peluh. Rasa mual pun ada. Matanya juga berpinar-pinar seperti mahu gelap mata. Sekejap gelap sekejap terang. Eva seperti mahu lari, tapi entah ke mana. Sebaik Mira selesai perkenalkan diri dan belum sempat dia berikan mikrofon kepada Eva, Eva telah melorot jatuh. Pandangannya terus gelap.

Bila Eva tersedar, dia sedang terbaring di sofa belakang dewan. Di sebelahnya ada Mira dan juga seorang lelaki berkaca mata.

“Awak dah sedar? Saya Dr. Imran. Awak pengsan tadi, tapi tak apa-apa. Mungkin awak lapar sangat.” 

Dr. Imran adalah suami kepada Kak Nabila, seorang pelajar Master di universiti itu. Eva mengangguk. Dia menghulur tangan kepada Kak Nabila yang tersenyum dan menyambut salaman Eva.

“Eva duduklah. Minum ni dulu.” Mira menyuakan segelas jus epal kepada Eva. 

Eva duduk lantas mencapai air epal itu. Rasa segar bila air yang manis-manis masam itu mengenai tekaknya. Kemudian, gelas diberikan kepada Mira.

“Kau ni menakutkan saja pengsan macam tu. Kau kenapa? Ingat nak bawa hospital, tapi Dr. Imran kata tak perlu.”

“Entahlah… tiba-tiba aku rasa gelap mata. Aku dah tak dapat kawal diri aku,” terang Eva.

“Haih… aku ingat kau saja buat drama tadi.”

“Err… Eva dah rasa okey ke? Kalau tak, saya cadangkan Eva pergi hospital buat pemeriksaan lanjut,” sampuk Dr. Imran.

“Rasanya saya dah okey,” jawab Eva.

“Kalau macam tu, tiada apa yang perlu kita risaukan. Tapi kalau ada apa-apa boleh hubungi saya atau hospital ya,” beritahu Dr. Imran. 

Eva mengangguk lantas mengucapkan terima kasih kepada Dr. Imran dan isterinya, Kak Nabila. 

“Jom, kita makan. Kau nak makan apa? Aku ambikkan,” ujar Mira.

“Eh, tak apa. Aku boleh ambik sendiri.” Eva mahu bangun apabila satu pinggan berisi nasi dan rendang minang disuakan kepadanya. 

Eva tersentak.

“Tak perlu ambik. Awak makan yang ini.” 

Eva mengangkat muka. Emir Sirhan sedang memandang padanya sambil tersenyum.

“Err...”

“Ambik ni. Jangan degil. Saya sebagai seorang presiden, saya kena pastikan kebajikan anak buah terjaga. Kalau tak, sia-sia jadi presiden.”

Mira di sebelah terlopong. Eva lebih-lebih lagi. Dia ni bergurau ke apa? Emir menyuakan lagi pinggan itu. Tiba-tiba semua mata seolah-olah fokus ke arah mereka. Kalau dia tidak terima, pasti senior semua kata dia sombong. Tapi kalau dia terima, mereka mungkin kata dia mengada-ngada. 

Perlahan-lahan Eva mengambil pinggan itu. Tidak mahu memalukan Emir di khalayak ramai. 

Emir tersenyum.

“Macam tulah. Lepas ni, awak balik dan berehat. Lain kali kalau nak datang majlis macam ni pastikan perut awak tak lapar macam hari ni,” nasihat Emir.

“Terima kasih,” ucap Eva. 

Emir mengangguk. Dia memerhati Eva seketika. Mira yang berada di situ menjuihkan bibir. Rasa cemburu sedikit menyelinap. Tiba-tiba dia rasa mahu pengsan seperti Eva supaya Emir juga akan beri perhatian kepadanya.

“Sayang!” 

Jeritan seseorang menyebabkan dewan yang agak riuh senyap tiba-tiba. Mira dan Eva serentak menoleh ke arah suara nyaring itu. Begitu juga Emir. 

Seorang wanita memakai baju kebaya berwarna biru royal sedang berjalan gaya catwalk ke arah mereka. Emir menghela nafas. Automatik dia mengurut tengkuk. Namun, ada senyum di bibir untuk wanita itu.

“Siapa tu?” bisik Eva kepada Mira. 

Mira mengangkat bahu tidak tahu.

“Entahlah. Tapi, aku rasa tulah girlfriend dia. Siap jerit sayang dari jauh lagi.”Mira berbisik juga. 

Si gadis tinggi lampai ala model itu sampai ke tempat mereka dan berdiri di sebelah Emir.

“Sayang, jomlah kita makan sama-sama. Boleh tak you jangan ke hulu ke hilir macam ni? I risau tau pakwe I ni suka merayau,” ujar wanita itu lantas mencapai lengan Emir. 

Emir kelihatan serba salah.

“Lisa,” tegurnya seperti rimas.

“Eh, you tak mahu kenalkan I pada dia orang ke? Penat I datang jauh-jauh ni hanya nak tengok you berucap sayang,” suruh Lisa. 

Emir menghela nafas. Dia melirik pada Lisa yang tersengih sambil memeluk lengannya. Lisa tersenyum bangga sambil memandang Mira dan Eva silih berganti.

“Ini Eva dan itu Mira. Kenalkan, ini Lisa,” ujar Emir ringkas. Dia tersenyum nipis kepada Lisa yang nampak manja. Nampak sangat wajah Emir yang tidak selesa dengan tindakan Lisa itu.

“Nice meeting you both, Eva and Mira. Maaf… I nak kidnap pakwe I ni kejap,” ujar Lisa bersahaja sebelum menoleh pada Emir.  

“Sayang, I nak minta tolong sekejap, boleh?” ujarnya lantas menarik lengan Emir dan membawa lelaki itu jauh dari situ.  

Mira dan Eva hanya memerhati mereka berlalu.

“Hmm… nampak sangat nak bawa lari cepat-cepat. Terancamlah tu,” komen Mira sambil menjuihkan bibir. 

Eva tergelak. Dia memandang kelibat Emir dan Lisa. Memang sama padan. Kenapa Lisa nak rasa terancam pula? Tiba-tiba Eva teringat sesuatu. 

“Mira… masa aku pengsan tadi aku dengar ada suara orang jerit nama aku. Siapa ya?” soal Eva naif. 

Mira buat muka menyampah.

“Kalaulah aku tak kenal kau, aku mesti ingat kau saja nak tarik perhatian. Bila kau buat sesuatu biasanya genuine… tak ada niat lain. Cuma…” Kata-kata Mira terhenti.

“Cuma apa?” soal Eva ingin tahu.

“Ada sesuatu yang aku tak puas hati,” jelas Mira. Dia merenung rakannya itu.

“Apa dia? Kau jangan buat aku saspens pulak,” soal Eva hairan.

“Inilah yang buat aku bengang dengan kau, tapi sebab aku sayang kau… aku pendam sajalah bengang aku tu.”

“Eh, perempuan! Cepatlah beritahu aku… siapa?” ujar Eva kurang sabar. 

Mira tarik nafas panjang-panjang. Dramatik sungguh.

“Abang Emir… dia yang jerit nama kau. Terus dah tak perlu kau perkenalkan diri sebab semua orang dah tahu nama kau. Dia jerit, Eva Rose! Laungan tu buat aku sangat  cemburu dengan kau,” ujar Mira laju. Senafas.

“Hah?!” Hampir saja pinggan di tangan Eva terjatuh.


Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.