Home Novel Cinta Crush Aku Mr Chicano
Crush Aku Mr Chicano
Batiah Hadi
31/1/2019 17:39:40
34,974
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Beli Sekarang
Bab 4

PERJALANAN ke sana mengambil masa lebih kurang 40 minit. Mereka juga singgah di Universiti South California dan Beverly Hills untuk mengambil gambar sebelum pulang ke hotel semula. Malam itu dapatlah mereka berposing sakan di hadapan bukit Hollywood. 

Sewaktu bergambar beramai-ramai, Emir tiba-tiba berdiri di antara Eva dan Mira. Tersentak Eva dibuatnya. Tapi wajah Emir nampak selamba. Eva rasa serba salah. Kenapa rapat sangat lelaki itu dengannya?  Selepas selesai, Eva cepat-cepat menjarakkan dirinya dan berdiri di sebelah Mira. Emir hanya tersenyum nakal melihat reaksi Eva itu.

“Kita pernah jumpa ke sebelum ni, Eva?” tanya Emir tiba-tiba. 

Waktu itu, Eva sedang duduk di bangku lookout point meneliti telefon bimbitnya mencari gambar untuk dipaparkan di Instagram. 

Eva tersentak. Sejak bila pula lelaki itu duduk di sebelahnya? Emir memandang sekilas pada skrin telefon bimbit Eva. Dia tersenyum. Geli hati melihat gambar di skrin telefon Eva. Gambar dia beraksi comel. Pantas Eva mengalihkan telefonnya. Kurang selesa Emir melihat gambar dia berposing sakan tadi bersama Mira. Kanak-kanak Ribena.

“Saya rasa tak pernah. Kenapa?” soal Eva dengan wajah hairan.

“Awak nampak familiar. Macam pernah jumpa,” ujar Emir sambil menguis rambut ikalnya yang jatuh ke dahi.

“Jumpa di mana?” soal Eva sambil berkerut dahi cuba mengingat wajah Emir daripada memori yang dia pernah ada, tetapi gagal.

“Entahlah… saya pun tak pasti,” ujarnya. 

Dalam cahaya lampu yang agak malap, Emir meneroka ke seluruh wajah gadis itu. 

Eva rasa serba salah. Dia mengalihkan wajahnya. Tak betah direnung begitu.

“Saya tak pernah jumpa awak sebelum ni,” ujar Eva terus terang. 

Mereka berpandangan seketika. Emir menghela nafas. Dia cuba menghilangkan rasa di dalam dada. Entah kenapa wajah Eva menyebabkan hatinya rasa semacam. Dia pun tidak mengerti mengapa dia rasa begitu. Matanya seolah-olah tidak jemu memandang gadis itu. Sekali pandang pasti ingin memandang lagi. 

“Oh… mungkin saya silap. Just forget what I said,” ujarnya lirih. 

Tiba-tiba kedengaran suara Mira memanggil Emir beberapa kali. Tapi, Emir masih di situ. Dia seperti mahu mengatakan sesuatu, tetapi tidak jadi. Matanya masih pada Eva dengan wajah serius.

“Emir, Mira panggil awak tu,” ujar Eva. Dia menggoyang tangannya untuk menyedarkan Emir yang mindanya entah ke mana. 

“Mira panggil awak tu,” ulang Eva. 

Emir mengangguk, lantas bangun menuju ke arah Mira. Wajahnya kelihatan sedikit hampa. Eva yang ditinggalkan di situ hanya mengangkat bahu. 

Macam pernah jumpa? Tapi yang pasti Eva tidak pernah berjumpa dengan Emir kecuali di airport. Kalau tidak, dia pasti perasan. Wajah seperti Emir bukanlah wajah yang senang dilupakan. Mungkin ada pelanduk dua serupa tak? 

Mereka juga dibawa berjalan-jalan di sekitar bandar LA dengan kereta sewa Emir sebelum kembali ke hotel mereka. Eva berasa lega bila mereka akhirnya bergerak pulang ke hotel. Dia rasa sangat letih dan mengantuk. Sebaik sahaja sampai di lobi hotel, semua orang keluar dari kereta. Ben dan Khidir mengangkat tangan dan berterima kasih kepada Emir. 

Mira dengan lantang mengucapkan terima kasih khas kepada Emir. Eva pula hanya tersenyum sedikit dan turut mengucapkan terima kasih. 

“Jumpa lagi,” ujarnya kepada Khidir, Ben, Mira dan Eva.

Pada Eva, dia mengenyitkan mata. Terus merah muka Eva dan Eva pantas mengalihkan muka sebelum dilihat oleh mereka yang lain. 


Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.