Home Novel Cinta Cinta Made In Switzerland (Cinta Semanis Carrot Cake)
Cinta Made In Switzerland (Cinta Semanis Carrot Cake)
22/6/2013 20:13:03
48,783
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 1

Sinopsis: 

Kedatangan Irina ke Switzerland untuk bertemu dengan ayahnya bertukar menjadi tragedi apabila dia diculik sebaik sahaja menjejakkan kaki di lapangan terbang Zurich. Dia dibawa ke satu daerah asing jauh terpencil di lereng gunung. Bermulalah satu perjalanan baru penuh suka duka buat Irina apabila dia kehilangan identiti diri dan bertemu dengan musuh ayahnya. Adakah dia berjaya bertemu dengan ayahnya kembali. Apakah dia dapat membendung rasa cinta yang mula berputik terhadap musuh ayahnya.


IRINA Abu Bakar merenung langit dari tingkap dapur pangsapurinya. Pagi ini dia terbangun begitu awal. Jam empat pagi matanya terkelip-kelip enggan tidur kembali. Malam semalam dia tidak dapat tidur dengan tenang. Kehangatan sinar mentari pada hari bolong, membawa kepanasan yang berpanjangan hingga ke malam. Sepanjang malam tubuhnya disimbah peluh. Kipas di siling tidak mampu menyejutkan tubuh yang kepanasan.

Sudah hampir sebulan bumi Kuala Lumpur tidak disimbah hujan. Setiap penghuni kota ini mengharapkan kehadiran hujan, tetapi matahari tetap membahang, membakar seluruh jagat dengan kepanasan yang luar biasa. Irina hampir-hampir sahaja menyumpah alam yang amat merimaskan itu. Pun cepat-cepat dia beristighfar. Dia dipeluk dosa sekiranya menyumpah kejadian Tuhan.

Irina membuka tingkap, berharap angin dingin pagi ini akan mengitari seluruh ruang rumahnya yang hangat itu. Namun harapannya begitu tipis sekali. Angin pagi tidak sedingin yang didambakannya. Langit kelihatan kelabu ditutupi kabus tebal, seolah-olah memberi petanda bahawa hari ini bakal menjadi hari yang sangat panas. Laksana semalam, kelmarin dan kelmarin dahulu. Dan titisan hujan rahmat tidak akan turun dalam waktu yang terdekat.

Irina bergerak ke bilik mandi. Masih terlalu awal untuk bersiap-siap ke pejabat, lantaran itu dia mahu mandi sepuas-puasnya. Kemudian Solat Subuh. Irina tidak pernah lupa pada pesanan terakhir emaknya supaya dia tidak meninggalkan solat.

“Biar kita miskin harta, tetapi jangan sampai kita miskin iman,” itu kata-kata emaknya yang sering mengingatkannya tentang syariat.

Kata-kata itu tetap Irina pegang, meskipun emaknya sudah tiada bersamanya di dunia ini.

Mereka memang tidak punya harta selain daripada rumah yang diduduki Irina sekarang. Rumah pangsa dua bilik itulah sahaja yang dia ada, peninggalan daripada arwah ibunya. Sedangkan bapanya sudah lama hilang entah ke mana meninggalkan Irina. Emaknya pernah bercerita.

“Ayah kau pergi untuk mencari kesenangan hidup. Dia pasti balik. Sebab tulah emak akan tetap tunggu dia. Ayah kau dah janji akan datang ambil kita. Akan bawa kita pergi dari sini, ke tempat yang lebih baik.”

Ketika ayahnya pergi dia berusia tujuh tahun. Dia juga menyemai harapan supaya ayahnya pulang. Namun lima belas tahun sudah berlalu. Kini usia Irina dua puluh dua tahun. Ayah Irina tidak pernah kembali. Irina tidak tahu di mana ayahnya berada sekarang. Tiada secebis berita yang dihantar sejak lelaki itu pergi.

Kini sudah hampir dua tahun pula emak Irina pergi mengadap Illahi. Irina tinggal bersendirian, tanpa adik beradik dan tanpa saudara. Hanya jirannya Faridah yang banyak membantu ketika dia memerlukan.

Sebaik tamat belajar di sebuah kolej, Irina bekerja walaupun hanya sebagai seorang kerani akaun di sebuah syarikat perakaunan. Gaji yang diperolehi mampu menampung hidupnya yang kini sebatang kara.

Ayah, di mana ayah sebenarnya? Soal Irina dalam hati sambil berdiri di hadapan cermin bilik yang telah pun pudar ditutupi wap air.

Apakah ayah masih hidup? Ayah, tolonglah balik. Dah dua tahun emak meninggal. Ina tinggal seorang diri kat sini, bisik hati Irina seolah-olah bapanya mendengar segala rintihan dalam hatinya.

Betapa seksanya aku menjalani hidup ini sendirian tanpa sesiapa. Aku rindukan ayah.

Hati Irina terasa pedih sekali. Tubuhnya yang berbalut sehelai tuala mulai terasa disentuh kedinginan.

Irina menyapu cermin dengan jari-jemarinya hingga terlihat seraut wajahnya yang bersih baru selesai dibilas air. Wajahnya berbentuk bujur telur, dengan mata yang besar lagi hitam. Alis matanya tebal dan hitam, dengan bulu mata yang lentik memayungi mata yang redup dan sejuk.

Hidungnya kecil dan runcing ke hujung, mancung seperti seorang wanita keturunan Arab. Rambutnya juga hitam seperti arang. Irina sentiasa menyembunyikan rambutnya yang cantik itu di bawah tudung. Dia telah diajar emaknya supaya menutup aurat sejak kecil.

“Dalam tubuh kau memang ada darah keturunan Arab di sebelah ayah kau, Irina. Masa muda, bapa kau sangat kacak. Datuk kau dulu, datang ke Kuala Lumpur berdagang kain baju sebelum bertemu dengan nenek kau. Di Kampung Baru ni lah mereka selalu bertemu. Dulu mereka sekeluarga tinggal di Jalan Princess.”

Emaknya selalu bercerita untuk menghiburkan hati Irina apabila dia rindukan ayah. Susur galur keturunan ayah selalu dikisahkan pada Irina bila dia punya kesempatan.

Masih diingat segala kata-kata emaknya itu, terpahat kukuh dalam hati sanubari.

“Lepas merdeka Jalan Princess dah tak ada. Dah tukar,” kata emaknya lagi.

“Macam mana pula emak dengan ayah jumpa?” soal Irina.

“Kami bersekolah sama sejak darjah satu. Rumah dekat-dekat. Ibu bapa sama-sama meniaga,” Beritahu emaknya lagi.

“Tapi lepas kahwin dengan emak, perniagaan atuk kau jatuh. Ayah kau dulu tolong bapanya, terpaksa cari kerja lain untuk tampung hidup. Tapi ayah kau tak pernah kerja tetap. Asyik tukar-tukar kerja. Mak pun tak tahu macam mana akhirnya ayah kau tak suka lagi bekerja dengan orang. Katanya seksa jadi kuli kena arah ke sana sini.”

Irina tahu emaknya terkilan. Banyak perkara yang dikesalinya terjadi sebelum kelahiran Irina.

“Tapi mak tak menyesal kau dilahirkan Irina. Mak bangga, kau anak mak yang baik dan sangat cantik.”

Apakah wajah cantikku ini membawa tuah? Soal Irina dalam hati sambil terus melihat wajah di cermin.

Tidak! Aku tidak merasakannya begitu, bisik hatinya pula.

Dia menggeleng perlahan, ingin melupakan rentetan peristiwa pahit yang menyusuri hidupnya. Beberapa titis air matanya gugur. Dia menyeka air matanya perlahan-lahan dengan hujung jari. Kemudian dia segera bergerak ke bilik tidur. Dia tidak ingin berlarutan mengenang peristiwa lalu yang sudah menjadi sejarah. Apa yang harus dia hadapi adalah hari ini. Semoga hari ini adalah hari yang mudah untuk dia lalui.

Irina melangkah laju sebaik sahaja turun dari tren di Masjid Jamek. Bersama ratusan orang yang bergerak keluar dari stesen menuju ke destinasi masing-masing, Irina turut bergegas. Semua orang sibuk untuk memulakan tugasan di pagi hari Isnin ini. Irina bersyukur kerana dia punya pekerjaan untuk diselesaikan, biarpun berada di pejabat itu dia tidak lagi begitu menyenangkan. Ada seseorang yang mengganggu fikirannya setiap kali melangkah masuk ke pintu pejabat.

Irina memerhati ke arah bilik ketuanya, Firdaus. Bilik itu gelap dan kosong. Dia belum datang lagi, bisik hati Irina sambil menarik nafas lega, meneruskan langkah menuju ke mejanya. Ruang itu kosong, rakan sekerja juga masih ramai yang belum tiba.

Irina terus menghidupkan komputer, untuk memulakan tugas hari itu. Beberapa buah fail kelihatan bersusun di atas meja. Kerja yang ditinggalkan pada hari Jumaat lepas harus dilunaskan segera.

“Hai, selamat pagi!”

Sapaan itu membuat Irina segera berpaling. Sekujur tubuh Firdaus muncul di belakang Irina. Lelaki itu berdiri begitu dekat dengan kerusinya. Bau haruman yang dipakai Firdaus segera menusuk hidung. Bau yang amat biasa dihidu Irina. Dia memakai haruman Tonino Lamborghini dari Feroce. Haruman yang berlambangkan lembu jantan liar. Irina selalu menafsirkan lelaki itu begitu. Nakal dan menggoda. Namun sayang seribu kali sayang, lelaki itu sudah berpunya. Dan kekasihnya seorang yang sangat cemburu!

Irina tidak rela pipinya menjadi mangsa tangan perempuan garang itu lagi. Terasa begitu perit dan menyakitkan. Sedangkan Irina tidak punya sekelumit perasaan pun pada Firdaus. Sebaliknya lelaki itu yang tergila-gilakan dirinya... ke manakah dia harus lari? Apakah alasan untuk dia menghindari lelaki ini?

“Selamat pagi Encik Firdaus,” ucap Irina acuh tak acuh, lalu terus mencapai salah sebuah fail dan membukanya.

“Dah sarapan sayang?” soal Firdaus dengan lancar.

Sudah acap kali Firdaus memanggilnya sayang. Terkadang panggilan sayang itu tersasul di hadapan pekerja-pekerja Firdaus hingga mereka semua menyangka Irina dan Firdaus ada hubungan istimewa. Irina pura-pura tidak mendengarkan ungkapan itu, namun matanya membelingas ke kiri dan ke kanan, bimbang ungkapan sayang itu didengari orang lain. Tetapi ternyata rakan-rakan setugas yang berada di ruang itu belum datang.

Selamatlah dari sindiran mereka!

“Jom, sarapan. Saya belanja,” pelawa Firdaus.

Sorry, saya jarang sarapan awal sangat. Pukul sepuluh baru saya minum. Lagipun saya banyak kerja ni,” Irina memberikan alasan.

“Alah, kerja tu boleh buat kemudian. Jangan lupa kat sini siapa bos. Kalau nak bos sayang, kena dengar cakap bos, tau!” sakat Firdaus sambil tersenyum lebar.

Irina hanya mengangkat bahu.

“Jomlah kita minum dulu. Saya nak bawa awak pergi sarapan kat tempat istimewa ni,” pelawa Firdaus bersungguh-sungguh sambil berdiri rapat di tepi kepala Irina.

Dada gadis itu berdebar, tidak suka diperlakukan begitu. Hendak lari tidak mungkin. Lelaki itu yang membayarnya gaji setiap bulan. Akhirnya Irina membisu seribu bahasa, pura-pura tidak dengar.

“Kalau awak tak nak sarapan, apa kata kita lunch? Saya tahu tempat ikan bakar paling best kat KL ni,” pujuk Firdaus tidak putus asa.

“Terima kasih banyak-banyak Encik Firdaus. Lain kali saja ya,” balas Irina sambil tersenyum kecil.

“Irina! Kenapa ni sayang? Setiap kali saya ajak mesti awak tolak mentah-mentah. At least fikirlah dulu.”

“Encik Firdaus, saya mintak maaf. Saya memang tak ada mood ni. Nak makan atau pun minum saya tak ada selera langsung,” ujar Irina tanpa memandang wajah lelaki itu di sisinya itu.

Firdaus kini berteleku di meja pula, menungkat dagu sambil sepasang matanya menatap tepat ke wajah Irina, bagaikan menagih simpati. Bibirnya terukir senyum menggoda.

Ketika itu, ingin sahaja Irina memberitahu lelaki itu mengenai perbalahannya dengan Noriza, kekasih Firdaus. Namun lidahnya bagaikan kelu hendak berkata sesuatu yang jelik dan buruk tentang Noriza. Bukan prinsip hidup Irina, mengadu perangai dan sifat buruk orang lain. Biarkan sahaja. Lambat laun perangai buruk pasti diketahui orang juga.

“Kenapa? Awak tak sihat ke? Nak ambil MC?” tanya Firdaus prihatin.

“Bukan. Saya sihat. Cuma saya rasa rimas dan panas!”

“Kenapa? Saya rasa kat sini okey aje. Sejuk. Aircond pun pasang. Kenapa dengan awak ni? Apa yang tak kena?”

Irina menggertapkan bibirnya dengan kuat, hingga timbul rasa sakit. Dia geram kerana Firdaus pura-pura tidak mengerti. Irina berdiri tegak dan bercekak pinggang di hadapan lelaki itu. Firdaus ikut berdiri tegak di hadapannya. Ketinggian tubuh Firdaus tidak setanding Irina hingga dia perlu mendongak sedikit untuk memandang wajah lelaki itu.

“Encik Firdaus! Encik nak saya berhenti kerja ke? Nanti saya tulis surat perletakan jawatan.”

Firdaus menggaru dagu yang licin lepas bercukur, kemudian mengeleng-geleng.

“Isy... isy... isy... Ina, saya tahulah pinggang awak ramping. Tapi tak baiklah cekak pinggang macam tu. Awak marah dengan saya ya?” soal Firdaus dengan wajah bersahaja.

Wajah Irina sudah merah padam. Namun segera dia menjatuhkan tangannya dan duduk semula.

“Okey... Okey, saya mintak maaf kalau buat awak rasa tak selesa. Tapi saya serius ni! Saya dah lama jatuh cinta kat awak.”

“Dahlah Encik Firdaus. Kan Encik dah ada kekasih. Cik Noriza tu nak campak kat mana? Saya tak nak kena tampar dengan dia lagi!”

“Relaks lah sayang. Saya dah putus dengan dia. Semalam kami gaduh besar. Saya tahu dia jumpa awak dan tampar pipi awak. Saya tak suka perempuan garang. Sebab tulah saya putuskan hubungan dengan dia. Saya suka perempuan yang lemah lembut dan manis macam awak,” kata Firdaus dengan wajah serius.

Mata Irina terbeliak mendengar kata-kata Firdaus. Tidak sangka Firdaus tahu perihal Noriza yang mengamuk, datang ke pejabat dan terus melepaskan penampar di pipi Irina. Irina hanya terpinga-pinga. Semua itu berlaku gara-gara dia terbaca mesej daripada Firdaus yang dihantar kepada Irina. Mesej itu berbaur romantis. Firdaus mengungkapkan cinta dan rindunya kerana tidak melihat Irina dalam sehari.

Keesokan harinya, dia datang kerja dan mendapat hadiah penampar dari Noriza. Jika tidak dileraikan oleh Tarmizi, mungkin Irina akan terkena lebih banyak penangan wanita muda yang kuat cemburu itu.

Irina mengetapkan bibir. Kadang-kadang Firdaus bersikap seperti budak remaja lelaki yang baru kenal cinta. Padahal umur lelaki itu sudah 31 tahun! Tak pernah matang dalam soal cinta, walaupun dia bijak kendalikan perniagaan.

“Sekarang, awak percaya yang saya cintakan awak? Saya betul-betul nak ambil awak jadi isteri saya. Awak percaya tak?”

Lidah Irina kelu mendengar kata-kata lelaki itu. Dia benar-benar terperanjat. Selama ini dia fikir Firdaus sekadar ingin main-main sahaja. Irina teringat kembali kata-katanya yang penuh godaan, aksi-aksinya yang di luar kebiasaan hubungan antara boss dan pekerja.

Ketika itu terdengar suara-suara riuh di ruang penyambut tetamu, menandakan beberapa orang pekerja sudah mulai masuk ke pejabat. Firdaus bergerak pantas meninggalkan meja Irina. Laju dia berjalan menuju ke biliknya. Namun sebelum itu dia sempat berkata.

“Kita akan sambung lagi perbualan tadi. Masih ada yang belum selesai,” ujar Firdaus sambil mengenyitkan mata.

Irina menggeleng. Dia benar-benar tak putus asa, bisik hati Irina. Meskipun Irina melayani Firdaus acuh tak acuh sahaja, tetapi dia kelihatan begitu serius. Sanggup memutuskan hubungan dengan Noriza? Apa sudah jadi dengan lelaki itu? Betul-betul jatuh hati pada aku? Bisik hati Irina tidak keruan.

Noriza adalah kekasihnya sejak di universiti dahulu. Namun Firdaus seperti tidak berminat hendak mengahwini Noriza. Beberapa kali mereka menangguhkan pertunangan. Namun Noriza masih setia menanti biarpun umurnya semakin beranjak. Mungkin itu juga faktor yang menyebabkan Noriza begitu cemburukan Irina. Usia Noriza dan Firdaus sebaya. Semakin berusia, wanita semakin hilang saham dan daya tarikan. Tapi siapalah aku kalau dibandingkan dengan dia? Soal hati Irina.

Noriza seorang yang berjawatan tinggi, seorang intelek sedangkan Irina hanya belajar setakat kolej sahaja. Dia mengambil kursus perakaunan dan pentadbiran di kolej swasta selama setahun, kemudian menjadi kerani di FRD Accountant Firm. Pastilah dia akan kalah sebelum bertarung dengan Noriza.

“Hoi! Termenung panjang je pagi-pagi ni kenapa?” tegur teman sekerja yang duduk bersebelahan dengan meja Irina.

Irina tersentak, lalu terus menebarkan pandangan ke wajah Nadia. Dia melemparkan senyuman penuh paksaan.

“Hmmm, malam tadi tak boleh tidur lak. Panas sangat. Tu yang pagi-pagi dah tak ada mood nak startkerja.”

“Belilah aircond. Suami aku dah pasang aircondminggu lepas kat bilik tidur kitaorang. Jadi, tidur pun best je,” ujar Nadia sambil tersengih lebar.

“Yalah, orang ada suami bolehlah beli apa aje yang diinginkan,” balas Irina.

“Engkau pun boleh dapat, tapi kau jual mahal. Ada orang nak kat kau, kau tolak. Cuba lah kau terima orang tu, kan senang hidup kau,” ujar Nadia.

Irina mengerti apa maksud Nadia. Pastilah dia maksudkan Firdaus yang kini semakin galak mengejar cintanya. Terkadang sikap Firdaus terhadapnya membuat kebanyakan orang mulai curiga. Benarkah mereka ada hubungan yang istimewa sebagaimana yang disangka? Irina sentiasa menafikannya. Dia tidak punya hati pada lelaki itu. Sebaliknya mereka menganggap dia hanya pura-pura. Siapa yang tidak menginginkan lelaki sehebat Firdaus? Kacak dan kaya.

Irina melepaskan keluhan. Jika semudah memetik jari, dia pasti menerima ungkapan cinta Firdaus. Tetapi ianya tidak semudah itu. Irina juga punya prinsip dan pegangan hidup yang tersendiri. Dia tidak ingin memaksa diri menerima insan yang tidak bertakhta di hati. Cinta itu bagi Irina terlalu suci dan mulia, dirasai dan dinikmati oleh dua jiwa. Tetapi mengapa cinta itu hanya hadir di sebelah pihak sahaja? Irina tidak ada apa-apa perasaan pada lelaki yang menjadi ketua di pejabatnya itu. Tiada getaran yang menghambat jiwanya kala mata mereka bertentangan...

Apakah perasaan cinta itu akan hadir bila dipupuk dibaja? Dia tidak tahu. Irina belum pernah jatuh cinta pada sesiapa. Irina meletakkan jari jemarinya di atas keyboard komputer. Dia perlu menyudahkan kerja yang ada, jangan sampai segalanya terbengkalai gara-gara melayan perasaan.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.