KETIKA
mereka menjejakkan kaki di Zouk, bunyi muzik yang membingitkan sudah mencelah masuk ke dalam cuping telinga Idlan. Dahinya berkerut-kerut kerana tidak biasa dengan bunyi kuat seumpama itu. Dia mengerling ke arah Orked yang nampak biasa-biasa sahaja. Langsung tidak merasa terganggu dengan irama
discoyang rancak. Dari tempatnya berdiri, dia melihat ramai anak-anak muda pelbagai bangsa yang sedang rancak menari mengikut irama
souldan
funk yang sedang dimainkan oleh
disc jockey (DJ) yang bertugas.
Menyedari Orked mahu menuju ke suatu arah, Idlan cepat-cepat menghalang anak gadis itu. Dia tidak mahu anak gadis itu hilang dari penglihatannya.
“Nak ke mana ni?” Tanya Idlan ingin tahu.
Orked mengeluh panjang. “Aku nak ke toilet, tukar pakaian. Nak ikut ke?” Balas Orked bosan.
“Apa yang tak kena dengan pakaian tu?” Soal Idlan lagi.
Orked ketawa besar mendengarnya.Takkan nak menari nak pakai blousedengan jeans ni? Biar betul dia ni! Namun dia malas mahu memberi alasan pada lelaki itu.Sebaiknya dia terus beredar ke arah rest room di suatu arah. Hendak tak hendak Idlan terpaksa mengikut. Dia tidak mahu Orked hilang dari pandangannya walaupun sesaat.Tempat seperti ini, jika dia cuai sedikit, apa-apa pun boleh berlaku.
Sepuluh minit kemudian, gadis itu keluar dari rest room. Idlan berpaling. Namun melihat pakaian anak gadis itu, wajah Idlan mulai berubah. Dengan solekan yang agak tebal dan dress yang menjolok mata. Orked tidak ubah seperti gadis-gadis kelab malam yang lain. Mengucap panjang dia melihat penampilan gadis itu kini.
“Kenapa Orked pakai macam ni? Tukar sekarang! Abang tak suka tengok Orked macam ni.” Suruh Idlan dengan nafas tertahan. Hampir semput nafasnya melihat mini skirt anak gadis itu yang hanya beberapa inci dari kepala lutut.
“Kenapa? Kalau tak suka janganlah tengok.” Balas Orked acuh tak acuh. Macamlah dia ambil peduli apa yang Idlan fikirkan.
“Pakaian macam ni mengundang maksiat. Menjatuhkan maruah Orked sebagai seorang gadis.” Hujah Idlan.
“Maksiat? Maruah? Habis? Hebat sangatkah maruah kau sampai kau sanggup ikut aku masuk Zouk?” Sindir Orked enggan mengalah. Dengan wajah mencuka, dia berlalu pergi meninggalkan Idlan yang terdiam sejenak.
Idlan sekadar menatap pemergian Orked dengan wajah berkerut. Sungguh dia tidak pernah terfikir sampai begitu sekali kedegilan anak ayah tirinya itu. Perlu ada cara tertentu untuk memujuk anak gadis itu. Tapi apa yang harus dilakukannya?
Dia segera beredar ke ruang utama untuk mencari Orked. Namun tidak sukar untuk mencari anak gadis itu, kerana Orked sedang bercakap-cakap dengan beberapa orang lelaki. Idlan sekadar memerhatikan dari tepi gerak-geri Orked yang sedang ketawa besar seolah-olah ada yang melucukannya.
“Siapa tu Orked?” Soal Jay yang sedang bercakap-cakap dengan gadis itu.
Orked tidak berpaling. Dia tahu siapa yang dimaksudkan lelaki itu.
“Entahlah. Dari tadi dia asyik ikut I ke sana ke mari.” Jawab Orked tersenyum. Mata Jay dan Irman terus melorot ke arah lelaki yang sedang asyik memerhatikan Orked.
“Lain macam saja cara dia tengok you. You nak kami belasah dia?” Irman menawarkan bantuan.
“Eh tak payahlah. Buat apa?Buang masa saja layan dia tu. Kalau dia nak tengok I pun, biarlah dia tengok puas-puas.Asalkan dia tengok dari jauh cukuplah.” Ketawa Orked berderai.
“Oh ya, kami ada barang baik punya. You nak rasa sikit?” Jay tiba-tiba tersenyum lebar.
Dahi Orked berkerut. “Barang baik? Apa tu?”
Jay segera menyeluk saku seluarnya lalu mengeluarkan beberapa biji pil. Ada di antaranya yang berwarna pink dan ada juga yang berwarna coklat.
“You biar betul Jay. Ini ecstasy ya?” Duga Orked seperti boleh mengagak.
“Pandai pun.” Jay ketawa kecil.Begitu juga dengan Irman. Hanya Orked yang tidak ikut ketawa.
“I tak suka benda-benda macam ni. You kan tahu itu semua.”
“Janganlah macam tu Orked. You kata you datang sini nak berseronok. Kalau you nak upgrade kan keseronokan you tu, inilah bendanya yang boleh buat kau ‘high’ sampai langit.”Provok Irman.
“I kata I tak suka, I tak sukalah.” Tekan Orked mulai berang.
“Okey-okey, kalau you tak hendak tak apa.Kami tak paksa. Jom kita menari dulu.Bagi sejuk baran you tu.” Pujuk Jay. Orked segera mengangguk. Sebelum beredar, Jay sempat mengenyitkan matanya ke arah Irman. Memahami maksud isyarat lelaki itu, Irman hanya mengangguk lalu tersenyum penuh makna.
Melihat Orked beredar ke lantai tari bersama lelaki berambut punk berwarna perang itu, Idlan mulai tidak senang duduk. Tubuh Orked meliuk-liuk mengikut irama disco yang sedang dimainkan oleh DJ. Adakala dilihatnya tangan Jay memegang pinggang Orked. Mulanya dibiarkannya sahaja tapi apabila melihat tangan anak muda itu sesekali mendarat ke bahagian pinggul anak gadis itu, Idlan semakin sesak nafas. Berbulu matanya melihat adegan separuh panas kedua-duanya.
Orked yang sedang rancak menari sesekali merasai jari-jari Jay menyentuh punggungnya. Dia cuba menepis, tapi anak muda itu begitu nakal dan sering mengulang perbuatannya.
“Jay, janganlah.” Pinta Orked.
“Jangan apa?”
“Jangan menggatal okey.”
Jay ketawa kecil mendengarnya. Namun larangan Orked dianggapnya tidak serius, lantaran anak gadis itu masih sudi menari bersamanya. Belum sempat dia mahu meraba-raba Orked lagi, tiba-tiba kedua bahunya dicekak dari arah belakang. Dia berpaling. Wajah lelaki yang asyik memandang Orked tadi sudah berada di hadapannya. Tanpa sebarang amaran, tubuhnya ditolak menjauhi Orked.
Orked terpanar. Melihat Idlan sedang merenungnya satu macam, dia merasa kurang senang. Dia menoleh sebentar ke arah Jay yang memandang ke arah Idlan dengan wajah tidak puas hati.
“Kau ni kenapa sebenarnya?” Rungut Orked bengang.
“Kita balik sekarang.” Putus Idlan sudah mula hilang sabar.
“Tak mahu, aku masih nak menari kat sini. Kalau kau nak balik, kau baliklah seorang.” Orked tetap berdegil.
“Kalau macam tu, biar abang yang menari dengan Orked.” Ujar Idlan seraya mendekati anak gadis itu.
Mata Orked membuntang tajam ke arah lelaki itu. Dia memang benar-benar tak faham dengan sikap Idlan terhadapnya. Apa sebenarnya yang dimahukan lelaki itu terhadapnya?
“Aku tak nak menari dengan kau. Faham tak?”
“Habis? Orked lebih rela menari dengan lelaki macam tu? Raba tubuh badan Orked sana sini?” Jerkah Idlan tiba-tiba. Wajahnya merah padam tanda hati di dalam sedang memanas.
Orked terpisat-pisat memandang ke arah Idlan. Panas telinganya mendengar kata-kata lelaki itu.
“Aku tak kisah pun, yang kau sibukkan kenapa? Tubuh aku, suka hati akulah.” Jawab Orked lantang.
Idlan tersentak. Jawapan Orked benar-benar kurang ajar kedengaran. Namun dia masih cuba bersabar menghadapi kerenah gadis itu. Melihat gadis itu mahu beredar, dia segera menangkap pergelangan tangan Orked.
“Sekarang abang nak Orked jawab betul-betul dengan abang. Apa Orked masih suci?” Soal Idlan seraya merenung ke setiap pelusuk wajah gadis itu.
Orked terpanar. Pertanyaan Idlan benar-benar tak disangkakan. Apa hak lelaki itu bertanya begitu padanya? Soal kesuciannya adalah soal peribadinya. Tak ada kena mengena dengan lelaki itu.
“Orked benarkan sesiapa sahaja sentuh Orked, jadi tak salah kalau abang tanya apakah Orked masih suci atau tidak.” Tekan Idlan dengan wajah serius.
Telinga Orked berpijar. Dia cuba meleraikan pegangan tangan Idlan, namun pautan tangan lelaki itu begitu kuat mencengkam pergelangan tangannya.
“Kau tak ada hak.” Bibirnya diketap rapat. Hatinya bergetar cuba menahan marah yang membakar dirinya saat ini. Pertanyaan Idlan itu dirasakan satu penghinaan buatnya.
Idlan tiba-tiba merapatinya lalu memegang kedua-dua bahunya. Orked terkejut besar. Dia cuba menjarakkan diri, namun lelaki itu lebih pantas memeluknya. Buat seketika, Orked merasa seperti jarum jam sedang berhenti berputar. Bunyi muzik yang membingitkan di Zouk itu kini sunyi sepi.
“Orked kata Orked tak kisah sesiapa sahaja sentuh Orked. Bagaimana dengan sekarang? Orked suka bila abang sentuh Orked begini? Orked tak kisah?” Bisik Idlan di telinganya. Lembut dan perlahan.
“Dan kalau abang sentuh Orked lebih dari ini, Orked rela?”
Orked kaku seketika. Pelupuk matanya tanpa disedari bergenang air jernih. Pertanyaan Idlan seperti pisau belati yang sedang menghiris hatinya sehingga berkeping-keping. Kata-kata itu seakan cuba menyeksanya! Dia segera menolak tubuh Idlan menjauhinya. Renungannya tajam menikam wajah Idlan yang turut serius merenung ke arahnya.
“Jahat!” Hanya sepatah perkataan itu yang terkeluar dari bibir Orked.
Idlan menarik nafas panjang. Dia tahu Orked tidak suka dengan perlakuannya. Mata anak gadis itu menjadi buktinya. Pinggir mata yang basah itu entah kenapa indah di matanya. Dia tahu dia tidak silap perhitungan. Orked masih gadis yang suci. Naluri kelakiannya memberitahu, anak gadis itu hanya berpura-pura dengannya. Gadis itu hanya mahu memprovok kemarahannya. Gadis yang menggeletar dalam pelukannya selama beberapa saat, tak mungkin akan begitu senang menyerahkan kesuciannya kepada sebarang lelaki. Orked hanya kelihatan liar di permukaan, tapi dia dapat merasakan ada kelembutan pada anak gadis itu. Kalaulah dia boleh mendalami apa yang berada di pelusuk hati anak gadis itu. Kalaulah mungkin!