MOTORSIKAL
remuk yang berada di
bawah lori treler itu menggamit perhatian ramai pemandu di sepanjang jalan itu
untuk berhenti melihat. Kemalangan itu berlaku seawal jam 2 pagi ketika
penunggang motorsikal tersebut bertembung dengan lori muatan kayu balak itu di
sebuah selekoh tajam.
Hampir
setengah jam kemudian, sebuah ambulan dan sebuah kereta polis sampai ke tempat
kejadian. Pihak polis terpaksa mengawasi tempat kejadian dengan rapi apatah
lagi mereka ternampak ada kebakaran kecil pada sebahagian badan lori treler
terbabit. Pemandu lori treler yang berbangsa India ditemui di atas jalan raya,
manakala penunggang motorsikal tersebut gagal dilihat.
“Dia
dah meninggal.” Ulas salah seorang anggota penyelamat ketika memeriksa nadi
pemandu lori berbangsa India itu.
“Ada
seorang lagi di bawah lori.” Sambungnya lagi.
Seorang
anggota penyelamat sedang menunduk ke bawah lori. Bahang hangat menerpa ke
seluruh wajahnya, namun tidak dipedulikannya. Yang penting saat ini ialah
mencari lokasi mangsa kemalangan yang menunggang motorsikal besar itu. Beberapa
saat kemudian dia mengeluh lega melihat tangan yang terjulur keluar dari
bahagian bumper lori yang kemek teruk. Tangan itu berlumuran darah.
“Dia
ada di bawah, Kita mungkin terpaksa potong bahagian hadapan lori untuk
keluarkan mangsa.” Ujar anggota penyelamat pada rakan-rakannya.
“Dia
masih hidup?”
“Belum
boleh dipastikan lagi. Tubuhnya terperosok jauh ke dalam. Kita tak boleh capai
dia begitu sahaja tanpa mengenalpasti bagaimana tahap kecederaan mangsa.” Ujar
lelaki itu lagi.
Mereka
semua mengangguk dan mula menjalankan tugas masing-masing. Api yang mula marak
segera dipadamkan dengan hos untuk mengawal kebakaran dari merebak. Hanya
setelah itu baharu mereka bertungkus-lumus berusaha keras mengeluarkan mangsa
yang tersepit dari bawah lori. Hampir setiap orang saling bekerjasama dan cukup
berhati-hati dengan tugas yang dilakukan.
Hampir
setengah jam kemudian, tubuh yang terperosok jauh ke dalam berjaya dikeluarkan.
Seorang lelaki muda diangkat ke atas stretcher.
Dua orang anggota paramedik mengambilalih tugas memeriksa lelaki tersebut. Sebahagian
dari wajah lelaki itu berlumuran darah.
“Nadinya
lemah. Kecederaan parah pada bahagian muka dan abdomen. Kita kena bawa mangsa
ke hospital dengan segera.” Ujar anggota paramedik tersebut. Rakannya segera
memahami maksud temannya. Strecher
ditolak masuk ke dalam ambulan. Namun ketika dia mahu menutup pintu ambulan,
sesuatu terjatuh dari saku baju lelaki itu. Dahi si anggota paramedik berkerut.
Dia segera mengutip sampul surat berlumuran darah itu.
“Apa
tu?” Rakannya bertanya.
Dia
mengalihkan pandangan, menatap ke arah temannya.
“Entahlah,
macam surat.”
“Or…Orked.”
Bisikan itu kedengaran. Lemah nadanya, meniti dari bibir si penunggang
motorsikal itu.
Kedua-dua
anggota paramedik berpaling. Merenung penuh simpati pada lelaki yang agak teruk
kecederaannya. Si paramedik segera menyimpan sampul surat itu di dalam saku
bajunya sebelum kedua-duanya mula menaiki ambulan tersebut.