Industri pembinaan merupakan suatu industri yang amat penting dalam menggerakkan pembangunan sesebuah negara. Malaysia merupakan salah sebuah negara membangun yang semakin meningkat ke arah menjadi sebuah negara maju. Selaras dengan peningkatan dan kemajuan yang dicapai untuk ke arah negara maju, industri pembinaan memainkan peranan penting dalam proses pembangunan, terutamanya dalam sektor perumahan, pusat perniagaan, infrastruktur dan sebagainya.
Sebaris demi sebaris tulisan pada majalah yang dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan menjadi jamahan anak mata Ray. Dia yang sedang dalam perjalanan menuju ke ibu kota. Masih lagi berada di dalam bas ekspres. Majalah yang sedang dibaca bertajuk WAWASAN 2020 itu mungkin telah ditinggalkan oleh penumpang lain di tempat duduknya.
Sejenak Ray memejamkan mata. Rencana yang dibaca sebentar tadi terus berlegar-legar di fikiran. Industri pembinaan! Ray seolah-olah mendapat ilham. Dia terus membayangkan bangunan-bangunan yang berprestij di Kuala Lumpur dan di negara ini. Menara Kuala Lumpur. Menara Berkembar Petronas. Seri Perdana dan bangunan-bangunan di Putrajaya. Semuanya bangunan indah yang menjadi mercu tanda kemajuan negara ini. Bibirnya mengukir senyuman. Mungkin dia boleh cuba mencari rezeki di dalam industri itu?
Tambahan pula, dia pernah bercita-cita untuk menjadi seorang arkitek. Jika hari ini dia belum berjaya lagi mencapai cita-citanya, apa salah jika dapat melakukan kerja yang menghampirkan dirinya dalam bidang itu? Bidang pembinaan bangunan!
PUDURAYA. Dari jauh lagi sudah nampak bangunan yang akan menjadi pelabuhan pertamanya selepas meninggalkan desa. Hari ini, dia akan menjadi salah seorang penghuni ibu kota. Sebatang kara. Tanpa membawa apa-apa. Sekadar cita-cita. Semangat. RM100 buat belanja sementara mendapat kerja. Ayuh, Ray! Segalanya mesti dimulakan hari ini. Jangan tangguh-tangguh. Jika tidak, perutmu tidak terisi.
Ray terus merencana agenda. Pertama dan yang paling utama, dia mesti mencari masjid untuk solat dan menumpang tidur. Keduanya, dia akan meninjau-ninjau di sekitar ibu kota yang ada projek pembangunan. Pasti mereka perlukan buruh. Hampir lebih dua juta pekerja asing diimpot dari negara luar, mustahil tiada kekosongan untuknya seorang. Dia anak jati dan rakyat negara ini. Hati Ray terus berbicara sendiri.
Otak Ray terus mengatur rancangan sambil berjalan. Akhirnya, langkah kaki Ray tiba di tangga sebuah masjid di tengah kota. Dia senyum. Rumah ALLAH itu memang sentiasa terbuka untuk seluruh umat manusia.
“Ya ALLAH Ya TUHANku, permudahkanlah segala urusanku pada hari ini dan hari-hari seterusnya.” Titipan doanya, selesai solat pada tengah hari itu.
Matanya meliar ke sana dan ke sini mencari ruang yang sesuai untuk melepaskan lelah sejenak. Malam ini, dia akan tidur di masjid itu. Ray merebahkan dirinya di atas simen dan mengalas kepalanya dengan beg pakaian yang dibawa, di sudut ceruk yang terpencil. Di situ, ada seorang tua yang sedang tidur lena.
Keesokan harinya, Ray memulakan langkah. Selesai menikmati dua keping roti canai dan secawan teh, dia meneruskan perjalanan. Percubaannya untuk melamar pekerjaan sebagai pembantu kedai di beberapa buah restoran yang dikunjunginya membuah hampa. Ayunan kaki diatur dengan keyakinan mencari bangunan yang sedang didirikan.
Teriknya matahari pada saat itu walaupun baru pukul 10.30 pagi. Tiada kedengaran irama merdu di tapak pembinaan itu. Yang kedengaran hanyalah hingar-bingar bunyi jentera pembancuh simen. Bunyi paluan besi mengasak bumi. Sesekali terdengar jeritan buruh sesama sendiri. Suara mereka yang sedang melakukan kerja.
Ray melangkah dengan hati-hati. Matanya memerhati bongkah-bongkah simen yang mengeras dan bertabur di sana sini. Puing-puing kayu berserakan. Lopak-lopak kecil yang berada di mana-mana, pastinya memanggil nyamuk dan menjadi tempat pembiakan jentik-jentik pula. Kotor. Sesekali dia mendongak ke atas. Melihat kerangka bangunan yang sedangdi dirikan. Timbul rasa kagumnya.
Dua tiga buah lokasi projek binaan Ray jejaki pada hari itu. Namun, tiada kerja kosong buatnya. Meskipun begitu, dia tidak berputus asa. Keazaman dan semangatnya tidak mungkin menjadi gerhana.
‘Agaknya projek tu dah lama. Mungkin akan siap tak berapa lama lagi. Tenaga buruh yang ada pun mungkin akan dikurangkan,’ kata hatinya, memujuk diri sendiri. Keringat halus mula memercik di lehernya.
Mahu tak mahu, Ray terpaksa mencari tapak lokasi projek pembinaan yang nampaknya baru dimulakan. Mudah sahaja untuk mengetahui projek yang baru. Pasti pekerja-pekerja atau jentera sibuk melakukan kerja tanah. Atau cari sahaja papan tanda yang biasa terpacak berdekatan dengan lokasi projek. Pasti ada maklumatnya. Nama projek dan syarikat yang mendapat tender. Tarikh mula dan tarikh projek patut disiapkan.
Ray terus berjalan sambil memerhati.‘Alhamdulillah,’ bisik hati kecilnya. Nampaknya ada sebuah projek yang sedang dibangunkan di atas sebidang tanah yang luas tidak jauh dari situ. Ray terus menghampiri. Namun, dia mesti mencari papan tanda berhampiran lokasi projek itu terlebih dahulu untuk mendapatkan sedikit maklumat.
Wafa Construction SDN. BHD. Secalit senyuman meniti di bibir Ray sewaktu membaca tulisan yang terpamir pada papan tanda bersaiz besar. Secara kebetulan namanya ada perkataan Wafa di hujungnya. Namanya Ahmad Raiyan Wafa. Ray mula memasang angan-angan. Satu hari nanti, dia akan memiliki syarikat yang besar dan berprestij seperti itu.
Setelah puas mengamati dan membuat sedikit catatan pada buku yang dibawa di dalam beg galasnya, Ray meninggalkan papan tanda. Dia berjalan masuk ke kawasan tanah tapak projek Awana Mall itu. Wafa Construction Sdn. Bhd. akan membina Awana Mall, bangunan setinggi 20 tingkat. Sebuah kompleks perniagaan yang akan dilengkapi dengan prasarananya.
“Kau nak minta kerja kat sini?” tanya seorang lelaki berambut kerinting kepada Ray. Anak muda itu yang baru sahaja bertanyakan kerja kosong di situ.
“Kau ni rakyat Malaysia ke pendatang asing?” soal lelaki berambut kerinting itu lagi. Wajah Ray terus diamati. Anak muda itu berkulit cerah berwajah bujur. Rambutnya melepasi bahu tersisir rapi dan ditocang. Penampilannya bersih dan kemas. Usianya mungkin baru 21 tahun kurang lebih.
“Saya rakyat Malaysia, bang!” jawab Ray.
“Kerja di sini, susah! Panas! Kau tak nampak tu? Sekejap lagi matahari bersinar garang habis kulit kau!” kata Lelaki berambut kerinting seolah keberatan. Matanya terlempar pada lengan Ray yang berkulit cerah.
“Lebih baik kau kerja kilang. Ada aircond,” komentar lelaki itu masih belum selesai.“Tempat kerja pun bersih,” tukasnya lagi. Pandangan matanya kepada Ray belum berkalih. Sejenak bibirnya melukis senyuman.
“Saya minat kerja kat sini, bang...” balas Ray bersahaja. Memberitahu sejujurnya. Harapan dan doanya menggunung.
“Rupa handsome macam hero Malaya, takkan nak kerja kat sini! Baik kau jadi artis. Lagi banyak dapat duit. ”
Kata-kata yang diungkapkan lelaki tadi mula merapu pada pendengaran Ray. Tidak pernah ada di dalam angan-angan atau mimpinya untuk menjadi artis!
“Aku takut nanti kau terhempap bata atau tertimbus tanah...” balas lelaki tadi sambil membelek-belek tubuh Ray yang kurus tinggi.“Kurus tinggi, handsome macam ni elok jadi model saja,” perlinya lagi.
“Jadi tak adalah kerja kosong di sini, bang?” tanya Ray. Ingin segera menghindar dari situ. Telinganya jadi sakit mendengar kata-kata lelaki itu. Memperlekehkan tubuh badannya pula. Satu pertanyaan yang diajukan, namun sepuluh jawapan yang diberikan langsung tidak bertepatan dengan soalan.
“Kau pergi jumpa dengan lelaki yang di hujung sana. Dia penyelia kat sini,” sarannya sambil menudingkan jarinya.
Ray merenung ke arah lelaki yang ditunjuk.“Terima kasih, bang...” ucap Ray sebelum beredar.
Perlahan langkah diatur menuju ke arah lelaki itu. “Assalamualaikum, encik,” sapa Ray sebaik sampai.
“Ya?” tanya lelaki berkepala botak itu sebaik menyedari kehadiran Ray. Ucapan salam Ray tidak dijawab. Lelaki botak merenung Ray sekilas. Baju-T putih yang dipakai Ray sudah dibasahi peluh. Wajah bujurnya nampak bersih, tetapi sedikit cengkung. Renungan mata Ray yang tajam bak burung helang menjadi sasaran pandangannya.
“Err... err...” Ray tergagap. Tiba-tiba pula dia berasa cuak melihat sikap acuh tak acuh yang ditunjukkan oleh lelaki itu.‘Ke mana lenyapnya budi pekerti manusia di zaman milenium ini?’ tanya hati Ray.
“Kalau kau nak minta sedekah, aku tak ada masa nak layan!” herdik lelaki itu tiba-tiba. Berdesing telinga Ray.
“Saya nak minta kerja, encik,” jawab Ray cuba bersabar. Masih tenang dan lembut suaranya. Jika mahu orang menabur budi, diri sendirilah terlebih dahulu kena berbahasa.
“Oh, kenapa tak cakap awal-awal?” jerkah lelaki itu. Matanya mengitar ke sana dan ke sini. “Betul kau nak kerja kat sini?” soalnya tidak percaya.
“Betul, bang!” tegas Ray.
“Kalau begitu nanti sekejap,” beritahunya. Suaranya berubah nada. “Kerja kat sini berat. Kau sanggup?” tanyanya kepada Ray.
Ray mengganggukkan kepala. Jika tidak sanggup buat apa dia datang ke situ? “Kau jangan lari pulak! Selalu budak-budak Melayu baya-baya kau ni cabut lari bila kerja dua, tiga hari,” rungut lelaki itu.
“Orang-orang kita bukannya mau kerja kontrak macam ni! Tak ada standard kot,” sambungnya menyindir bangsa sendiri.
“Saya cuba, bang,” janji Ray. Sindiran lelaki itu tadi, termakan juga di fikirannya. Kalau pemuda-pemuda negara ini sanggup memerah keringat bekerja di tapak projek pembinaan bangunan, tak perlulah kerajaan mengimpot warga asing. Namun apakan daya, mungkin disebabkan keselesaan hidup yang dikecapi dalam negara yang makmur ini menyebabkan sebilangan anak muda sebayanya lebih suka membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Walaupun bukan majoriti, tetapi jumlahnya ramai.
“Sebelum dapat kerja semua orang cakap begitu,” balas lelaki itu sinis. Ray diam. Masih bersabar. Lelaki tadi merenungnya sekali lagi. “Kau tunggu kat sini kejap.”
Ray menurut. Dia mencapai sebiji bata lalu duduk menanti. Lima minit kemudian, lelaki berkepala botak muncul semula bersama seorang pemuda. Ray terus bangun.
“Nanti kau ikut dia,” beritahu lelaki itu.
Ray hanya mengangguk. “Boleh mula kerja hari ini?” tanya lelaki tadi kepada Ray. Di sisinya ada seorang pemuda. Ray meneka yang pemuda itu mungkin warga Indonesia berdasarkan raut wajahnya.
“Boleh, bang,” setuju Ray. Dia lega. Tidak perlu lagi memutar-mutar keliling kota untuk melamar pekerjaan. Hari pertama sahaja dia sudah memperoleh apa yang diinginkannya. Bukankah itu satu rahmat daripada ALLAH? Ray mengucapkan kesyukuran di dalam diam.
“Jani, nanti kamu ajar dia!” arah lelaki itu kepada pemuda yang bersamanya tadi.
Jani berjabat tangan dengan Ray. “Dia ketua kamu nanti!” beritahu lelaki botak lagi.
“Ray...” Ray memperkenalkan diri. Dia mengukir senyuman mesra.
“Jani...” ungkap pemuda itu. Tangan Ray diramasnya kejap. “Saya dari Indonesia...” beritahunya.
Ray menganggukkan kepalanya. Tepat sekali tekaannya.
“Jani, mula-mula kamu suruh dia buat kerja-kerja menggali dulu,” beritahu lelaki itu lagi.“Biar dia buat kerja kat bawah ni,” arahnya berterusan.
“Baik, bapak!” setuju Jani.
“Ayuh, Ray! Ikut saya,” ajak Jani mesra.
“Baik,” kata Ray terus mengekori warga Indonesia itu. Dia terpaksa rela walau hati rasa tergigit. Dia rakyat negara ini. Pemuda yang sedang diekori, yang akan menjadi ketuanya, bukan rakyat tempatan. Namun saat itu bukan waktunya dia menyemarakkan semangat patriotisme yang terpendam di dalam jiwa.