Restoran Abang Ba. Di situlah tempat Ray bekerja. Sejak tamat persekolahannya dan setelah ayahnya meninggal dunia. Dia bekerja di situ hanya pada waktu malam. Restoran yang menyediakan masakan ala Thai itu saban malam dipenuhi pelanggan. Suasananya selalu hingar-bingar, ditambah dengan bunyi enjin kenderaan yang lalu-lalang di jalan besar berhampiran agak merimaskan.
Ray sudah lama bekerja di situ. Kehingaran dan kekalutan yang selalu ada bagaikan teman karibnya. Namun, dia tetap melakukan tugas dengan wajah tenang.
Dari satu meja ke satu meja Ray mengambil pesanan. Setiap pesanan dicatat pada kertas pesanan sebesar tapak tangan dan dihantar pula kepada tukang masak di dapur.
Di dapur, Ray akan mengambil makanan-makanan yang sudah siap dimasak lalu dihantar ke meja pelanggan yang memesan. Begitulah rutin kerjanya setiap hari.
“Hisy, budak ini!” rungut Ray tiba-tiba. Dua orang budak lelaki sedang berkejaran sambil ketawa. Nyaris melanggarnya. Ray cuba mengelak, lantas gelas kopi ‘O’ panas menyenget di dalam dulang dan terus tumbang.
“Eh, mata kau buta ke?” tempik satu suara.
Tersentak Ray. Seorang gadis menjegil mata kepadanya. Gadis itu sudah bangun berdiri lalu menolak kerusi yang sedang diduduki. Berdentum bunyinya. Terlentang kerusi itu di atas lantai.
Kesan air kopi yang tercurah di atas bajunya ditepis-tepis. Sekejapan sahaja warna putih gaunnya telah bertompok-tompok, coklat kehitaman. Cepat-cepat Ray meletak dulang yang sedang dibawa ke atas meja yang ada ruang kosong.
“Tak guna betul kau ni! Jalan tak tengok kiri kanan. Main langgar aje!” riuh mulut gadis itu memarahi Ray.
“Maaf... maaf. Saya tak sengaja, cik...” jelas Ray tergagap-gagap. Laju dia cuba mengelap pakaian gadis itu yang kebasahan. Pipinya tiba-tiba menghangat. Maklumlah, diherdik di tengah orang ramai. Ray terasa begitu kerdil. Lebih kerdil daripada semut halus yang sedang meniti kaki meja di hadapannya.
“Eh, jangan kau nak ambil kesempatan pulak! Habis kotor baju aku!” marah gadis itu. Tangan Ray ditepis kasar. Dia semakin berang. Geli-geleman dia melihat tangan pemuda itu mendarat di atas gaunnya yang berwarna putih gading.
“Janganlah!” Kuat dan nyaring suaranya sehingga menjadi perhatian semua orang yang berkunjung ke restoran itu. Sapu tangan yang digunakan untuk mengelap baju tadi dilontar ke lantai kerana meradang.
“Berani kau sentuh baju aku dengan tangan kau yang kotor tu?” herdiknya lagi, memberi amaran. Bulat matanya merenung Ray. Macam singa betina lepas beranak.
“Tak! Saaya... sa...” kata Ray cuba membela diri lagi.
“Kenapa ni, Ray?” pekik seorang lelaki.
Tidak sempat Ray menghabiskan kata-katanya, tauke restoran tiba-tiba menjelma. Mata lelaki separuh umur itu mencerlung merenung Ray. Ray mematung sejenak. Apabila mendengar suara gadis itu menceceh macam burung murai dicabut ekor, dia juga tidak sanggup bersabar.
“Errr... sa... saya tercurah air pada baju cik ni,” jawab Ray tergagap-gagap. Kegagapannya itu bukan kerana dia takut, tetapi dia berasa malu diherdik seperti anjing kurap.
“Bukannya terr... tapi dia sengaja tumpahkan air pada saya!” pintas gadis itu sambil mencekak pinggang. Angkuh lagaknya.
“Mana ada, saya cuma nak elak budak-budak yang berlari kat sini tadi,” sanggah Ray. Lembut suaranya mempertahankan diri. Walaupun lautan hatinya sedang diratah oleh perasaan marah, dia cuba bertenang.
“Macam-macam beri alasan. Dah salah tu mengaku sajalah! Buat apa nak tegakkan benang yang basah?” Marah gadis itu masih belum reda.
Ray diam sambil mencuba menahan perasaan. Jika diikutkan hati, rasa hendak dicubit-cubit bibir yang sedang mengomel itu.
“Ray!”
Mendengar namanya dipanggil, Ray terus menoleh. Abang Ba, tauke restoran itu sedang merenungnya.
“Tak reti nak minta maaf ke?” tanya Abang Ba.
“Abang Ba, saya dah minta maaf tadi,” jawab Ray pantas.
“Besar sangat kau punya maaf?” tingkah gadis itu dengan kasar. Langsung tidak mempedulikan pelanggan lain yang memerhati gelagatnya. Bahkan dia berasa bangga kerana dapat menunjukkan keangkuhannya. Lagi ramai orang memerhati, semakin tinggi rasa harga dirinya.
“Sudahlah tu, Jess. Hal kecil aje, kan?” bisik teman yang bersamanya. Gadis berambut pendek itu menarik gadis yang dipanggil Jess supaya duduk dibangkunya kembali. Perangai temannya yang angkuh dan mengada-ngada itu sangat difahaminya. Dia pula yang berasa malu.
“Nora, kau nampak apa yang mamat ni buat tadi, kan?” tanyanya mengharapkan sokongan. “Habis baju aku kotor!” rungutnya lagi.
Nora menjongketkan kedua bahunya. Dia tidak mahu ikut campur dalam perbalahan itu. “Hoi, malaun! Kau tahu tak, berapa harga gaun aku ni? Setahun duit gaji kau kerja kat sini pun tak mampu nak beli baju ni, tau tak?” tempiknyasambil menuding jari telunjuknya ke wajah Ray.
Ray terkulat-kulat. Dia rasa terhina. Mahu saja telapak tangannya hinggap pada pipi gebu gadis itu. Rambutnya yang ikal terjurai ingin saja direntap-rentap.
“Sudahlah, cik. Jangan menjerit kat sini. Buat memalukan diri cik aje! Saya minta maaf bagi pihak pekerja saya ni,” kata Abang Ba. Wajah gadis itu direnungnya seketika. Sayang, wajah yang cantik itu tidak seindah perangainya.
“Dia tak sengaja,” ujar Abang Ba lagi cuba membela Ray.
“Takkan hal sekecil ni kita nak panjang-panjangkan. Takkan nak buat laporan polis kut.” Sinis kata-kata Abang Ba. “Macam nilah... makan minum cik dan kawan-kawan tadi tak payah bayar,” pujuknya pula dengan suara tenang.
“Apa aku peduli! Menyesal singgah makan kat sini! Makanan pun tak sedap mana! Baju mahal pun dah rosak! Semua gara-gara pekerja awak yang tak ada otak ni!”
Abang Ba pula kena sergah.
“Jom, Nora... kita berambus dari sini!” Tangan Nora terus direntap. Jelingan tajam dilemparkan kepada Ray yang masih terpaku. Dia beredar dari situ dengan langkah angkuh.
Hilang suara gadis itu, Ray menarik nafas lega. Dia hanya mampu menunduk.Sehelai sapu tangan berwarna biru muda tergumpal di atas lantai.
“Sapu tangan awek tu!” getusnya. Pantas dia mengambilnya. Sederas kilat dia cuba mengejar gadis tadi.
“Cik... cik!” panggil Ray. “Cik!” laungnya lagi.
Gadis itu yang sudah berada di parkir kereta menoleh. Wajahnya dimasamkan apabila bertembung pandangan dengan Ray.
“Apa kau nak lagi?” sergahnya. Dadanya beralun deras.
“Ni, sapu tangan cik. Terjatuh di bawah meja tadi,” beritahu Ray, ikhlas. Sapu tangan itu dihulur sambil memaniskan muka.
“Hei, sapu tangan tu memang aku punya. Tapi, kau dah pegang, kan? Tak payah pulangkan balik! Aku rasa jijik!” Kata-kata itu diungkapkan dengan gaya yang menyakitkan hati. “Kalau kau kemaruk sangat, kau simpanlah sapu tangan tu. Dah... blah! Aku nak undur!”
Tajam mata Ray merenung ke arah gadis itu sambil menghela nafas perlahan.
“Berambuslah!” herdik gadis itu lagi.
“Hei, perempuan! Tak guna rupa cantik, kalau mulut macam longkang!” Tanpa sedar terpacul kata-kata itu daripada bibir Ray. Akhirnya, benteng kesabarannya merapuh juga.
“Kalau mulut aku macam longkang, mulut kau tu raja segala limbah!” balasnya kuat. “Blahlah!” jerit gadis itu macam orang hilang akal. Sepantas kilat, dia masuk ke dalam kereta dan menutup pintu dengan kuat. Marah benar dengan pemuda itu.