Home Novel Cinta Mengintai Cinta
Mengintai Cinta
Hidayah
29/5/2020 00:52:53
19,987
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

LAMAN Akuarium makin meriah dengan kunjungan yang tidak putus-putus apatah lagi pada hari Sabtu begitu. Ada yang berjalan bersama keluarga, suami isteri, adik-beradik dan kawan-kawan. Pastinya ada juga yang datang berkunjung sekadar menjadi teman antara sepasang kekasih. Siapa lagi kalau bukan Fisya.

Jess menghadiahkan senyuman lebar kepada Fisya. Di sebelahnya, Zack tersengih. Zack pegang tangan Jess. Cincin tunang mereka bersatu pada jarak yang dekat.

“Memandangkan ada orang nak dating bagai, aku ikut aje lah!” sengaja diulang lagi ayat itu. Suaranya seakan menyindir manja.

“Tak selalu kan…” balas Zack.

Mata Fisya memandang atas, sengaja buat muka menyampah. “Tak selalu laaa sangat. Minggu depan nak ke mana lagi? Bagi tahu aje, aku sentiasa jadi orang tengah antara korang dua.”

Tergelak Jess mendengar omelan Fisya. Tidak dinafikan Fisya selalu menemankannya sekiranya dia ingin keluar bersama Zack. Walaupun Fisya selalu merungut, tapi dia tahu Fisya suka dibawa berjalan begitu. Lagi-lagi jika dia dapat rasakan Fisya seperti ada masalah. Dia akan jadikan Zack sebagai alasan untuk keluar. Niatnya hanya mahu Fisya tenangkan fikiran.

Fisya akhirnya masuk ke Laman Akuarium setelah dipujuk berkali-kali oleh Jess. Kalau boleh dia mahu bersendirian di rumah ketika ini. Tapi bila difikirkan balik, hari ini sesuai untuk melepaskan tekanan melihat pelbagai jenis haiwan di Laman Akuarium yang baru dibuka tahun lepas.

Belum sampai lima minit, kelibat Jess dan Zack sudah hilang dari radarnya. Fisya hanya mampu menggeleng. Matanya kembali ditumpukan pada kolam kecil di sekitar Laman Akuarium itu. Setiap ikan ada nama saintifik yang susah benar mahu disebut. Kalau bab menghafal, memang dia angkat bendera putih. Memerhati ikan-ikan yang berenang membuatkan hatinya tenang dan tenteram. Ketenangan yang sukar digambarkan dengan apa pun.

“Assalamualaikum.”

Fisya tegakkan badan. Tadi dia leka hingga tertunduk-tunduk mencari ikan-ikan yang bersembunyi di celah batu. Bergerak-gerak bebola matanya mencari empunya suara yang memberi salam tadi. Fisya menjawab salam sebaik saja melihat susuk tubuh seorang lelaki. Seperti pernah singgah di matanya sebelum ini cuma dia tidak pasti.

“Fish?”

Fisya buat muka tidak puas hati. Seolah satu soalan yang dituju pada dia seorang. Lagi-lagi sepadang mata itu masih menatapnya sejak tadi. Bagus-bagus ayah dia bagi nama cantik, boleh pula lelaki di sebelahnya ini memanggil dia ‘Fish’!

“Nama aku Syafisya Batrisha Aliff Shah!” Ditekan sikit suaranya ketika menyebut namanya sendiri. Mentang-mentang dia tengok ikan tadi, suka hati panggil Fish.

“Laaa, ye ke. Panjang betul nama awak. Tu la teringin nak panggil Fish. Pendek sikit kan?” sakat Fazlan.

 “Nah!” Fisya menunjukkan tag nama yang sudah dikeluarkan dari perut begnya. Tag nama itu terukir nama penuhnya. Semasa mahu melanjutkan pengajian, dia membuat tag nama menggunakan nama penuh kerana dia tiada pengalaman membuat tag nama. Memandangkan pihak kampus meminta membuat tag nama singkatan saja, tag nama yang penuh itu tidak digunakan hingga kini.

Fazlan tundukkan kepala. Dilihatnya tangan Fisya sudah melekat di dadanya. Ada tag nama dalam genggaman tangan Fisya. Bukan main berani Fisya menyentuh dadanya walaupun berlapik itu. Tanpa sedar, jantungnya berdegup kencang. Matanya beralih merenung mata Fisya yang jelas tidak puas hati hanya kerana dipanggil Fish tadi. Jauh di sudut hati, dia tahan senyum.

Fisya jengilkan mata. Baru dia perasan. Bukankah lelaki ini yang pinjam charger di Kafe Sharifah hari tu?

Fazlan genggam tag nama itu. Tersentuh tangan Fisya tak sengaja. Cepat-cepat Fisya tarik tangannya semula.

“Kau… charger kan?”

“Charger?” Terkebil-kebil Fazlan mendengar soalan itu. Kepalanya digeleng-geleng. Ada senyum di bibirnya kala itu. “Panggil saya Faz..”

“Peduli nama kau apa. Aku nak panggil Charger juga,” pintas Fisya.

‘Tadi bukan main panggil aku Fish. Sekarang aku pula panggil kau Charger,’ bebel hati Fisya.

Charger aku mana, ek? Dah seminggu kot aku tak guna charger aku. Terpaksa pinjam dengan housemate. Dah lah pinjam tak beradab, pastu tak pulangkan pula!” panjang lebar Fisya membebel.

Fazlan telan liur. Boleh tahan pedas ayat terakhir perempuan di depannya ini. “Cik, saya minta maaf ya. Saya memang nak pulangkan, cuma…” Fazlan membiarkan ayatnya tergantung begitu sejak terlihat wajah Fisya yang mahu menerkamnya sejak tadi belum berubah lagi. “Oke, saya ada bawa...di kereta. Nak saya ambil sekarang?”

“Oh, jadi kau nak keluar ambil charger. Pastu masuk semula bayar tiket kali kedua? Macam tu?” kendur suara Fisya. Rasa kasihan mulai terbit di hujung hatinya.

“Habis tu, nanti awak marah saya lagi.”

Fisya mendengus halus. “Tak apa lah. Nanti aje jika dah selesai.”

Fazlan ikut langkah Fisya. Dia tidak sangka bertemu dengan perempuan itu di sini. Minggu lepas hampir setiap hari dia menunggu Fisya di Kafe Sharifah.  Orang ditunggu tetap juga tidak munculkan diri. Tup tup ada di sebelahnya hari ini. Mungkinkah jodoh tertulis di tag nama Fisya?

‘Jess ni kan! Hari tu bukan main bawa ke sini. Sekarang dia hilang dah dengan si Zack tu!’ rungut Fisya dalam hati. Menyampah dia ada lelaki yang tak diundang seolah mengekorinya sejak tadi.         

Melihat Fisya seolah tidak selesa, Fazlan jarakkan langkah. “Maaflah kalau awak tak selesa. Nanti dah selesai, saya tunggu kat depan tu ya,” ujarnya lalu meninggalkan Fisya.

Fisya pandang sepi Fazlan yang sudah lama menjauh.

 

~~~~~



Melihat sesosok tubuh Fisya dari jauh, Fazlan mula mendekati Fisya. “Thanks, Fisya.” Pengecas laptop dihulur. “Bertuah kan jumpa lelaki macam saya? Pulangkan barang yang dah pinjam...”

“Aku salah dengar, ke?” Fisya bercakap sendirian. Sengaja didengarkan di telinga Fazlan.

Tergelak Fazlan melihat aksi Fisya begitu. Dapat dirasakan, Fisya seorang yang mudah didekati. Gurauan-gurauan yang dihidang dibalas dengan gelagat yang menghiburkan hatinya. Tidak pernah dia bertemu dengan perempuan seperti Fisya.

“Kawan?” tanpa dirancang, tangan Fazlan sudah dihulur di hadapan Fisya.

Fisya membiarkan huluran tidak bersambut. “Aku tak suka nak status kawan dengan orang lain,” kata Fisya, jujur. “Aku sebenarnya... lebih suka gaul dengan orang yang aku tak kenal. Macam kau, ni. Aku tak kenal kan? So, tak ada masalah nak layan kau. Terserempak macam ni kira okey, la. Yang penting tak ada lah nak tukar nombor telefon bagai.”

Fazlan peluk tubuh. Sesekali mata nakalnya singgah di bibir Fisya yang petah bicara. Lagak gayanya seperti kawan lama tidak berjumpa yang baru saja bertemu. Seketika diperhati kelopak mata Fisya. Jelas menunjukkan perasaan ceria yang sukar digambarkan. Sesekali juga terlihat gambaran kesedihan yang cuba disembunyikan.




Dari lorong masuk ke Laman Akuarium, hati Ikhwan seakan digarit-garit. Senyuman Fisya pada seorang lelaki itu menghancurkan perasaannya yang baru mahu pulih. Wajah yang seperti dilimpahi kegembiraan itu berbeza sekali ketika disapa Fisya di kawasan letak kereta minggu lepas.

Kaki yang dihayun perlahan sejak tadi akhirnya sampai juga di hadapan Fisya. Dia menunggu sepasang mata itu beralih melihatnya.

“Fisya, boleh kita cakap kejap?”

Melihat riak Fisya yang mulai berubah, Fazlan melangkah setapak. Dipandang lelaki yang itu dengan senyum yang terangkat sedikit dipipi. “Saya kekasih Fisya. Apa urusan kau dengan dia?” Fazlan cuba menolong Fisya semampunya. Mungkin Fisya akan berterima kasih dengan pertolonganku kali ini, fikirnya.

Lengan Fazlan ditarik dari arah belakang. Sekejap saja tubuh Fazlan sudah terpacak di sebelah Fisya.

Ikhwan cuba sembunyikan perasaan cemburunya kali ini. Melihat tangan Fisya memegang tangan lelaki lain sudah cukup menaikkan rasa cemburunya.

Fisya kerling Ikhwan. “Dia bukan kekasih saya.” Selamba saja dia menafikan kata-kata Fazlan sebentar tadi. Buang tebiat, ke apa? Baru jumpa dah nak gelar kekasih bagai.

Melopong Fazlan mendengar bicara Fisya. Dia tidak menyangka perempuan itu menghancurkan harapannya. Selalu dilihatnya pelakon lelaki akan mengucapkan kata-kata yang diucapkannya sebentar tadi. Rupanya realiti tidak seindah paparan drama. Senyum malu dia kali ini. Pun begitu, tetap menghibur hati. Fisya nakal dalam bicaranya.

“...tapi dia kena ada di sebelah saya jika awak nak bercakap dengan saya.” Fisya pandang tepat mata Ikhwan. Kali ini dia tidak berdalih. Jika dia berdalih, pasti Ikhwan melabel dia pengecut. Atau lari dari masalah. No! Fisya bukan seperti itu.

‘Wow! Hebat Fisya!’ puji Fazlan dalam hati. Walaupun dia tidak tahu apa yang berlaku antara Fisya dengan Ikhwan, hatinya berasa bahagia dengan kenyataan Fisya.

Berbeza dengan Fazlan, Ikhwan pula berasa tercabar dengan kenyataan Fisya. Lelaki di sebelah Fisya seakan penting pada pandangan mata Fisya. Walaupun Fisya mengatakan lelaki itu bukan kekasihnya, tetap saja mengguris hati lelakinya ketika ini.

“Oke,” jawab Ikhwan, perlahan. Dijeling sekilas Fazlan yang berdiri memandang Fisya sejak tadi. Kali ini dia menumpukan perhatian pada Fisya. Jika diikutkan hati, dia tidak mahu bercakap di hadapan lelaki itu. Ikhwan tarik nafas, cuba mengawal bicara. “Saya nak kita lupakan apa yang berlaku sebelum ni.”

Fisya masih memandang Ikhwan. Wajah tampan Ikhwan pernah mencairkan hatinya suatu ketika dulu. Kata manis Ikhwan pernah melenakan mimpinya sebelum ini. Cuma kali ini tiap butir bicara Ikhwan dirasakan tamparan untuk hatinya. Melupakan bukanlah semudah yang dipinta Ikhwan.

“Saya tahu tindakan saya tidak matang waktu itu. Banyak lagi perkara yang perlu kita...”

“Boleh bawa saya keluar dari sini?” Fisya mencari mata Fazlan. Terkial-kial Fazlan dibuatnya.

“Boleh...” jawab Fazlan. Sempat diliriknya Ikhwan yang terpinga-pinga dengan tindakan Fisya. Belum sempat lelaki itu menyudahkan ayat, Fisya sudah memintas dengan kejam. Geli hati Fazlan. Fisya bukan calang-calang orang. Mungkin dia lelaki yang bertuah bertemu dengan perempuan seperti Fisya. Sudahnya, Fazlan senyum senget dan mengikut saja haluan Fisya yang mengheretnya keluar dari lorong itu.

Previous: Bab 4
Next: BONUS

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.