Home Novel Cinta Mengintai Cinta
Mengintai Cinta
Hidayah
29/5/2020 00:52:53
19,996
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

Lengang. Tempat letak kereta kegemarannya kosong tidak bertuan. Fisya memandang Kafe Sharifah dari jauh. Terasa berat kakinya untuk meletakkan parkir di situ. Terasa berat juga hatinya untuk kembali ke situ. Situlah tempat dia temukan Ikhwan.

Mana mungkin dia mengambil risiko untuk bertemu lagi dengan Ikhwan. Pertemuan kemarin saja membuatkan dia hampir tidak bernafas. Suara Ikhwan masih sama kedengaran di cuping telinganya. Masih bersahaja seperti beberapa tahun lalu. Tapi itu hanya dulu. Sekarang semua jadi lain benar. Dia tidak mahu memikirkan lelaki bernama Ikhwan lagi.

Fisya meraup wajahnya. Seolah lemas dengan kenangan bersama Ikhwan. Ikhwan pernah meninggalkannya. Dan dia juga pernah meninggalkan Ikhwan.  Dua hati ini tidak akan terpaut lagi. Jauh sekali walau dengan apa keadaansekalipun. Jika dia tidak bersuami sekali pun, dia tidak peduli. Dia tidak akan merayu, melutut dan menagih simpati dengan Ikhwan. Mungkin benar, rasa cinta walau sedalam apa pun, jika bukan takdir menyatukan, tidak mungkin akan bersama. Jika bersama tapi untuk saling menyakiti antara satu sama lain, lebih baik berjauhan.

Teringat wajah Ikhwan semalam, telinganya disapa lagi dengan soalan yang pernah diaju oleh Ikhwan lima tahun lepas.

“Siapa ni?”

Senyuman Fisya seakan tawar melihat telefon bimbit yang dihulur oleh Ikwan. Ketika itu mereka duduk berdua di dalam kereta dalam perjalanan menuju ke kampus. Ruangan mesej itu jelas menunjukkan perkataan ’sayang’ yang dihantar oleh nombor seseorang, pastinya bukan nombor Ikhwan.

Fisya cuba mengawal riak muka tapi tidak berjaya. Wajah Ikhwan tidak melekat pada matanya. Wajah itu berpaling melihat jalan raya menerusi cermin kereta. Sugul wajah Ikhwan ketika itu. Hati Fisya mula meraung senyap. Dia tidak sangka satu mesej itu punca keretakan hubungan mereka berdua.

Fisya cuba menolak memori buruk itu. Dia tidak mahu bertemu Ikhwan lagi. Kafe Sharifah dikerling seketika. Ah! Mulai hari itu, dia tekad untuk tidak lagi berada di sekitar Kafe Sharifah. Hanya untuk beberapa hari. Minggu. Atau selama-lamanya!

 

~~~~~

 

Ikhwan setia menghirup teh tarik di Warung Pak Ukah. Sengaja ditinggalkan Lim di rumah bersama ayahnya. Tujuannya hari ini hanya menunggu kelibat bekas kekasihnya. Kalau diikutkan hati, dia tidak mahu berjumpa lagi dengan Fisya. Dia sudah cukup merawat hatinya walau kadang terasa payah.

Tapi terjumpa dengan Fisya kemarin membuatkan hatinya lentur dan ingin melupakan semua. Dia ingin berjumpa lagi buat kali pertama dan seterusnya. Ada banyak soalan lagi yang perlu dijawab Fisya untuk memulihkan semula hatinya.

Walaupun dia sendiri tidak tahu sama ada Fisya sudah berpunya atau belum, dia mahu bertemu Fisya. Jauh di sudut hati, dia berharap dapat ditemukan dengan Fisya hari ini.

“Lagi nunggu siapa, Wan?”

Suara Pak Ukah yang pelat Jawa Indonesia itu menyapa halwa telinganya. Dia senyum membalas sapaan Pak Ukah.

“Tiada sesiapa Pak Ukah. Saja duduk sini lepak,” dalih Ikhwan.

“Yang bener?” usik Pak Ukah, matanya melirik ke luar, sebagaimana yang dilihatnya Ikhwan sering melihat-lihat di luar warung.

Ikhwan tersengih menampakkan barisan giginya. Kepalanya hanya diangguk beberapa kali. Matanya seakan terlukis wajah Fisya.

 

~~~~~


Fazlan meluaskan pandangannya. Sejak awal pagi tadi lagi dia sudah menempelkan punggung di kafe itu. Meja yang direbut oleh seseorang pagi semalam.            

Dia bungkam melihat Fisya meluru masuk ke kafe tengahari kemarin tanpa sepatah kata. Mimik mukanya lain benar selepas keluar menuju ke parkir kereta. Dia perhati hanya dari jauh. Dilihatnya Fisya berhadapan dengan seorang lelaki.

 Hari ini dia duduk di situ bukanlah mencari fasal. Dia cuma ingin mengembalikan pengecas laptop yang belum dikembalikan kepada Fisya. Ketika dia mahu memberikan pengecas itu, Fisya sudah bersiap dan keluar dari kafe dengan wajah kelam.

Pagi ini dia yakin perempuan itu akan datang lagi. Namun, hampir dua jam kelibat Fisya masih belum kelihatan. Sudah tiga gelas minuman dipesan. Tempat duduk yang dilabel kepunyaan Fisya dipandang sepi.
Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.