Home Novel Cinta Kunci Hati Ina
Kunci Hati Ina
Hidayah Ismail
4/7/2020 04:59:38
447
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Bisik-bisik angin bertiup dengan kadar mahunya. Seakan mengiringi derap kaki Ina dan Imah menuju ke kafe yang terletak di sebelah koperasi. Kampus ini tidaklah besar tapi cukup menampung lebih seribu pelajar yang mengambil pelbagai jenis bidang.

            Macam-macam gelagat yang Ina perhati dari jauh. Ada kelompok pelajar yang sentiasa menyisip buku di celah lengan. Ada kelompok ke hulu ke hilir di perpustakaan. Perpustakaandijadikan tempat bersembang kosong. Koperasi pula kadang kala dijadikan tempat bergurau senda.

Baru saja ingin melintasi lorong koperasi, langkah Imah seolah sengaja diperlahankan. Setiap kali perkara begini berlaku, Ina orang pertama senyum sendirian. Tidak habis-habis Imah mahu mencuri perhatian abang senior yang selalu melepak di situ. Ina faham benar sikap Imah.

Pintu di sebelah kanan Ina yang dibuka seseorang menyebabkan langkah mereka terhenti.Satu suara buat Ina dan Imah menoleh serentak.

“Junior bidang apa, ni?”

Sekilas mata Ina mencuri lihat tanpa memandang secara langsung pada mata empunya soalan. Baju kemeja lengan panjang. Kasut kuliah hitam berkilat. Ina kerling tag nama yang tergantung kemas. Rafik? Satu nama yang baru singgah di matanya.

Ina memalingkan wajah. Imah diliriknya. Wajah Imah tidak sedikit pun menunjukkan riak terkejut. Renung mata sahabatnya itu seakan penuh pengharapan. Mungkin berharap pelajar bernama Rafik itu mengajaknya keluar makan hingga soalan tadi tidak dihiraukan.

Belum sempat dia menyedarkan lamunan Imah, sedikit lagi dia terjerit sebaik saja tindakan Rafik di luar jangka. Kali ini beg kuliahnya ditarik ke tepi.

Rafik menarik sekali lagi tag nama yang dilekat pada beg kuliah yang ditariknya tadi. “Sodrina?”

Berdebar jantung Ina. Suka hati pula mamat di sebelah main tarik-tarik. Imah pula terangguk-angguk tak sedar diri. Handsome sangatkah Rafik hingga buat Imah terpukau ketika ini?

Ina cuba mengangkat wajah. Dihala pada pandangan Rafik hingga tangan lelaki itu terlepas dari begnya. Baru saja menatap wajah Rafik, Ina lekas-lekas larikan pandangan.

Adush! Kalau lama-lama tengok memang akan jadi macam si Imah ni.  Inikah lelaki merangkap pelajar senior yang jadi isu sekarang kampus? Baru semalam Imah membuka isu mengenai pelajar senior yang hangat di kampus mereka. Pelajar itu kononnya ketua perwakilan pelajar untuk sesi kali ini. Dengan undian majoriti sebanyak 97%, lelaki itu dikatakan pelajar harapan dan pemimpin harapan. Yang pasti, Ina termasuk dalam 3% itu. Dia tidak pernah mengundi lelaki bernama Rafik.

“Junior baru masuk?”

Mata Imah terkedip-kedip. Ya Allah! Kenapa suara dia serak-serak basah ni. Mengancam betul la!  "Dua tahun dah," jawab Imah sambil tersenyum. Dia yakin saja dengan jawapan walaupun dia tahu soalan itu ditujukan untuk Ina. Pandangan Rafik dilihatnya tidak lari dari seraut wajah Ina.

Rafik mengalih pandangan pada Imah. “Bagitahu kat kawan awak. Tag nama gantung dileher. Bukan gantung di beg.”

Menyirap darah Ina mendengar kata sindirian begitu. Imah yang mati kata hanya mengangguk dengan senyuman yang kian kendur.

Selalu Ina menggunakan tag nama dengan betul sebelum ini. Baru hari ini dia menggantung di beg, sudah ditegur dengan sindiran oleh ketua pelajar. Terasa merona pipinya menahan malu. Baru saja dia mahu membalas sindiran tadi, kelibat Rafik tidak ditemui lagi.

“Ina, awak nampak tak mata dia tu. OMG!” kalut suara Imah seakan sedia untuk membawang. “Memang pelajar harapan. Pemimpin harapan. Dan... suami harapan,” ujar Imah seraya ketawa mengekek. Langkahnya menuruti langkah Ina yang sudah beberapa tapak di hadapan.

“Ya la tu. Lelaki harapan dan lelaki sindiran.”

Pecah ketawa Imah mendengar kata rajuk yang keluar dari mulur Ina.

Perbualan mereka terhenti sebaik saja telefon Ina berdering. Pantas bebola mata Ina melirik telefonnya. Hanya deretan nombor yang tertera. Nombor asing?

Satu suara memberi salam. Salam itu disambutnya perlahan. Siapa empunya suara tidak dia ketahui, tapi jelas sahaja suara itu suara lelaki.

"Ina, ek?"

Ina menjungkit kening. Geram pula. "Bukan." Selamba saja dia menjawab.Tidak suka dengan orang yang berbasa-basi begitu, MM; Membuang Masa!

"Bukan,ek? Tipulah awak ini."

Mendengar suara itu membuatkan Ina mencebik spontan. "Straight to the point, please."

"Comellah muka awak macam itu."

Mendengar lima patah perkataan itu membuatkan Ina berkerut dahi. Dia mula menunduk sedikit. Di mana lelaki itu? Pasti di sekitar situ. Mungkin tidak jauh dari tempat dia dan Imah berdiri. Erk! Dia tarik nafas panjang.

"Saya nampak awak..."

Sejurus si lelaki itu berkata demikian, Ina menamatkan panggilan yang tidak diundang itu. Imah di sebelah dipandang sepi.

"Jom!" ajaknya pada Imah menuju ke destinasi yang ingin dituju. Perutnya sejak tadi merajuk minta dipujuk.

Imah yang tertanya-tanya itu hanya senyum dan mengangguk-angguk. Beberapa saat kemudian, telefon Ina berdering lagi. Deringan kali ini dibiarkan begitu sahaja. Belum sampai sepuluh saat, telefonnya kembali aman tanpa bunyi itu. Ina menarik nafas lega.

"Kenapa tak jawab?" soal Imah. Kerutan di dahinya jelas menginginkan jawapan.

Ina hanya menayangkan senyuman sebagai jawapan. Sudahnya, dua orang sahabat itu melangkah dan terus melangkah. Ina menggigit bibirnya mendengar telefon bimbitnya menjerit ingin terus dilayan.

"Kenapa tak jawab telefon tu?" soal satu suara.

Ina dan Imah serentak memandang empunya suara yang berada di hadapan mereka. Bertembung. Lelaki yang mungkin boleh dikategorikan sebagai idaman wanita dikampus itu masih memandang tepat pada Ina dengan ukiran senyuman.

Ina mengalihkan sepasang matanya dari sepasang mata lelaki itu. Dia tidak suka bertembung mata dengan lelaki. Dia malu. Tapi wajah itu…   seraut wajah itu seperti dikenalinya.

"Nur Sodrina Muhammad Akhbar."

Ina mengangkat wajahnya. Melihat pemilik wajah itu sekali lagi. Hah! Benar. Memang kenal. Bibirnya sudah menguntum senyum. Makin lebar. Lelaki yang mengenyit sebelah matanya dijeling geram.

Imah di sebelah yang tidak tahu apa-apa mengecilkan mata. Tertanya-tanya siapa gerangan lelaki yang hampir meruntun hatinya itu. ‘Tunang? Mustahil tunang Ina kot...’ detik hati Imah.

Ina menghulur tangannya. "Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumussalam.Apa khabar zaujahku?" Senyuman lelaki itu masih tidak lekang daribibirnya.

Mendengar soalan itu, membulat mata Imah. Zaujah? Dia tahu dia tidaklah tahu mendalam ilmu agama tapi dia kenal benar maksud zaujah itu!

Ina masih senyum. Senyum nakal. "Alhamdulillah, your zaujah masih begini. Masih macam dulu. Oh, ya! Perkenalkan ini sahabat yang Ina selalu cerita tu. Imah namanya. Dan Imah... nama ehem saya ni Muhammad Fahmi. Panggil Fahmi pun boleh."

Ina perkenalkan Imah kepada Fahmi. Dia tahu Imah pasti keliru, bingung dan perasaannya pasti bercampur baur kerana dia belum lagi menceritakan status dirinya. Dia senyumkecil.

Fahmi menayang barisan giginya. "Ya, panggil Fahmi aje."

"Saya Nur Halimah. Panggil Imah pun boleh." Imah memperkenalkan dirinya kemudian menundukkan sedikit wajahnya tanda hormat.

Deringan telefon berdering lagi. Pantas Ina mematikan telefonnya itu.

"Kenapa Ina? Siapa yang call?" Fahmi mula tidak sedap hati.

"Eh,tak ada apa-apalah abang. Salah nombor kot." Ina senyum. "Abang mimpi apa datang sini. Oh, pelajar baru ea?" soal Ina mengubah topik, cuba bergurau.

"Taksalah kan kalau abang nak jumpa isteri abang? Atau bakal madu isteri abang?" ujar Fahmi lagi sambil melirik pada Imah.

Wajah Imah mula merah. Pandai pula lelaki itu menyakatnya.

"Hishh!"Ina mencubit lengan Fahmi. "Sempat nak menggatal ek!"

"Auch! Sakitlah. Dari dulu tak berubah. Cubitan itu, cuba kurangkan sikit sengatnya. Ini tidak. Makin bisa pula," bisik Fahmi nakal.

Ina mencebik. "Kami nak ke kafe. Nak join?" Suasana kafe pasti sedikit sesak ketika ini. Maklum saja hari ini merupakan hari pendaftaran pelajar baharu di kampus itu.

"Umpama orang mengantuk disorongkan bantal," jawab Fahmi.

"Tapi…abang belanja...” Ina melirik manja.

"No problem."

"Jom Imah," ajak Ina, memaut lengan Imah.

Imah hanya mengangguk. Entah kenapa hatinya agak kaku berjalan bersama lelaki yang mungkin juga merupakan suami sahabatnya itu. Kenapa Ina tidak memberitahunya bahawa dia sudah kahwin!

Imah masih diasak dengan soalan demi soalan yang tidak mampu dijawabnya. Pelbagai andaian singgah satu per satu di layar mindanya.

"Erm,Ina. Saya pergi meja sebelah, ya? Saya tak nak ganggu kamu berdua." Teragak-agak Imah meminta diri untuk ke meja sebelah.

"Eh, apa salahnya. Tak ganggu pun. Kami okey aje lah...” Ina menghalang.

"Ya, Imah. Duduk aje. Saya belanja hari ini," ujar Fahmi pula.

Memandangkan mereka berdua tidak kisah, Imah hanya mampu melukis senyum di bibir. Wajah Fahmi di hadapan dikerlingnya kejap. Hatinya diasak persoalan lagi. 'Suami Ina?'

Imah kaku. Gurauan-gurauan lelaki bernama Fahmi singgah di telinganya. Ceria di wajah Ina lain dari biasanya. Lirikan mata mereka memang menunjukkan mereka ada hubungan rapat. Terbayang wajah seseorang yang mungkin sedang melukis digaleri. Musnah misinya yang baru saja ingin dilaksanakan. Ina dah ada suami! Mana mungkin dia dapat perkenalkan Imah kepada abang kesayangannya nanti. Jauh disudut hati, ada gemawan kecewa berarak di hati Imah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.