Home Novel Cinta AKU SUKA BILA KAU BENCI AKU
AKU SUKA BILA KAU BENCI AKU
Laila Qaisara
6/12/2012 13:30:40
47,220
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 15

“Apa???????”

Melengking suara Datin Eryna. Tidak percaya dengan berita yang baru didengarnya.

“Betul Datin. Pada mulanya saya pun tak percaya bila ada orang cakap Dato’ Hazmi kahwin lagi. Tapi bila saya siasat, rupanya perkara tu memang betul,”

“Dengan siapa dia kahwin? Model? Pelakon? Penyanyi?” marah betul Datin Eryna. Tidak disangka, suami yang nampak lembut dan mendengar katanya kini curang di belakangnya.

“Er….,”

“Dengan siapa?”

“Dengan staf di pejabat dia. Sebaya anak Datin,”

“Sebaya Uda?”

“Ya,”

“Dah tak ada lelaki lain sebaya anak aku ke yang dia nak goda? Yang Dato’ ni pun, tak cukup ke layanan aku selama ni pada dia?”

Memang tak cukup pun, bisik Syasya, pembantu peribadi Datin Eryna. Tapi dia diamkan sahaja pendapatnya. Jika dia luahkan pendapatnya itu, memang kena baling pasu dengan wanita panas baran itu.

“Kau cakap dia kerja kat mana tadi? Pejabat Dato’, kan?”

Syasya mengangguk. Datin Eryna tersenyum penuh muslihat.

“Kau tunggu la perempuan. Nahas kau aku kerjakan,”

Syasya jadi takut.

“Siapa nama dia?”

“Er…. Nadia, Datin,”

“Nadia? Nama penuh?”

“Nadia Nazri,”

“Nadia Nazri?”

*****

“Lisa, minit mesyuarat minggu lepas mana ye?”

“Ada pada saya. Kenapa?”

“Dato’ Hazmi minta pagi tadi. Saya ingat saya ada bagi pada awak,”

“Dato’ nak sekarang ke?”

Nadia angguk.

“Kalau macam tu, saya ambil sekarang ye,”

Nadia senyum.

“Nadia Nazri!!”

Mati senyum Nadia tiba-tiba. Dia pandang Lisa. Lisa pandang Nadia kembali.

“Siapa tu?”

“Datin Eryna. Isteri Dato’ Hazmi,”

“Oh…,” baru hari ini dia bertemu empat mata dengan ‘madu’nya itu.

“Siapa Nadia Nazri?”

“Er… dia,” Lisa menuding jari ke arah Nadia, membuatkan wanita itu tersentak. Apa ni Lisa? Kau nak bagi aku mati ke? Eh, kejap! Dia bukan tahu pun yang…

“Kau isteri kedua suami aku kan?”

Lisa terkejut. Dia pandang Nadia. Nadia lagilah terkejut. Mana dia tahu ni?

“Jawab la soalan aku!”

“Er…. Iya,”

Buntang mata Lisa pandang Nadia.

“Dah tak ada lelaki lain ke yang kau nak goda, hah?”

Nadia hanya diam.

“Jawablah! Kau ingat aku ni tunggul?”

“Sabar, Datin,” Lisa cuba menenangkan suasana.

“Kau jangan sibuk. Ini urusan aku dengan dia!” Datin Eryna menolak Lisa ke tepi. Tersungkur gadis itu dibuatnya.

“Kalau iya pun marahkan saya, tak payahlah tolak kawan saya sampai macam tu sekali,” Nadia mula bersuara. Geram dia apabila melihat sikap Datin Eryna sebegitu. Malu aku jadi madu dia. Uhuk.

“Kau tu yang tak tahu malu. Dah tahu suami aku tu suami orang lagi mahu goda!”

“Datin, ini pejabat. Tolong hormat suami Datin di sini,”

“Engkau tu yang tak reti hormat aku kat sini! Dah tahu Dato’ tu suami orang lagi mahu goda!” jerit Datin Eryna. Ditolak Nadia sekuat hati. Malang bagi Nadia, dia terlanggar bucu meja ketika ingin mengimbang dirinya. Akhirnya dia betul-betul terjatuh.

Datin Eryna masih belum puas. Disepak perut Nadia berulangkali.

“Dasar perempuan jalang!”

“Mummy!”

Datin Eryna memandang Uda dengan wajah menyinga.

“Apa yang Mummy buat ni?”

“Kamu tanya dia sendiri apa yang dia dah buat, bukan apa yang Mummy dah buat!”

“Bukan soal tu, Mummy! Mummy tengok apa yang Mummy dah buat ni?”

Datin Eryna pandang Nadia semula. Wanita itu sudah berlumuran darah. Datin Eryna kaget. Dia terus lari dari situ.

Uda menerpa ke arah Nadia yang mengerang kesakitan. “Bertahan, Nadia. Lisa, panggilkan Dato’!”

Lisa yang menyedari perkara ini terus berlari mencari Dato’ Hazmi.

“Dato’! isteri Dato’ belasah isteri Dato’!”

“Awak ni biar betul, Lisa? Takkan Datin nak belasah dirinya sendiri?” Dato’ Hazmi bingung dengan kata-kata Lisa itu.

“Bukan! Datin Eryna… belasah Nadia!”

Spontan Dato’ Hazmi bangun.

*****

“Apa yang merasuk fikiran kamu sebenarnya, Eryna?” Dato’ Hazmi bersuara garang.

“Apa yang merasuk fikiran saya? Awak tu yang kena fikir balik apa yang awak dah buat ni!” suara Datin Eryna naik seoktaf. Mencabar kesabaran Dato’ Hazmi.

“Kamu sedar ke apa yang kamu cakap ni?”

“Perempuan jalang tu, rampas suami saya, bang! Awak ingat saya akan duduk diam, tepuk tangan je bila tahu semua tu?”

“Perempuan yang kamu kata jalang tu, isteri saya, Eryna! Kamu tak ada hak nak hina dia!”

“Oho… sekarang ni awak nak bela dia pula ye, bang? Bela la! Patut aku bunuh je perempuan tu semalam!”

PANG!!

KEPALA Datin Eryna terpusing. Dato’ Hazmi menggigil menahan marah.

“Puas hati kamu sekarang? Awak tolak dia sampai keguguran! Anak saya, Eryna!”

Datin Eryna tergamam.

“Puas hati kamu kan? Sekarang kamu dah jadi pembunuh! Saya tak akan maafkan kamu!”

“Abang!

“Kau keluar dari rumah ni! Aku dah tak nak tengok muka kau lagi! Kau bukan isteri aku lagi! Keluar!”

“Abang!”

“Keluar!”

*****

“Nadia isteri kedua Daddy?”

Uda memandang Dato’ Hazmi tidak percaya.

“Ya, kami dah berkahwin setahun lalu. Selepas majlis konvokesyen kalian,”

“Kenapa saya tak tahu?”

“Hanya saudara terdekat Nadia yang dijemput. Majlis diadakan di kampung Nadia di Johor. Jadi tak ramai yang tahu,”

“Kenapa rahsiakan? Perkahwinan tu bukan sesuatu yang memalukan pun,”

“Uda ingat Mummy akan duduk diam je ke bila dia dapat tahu perkara ni dari awal? Sekarang ni pun dia dah mengamuk gila. Sampai gugur kandungan Nadia dibuatnya,” nada suara Dato’ Hazmi mula naik sedikit suhunya.

“Sekurang-kurangnya Daddy bagitahu Uda. Nadia tu, kawan Uda. Sekarang ni Uda nak panggil dia apa? Makcik?”

Dato’ Hazmi tersenyum mendengar kata-kata anaknya itu.

“Kami tak sembunyikan pernikahan kami. Tapi kami juga tidak menghebahkannya. Mana yang tahu tu, tahulah. Mana yang tidak tahu tu, tidak tahulah,”

“Walau apapun alasan Daddy dan… er… Nadia, semuanya telah terjadi. Nadia pun dah keguguran. Melepas Uda nak timang baby,”

“Ke situ pulak perginya,” muka Dato’ Hazmi sudah kemerah-merahan. Uda tergelak. Jarang dia dapat melihat wajah Daddynya begitu.

“Daddy suruhlah Ann mengandung lagi,” usik Uda.

“Ann?”

“Ye la, Ann. Singkatan dari Aunty Nadia. Nak panggil Aunty, kami sebaya. Kawan pulak tu. Panggil Ann je la yang mampu,”

“Kamu ni…,” Dato’ Hazmi menggerutu. Namun hatinya suka. Ann…. Sedap juga nama itu.

“Daddy suruhlah Ann mengandung lagi. Boleh Uda timang baby,” usik Uda lagi.

“Kamu je la yang kahwin. Boleh timang baby sendiri. Timang baby orang ni tak syok!”

Uda terdiam. Serta-merta dia teringatkan Dara. Dan Laila.

“Kahwin dengan Dara la, Uda. Baru comel. Uda dan Dara,” usik Dato’ Hazmi pula.

“Saya kan dah bertunang dengan Laila,”

“Putuskan,”

“Hah?”

“Putuskan,”

*****

“Apa?”

“Ya. Saya nak putuskan pertunangan anak saya, Uda dengan anak Datin, Laila. Mereka tidak cinta antara satu sama lain. Kenapa kita mesti paksa mereka?”

“Tapi Dato’…!”

“Tak ada tapi-tapi lagi. Keputusan saya muktamad. Uda pun dah setuju,”

“Dato’ tak boleh buat macam ni! Ini tak beradab namanya!”

“Masa awak tunangkan Uda dengan Laila, ada awak fikirkan pasal benda ni? Ingat Datin June, masa tu saya datang nak meminang Dara untuk Uda. Tapi awak dengan Eryna yang memandai-mandai. Sekarang nak salahkan saya?” Dato’ Hazmi tidak tunggu lama. Dia terus menamatkan talian.

Aku yang mengejar bayang cinta

Kian terbiar

Terpendam kata

Tak terungkap selamanya

Pedihnya hanya aku yang merasa

Mahu memilikinya

Aku hanya hamba cinta

Bisik hatiku lepaskan dirinya

Sungguh aku tak bisa

Biarlah ku sendiri

Tanpa kasih di hati

Aku tak mampu pertahankan lagi

Cinta yang menyakiti

Biarlah aku pergi

Tiada hampa di hati

Pedihnya hanya aku yang merasa

Mahu memilikinya

Aku hanya hamba cinta

Bisik hatiku lepaskan dirinya

Sungguh aku tak bisa

Biarlah ku sendiri

Tanpa kasih di hati

Aku tak mampu pertahankan lagi

Cinta yang menyakiti

Biarlah aku pergi

Tiada hampa di hati

“Laila!” jeritan Datin June bergema seisi rumah. Laila yang sedang leka mendengar lagu pendam oleh Shahir, terkejut dengan jeritan itu.

“Mama ni, potong stim la. Laila tengah berangan tadi…,”

Laila keluar dari bilik dengan perasaan jengkel.

“Ada apa, Mama?”

“Dato’ Hazmi putuskan pertunangan Uda dengan Laila! Puas!”

“Hah?” Uda tak pernah bercerita pun pasal ni!

“Puas hati kamu kan! Ni mesti sebab kamu yang curang dengan Uda ni!” Datin June menuduh tanpa usul periksa.

“Mama, macam mana Laila nak curang kalau Laila tak pernah cintakan Uda?”

“Tapi Laila tunang Uda!”

“Bekas tuning,” sengaja Laila membetulkan panggilan itu. “Kalau betul Daddy Uda dah putuskan pertunangan kami, maka Uda secara rasmi adalah bekas tunang Laila,”

“Jaga mulut tu, Laila! Kamu masih berhubung dengan budak tu kan?”

“Budak mana ni, Mama?”

“Si Taufiq tu la!”

“Mama….!” Kata-kata laila terhenti apabila telefon bimbitnya berbunyi. Panggilan daripada Dara.

“Assalamualaikum, Dara,”

Wajah Datin June berubah riak. Namun Laila buat tidak peduli.

“Bila? Esok? Syarat? Apa syaratnya?” tanya Laila. Kemudian dia diam, mendengar jawapan Dara di hujung talian.

“Okey. Nanti aku bagitahu Mama aku. Terima kasih Dara. Assalamualaikum,” Laila menamatkan talian.

“Huh! Perempuan tu nak apa pula dengan kamu, Laila? Tak cukup dia goda Papa Mukhriz sebelum ni?”

Laila menggeleng. “Mama jangan buat persepsi buruk kat orang lain boleh tak? Dara telefon tadi sebab dia nak tolong kita,”

Datin June tertawa sinis. “Kalau betul dia boleh tolong kita, apa yang dia boleh buat?”

“Mama, dia dah aturkan pertemuan kita dengan anak Tan Sri Kamaruzzaman,”

“Tan Sri Kamaruzzaman? Zaman Corporation? Yang batalkan kerjasama dengan kita tu?”

“Ya, Mama,” jawab Laila sepatah. “Tapi, dia nak kita berdua yang pergi jumpa dia. Dia tak nak jumpa Laila seorang,”

Datin June tidak menjawab. Dia memikirkan sesuatu.

“Bila?”

“Hujung minggu ni,”

*****

Suasana di pejabat itu sunyi sepi. Maklumlah, hari Ahad. Mana ada staf yang datang bekerja. Yang kelihatan hanya Laila dan Datin June sahaja yang tercongok di hadapan pintu masuk pejabat itu.

“Mana mereka ni, Laila? Kata nak jumpa, tapi batang hidung pun tak nampak. Inmilah dia, anak-anak Tan Sri semua. Semuanya ambil mudah saja!”

Laila hanya diam mendengar bebelan Mamanya itu.

“Assalamualaikum,”

Laila dan Datin June menoleh. Datin June mencebik apabila melihat Dara terkial-kial mencari kunci pejabat.

“Maaf. Tadi kereta rosak. Er….. anak Tan Sri tu suruh saya jalan dulu,”

Laila tersentak. Datin June pun.

“Kau keluar dengan anak Tan Sri? Hebat. Tak sangka, kau goda anak Tan Sri pula, lepas kau goda suami aku,” selamba Datin June melemparkan kata-kata hinaan buat Dara. Gadis itu diam sahaja.

“Mama….,”

“Apa?”

“Okey, pintu dah dibuka. Jemput masuk. Bos saya sampai kejap lagi,”

Laila dan Datin June dibawa ke bilik mesyuarat. Tanpa kekok Dara melayani mereka dengan menghidangkan kopi dan kuih yang sempat dibelinya tadi. Namun wajah Datin June masih menunjukkan riak tidak puas hati.

“Mana bos kau tak sampai-sampai lagi ni?”

“Mama…,” Laila menegur. “Sabar sikit boleh tak? Ingat sikit siapa yang buat kerjasama ni dibatalkan. Dara atau suami Mama yang dikasihi tu,”

Datin June diam.

“Maafkan saya, Datin, Laila. Saya terlambat,” sapa satu suara dari luar bilik mesyuarat. Spontan semuanya mengalihkan pandangan ke pintu masuk.

Laila terkejut. Dara hanya tersenyum simpul.

“Apa yang kau buat kat sini? Aku nak jumpa anak Tan Sri Kamaruzzaman bukannya kau!”

Lelaki itu tersenyum. “Jadi, Datin perlu bertemu saya,”

Datin June dan Laila saling berpandangan. Kemudian mereka memandang Dara.

“Datin June, Laila. Kenalkan, ini anak Tan Sri Kamaruzzaman,”

“Taufiq Batisah,” Taufiq memperkenalkan dirinya.

Datin June pengsan.

*****

“Saya minta maaf atas apa yang berlaku,”

“Taufiq, kenapa awak yang kena minta maaf pula?”

“Ye la, kalau saya bagitahu siapa saya yang sebenarnya mesti perkara ni tak jadi macam ni,”

“Awak bukan sembunyikan pun siapa awak yang sebenarnya. Awak cuma malas nak heboh-heboh. Saya tahu je siapa awak sebenarnya,”

“Eleh, awak tahu pun lepas awak bertunang dengan saya. Sebelum tu, haram….”

Dara dan Laila tertawa.

“Eh, betul la. Aku mana tahu dia anak Tan Sri. Itu yang aku terkejut bila aku jumpa Tasya masa mula-mula aku jumpa Umi dulu,”

“Sebut pasal Tasya, bila dia balik Mesir?”

“Dia dah balik la. Habiskan pengajian di sana ditemani suami tersayang. Kenapa tanya?”

“Akhirnya bahagia juga musuh ketat aku tu ye, Dara,”

“Musuh ketat pun, bakal adik ipar kau juga!” cebik Dara. Laila dan Taufiq tergelak.

“Eh, Datin dah terjaga tu,”

Laila segera menoleh apabila mendengar kata-kata Taufiq. Dia menerpa ke arah Datin June yang mulai sedar.

“Laila,”

“Ya, Mama,”

“Tadi Mama mimpi,” Datin June tergelak kecil. “Mama mimpi, Taufiq adalah anak Tan Sri,”

“Mama, itu bukan mimpi. Itu kenyataan. Taufiq memang anak Tan Sri Kamaruzzaman,”

Bulat mata Datin June mendengarnya.

“Mama tolong jangan pengsan lagi,”

“Apa yang terjadi sebenarnya?”

“Datin…,” Taufiq mencelah. “Betul apa yang dikatakan Laila tu. Saya Taufiq Kamaruzzaman,”

“Aku tak percaya,”

“Betul, Datin. Taufiq yang minta kerjasama antara syarikat ni dan syarikat Datin dibatalkan. Selain daripada hasil kerja yang tidak memuaskan, Taufiq ingin sedarkan Datin tentang pangkat ni semua,” sampuk Dara pula.

Datin June diam.

“Datin pernah tanya kan, Umi dan Abah yang saya sanjung sangat tu ada pangkat Datuk tak di hadapan nama mereka. Masa tu saya jawab tidak. Sebab nama mereka memang tak ada pangkat itu. Yang ada cuma Tan Sri dan Puan Sri,”

“Cuma?”

“Tapi itu semua tak penting, Datin. Yang penting, apa yang cakap lepas tu,”

“Apa yang awak cakap lepas tu?” Datin June bingung. Dia tidak mengingati langsung pertemuan itu.

“Sekali Datin menghina, sepuluh kali Datin akan berasa terhina selepas ini,”

Datin June. Ada benarnya kata-kata itu. Dia benar-benar terasa terhina dengan kata-kata itu.

“Maafkan Aunty, Taufiq,”

“Maaf, Datin. Kerjasama antara syarikat kita akan tetap terlaksana tapi untuk memaafkan Datin atas kata-kata Datin tempoh hari, saya rasa saya masih memerlukan masa,” Taufiq bangun dan terus keluar. Datin June termangu.

Laila memeluknya erat. Member semangat kepadanya. Dara hanya memerhatikannya.

Previous: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.